July 9, 2014

Wakil-Wakil Surau Dijemput Bermesyuarat Cadangan Membina Masjid Al-Umm Dan Penubuhan Jawatankuasa-Jawatankuasa

-->
BBB, 10 Ramadhan 1435 = 08 Julai 2014 (Selasa):

Islam menuntut kita bekerja secara jamaah dan di dalam mencari keputusan, mekanisme terbaik ialah bermesyuarat. Dan cara bermesyuarat adalah dituntut di dalam Islam, firman Allah bermaksud:
Dan segala urusan mereka diputuskan secara bermesyuarat dikalangan mereka (Al-Shura: 31).
Dan firmanNya lagi bermaksud:
Hendaklah bermesyuarat dengan mereka di dalam sesuatu perkara, maka apabila engkau berazam, maka hendaklah bertawakkal kepada Allah, sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal  ( Ali  Imran: 159).


Merujuk kepada Takmilah, lantaran bermesyuarat adalah jalan terbaik bagi mencapai keputusan secara kolektif, maka tentu ia adalah merupakan terbaik dari segi pendekatan.
Sebenarnya sebagaimana dalam sebahagian janji dalam pilihanraya, bahawa jika Penulis menang dalam pilihanraya (2008-2013) Penulis akan berusaha untuk mendirikan Masjid di tapak yang disediakan. Langkah terawal dijalankan ialah Penulis selaku Adun Bangi berusaha  mempastikan status terkini tanah dan memohon Pewartaan Pejabat Tanah Hulu Langat bagi menjadikan tapak yang disediakan sebagai tapak masjid. Surat Ruj. PTD UL.16/3/5.2008(3) bertarikh 24 Mei 2008.

Dari permohonan di atas yang mana surat permohonan telah diangkat oleh Pejabat Daerah kepada pihak Menteri Besar Selangor dan juga ditujukan kepada JAIS dan jawapan melalui Pejabat Tanah Hulu Langat bahawa permohonan pewartaan  tanah Tapak Masjid di Seksyen Satu Bandar Baru Bangi telah diluluskan oleh Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor dari Pejabat Tanah Hulu Langat ditujukan kepada JAIS Bil. PTD UL.16/3/194-2006(9) bertarikh 1 September 2009, bahawa tiada halangan tapak bagi mendirikan masjid dan pewartaan tanah – diluluskan.


Berikut dari kelulusan itu Penulis selaku Adun Bangi menjemput wakil-wakil dari surau-surau di sekeliling tapak Masjid Al-Umm dan Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi bermesyuarat pada Khamis (malam Jumaat) 4 Februari 2010 bertempat di Surau Al-Umm bagi mendapat pandangan dan cadangan berhubung dengan pembinaan Masjid Al-Umm yang telah diluluskan.  Seramai 30 orang hadir antaranya Imam Supaat bin Abdul Rahman selaku Imam di Surau Al-Umm, Dr. Abdul Rahim Samsuddin Pengerusi Surau Al-Ehsan, Tuan Haji Ghazali Abbas Pengerusi Surau Al-Nur, Ustaz Muhammad bin Hasbullah Pengerusi Surau Damai, Dr. Tajul Ariffin Noordin selaku YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dan wakil-wakil lain dari surau-surau berkenaan. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Penulis selaku Adun Bangi dan disetiausahakan oleh Tuan Haji Hussin Yunos bersetuju bagi membina Masjid Al-Umm di atas tapak diluluskan. Sebuah Jawatankuasa Induk ditubuhkan yang di Pengerusikan oleh Penulis selaku Adun Bangi dengan Timbalan ialah Tuan Haji Ghazali Abbas Pengerusi Surau Al-Nur dengan Tuan Haji Hussin Yunos selaku Setiausaha.

Tiga buah Jawatankuasa Kerja juga dilantik, iaitu:

1)      Jawatankuasa Pelan Binaan  dan Landscaping diketuai oleh En. Nasai dengan Setiausaha Tuan Haji Said dan AJK akan dilantik.
2)      Jawatankuasa Dana diketuai Tuan Haji Mohd Nor Yasin. Beliau akan memilih setiauasaha dan AJK yang akan dilantik
3)      Jawatankuasa Pendidikan diketuai oleh Dr. Tajul Ariffin Noordin dengan Setiausahanya ialah saudara Fahdi Dato` Dr. Faisal dengan AJK yang akan dilantik
(Dalam perkembangan lanjut Jawatankuasa-Jawatankuasa di atas mengalami perubahan
dan penyesuaian. Antaranya seperti Jawatankuasa Pelan Binaan dan Landscaping tidak berjalan dari awal, di samping berlaku pertambahan keahlian).
Jawatankuasa-Jawatankuasa berkenaan diberi tempoh sebulan untuk mengemukakan cadangan-cadangan masing-masing jawatankuasa untuk dibincangkan di dalam mesyuarat seminggu berikutnya.

Dalam mesyuarat tersebut dicadangkan agar kawasan perlembahan Bangi (Wadi Bangi sebagai Wadi Ilmu) dalam lingkungan perbukitan Bangi menjadi kampus terbuka pengajian yang berindukkan Masjid Al-Umm. Tiap-tiap surau mempunyai ciri khusus pengajian dan pelajar-pelajar bergerak mengikuti kuliah dari surau kesurau sebagai fakulti menurut pilihan matapelajaran. Kursus-kursus pengajian yang ditawarkan seperti keilmuan berhubung dengan ulum al-Qur`an, tafsir, hadith, aqidah, syariat, ekonomi Islam, Sains Islam, Siasah, perubatan Islam, pengajian bahasa-bahasa, pengajian umumiyah dan sebagainya. Cadangan juga dikemukakan agar diadakan kelas tahfiz, di samping pengajian hujung minggu dan pengajian secara berpakeg. Adalah diharapkan pengajian berindukkan Masjid Al-Umm berkembang menjadi Pengajian bertaraf (Jami`ah) sebagaimana berlaku kepada Masjid Al-Azhar berkembang menjadi Universiti Al-Azhar dan sebagaimana Masjid Al-Qairawan berkembang menjadi Unversiti Qairawan yang kedua-duanya merupakan universiti-universiti tertua di dunia.

Adalah diharapkan dalam jangka panjang Pengajian Masjid Al-Umm mempunyai asset sendiri dan berdikari dari segi kewangan dan kalau boleh menawarkan pengajian secara percuma.

Demikian asas awal perbincangan ke arah merealisasikan Masjid Al-Umm dan harapan berlakunya perkembangan keilmuan darinya.

Sekian.

No comments:

Post a Comment