BBB, 12 Ramadhan 1435 = 10 Julai 2014 (Khamis):
Adalah dikatakan bahawa `Kemiskinan sebenarnya bukannya
miskin harta, tetapi miskin idea`.
Bayangkan seorang seniman ketiadaan ilham/idea dia tidak dapat berkarya. Ilham
dan idea adalah modal utama bagi penulis yang dia boleh bergerak dan
mengolahnya secara kreatif dan estetik hingga menghasilkan karya yang baik yang
diisi dengan katakan dengan nilai-nilai Islam dan memberi impak yang positif
dengan karyanya kepada khalayak. Demikian idea dan ilham menjadi syarat bagi keperluan
menulis dalam Takmilah dan sebenarnya bagi mana-mana pendekatan di dalam
penulisan.
Bayangkan sebuah masjid yang indah berestetika keislaman
bakal berdiri megah di Wadi Ilmu Bangi, bagaimanakah ianya dapat didirikan ?
Tentulah dengan adanya idea dan kreativiti arkitek yang kreatif (tentulah
berdasarkan kemahuan pemilik) dan jurubinanya (kontraktor) yang berkemahiran
menurut plan yang dikehendaki.
Pada peringkat permulaan kami melangkah dengan idea
bertujuan untuk membina masjid, bukan setakat keperluan untuk solat berjamaah
semata-mata, bahkan menjadikannya induk bagi Wadi Ilmu yang dari awal telah
dibentangkan dalam mesyuarat awalnya 4 Februari 2010 dan dipersetujui. Untuk bergerak
pada peringkat permulaan kami adalah bertolak dari kosong dari segi kewangan.
Ia adalah pra-syarat bagi kegiatan. Selepas kelulusan tanah digazet dan
kebenaran JAIS mendirikan masjid, maka tumpuan utama dalam mesyuarat ialah
bagaimana untuk mendapat dana yang diperlukan.
Antara tindakan yang diambil sebelum menggerakkan usaha bagi
mendapatkan dana:
Memhon keizinan dari JAIS bagi memungut derma bagi Masjid
Al-Umm. Kelulusan diberi bagi kali pertama yang tarikh akhir bagi kali pertama
ialah 9 Ogos 2012 (setengah tahun) diikuti dengan penyambungan-penyambungan.
Jika sebelum ini saudara Setiausaha Tuan Haji Hussin Yunos
memberat dengan kerja-kerja kesetiausahaan, maka adalah disetujui untuk
mengambil seorang Setiausaha Kerja. Setelah diadakan interview adalah
dipersetujui melantik saudara Nik Muhammad Adham bin Nik Anuar yang mula
berkhidmat pada 16 April 2012. Adham adalah penduduk BBB berkelulusan
Universiti Malaysia Sabah. Selepas percubaan 3 bulan beliau diberi imbuhan
sebanyak RM1,500 sebulan.
Sebelum daripada itu sebuah unit kedai di Medan Usahawan
beralamat di No. 3 Medan Usahawan Jalan 1/4A Bandar Baru Bangi yang disewa atas
nama peribadi Penulis dan digunakan untuk Pejabat Lajnah Sukan dan Kebajikan
Adun selepas Penulis menjadi Adun Bangi. Kedai yang lebih bersifat warung ini
telah dibaiki dan diubahsuai dan dipasang dengan hawa dingin. Pejabat di sini
ditukar kepada Pejabat Setiausaha Kerja Masjid al-Umm selepas Setiausaha Kerja berkenaan
dilantik. Bersebelahan bagi unit yang disewa penulis, ialah dua unit bersambung
yang diguna oleh Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi. Kedua-dua unit kedai
Persatuan Penduduk ini dipecah dinding tengah dan disatukan kedua-dua unit
berkenaan menjadi bilik mesyuarat di samping sebahagian dijadikan pejabat
Persatuan Penduduk. Dengan berdekatannya pejabat dan ruang mesyuarat PPBBB
dengan unit yang diguna oleh masjid ini, maka ruang mesyuarat ini turut
digunakan oleh AJK Surau Al-Umm dalam mesyuaratnya. PPBBB makin kurang menggunakan pejabat di sini selepas siapnya Kompleks
Pendidikan Islam Bangi (2013). Pejabat-pejabat ini terletak bersebelahan dengan
tapak kawasan Masjid Al-Umm.
Sementara tapak bagi pembinaan Masjid Al-Umm adalah kawasan
tanah tinggi yang menjadi kaki bukit bagi lingkungan perbukitan Bangi. Ia merupakan
hujungan bagi kawasan perumahan semi D yang didirikan pada kaki bukit Bangi.
Tanah di tepi baris terakhir bagi
perumahan semi D ini selepas diratakan oleh PKNS sebagai persediaan tapak
masjid ini di tepi padang
berdekatan dengan Sekolah Rendah Kebangsaan Bandar Baru Bangi ditinggal tanpa
dibangunkan. Lantaran itu kawasan tersebut ditumbuh tumbuhan liar seperti pokok
gelam dan gelam Australia
(akasia) dan semak samun. Selepas keputusan diambil untuk mendirikan masjid
Syarikat saudara Mohd Said telah membersih sebahagian dari tapak masjid dengan
memotong sebahagian dari pokok-pokok, tapi pembersihan tidaklah menyeluruh.
Pembersihan sekali lagi dilakukan menjelang diadakan Majlis Pelancaran Derma
bagi Masjid Al-Umm. Pembersihan hanya melibatkan permukaan kawasan atas, tetapi
sengaja tidak dibuang pokok-pokok hijau di tebing tanah tapak Masjid Al-Umm
agar tanah tidak menjadi gondol sepenuhnya dan masih ada lagi pohon-pohon
menghijau.
Manakala kawasan-kawasan di bekang rumah semi D milik
masjid, telah lama digunakan oleh beberapa pemilik rumah menanam pokok-pokok
buah-buahan, membuat reban ayam, bahkan court badmintaon. Beberapa AJK termasuk
Penulis selaku pengerusi pernah melawat ke rumah yang terlibat dengan kawasan
tanah masjid. Rundingan secara baik berlaku. Mereka menerima, perkara-perkara
yang tak boleh dialih seperti pokok-pokok jenis besar seperti cempedak, durian
dan rambutan terpaksa dikorbankan demi memberi ruang bagi pembangunan Masjid
Al-Umm.
Kami bergembira dengan tapak masjid yang menunggu pembinaan,
walaupun pada hakikatnya kami bertolak kosong dari segi kewangan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment