BBB, 20 Ramadhan 1435 = 18 Julai 2014 (Jumaat):
Masjid-masjid utama di dalam Islam ialah Masjid al-Haram di
Makkah, Masjid Al-Aqsa di Baitul Maqdis dan Masjid Al-Nabawi di Madinah.
Masjid-masjid ini mempunyai bentuk dan ciri-ciri tersendiri, tetapi tidaklah
menjadi ikutan dari segi seni binanya bagi pembinaan masjid di tempat-tempat
yang lain di dalam masyarakat ummah. Apa yang perlu bagi sesebuah masjid dan
semua masjid sebagai satu kesatuan ialah mengarah ke Kiblat dan mempunyai ruang
untuk solat secara berjamaah.
Masjid-masjid yang dibina menurut kesesuaian setempat dan
sering memancarkan budaya setempat. Masjid-masjid di Timur Tengah yang beriklim
padang pasir
adalah bersutuh – rata bahagian atas, kerana kawasan berkenaan jarang menerima hujan.
Masjid-masjid di Alam Melayu yang beriklim khattul istiwa dan sering hujan
berbumbung telungkup berbentuk V terbalik bagi memudahkan larian dan turunnya
hujan. Antara masjid-masjid yang ketara dengan pengaruh budaya tempatan seperti
masjid-masjid di China yang mirip kepada bentuk pagoda, di Afrika bangunan
masjid yang dibina dari lumpur dan kayu yang kelihatan seperti busut.
Namun hasil dari perkembangan budaya dan nilai ummah,
terbina masjid-masjid yang bukan lagi dipengaruhi keperluan setempat, tetapi menjadi
monomen penting bagi tamadun ummah seperti Masjid Damshiq, Syria, Masjid Jami`
Isfahan, Masjid Jami` Cordova, Masjid Sulaimaniyyah, Istanbul, Turki, Masjid
Ibn Talun dan Al-Azhar di Mesir. Masjid-masjid berkenaan mempunyai ciri-ciri
seni binanya tersendiri yang bukan setakat seni bina setempat, tetapi merentasi
sebagai seni bina ummah.
Masjid bagi masyarakat Islam menjadi land mark bagi sesuatu
tempat, lantaran sesebuah kawasan seperti di pekan, bahkan di kampung mempunyai
masjid dan kadang-kadang mempunyai lebih dari sebuah masjid. Masjid lebih
dikenali ramai dan menjadi tempat berkumpul masyarakat bagi berjamaah. Masjid
sebagai bangunan kedua masyarakat Islam berada selain dari rumahnya. Ianya
menjadi pusat pendidikan dan kegiatan kemasyarakatan. Di Malaysia terdapat
masjid beridentiti tempatan seperti Masjid Negara Kuala Lumpur yang tidak
mengikuti seni bina Asia Barat dan bersifat tempatan. Di Selangor misalnya terdapat
lebih dari 600 buah masjid, antara yang terkenal ialah Masjid Salahuddin
sebagai Masjid Negeri yang kubah terbesarnya menjadi identity bagi masjid
tersebut. Setiap daerah mempunyai masjid daerahnya yang biasa dikenali sebagai
Masjid Jami`. Di bawah setiap masjid ada beberapa surau di bawah riayah masjid.
Terdapat surau-surau di Selangor melebihi 2,000 buah.. Ini bererti ribuan
masjid di Negara Malaysia
dengan puluh ribuan surau.
Di samping masjid terdapat di Malaysia nama yang berlainan yang
fungsinya adalah hampir sama. Di samping nama masjid terdapat nama seperti
surau, langgar, madrasah, musalla, pondok dan balai.
Masjid adalah merupakan sebuah bangunan tempat solat untuk
hari Jumaat dan solat-solat yang lain, manakala surau ialah tempat solat yang
tidak mendirikan solat Jumaat. Biasanya digunakan bagi solat waktu. Oleh kerana
ada kawasan yang mempunyai penduduk yang ramai, tetapi tidak mempunyai masjid,
namun mempunyai surau yang kadang-kadang lebih dari sebuah, maka dibenarkan
mendirikan solat Jumaat dalam tempoh terhad sebelum ada masjid. Kadang-kadang
ada beberapa surau dibenarkan mendirikan Jumaat di dalam kawasan sesebuah
masjid. Contohnya seperti di Bandar Baru Bangi terdapat beberapa surau yang
dibenarkan mendirikan solat Jumaat, sebelum didirikan masjid.
Langgar ialah juga tempat solat berjamaah, tetapi tidak
mendirikan solat Jumaat. Langgar mempunyai fungsi lebih dari tempat solat,
tetapi ianya lebih kepada pusat pengajian seperti pondok pengajian keagamaan.
Terdapat beberapa tempat nama langgar yang menunjukkan tempat ini asalnya ialah
tempat pengajian keagamaan seperti Langgar di Kedah, Langgar di Kota Bharu,
Kelantan dan juga Kg. Langgar di Hulu Terengganu. Tempat-tempat ini asalnya
tempat pengajian agama.
Madrasah juga adalah sebagaimana surau yang di tempat
berkenaan ada pengajian. Madrasah dengan maksud lebih moden ialah Sekolah Agama
atau Sekolah Arab. Adapun musalla ialah merupakan bangunan kecil, atau ruang
kecil di dalam satu-satu bangunan yang dikhaskan untuk bersolat. Contoh musalla
di perhentian bas atau di kawasan rehat dan rawat. Pondok asalnya ialah nama
bagi `rumah kecil` yang mempunyai ruang terhad yang menjadi tempat tinggal
orang yang daif. Atau sengaja didirikan bagi tempat lindungan seperti pondok
bagi kawasan huma sebagai tempat berteduh dari panas matahari dan hujan semasa
berihat dari bekerja. Tetapi istilah pondok menjadi istilah khusus. Ianya
bermaksud ialah pusat pengajian agama dalam mana terdapat padanya madrasah atau balai
tempat pengajaran/pengajian yang juga menjadi tempat solat. Keliling tempat ini
terdapat pondok-pondok yang didirikan dalam mana pelajar-pelajar tinggal
sebagai asrama, tapi mereka berdikari dari segi makan minum. Pengajian dipimpin
oleh Tok Guru dan guru-guru yang mungkin tinggal di dalam kawasan pondok
pengajian. Pembelajaran berlaku secara berterusan. Ada pondok yang besar dan menjadi pusat
pengajian terkenal contoh seperti Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan, Pondok Sungai
Durian Kelantan, Pondok Lubuk Tapah juga di Kelantan. Pondok Haji Mat Shafie
Losong Kuala Terengganu, Pondok Tok Faqih Abdullah Kuala Berang, Pondok Haji
Bidin, Sura Dungun, Pondok Haji Hussein Kedah, Pondok Langgar Kedah dan
sebagainya (Balai sebagaimana disebutkan adalah sebagai surau dan pusat bagi
tempat pengajian). Menarik semua tempat-tempat di atas menjadi tempat solat dan
pengajian. Sebenarnya Al-Azhar di Mesir dan Qairawan di Maghribi adalah
pusat-pusat ibadah (masjid) yang menjadi tempat pengajian dan berkembang
menjadi dua buah universiti tertua bukan saja di kalangan umat Islam, tetapi
juga dunia.
Dari segi prinsip Takmilah bahawa falsafah utama menjadi
prinsip yang tidak berubah (Akidah tauhid dan solat) tetapi di dalam
perkembangan lanjut ia melahirkan kepelbagaian bentuk tempat solat yang
bentuknya dipengaruhi oleh budaya, keadaan setempat dan kepentingan kelompok
sosial contoh pendidikan. Contoh `Solat` ibadat terhadap yang Maha Esa adalah
falsafah dan prinsip. Dengan melahirkan tempat ibadat `Masjid` atau yang fungsi
hampir bersamaan sama mengarah ke Kiblat dari segi kewajipan, tapi melahirkan
berbagai jenis bangunan yang berbagai bentuk yang mencerminkan berbagai budaya.
Institusi Masjid dan yang hampir bersamaan dengannya menjadi agen yang mendidik
masyarakat melalui ibadat dan pendidikan yang mengharmonikan masyarakat
berkenaan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment