July 23, 2014

Kebersihan Dan Sekitaran Masjid

-->
24 Ramadhan 1435 = 22 Julai 2014 (Selasa):

Masjid dapat juga dikatakan tempat membersih jiwa dari kekotoran kejahilan, kekejian akhlak dan keburukan amalan, iaitu melalui pengajian dan mendekati diri kepada Allah melalui ibadat. Masjid sebagai institusi yang membersih akal, jiwa dan peribadi hamba, sepatutnya juga bersih dari segi fizikal dan keadaan sekitarnya, lantaran kebersihan adalah tuntutan Islam dan tuntutan segala budaya. Dengan itu masjid seharusnya menawarkan pakej yang lengkap dari segi lahiri dan maknawi.


Islam menekankan kebersihan dalaman dan luaran. Bagi menyediakan infra-struktur kebersihan yang mana seseorang perlu suci dari hadath kecil dan besar, perlu bersih diri dari najis dan kotoran sebelum memasuki masjid, maka keperluan berwudhu` sebagai satu cara membersih diri, masjid menyediakan tandas dan tempat wudhu` itu sendiri.
Dari segi arkitektur bahagian bangunan tempat membuang air besar dan kecil seharusnya terasing dari bangunan masjid dan berada pada bahagian belakang. Ini adalah untuk mengelak dari terbawanya pencemaran dari bilik membuang air kecil dan besar ke bahagian masjid. Dengan pengasingan memerlukan seorang ke tandas memakai selipar dan membasuh kakinya sebelum melangkah ke masjid. Adapun tempat wudhu` boleh pada bahagian belakang (sebelum tandas) dan kiri kanan masjid secara teratur dan kelihatan bersih.


Untuk bahagian menguruskan jenazah, kebanyakan masjid memperuntukkan ruang (bilik jenazah) dibelakang di dalam masjid beserta tempat mandi dan lain-lain keperluan bagi menguruskan jenazah. Tapi ada pihak yang mau menjaga lebih kebersihan dalaman masjid yang membina bilik bersebelahan masjid dan tidak sebahagian dari masjid. Ini juga bagi memelihara masjid dari kotoran dari pembersihan dan pemandian jenazah. Ini bukan bererti tidak menghormati mayat, sebaliknya dengan adanya bangunan dan bilik khas kehormatan mayat dapat dijaga dari diperhati atau diintai oleh yang datang ke masjid, lebih-lebih lagi jika mayat perempuan dan pengurus-pengurus perempuan yang tidak manis berada berdekatan jamaah lelaki.


Masjid juga sering menganjurkan majlis-majlis kenduri, akikah, jamuan dan memasak dalam kawasan masjid, termasuk yang mengadakan jamuan kahwin dalam kawasan masjid, setengahnya melibatkan masakan, bahkan ada program masakan mingguan seperti bubur lambuk pada hujung-hujung minggu bulan Ramadhan, jika berterusan dan kurang kawalan kebersihan menyebabkan kurang terkawalnya kebersihan, apa lagi jika penyembelihan dilakukan di dalam kawasan masjid. Semuanya bukanlah kesalahan, tetapi perhatian perlu diambil agar kawasan masjid kelihatan bersih sama dengan harapan agar minda-jiwa-amal sama bersih.


Masjid bolehlah disifatkan sebagai taman ilmu yang pengunjung-pengunjung datang memilih dan memetik bunga dan buah pengajaran yang disampaikan oleh guru-guru dari masa ke masa dan berterusan. Sebagaimana menjadi harapan bersih-minda-jiwa-amal beserta dengan bersih sekitaran masjid, maka ibarat keilmuan diajar guru-guru yang bunga, buah dari tamannya dapat dipetik, maka alangkan indahnya konsep `Taman` tidak saja ditasybih kepada ilmu-ilmu diajar guru, tetapi suasana keliling masjid dan di mana ruang-ruang bersesuaian ditanam dan dihias dengan taman bunga yang segar dan menarik pandangan, sesuai pula taman yang bukan saja taman yang bersifat tasybih secara bandingan, tetapi benar-benar berhimpun antara taman bunga maknawi bersama taman bunga lahiri yang mendapat berkat dan rahmah.

Fizikal bangunan masjid, seharusnya tidak saja dijaga dari segi dalaman, tetapi juga bahagian luaran. Telah diperkatakan bahawa masjid di negeri dan di Negara kita tidak sesuai dengan bangunan rumah batu yang dibina secara bersutuh bahagian atas (rata bahagian atas) kerana  kawasan kita adalah berada di dalam kawasan khatulistiwa yang banyak mengalami hujan. Kalau binaan masjid kawasan kita meniru bulat-bulat binaan masjid di kawasan padang pasir yang kurang menerima hujan, akibatnya bangunan di tempat kita akan terdedah kepada hujan panas yang boleh berkulat dan berdaki. Sebab itu bangunan masjid tempat kita seharusnya beratap yang cucur atapnya seharusnya melindungi dinding daripada ditimpa hujan. Dengan ini mengelak bangunan dari comok dan kotoran asap dan sebagainya yang turun bersama hujan. Masjid yang sesuai dengan iklim tempatan, unik dan lain dari masjid-masjid yang lain ialah Masjid Negara yang mempunyai atap terbuka bagaikan paying besar yang dapat melindungi bahagian utama bawah dari hujan panas. Masjid ini mempunyai menara, tetapi tidak mempunyai kubah. Masjid menjadi syiar Negara, negeri dan tempatan, seharusnya ianya menarik  dan bersih, sesuai ianya institusi dihormati

Pendek kata masjid dan surau kita adalah rumah kedua bagi sebahagian daripada kita, sebagaimana kita beri perhatian pada kebersihan rumah kita dan menghiasinya dengan taman-taman hendaknya kita sama kasih dan mesra dengan masjid dan surau. Biarlah masjid dan surau kita sebagai taman ilmu yang berada di taman bunga nyata yang menyedapkan hati, minda dan mata.

Sekian.

No comments:

Post a Comment