BBB, 23 Ramadhan 1435 = 21 Julai 2014 (Isnin):
Konsep masjid seharusnya sentiasa terbuka bagi membolehkan
sesiapa datang untuk beribadat tanpa kira masa. Tetapi di sebalik ideal
sedemikian ada masalah-masalah. Di dalam masjid ada barang-barang berharga,
walaupun tidak mahal, kadang-kadang jadi mangsa kecurian, termasuk tong derma.
Sebab itu di luar dari masa kunjungan, jika tidak ada penjaga, maka perlu
ditutup. Dalam masa biasa pun bahan-bahan berharga disimpan di dalam kamar
bersebelahan mihrab. Kalau kita lihat Masjidil Haram, walaupun dikunjungi
berterusan ada juga pintu-pintu, demikian juga Masjid Madinah.
Pintu selain dari digunakan untuk keselamatan mempunyai
fungsi yang lebih dari itu.
Adanya pintu memberi keselesaan bagi jamaah bila pintu
dibuka udara bersih dapat keluar masuk, kecuali masjid yang menggunakan
penghawa dingin sepenuhnya. Selain daripada itu dapat menjimatkan tenaga
letrik, kerana dengan membuka pintu cahaya dapat masuk dengan bebas.
Pintu selain daripada tugasnya membuka dan menutup ada
fungsi estetiknya. Pintu tidak setakat pintu bangunan masjid, tetapi juga pintu
bagi kawasan. Kalau kita lihat pintu utama untuk memasuki kawasan Masjid
Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam tiang bagi pintu begitu artistic. Setiap
tiang yang berjumlah gasal itu di atasnya dikembangkan bagai tangan orang yang
sedang berdoa yang mencetuskan ketenangan dan kekhusyukan yang sekaligus
mengingatkan, masuk ke dalam kawasan masjid hendaknya secara berniat baik,
seharusnya untuk membuat ibadat dan mendapat ketenangan. Tiang-tiang masuk ini
kelihatan seperti berkeliling yang menjadi kita tidak pasti yang mana bermula
dan yang mana berakhir. Ia merupakan ilham dan imaginasi arkitek tentang
falsafah ketauhidan Tuhan Yang Maha Esa yang tidak mempunyai awal dan tidak
mempunyai akhir. Tiang yang berbentuk tangan menengadah ini merupakan identiti tiang-tiang
di masjid berkenaan contoh bahagian belakang masjid dengan antara bahagian
tempat wudhu`.
Tanpa mengkhususkan kepada Masjid Salahuddin Abdul Aziz
Shah, tetapi merupakan ciri-ciri pintu-pintu masjid, baik pintu besar atau yang
kecil, maka daun-daun pintunya bersifat bulat-bujur memanjang ke bawah yang
mencerminkan tunduk khudhuk yang melambangkan kepatuhan dan kekhusyukan di
dalam ibadat dalam mendepani Allah Ta`ala. Ianya berbeza dari yang tegak secara
empat segi ke bawah yang ketara memberi tanggapan lebih kasar dan kurang
secocok dengan suasana di dalam sebuah masjid.
Memasuki ke masjid dari mana ruang sekalipun, adalah
memasuki ruang terbuka yang dihampar tikar dan sajadah atau terus berlantaikan karpet
sebagai sajadah.
Ruang terbuka `qa`ah` layak bagi sesiapan jamaah lelaki
berada di bahagian paling hadapan tanpa mengira kedudukan. Mungkin dari satu
segi mencerminkan sifat demokrasi di dalam Islam yang tidak mengambil kira dari
segi kedudukan dan pangkat seseorang. Apa yang digalakkan di dalam Islam agar
seseorang jamaah berawal ke masjid dan berada di bahagian hadapan lebih aula.
Bahkan maksud Hadith, jika seseorang itu tau akan fadilah berada di bahagian
saf hadapan, nescaya dia mau diundi, maka dia memilih untuk diundi. Dari segi
hikmah pun berada di bahagian hadapan dan datang awal, kurang gangguan
kesebokan dan tumpuan kepada beribadat lebih tinggi dan lama masa daripada
datang secara kemudian.
Pada bahagian ruang terbuka terdapat mihrab yang bentuknya
bulat-bujur berada pada bahagian hadapan dari bangunan. Fungsi awal bagi mihrab
sebagai panduan mengarah kiblat dan tempat imam memimpin jamaah bersolat dan
berhampiran juga dengan mimbar yang fungsi awalnya menjadi tempat yang lebih
tinggi bagi khatib menyampaikan khutbah agar mudah dilihat oleh jamaah dan
khatib sendiri dapat memandang jamaah secara lebih meluas. Mimbar selalunya
dibuat dari kayu yang berukir awan larat dari elemen tumbuhan. Jika menggunakan
hiasan ayat Qur`an maka pada bahagian atas.
Pada ruang masjid, terutama pada bahagian hadapan, tidak
digalakkan menggunakan dekorasi dan hiasan yang terlampau banyak dan terlampau
mewah, kerana boleh mengganggu konsentarasi dan kekhusyukan jamaah dalam
beribadah, khususnya solat. Hiasan-hiasan digunakan biasanya pada bahagian atas
dan keliling atas ruang masjid dihiasai dengan ayat-ayat Qur`an yang berhubung
dengan masjid, berhubung dengan solat dan ingatan-ingatan yang menggalakkan
diri untuk lebih dekat kepada Allah. Contoh sedemikian dapat dilihat pada
Masjid Negara, Kuala Lumpur
dan di masjid-masjid yang lain.
Di dalam hal dekorasi dan hiasan ini, perlu menjaga prinsip
Islam, bahawa seni termasuk sastera dan seni-seni yang lain – termasuk Takmilah
bahawa ianya jangan sampai melalaikan (Al-Syu`ara`: 224-227). Seni memang
dicipta Allah, semua kejadian ciptaanNya adalah indah. Seni keindahan menenangkan,
seharusnya ianya menjadikan kita kagum dan membesarkan Allah !
Sekian.
No comments:
Post a Comment