BBB, 09 Ramadhan 1435 = 07 Julai 2014 (Isnin):
Semasa Penulis menjadi Adun Kajang, Hulu Langat (1999-2004)
slogan yang Penulis gunakan di dalam memberi khidmat terhadap rakyat ialah `Anda
Memberi Mandat Kami Memberi Khidmat`. Khidmat kami lakukan melalui Jawatankuasa
Bertindak antaranya dengan membuka kaunter aduan di tempat-tempat strategic
seperti di pasar-pasar, pasar-pasar malam dan di mana juga ada khalayak
himpunan. Aduan-aduan adalah disalurkan kepada pihak-pihak berkenaan. Pada masa
itu Penulis adalah salah seorang pembangkang dari Pas di DUN Selangor. Pada
pilihanraya bagi sesi (2004-2008) bagi DUN Bangi Penulis kalah. Kami bekerja
kuat bagi memulihkan Pas di Dun Bangi dan kawasan Serdang, antaranya mengukuhkan
jentera parti, membanyakkan cawangan (target 50) dan memberi khidmat kepada
masyarakat.
Pada masa itu Penulis adalah AJK Persatuan Penduduk Bandar
Baru Bangi. Sebagai menepati falsafah Teori Takmilah, bahawa kita hendaklah
bergerak secara positif ke arah yang lebih baik bagi menyediakan saluran
khidmat yang lebih baik dan mencapai kesempurnaan dengan hasil yang lebih baik,
maka Penulis telah cadangkan kepada AJK PPBBB agar menyambut 30 tahun BBB.
Cadangan diterima dan sambutan 30 Tahun Bandar Baru Bangi selama 30 Julai – 1
September 2007 diadakan. Penulis selaku Ketua Pengarah Sambutan telah
mencetuskan idea dan gagasan `Bangi Bandar Ilmu` yang tidak saja sebagai
slogan, tetapi sebagai misi dan visi dalam membina Bangi dengan imej ilmu. Bila
Penulis memasuki pilihanraya bagi Dun Bangi sesi (2008-2013) Bangi Bandar Ilmu
menjadi slogan bagi Pas Serdang, khususnya di Bangi, bahkan berjanji akan
berusaha bagi mendirikan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi. Dengan ijtihad
Penulis, Penulis berkeyakinan mengambil
pendekatan yang betul dari segi Takmilah dan slogan `Bangi Bandar Ilmu` menjadi
slogan utama, di samping meneruskan khidmat melalui AJK Bertindak yang dijenamakan `Kabinet Mini` sempena dengan kekuasaan memerintah ada pada tangan kita.
Bahkan bagi memperkukuhkan Bangi Bandar Ilmu Adun Bangi
telah mengambil inisiatif mengadakan Majlis Pelancaran Bangi Bandar Ilmu dengan
menjemput Tamu Kehormat Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim Dato` Menteri
Besar Selangor merasmikan pelancarannya, iaitu pada 22 Jun 2008 bertempat di
KUIS, Bandar Seri Putera, Bangi. Significantnya bahawa, ianya salah satu event
sempena100 hari pemerintahan Pakatan Rakyat Di Selangor. Dalam kata-kata
alu-aluannya, kata Dato` Menteri Besar Selangor:
``Kita berjaya mengharungi 100 hari pemerintahan Pakatan
Rakyat di Selangor. Rakyat Selangor sepatutnya lebih awal menikmati segala yang
dijanjikan dalam manifesto Pilihanraya ke-12 (PRU 12) lalu, tetapi tertangguh
kerana 100 hari yang berlalu terpaksa digunakan dalam usaha mengatasi pelbagai
kekurangan yang ditinggalkan pemerintah Barisan Nasional (BN). Namun, kita patut
berbangga terhadap pelbagai pengaduan dan pendirian kukuh rakyat yang sabar dan
setia menunggu serta berkeyakinan penuh untuk melihat perubahan yang bakal
dilakukan.
Dengan perpaduan dan sokongan kukuh rakyat itu jugalah,
kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor kini meneruskan komitmennya merealisasikan
janji manifesto. Satu daripadanya ialah menjadikan Bangi sebagai Bandar Ilmu.
Dengan perisytiharan Bangi Bandar Ilmu pada hari ini, janji kita bagi penduduk
Bangi, khususnya, ternyata sudah menjadi realiti bukan fantasi.``
Tarikh perasmian Bangi Bandar Ilmu, iaitu 22 Jun selepas itu
setiap tahun adalah dikenali dengan `Hari Ilmu`.
Antara Ucaputama yang disampaikan oleh Penulis selaku Adun
Bangi yang disampaikan pada hari perasmian:
``Konsep Bandar Ilmu (Madinah al-Ilm), ialah Bandar yang
tumbuh dan berkembang berpaksikan kewujudan pusat pengajian. Ciri-ciri
pertumbuhan dan kemajuannya berdasarkan keperluan keilmuan dan budaya ilmu
masyarakatnya. Mereka sokong menyokong di dalam menerus dan mengekalkan budaya
ilmu. Contoh Bandar Ilmu yang baik ialah Bandar Cambridge
dan Oxford
adalah bermula dari tempat pertemuan guru dan pelajar pada abad ke 13 dan
berkembang menjadi Bandar Universiti. Kedua-dua tempat yang menjunjung budaya
ilmu ini kekal sebagai Bandar-bandar ilmu. Bandar Jokjakarta terkenal sebagai
Bandar Ilmu bagi Universiti Gadjah Mada. Pekan Maliboro merupakan `Pasar Ilmu`
yang antaranya para seniman mempamer dan menjual hasil seni, manakala para
ilmuan memasarkan buku-buku ilmiah tulisan mereka melalui agensi-agensi
pemasaran. Jika Cambridge, Oxford dan Jogjakarta masing-masing
dengan satu universiti hidup dan berkembang dengan tradisi ilmu, tidakkah Bangi
yang di kelilingi dengan lebih sepuluh buah universiti dan berpuluh-puluh pusat
penyelidikan dan latihan berkemampuan menjadi `Bandar Ilmu`? Dalam keadaan sekarang Bangi sesungguhnya sudah
boleh menjadi `Kampus Terbuka` bagi semua universiti, pusat penyelidikan dan
latihan. Bangi mempunyai semua infra-struktur sebagai Bandar Ilmu.``
(Sesungguhnya Bangi mempunyai lebih dari keistimewaan Cambridge , Oxford
dan Maliboro, iaitu dengan adanya masjid dan surau yang giat dengan ilmu. Janji
kita menjadikan Masjid Al-Umm sebagai induk bagi Wadi Ilmu cerminan bagi Baldah
Tayyibah wa Rabbun Ghafur).
Sesungguhnya selepas dari pelancaran Bangi Bandar Ilmu,
beberapa usaha memprojekkan Bangi Bandar Ilmu dilakukan. Antaranya dari segi
penerbitan sahaja kita telah menerbitkan buku Bangi Bandar Ilmu (2012) dan buku
Gagasan Bangi (2012) yang kedua-duanya telah dilancarkan oleh Y.A.B. Tan Sri
Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim pada 23 Safar 1434 bersamaan 06 Januari 2013
sempena Pelancaran Tapak Masjid Al-Umm di Bandar Baru Bangi. Kita juga
menubuhkan Galeri Bangi Bandar Ilmu dan menjadi Penerbit yang mendapat
kelulusan dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia sejak 22 Ogos 2013 dan telah
menerbitkan buku. Dan banyak lagi kegiatan memprojekkan Bangi Bandar Ilmu
dilakukan.
Masjid Al-Umm yang sedang pesat dibangunkan sebagai telah
dijanjikan termasuk di dalam gagasan dan projek memperkasakan Bangi Bandar
Ilmu. Pendekatan dan rangka pengisian sedang disusun untuk diimplementasikan,
khususnya selepas bangunan masjid tersebut siap, insya Allah pada pertengahan
2015.
Sekian.
No comments:
Post a Comment