BBB, 17 Ramadhan 1435 = 15 Julai 2014 (Selasa):
Penggunaan tashbih atau elegori dan metaphor sesuatu yang
lumrah di dalam Al-Qur`an, lantaran itu penggunaannya menjadi satu kaedah dalam
sastera Islam dan sastera umum yang dengannya mengindahkan ungkapan. Ianya
salah satu elemen estetika di dalam takmilah.
Di dalam konteks rahmat, Rasulullah s.a.w. adalah puncak rahmat kepada
alam.
Firman Allah bermaksud:
`Dan tidaklah Kami utuskan engkau (Wahai Muhammad) melainkan
sebagai rahmat kepada sekalian alam` (al-Anbiya`: 107).
Secara tashbih adalah dilihat para ulama` adalah
gunung-gunung rahmat yang berada di bawah dari kedudukan Nabi Muhammad s.a.w.
Gunung-gunung adalah berada pada puncak yang tinggi dan paling dekat dengan
langit rahmat. Lantaran berada pada puncak tinggi sebab itu pada puncak gunung
ini tempat mulanya pecah awan hujan dan apabila turunnya hujan, maka
puncak-puncak tinggi ini terawal menerima hujan, manakala bahagian-bahagian
lain dari bukit dan tanah tinggi menerima aliran rahmat ini selepas bukit-bukit
sebagaimana hujan turun mengalir dari tanah tinggi ke lembah-lembah. Akhirnya
mengalir ke sungai dan turun ke kawasan yang lebih rendah dan sampai ke kuala.
Sepanjang laluan air hujan baik manusia, binatang dan tumbuh-tumbuhan menerima
rahmat dan kesuburan dari aliran rahmat tersebut. Rahmat mengalir dan meyebar
secara menyeluruh.
Ulama` adalah diungkapkan sebagai `Warathatul Anbiya`.
Melaluinya rahmat yang datang melalui Nabi mengalir turun kepada `ulama dan
dari ulama` rahmat yang diibarat bagai air hujan itu mengalir kepada
tokoh-tokoh ilmuan dan akhirnya sampai kepada orang ramai rahmat keilmuan di
atas.
Membina masjid adalah tempat ibadat dan keilmuan Islam yang
sumber aslinya – dari Allah melalui Nabinya Muhammad s.a.w. rahmat bagi
sekalian alam. Dalam membina masjid kami sedar ianya sebagai tempat beribadat
dan mempelajari ilmu pengetahuan keislaman, kami sedar sebaik-baiknya kami mempunyai
ulama` sebagai pengantara rahmat yang diterima dari Nabi Muhammad s.a.w.
Sebenarnya sejak pertama kali mengadakan Majlis Pelancaran
Tabung Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi pada Sabtu 19 Mei 2012 bersamaan 27
Jamadil Akhir 1433 kami membuat keputusan menjemput ikon ulama` tempatan dan
negara Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din untuk merasmikan pelancaran dana bagi
Tabung Masjid Al-Umm, malangnya pada masa itu kami tak berkesempatan bertemu
dengan Tuan Guru. Beliau uzur dan berangkat berubat di luar Negara. Walau
bagaimana wajah beliau menjadi latar bagi majlis berkenaan tanpa keizinan. Dari
satu segi adalah dirasa tidak manis muamalah secara sedemikian (mengguna nama
dan wajahnya tanpa memohon izin). Dalam mesyuarat berikutnya AJK Pembinaan
Masjid Al-Umm mengambil keputusan untuk menemui Tuan Guru secara peribadi dan
mohon keizinan Tuan Guru bagi dilantik sebagai ``Penaung dan Penasihat AJK
Pembangunan Masjid Al-Umm.``
Usaha membuat hubungan dan mendapat tarikh bersesuaian bagi
penemuan dilakukan dan akhirnya pertemuan diatur selepas Tuan Guru menyampaikan
kuliah di Kompleks Pendidikan Islam (KPI) Bandar Baru Bangi. Kuliah menurut Dr.
Tajul Ariffin Noordin Pengerusi KPI yang juga Mantan YDP, Persatuan Penduduk
Bandar Baru Bangi bermula sejak awal 2013. Menurutnya TG Dato` Dr. Haron Din
mempunyai jadual menyampaikan kuliah di KPI ialah pada Sabtu 6 Julai 2013
bersamaan 27 Sya`ban 1434 setahun lepas. Beliau menyampaikan kuliah berjudul `Persediaan
Di Ambang Ramadhan 1434`. Selepas kuliah itulah kami AJK diperuntukkan masa
untuk menemui TG. Sebenarnya kami hadir dan turut sama mengikuti kuliah dan
kemudian bertemu dengan TG. Yang hadir dalam pertemuan di dewan khas ialah
Penulis, Dr. Tajul Ariffin Noordin, Tuan Haji Abdul Rahman, Tuan Haji Mohd. Nor
Mohd. Yasin, Adham bin Anuar dan beberapa yang lain.
Dalam pertemuan Penulis selaku Pengerusi AJK Pembangunan
Masjid Al-Umm berucap ringkas dan berterima kasih di atas kesudian TG menerima
kami berjumpa TG. Tujuan kami datang adalah membawa harapan menyerahkan Surat
Perlantikan TG menjadi Penaung dan Penasihat kepada AJK Pembangunan Masjid
Al-Umm. Kami mengharapkan tujuan kami diterima baik oleh TG. Dalam majlis itu
Penulis sebagai Pengerusi menyerahkan Surat Perlantikan beserta dengan
dokumen-dokumen perkembangan pembinaan Masjid Al-Umm. Walaupun TG tidak
menyebut lafaz menerima perlantikan, tapi kami faham bahawa, suasana ceria TG
menerima kami dan menerima dokumen menandakan `Penerimaannya`. Keadaan ceria
berterusan semasa jamuan tengahari yang sengaja disediakan oleh pihak Pengerusi
KPI Dr. Tajul Ariffin Noordin.
Secara alegori kedudukan TG sebagai tokoh ulama dan Pengasas
serta Pemimpin Darul Shifa` serta berada di atas Bukit Bandar Baru Bangi,
selayaknya TG sebagai sumber ilmu dan rahmat mengalir darinya dari puncak Bukit
Bangi ke perlembahan Wadi Ilmu dan Masjid Al-Umm yang sedang didirikan dan
insya Allah menjadi tasik dan taman ilmu yang subur di wadi berkenaan yang berhias
dengan kepelbagaian bunga dan buah ilmu yang bakal dikunjung dan singgah oleh
pencinta-pencinta ilmu menimba dan memetik buah-buah dan bunga-bunga ilmu dari
Masjid dan tempat-tempat ilmu di wadi berkenaan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment