July 24, 2014

`Interarkitektualiti` Dalam Pembinaan Masjid

-->
BBB, 25 Ramadhan 1435 = 23 Julai 2014 (Rabu):

Pembinaan masjid sudah berlaku sejak dari permulaan Hijrah 1435H. yang lalu. Berbagai bentuk binaan masjid yang telah dibangunkan. Pembinaan menurut kesesuaian dan mesra alam setempat. Asas utama ianya adalah mengarah ke Kiblat dan mempunyai ruang untuk solat berjamaah. Untuk Solat Jumaat ruang memuatkan minimum 40 jamaah (menurut Mazhab Shafie). Bentuk binaan menurut kesesuaian alam sekitar, iklim dan budaya setempat. Jika di Alam Melayu pada zaman tradisi dibina dari bahan kayu-kayuan setempat, beratap rumbia (lebih kemudian bata) bertiang dan berbumbung kayu, berlantaikan papan, beruang dalam dengan empat segi memanjang, mempunyai mihrab bahagian hadapan dan mimbar  di bahagian kanan dihadapan.


Jika di kawasan kering tak berhujan seperti di padang pasir dibina dari batu batan, krikil dan batang tumbuhan (khurma). Bangunan-bangunan awal menjadi prototype bagi membangun masjid seterusnya. Ada yang  menonjol dengan masjid dari kayu seperti terbinanya Masjid Demak, di Jawa dan dari batu terbinanya Masjid Umawiyyah di Damsyiq, Masjid Jami` Isfahan dan sebagainya. Dengan perkembangan dan pembinaan masjid yang banyak dan antaranya yang menonjol dengan daya tarikan seninya, setengah berlaku ikutan di samping ada pendekatan baharu. Namun berlaku apa yang kita istilahkan sebagai `interarkitektualiti` dalam pembinaan masjid. Bermaksud dari segi pembinaan sebuah masjid ada berlaku pengaruh dari `senibina` masjid atau masjid-masjid yang lain., di samping ada kreativiti tambahan sendiri. Sebagai contoh Masjid Bertingkat (tompang) di Demak sebagai prototype bagi Masjid Kampung Laut, Nilam Puri Kelantan dengan penambahan dan ciri-ciri persendirian juga Masjid Tuk Tuan Kemaman, bahkan pengaruh dan perubahan dengan yang lebih moden seperti Masjid Dato` Dagang, Kampung Jawa, Selangor, Masjid Permatang, Kuala Selangor. Pada masjid-masjid tradisi berkenaan berlaku pengambilan contoh dan pembaharuan dari tempat lain atau kreativiti setempat. Contoh kalau dahulu menggunakan kayu, tetapi kemudian dengan menggunakan batu (semin) dengan ciri-ciri tradisi dengan beratap tumpang dan tambahan-tambahan yang lain.



Pembinaan masjid-masjid yang lebih baharu juga ada mengambil contoh bahagian-bahagian dari masjid terkenal. Misalnya pintu gerbang bagi Masjid Isfahan amat popular dan menjadi contoh bagi banyak masjid termasuklah Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi. Contoh menara di Masjid Sulaimaniyyah di Istanbul Turki menjadi ikutan bagi Masjid Salahuddin Abdul Aziz Shah, di Shah Alam dan berbagai masjid lagi. Begitu juga kubah Masjid Ibn Talun di Mesir itu menjadi ilham bagi pembinaan Kubah Terbesar di Masjid Salahuddin Abdul Aziz Shah. Dan menara ini menjadi ilham bagi pembinaan bagi masjid baik di Selangor dan negeri-negeri yang lain di Malaysia. Tiang-tiang di Masjid Damshiq pada zaman Umawiyyah yang dilengkung dengan `arc` (gerbang), menjadi contoh seni bina bagi Masjid Al-Nabawi, di Madinah kini.

Sesungguhnya pengaruh mempengaruhi, mencontohi sebahagian dan kreativiti bersendirian banyak berlaku di dalam pembinaan masjid. Sesungguhnya bagi mereka yang mengusahakan bagi pembinaan masjid adalah menjadi kebiasaan bagi merangka plan pembangunan masjid mereka melawat ke berbagai masjid bagi melihat contoh yang sebahagian menjadi contoh ikutan, bagi projek pembinaan yang lebih besar tidak jarang AJK tidak saja melakukan lawatan ke masjid-masjid dalam Negara, bahkan keluar Negara. Ini membawa kepada campuran elemen-elemen yang menjadi tarikan sebagai bahan bagi pembinaan masjid yang mau didirikan. Sebenarnya akhirnya tidak diketahui yang mana mempengaruhi dan dipengaruhi. Contohnya pada kubah, menara, mihrab, pintu gerbang, pintu-pintu bagi masjid dan sebagainya. Pengambilan berkait dengan elemen takmilah dalam mencari terbaik menurut kemampuan. Campuran dari berbagai elemen sebagai kesatuan adalah juga merupakan pencarian dari segi Takmilah bagi mendapat kesempurnaan dan keindahan

Dari interarkitektualiti membawa kepada apa yang kita dapat mencirikannya sekurang-kurang kepada dua kategori masjid dari segi interarkitektualiti, iaitu:


Ciri Khusus, bermaksud masjid-masjid yang memulakan ciri tertentu yang mengistimewakan dirinya dengannya dan menjadi identitinya. Misalnya Masjid Demak di Jawa. Keistimewaannya kerana ketuaannya dan terawal setakat diketahui dan ciri senibinanya unik dengan beratap tumpang. Ianya menjadi contoh bagi  bangunan masjid yang diikuti kemudiannya. Contoh bangunan Masjid Umawi di Damshiq yang tua dan menjadi contoh bagi masjid-masjid lain contoh bagi tiang dalam Masjid Nabawi kini. Dapat juga diambil conto m,asjid kini seperti Masjid Salahuddin dengan kubah terbesarnya yang menjadi identity bagi masjid itu dan menjadi ikutan dari segi kubah bagi pembinaan masjid di tempat-tempay yang lain.

Ciri Umum ialah masjid-masjid yang lain yang banyak terdapat di Negara-negara Islam, termasuk di Malaysia yang jumlahnya begitu banyak yang senibinanya lebih kurang sama identity adalah sama dan tidak begitu berbeza antara satu sama lain dari segi interarkitektualitinya, tetapi melihat kepada bentuk binaan orang segera mengenali bahawa itu adalah masjid.

Sekian.

No comments:

Post a Comment