July 14, 2014

Pelancaran Derma Masjid Al-Umm Dan Lantikan-Lantikan Sebelumnya

-->
BBB, 15 Ramadhan 1435 = 13 Julai 2014 (Ahad):

Majlis pelancaran tersebut diputuskan oleh AJK ialah pada Sabtu 19 Mei 2012 bersamaan 27 Jamadil Akhir 1433 bertempat di Medan Letak Kereta, Jalan ¼, hadapan tapak bangunan Masjid Al-Umm dan bersebelahan Medan Usahawan Bandar Baru Bangi.


Dalam perbincangan bagi pelancaran majlis, sebagaimana Tuan Haji Omar Jaafar sebagai seorang berpengalaman di dalam bidang pembangunan UKM yang telah mencadangkan agar dilantik seorang Setiausaha Kerja beliau juga mencadangkan agar dilantik AJK Teknikal. Cadangan beliau disetujui dan pengerusi AJK teknikal dikenalpasti dan dilantik ialah Tuan Haji Ishak Arshad seorang Ir. dan pensyarah di dalam bidang berkenaan di UKM. Beberapa keahlian baru dicadang dan dilantik iaitu Tuan Haji Ahmad Sufie Munasir YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Tuan Haji Ghazali Hussain Bekas Ir. Dari Ikram dan Hafidz Nordin pakar dalam bidang IT (Mesyuarat 21 Mac 2012). Adalah diharapkan dengan perlantikan-perlantikan baru lebih menambahkan tenaga dan kepakaran bagi pembinaan masjid disamping membantu kelicinan sambutan yang akan diadakan.


Tugas-tugas utama bagi pelancaran derma ialah persiapan fizikal ditapak majlis pelancaran yang ditugaskan ialah Tuan Haji Abdul Rahman bin Daud, surat menyurat dan jemputan Tuan Haji Hussin Yunos sebagai setiausaha dibantu Setiausaha Kerja, Pungutan Derma Tuan Haji Mohd Nor bin Haji Yasin, pameran ialah Tuan Raja Fuaddin bin Raja Ahmad dan sambutan tetamu ialah Tuan Hj. Mohd Ghazali Abas serta semua Ahli Jawatankuasa. Tetamu yang dijemput ialah seramai 300 orang. Antara yang dijemput ialah pegawai-pegawai dari bank-bank sekitar Bandar Baru Bangi, Tuan Pegawai Daerah, YDP MPKj, Kontroler PKNS, premis-premis perniagaan, persatuan-persatuan penduduk dan taman-taman, Nazir dan pengerusi-pengerusi surau. Oleh kerana AJK Pembangunan Masjid belum mempunyai kewangan yang memuaskan pihak Adun Bangi mengeluarkan peruntukan sebanyak RM3,000 sebagai sebahagian peruntukan sambutan.


Adalah disetuju pada awalnya Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din akan dipohon menyempurnakan majlis pelancaran, tetapi belum sempat dihubungi secara kebetulan pada masa itu beliau uzur (mendapat rawatan di luar Negara). Pelancaran dilakukan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm. Dalam ucapannya,
Pengerusi mengucapkan terima kasih di atas kesudian tetamu-tetamu hadir ke majlis yang kehadiran beliau sifatkan amat memuaskan. Tujuan jemputan tidak lain dari pelancaran bagi mendapat dana bagi membina masjid Al-Umm di atas tapak tanah Lot 51177 Jalan 1/4A  berdekatan seluas 2 ekar. Tanah berkenaan telah diwartakan oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor pada Disember 2010 dan pada bulan Jun 2011, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah memberi kebenaran untuk membina masjid di atas tapak tersebut. Menurut pengerusi pihak arkitek Jurubina telah dilantik untuk merekabentuk bangunan masjid dua tingkat (kemudian diubah kepada tiga tingkat) yang mempunyai ruang lantai 4,317 meter persegi (kemudian keluasan bertambah) yang dapat menampung 2,800 jamaah (kemudian 3,000) secara serentak. Masjid menyediakan berbagai kemudahan seperti dewan solat, kelas tahfiz, bilik seminar dan kemudahan-kemudahan lain. Kos pembinaan disebut ialah RM11.2 juta yang akan dibiayai oleh orang ramai melalui kutipan derma dan sumbangan. Pengerusi memaklumkan bahawa pihak Majlis Agama Islam (MAIS) telah memberi kebenaran memungut derma pada 10 Februari 2012 dan mentauliahkan kepada 10 orang AJK memungut derma. Menurut Pengerusi akaun bagi Tabung Masjid Al-Umm telah dibuka di Malayan Banking Islamic No. 5628-3460-7208. Pungutan derma ini telah diluluskan oleh MAIS dengan rujukan: MAIS/E/MAL/03-2/001/03-1/34.


Dalam majlis itu penyampaian Sijil Tauliah disampaikan oleh Pengerusi kepada 10 orang AJK yang dilantik. Kemudian disusuli acara penting yang menjadi puncak bagi acara majlis, iaitu penyerahan derma dari penderma-penderma yang diterima Pengerusi dan terus diberi kepada Tuan Bendahari, Tuan Haji Mohd Nor Yasin.

Penderma-penderma utama ialah dari surau-surau yang telah menghimpun derma terlebih dahulu dari surau-surau masing-masing. Terdapat derma dari agensi-agensi dan ramai dari orang perseorangan yang tampil seorang demi seorang menderma, bahkan seorang penderma wanita adalah merupakan penderma tertinggi yang diterima di dalam majlis berkenaan. Jumlah keseluruhan derma yang diterima pada hari itu ialah RM150,000.00. Al-hamdulillah. Pengerusi dan pihak AJK Pembinaan Masjid mengucapkan terima kasih di atas  derma yang disampaikan.


``Sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang yang membuat kebajikan`` (Al-Taubah: 120).

Sesungguhnya Majlis Pelancaran adalah majlis dan suasana yang barakah yang mencerminkan peningkatan hati dan akalbudi pendermanya. Ini selari dengan firman Allah yang bermaksud:

``Sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang yang beriman dengan Allah dan hari akhirat dan dia mendirikan solat dan dia mengeluarkan zakat dan dia tidak takut melainkan kepada Allah, semoga mereka adalah daripada kalangan mereka yang mendapat pertunjuk`` (Al-Taubah: 18).

Menurut skema Takmilah peningkatan jiwa sedemikian yang amalan bertolak dari keilmuan dan kerohanian yang takamul antara keduanya, bahkan dari segi estetik meningkat dari keindahan lahiri kepada keindahan akli dan ruhi yang takamul dan mengarah ke arah keindahan tertinggi.


Semoga dengan kesedaran dan keikhlasan penderma masjid bakal dibina ialah masjid yang disifatkan:

``Adalah masjid di asas di atas taqwa sejak awal hari wujudnya sepatutnya engkau solat padanya`` (Al-Taubah: 108).

Berikut dari majlis puncak penerimaan derma, ialah para penderma dan hadirin dijemput menyaksikan pameran yang diadakan dibahagian kiri dari majlis diadakan. Yang Mulia Raja Fuaddin bin Raja Ahmad memberi penerangan tentang binaan masjid kepada hadirin. Majlis mengucapkan terima kasih dan diakhiri dengan jamuan tengahari.

Sekian.

No comments:

Post a Comment