July 17, 2014

Masjid Tradisi Tidak Sama Binaannya Dengan Masjid Kini

-->
BBB, 18 Ramadhan 1435 = 16 Julai 2014 (Rabu):

Masjid wujud di mana wujudnya komuniti masyarakat umat Islam. Pembinaan masjid adalah bagi memenuhi tuntutan fardhu solat bagi berjumaat dan berjamaah. Ruang yang diperlukan bagi memenuhi jumlah ahli jamaah bagi solat Jumaat ialah sebanyak minimum 40 orang menurut Mazhab Shafie. Pada zaman tradisi agak sukar di kampung-kampung untuk mendapat jumlah jamaah sebanyak 40 orang. Sebagai bukti Shaykh Abdul Malik bin Abdullah (1633-1726M.) Shaykh al-`Ulama` pada zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin (1888-1918) di Terengganu terpaksa mengarang Risalah Naql yang membicarakan berbagai pendapat mazhab dan ulama tentang jumlah yang wajib mendirikan solat Jumaat, kerana sukar pada masa itu untuk mendapat bilangan 40 orang lelaki yang cukup syarat bagi mendirikan solat Jumaat di sesebuah kampung (Shafie Abu Bakar, Shaykh Abdul Malik Ibn Abdi`Llah (Tuk Pulau Manis) Ulama` Sezaman Dengan Shaykh Abdul Rauf Singkel Dalam Konteks Pengislaman Terengganu, Institut Bahasa, Kesusasteraan Dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, Kuala Lumpur, 1973/74: Lampiran selepas hlm. 151).

Bayangkan bagaimana bentuk masjid pada zaman tradisi selain dari masjid tradisi terkenal, iaitu Masjid Kg. Laut di Kota Bharu, Kelantan (Abdul Halim Nasir, Mosque Architecture in the Malay World, Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, 2004: 106-110).


Masjid tradisi di kalangan rakyat dan jamaah sudah tentulah dibina di dalam sebuah kampung dan bersifat alamiah yang bahan-bahannya terdapat di sekeliling penempatan sebagaimana rumah mereka juga dari bahan-bahan alamiah yang sama. Bangunan tidak memerlukan arkitek yang canggih, hanya memerlukan beberapa tukang yang dibantu oleh pekerja-pekerja biasa yang biasanya dibina secara gotong royong. Bahan-bahan binaan dalam mana tiang-tiang dari batang-batang pokok ditebang dari hutan, begitu juga lantai digergaji dari batang pokok seperti kapur, cengal, kuin dan sebagainya, manakala atap diikat pada kasau berbumbung berbentuk V terbalik adalah dari daun nipah atau rumbia yang dijahit dengan rotan yang tulang bagi atap ini daripada bilah batang nibung. Bentuk telungkup ini sesuai dengan cuaca yang memudahkan air mengalir jika hujan dan angin menyusup ke dalam jika panas.

Tiang-tiang yang ditegakkan tidak ditanam dalam tanah, tetapi ditagang dengan rasuk yang pada tapak tiang diletak atas alas batu. Rumah tradisi termasuk masjid tidak menggunakan paku. Dinding sebagaimana lantainya dari papan atau paling tidak dari belebas buluh yang dianyam semacam tikar dipasang menjadi dinding sebagaimana rumah-rumah penduduk. Pendeknya masjid adalah sebagaimana rumah tradisi yang bagi keperluan masjid, maka di tengahnya adalah kosong bagi ruang jamaah. Selain dari bentuknya sebagai rumah tradisi bertiang dan bertangga, mempunyai telaga (perigi) dan takungan tempat wudhu`. Bangunan mesti mengarah kepada kiblat yang dikira ukurannya dari arah bayang matahari. Yang membezakannya bahawa pada bahagian hadapan ditambah dengan mihrab kecil terkeluar ke hadapan yang di dalamnya berdekatan dengannya ialah mimbar daripada kayu. Biasanya masjid tradisi tidak pun mempunyai menara tinggi.

Bangunan masjid tradisi yang bahannya dari kayu kini contoh darinya masih terdapat dikampung-kampung, kecuali atap sudah ditukar kepada zink atau bata. Bangunan mesra alam ini mempunyai daya estetik tersendiri. Konsep estetika – termasuk di dalam takmilah merupakan aspek penting di dalam skema takmilah yang melibatkan semua tahap tidak semestinya dari bahan yang mahal yang dibawa dari luar umpamanya. Keasliannya, sifat alamiah, menggunakan bahan-bahan tempatan yang berada di sekeliling, sederhana, asli bahkan harmoninya dengan alam keliling adalah meningkatkan daya estetik dan amat menarik.

Bayangkan bagaimana pertama kali Rasulullah berhijrah dan singgah beberapa hari di Quba` dan mendirikan Masjid Quba` dari batang, daun kurma dan batu-batu bumi yang merupakan masjid pertama didiri oleh Rasulullah s.a.w. Begitu juga masjid awal di Madinah yang didirikan oleh Rasulullah dari bahan-bahan yang sama seperti Masjid Quba`. Masjid yang awal yang abadi di dalam rakaman sejarah (biarpun sudah tidak ada zatnya yang asal) amat istimewa dan mempunyai daya estetik dan menarik sebagai bangunan awal yang walaupun datang kemudian bangunan yang hebat, maka dari segi sejarah dan kepurbaannya tidak mampu ditandingi bangunan kini. Bayangkan juga masjid-masjid tradisi dikampung-kampung yang dibina dari batang kayu dan papan, bertangga papan, beratap nipah yang harmoni dengan alam keliling, tidak panas, kerana udara menembusi dan melalui ruang atas di bawah atap dan ruang bawah lantai dan dinding yang menjadi ruang masuk udara, sejuk dan terbuka. Bangunan sedemikian berada bersama alam kelilingnya yang harmoni, bahkan bangunan tradisi yang tiang-tiangnya diletak atas pelapik batu biasa ini boleh diangkat dan dipindah secara gotong royong ke lokasi yang baharu.


Dari asas di atas berkembang pembinaan rumah kayu seperti rumah peles, limas dan bungkus, sebagaimana juga bangunan masjid dari kayu juga berkembang dan kekal pada zaman tradisi menjadi identiti masjid-masjid tempatan dari kayu yang tidak sama dengan bangunan-bangunan masjid kini yang mengkesampingkan kayu dan membinanya dari batu – rumah batu dan masjid dari batu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment