BBB, 22 Ramadhan 1435 = 20 Julai 2014 (Ahad):
Bahagian penting ketara kelihatan dari jauh dari bangunan
sesebuah masjid dan mempunyai daya estetik ialah `menara`. Pembinaan menara
tidak wajib, tetapi mempunyai kepentingan bagi menghebahkan azan bagi
mendirikan solat-solat fardu lima
waktu. Pembinaan menara bagi masjid mempunyai sejarah tersendiri.
Semasa di Makkah selepas Rasulullah s.a.w. menerima perintah
solat lima waktu semasa peristiwa Isra` dan Mi`raj, dakwah dan solat tidak
dapat dilakukan secara terang-terangan, kerana mendapat tentangan dan
permusuhan dari kuffar Quraisy pada permulaan Islam. Apabila berlaku Hijratul
Rasul s.a.w. ke Madinah, maka kaum muslimin menikmati kebebasan dari segi
ibadat, bahkan sejak awal Hijrah Rasulullah s.a.w. mendirikan Masjid Quba` dan
Masjid al-Madinah. Segera selepas Hijrah Rasulullah s.a.w. ke Madinah (ada yang
berpendapat tahun ke 2H.) Rasulullah s.a.w. berbincang dengan para sahabat
Baginda cara terbaik untuk mengingat dan memanggil orang-orang Islam menunaikan
solat.
Berbagai-bagai cadangan timbul antaranya mencadangkan
apabila tiba waktu solat, maka hendaklah dinyalakan api, meniup bunyi dengan
menggunakan tanduk, menggunakan pukulan pada alat yang dinamakan `naqus` cara
yang digunakan oleh kaum Kristian pada zaman itu dan ada yang mencadangkan
dipukul batang kayu dengan pemukul kayu. Semua cadangan dipertimbangkan. Tapi
menurut Abdullah bin Zaid seorang sahabat menyatakan dia bermimpi melihat
seorang muslim menyeru orang bersolat dari sutuh (atap) dari masjid. Umar ibn
al-Khattab tertarik dengan apa yang dinyatakan oleh Abdullah bin Zaid dan
akhirnya disetujui cara `azan` dengan sokongan Rasulullah s.a.w.
Dengan 7 ungkapan seruan. Kemudian ditambah dengan ungkapan bila
iqamah solat. Tukang azan yang utama ialah Bilal bin Rabah di samping beberapa
yang lain.
Dari segi tujuan azan (bang) ialah untuk memberi tahu orang
ramai untuk bersolat, maka untuk lebih jelas pemberitahuan azan dilakukan pada
tempat tinggi seperti di atas sutuh bangunan. Bagi tujuan untuk mendapat tempat
yang tinggi bagi pengumuman solat didirikan menara. Pembinaan menara bermula
dengan idea yang mencadangkan beberapa kaedah menyeru kepada solat di dalam
bidang kreativiti dinamakan ilham. Pengolahan dari ilham ini menimbulkan
beberapa alternative cadangan yang terdedah untuk menjadi pilihan. Akhirnya
pilihan seruan ungkapan azan jadi pilihan. Dari azan mencetuskan ilham memilh
tempat tinggi yang melahirkan pembinaan menara. Di dalam penulisan – termasuk
di dalam Takmilah, ianya merupakan proses penulisan pada peringkat awal.
Menarik dari segi azan, proses pemilihan cara menyeru solat ini dibincang
secara jamaah, melibatkan para sahabat dan cadangan-cadangan mereka yang
akhirnya diambil keputusan secara berjamaah dan cara dan keputusan diperkenan
oleh Rasulullah s.a.w.
Idea membina menara bagi azan adalah merupkan ilham bagi teknik
penyampaian yang lebih baik. Namun akhirnya ialah melibatkan sentuhan estetik
yang bersifat akidah dan elemen quddus. Bagi penyampaian seruan azan misalnya cukup
dengan pembinaan sebuah menara sahaja. Sebuah menara dengan `satu` sahaja
melambangkan `Ketunggalan Yang Maha Esa` yang melibatkan aqidah – Ilmu tauhid.
Bagi meningkatkan kekudusan sebagaimana kubah mengambil bentuk bulat sebagai
lambang sempurna, maka dari segi estetikanya, maka tiang menara naik ke atas
biasanya dibina secara bulat sehingga pada kadar tinggi yang bersesuaian yang
di puncaknya ada tunjuk langit (tajam, bulan sabit dan sebagainya yang boleh
meningkatkan syiar dan kekudusan).
Di dalam perkembangan lanjut, khususnya pada zaman moden,
muazzin atau dikenali dengan `Bilal` sempena dengan nama Tukang Bang Rasulullah
s.a.w. tidak perlu naik le atas menara untuk azan, suaranya boleh
dikumandangkan dengan pembesar suara sama ada dari menara atau dari mana arah
yang gemanya meluas didengar. Tetapi menara tetap terus dibina sebagai budaya
seni bina masjid dan berdaya estetik. Bahkan sebagaimana disaksi ada masjid
yang membina lebih dari satu kubah (lebih kecil dari yang utama di tengah),
maka demikianlah dengan menara ada masjid-masjid yang mendirikan menara lebih
dari satu. Fungsinya lebih bertujuan estetik, tetapi dirai dari segi
falsafahnya. Selain dari kebiasaannya mengambil bentuk bulat yang sempurna,
maka menara jika dibina lebih dari satu, maka dibina di dalam jumlah gasal,
sama ada tiga, lima atau tujuh, lantaran Tuhan Tunggal gasal, maka bilangan
gasal jadi keutamaan. Kaedah jumlah ini juga pada bilangan kubah, bilangan mata
anak tangga dan sebagainya. Lantaran itu kita dapati misalnya:
Masjid Putrajaya
1 menara
Masjid Shah Alam 4
+ 1
kubah (rukun Islam)
Masjid al-Azhar
5
Boleh berjumlah 6 menara sebagai rukun Iman.
Jadi pembinaan menara asalnya bersifat fungsional, tetapi
kemudian melibatkan falsafah ketuhanan dan elemen estetik, bahkan menjadi identiti
bagi masjid.
Sebagaimana tiang menara biasanya bersifat bulat sebagai
lambang sempurna yang mencerminkan kesempurnaan Yang Maha Sempurna, demikianlah
di dalam binaan masjid, tiang-tiang, khususnya tiang-tiang di dalam ruang dalam
masjid juga mengambil bentuk bulat. Dengan tiang-tiang berbentuk bulat kurang
gangguan kepada jamaah dari jika dibuat dengan bentuk segi empat umpamanya yang
tidak licin dan mengganggu pandangan.
Demikianlah pembinaan tiang, khususnya menara memainkan
peranan melengkapkan seni bina masjid dengan falsafah ketauhidan dan elemen
estetik. Bayangkan kesemua elemen ini bersatu terhimpun bersama dengan seni
suara berelemen qudus seni menyentuh
ketenangan hati nurani, katakan ketiga muazzin mengalunkan azan diwaktu subuh
tenang memecahkan keheningan pagi menyeru hamba Allah kepada solat. Ketika itu
kemerduan seni suara, pengagungan terhadap Maha Cipta, estetika seni bina dan suasana hening bersatu kudus-luhur dalam
jiwa mengagungkan Maha Pencipta.
Sekian.
No comments:
Post a Comment