July 13, 2014

Bersetuju Cara Mendapat Sumber Kewangan Cara Derma

-->
BBB, 14 Ramadhan 1435 = 12 Julai 2014 (Sabtu):


Bagi membina Masjid Al-Umm pihak AJK Pembinaan bersetuju untuk mendapat dana pembinaan ialah dengan cara derma dari orang ramai. Cara ini sebenarnya tercatat di dalam Borang Permohonan Pembinaan Masjid Al-Umm Di Negeri Selangor Tahun 2011M/1432H.

Dalam butir 9: Sumber Kewangan Pungutan Derma

Butir 11: Pembuat Permohonan ialah Penulis sendiri selaku Pengerusi AJK Pembinaan Masjid Al-Umm bertarikh 10.3.2011.
Butir 16: Ulasan ADUN (Penulis selaku ADUN membuat ulasan):


``Saya sokong kuat. Diharap mendapat kelulusan jua (Juga bertarikh 10.3.2011).

Sokongan di dalam borang diberi oleh Tuan Nazir Masjid Al-Hasanah Tuan Haji Mohd. Napiah Shahrani, YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi Dr. Tajul Ariffin Noordin, Penghulu Mukim Kajang Tuan Rusli bin Muhibat, Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Tuan Moghni bin Asrori, Orang Besar Daerah Dato` Engku Abd. Rani bin Dato` Shamsuddin.
Saudara Setiausaha (Tuan Haji Hussin Yunos) menghantar borang permohonan membina masjid beserta dengan surat memohon kebenaran memungut derma bagi Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi kepada Pegawai Tadbir Agama Islam Daerah Hulu Langat, surat bertarikh 21.3.2011.

Dalam masa yang sama pihak AJK meninjau kemungkinan dari pihak-pihak yang mungkin dapat mengsponsor pembinaan masjid. Beberapa hartawan Arab dihubungi pihak AJK. Pada peringkat permulaan kita semacam ada keyakinan mendapat sponsor, begitu juga pihak yang dijangka dapat membantu dari Brunei, tetapi akhirnya semuanya hampa.


Yang pasti adalah disetujui bagi mendapat derma ialah dari penderma tempatan. Kita adalah berkeyakinan pada penduduk Bangi yang kita pupuk dengan kesedaran agama Islam yang tinggi di mana di Dun Bangi terdapat lebih dari 100 surau dan masjid dan di Bangi lebih dari 40 buah dan kita maklumai dari kesedaran ini Bangi adalah merupakan antara kawasan yang tinggi mengeluarkan zakat di negeri Selangor, maka kita yakin mereka tidak akan melepaskan peluang menderma kepada pembinaan masjid di tempat mereka sendiri.

Kesedaran untuk membuat kebaikan, bahkan semangat berlumba-lumba membuat kebajikan (Berlumba-lumbalah pada melakukan kebajikan, Al-Baqarah: 148) adalah timbul dari murni jiwa yang terhasil dari didikan kerohanian yang dari segi Takmilah terangkat dari jiwa biasa kepada jiwa yang lebih mulia yang sudah tentu adalah merupakan nilai murni masyarakat berkebajikan.

Pungutan derma yang diambil keputusan dalam mesyuarat AJK ialah dengan mengadakan pelancaran sulung dan bagi tujuan untuk persediaan bagi pelancaran berkenaan beberapa keperluan disediakan.
Pada masa itu Raja Fuaddin Bin Raja Ahmad seorang AJK dan ahli dalam syarikat seni bina (arkitek) ditugaskan menyediakan plan pembinaan masjid yang dijadikan bahan maklumat dan penerangan. Jika dibandingkan plan awal ada berbedaan dengan plan mutakhir. Perubahan memang dijangka setelah melalui pembaikan di dalam
mesyuarat-mesyuarat.

Bagi menyediakan maklumat bagi orang ramai juga disediakan Laman Web bagi Masjid Al-Umm.

Sudah tentulah untuk menerima derma dari orang ramai perlu sijil perlantikan dari JAIS mereka yang dibenarkan menerima derma, perlu disediakan resit penerimaan, sijil-sijil waqaf yang berbagai harga sijil waqaf.


Yang penting ialah pembukaan Akaun Bank yang membolehkan individu yang mau menderma secara terus ke dalam akaun Bank.

Akaun yang dibuka ialah:
Nama Akaun  ``Tabung Masjid Al-Umm``
Maybank Islamic
No. Akaun  5628-3460-7208

Manakala Logo rasmi bagi Masjid Al-Umm dipersetujui logo yang dibuat oleh Arkitek Urusbina..
Kos yang dijangka ialah RM10 juta (meningkat RM3 juta dari anggaran terawal yang dibuat.

Pihak AJK mengharapkan pelancaran yang akan dianjur merupakan permulaan yang baik bagi menghimpun dana Masjid Al-Umm. Insya Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment