July 6, 2014

Peranan Surau Al-Umm, Sebelum Lahir Surau-Surau Lain

-->
BBB, 07 Ramadhan 1435 = 05 Julai 2014 (Sabtu):

Bagi teori Takmilah yang menilai karya kreatif mau melihat karya sama ada puisi atau prosa terhasil seindah mungkin, melalui prosa kreatif menampilkan keragaman persoalan yang mungkin menimbulkan konflik dan menuntut penyelesaian dan peleraian secara kreatif dan memuaskan, maka di dalam membicarakan Surau Al-Umm tidaklah banyak sangat persoalan. Satu ciri takmilah bahawa selain dari mendukung elemen estetik yang dapat diperkayakan dengan elemen keislaman, juga mendukung elemen akli yang mempertingkatkan elemen-elemen keislaman misalnya melalui pengajian Hadith, tafsir dan keilmuan-keilmuan keislaman yang lain.


Selepas pihak PKNS menyerahkan (bukan bermaksud memiliki secara tetap, walaupun usaha dilakukan ke arah itu), bahawa surau terawal itu berjaya berfungsi menjadikannya tempat beribadat di samping menjadikan faktor menyatukan masyarakat setempat yang pada masa itu penduduknya adalah terdiri dari sebahagian seksyen yang ada sekarang. Selain dari menjadi tempat bersolat fardu secara berjamaah, terutama maghrib, isya` dan subuh turut diadakan pengajaran-pengajaran. BBB sebagai Bandar Ilmu tidak kurang dari tenaga-tenaga ilmuan.

Satu budaya keilmuan yang baik bahawa selepas subuh diadakan tazkirah ringkas oleh imam-imam yang memimpin solat subuh. Antaranya dengan membaca kitab seperti Al-Hadith al-Arba`1n al-Nawawiyyah yang diulas oleh Mustafa Abdul Rahman yang Penulis turut membacanya yang memakan masa lama untuk menghabiskannya, juga mengubah kepada pembacaan kitab-kitab lain dari masa ke masa. Pengikut-pengikut Jama`ah Tabligh juga diberi peluang sama membaca kitab-kitab mereka berselang pagi hinggi kini.Tetapi pada waktu-waktu selepas maghrib hingga isya` ada guru-guru yang tinggal di sekitar surau secara sukarela mengajar terutama dari Fakulti Islam UKM. Mereka seperti Imam Supaat bin Abdul Rahman yang pernah menjadi Pengerusi Surau Al-Umm dan mengajar Hadith dan lain-lain, Dr. Abdullah Ibrahim yang mengajar antaranya fiqh, Dr. Abdul Wahab Salleh (sebelum beliau ke Mesir membuat Ph. D) mengajar tafsir, Dr. Mahmud Saedon yang mengajar tasawuf. Penulis sendiri mengajar kitab Fiqh Sabil al-Muhtadin oleh Muhammad Arshad al-Banjiri yang memakan masa beberapa tahun lamanya, itupun tidak habis membacanya. Penceramah-penceramah juga dijemput menyampaikan ceramah, terutama pada tarikh-tarikh sambutan tertentu.

Kembali kepada peringkat permulaan, oleh kerana masjid secara rasminya belum ada di UKM dan kadang-kadang bila hari-hari perayaan penduduk ramai pulang ke kampung, maka tiada solat Hari Dua Hari Raya dan pernah juga ditiadakan solat Jumaat, maka untuk solat dua hari raya diadakan oleh surau. Misalnya untuk sambutan Idul Adhha bagi kali pertama selepas Bangi dihuni, maka diadakan sambutan Hariraya Idul Adhha pada 10 November 1978 (9 Dhul Hijjah 1398) di Surau Al-Umm dengan Penulis sendiri menjadi Khatib dan Imam. Walau bagaimana pada tahun permulaan ini belum ada upacara qurban. Oleh kerana Hariraya Idul Adhha ini jatuh pada hari Jumaat, maka bagi solat Jumaat Penulis pergi ke Masjid Kajang.


Oleh kerana Surau al-Umm pada peringkat awal menjadi tumpuan penduduk bagi semua jenis perumahan dan apabila perumahan 1/3 bertambah dengan jenis rumah kipas, jalan 1/7 dan Jalan 1/9 dibangunkan perumahan pada tahun-tahun 1980an , maka pada peringkat permulaan penduduk-penduduk di tempat berkenaan datang menunaikan solat berjamaah di surau al- Umm. Maka Surau Al-Umm yang asalnya rumah Semi D itu menjadi sempit, maka usaha membesarkannya dilakukan mulai pada pertengahn 1980an dengan menambah atas jalan masuk dan bahagian kiri kanannya dengan lantai playwood. Lantai ini tidak kukuh dan rosak sebab itu pada akhir 1980 ditambak dijalan masuk dan disemen serta dipasang dengan tail. Dengan perluasan ini menambahkan ruang bersolat dan membolehkan ramai hadir mengikuti kegiatan keilmuan dan ceramah. Misalnya pada hari-hari minggu diadakan kelas-kelas agama oleh kalangan muslimat dan bahasa Arab. Ceramah-ceramah jemputan yang dipanggil dan pendengar berada di dalam suasana yang lebih selesa.

Untuk membantu mengurus kebersihan surau dan azan masuk waktu dan juga menjadi imam bagi solat-solat bagi waktu-waktu tertentu surau Al-Umm memberi peluang kepada pelajar tempatan yang belajar khususnya di UKM tinggal di bilik bahagian atas. Sejak peluang ini diberi boleh dikatakan tidak ada masa kosong bilik-bilik yang ditawarkan itu dihuni. Tapi lebih ramai pelajar-pelajar lanjutan dari luar negeri (biasa Indonesia) yang mengambil kesempatan, tapi kurang dari pelajar-pelajar tempatan. Mereka juga memberi khidmat mengajar selain dari menjalankan tugas-tugas yang dikehendaki.

Sepanjang 1980an hingga 1990an perjalanan surau dapat dikatakan tenang ditadbirkan oleh AJK-AJK yang dilantik. Ada cadangan pada awal 1990an untuk membangun surau baru di tapak masjid yang disediakan dan pernah ditubuhkan jawatankuasa pembangunan dan pungutan wang dari ahli kariah dijalankan bagi membina surau baharu, tetapi rancangan ini tergantung, masalah utama yang dihadapi ialah masalah kewangan, sedangkan urusan berhubung dengan tanah belum dijalankan.

Kini Surau Al-Umm yang sudah berusia 36 tahun kelihatan lusuh dan ketinggalan berbanding dengan surau-surau lain yang indah bermunculan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment