September 6, 2014

Menara Penyeri Masjid


BBB, 10 Zulhijjah 1435 = 05 September 2014 (Jumaat):
Salah satu identity Masjid yang juga sebagai elemen estetika yang menyerikan masjid ialah menara. Fungsi awal yang membawa kepada pembinaan menara yang berkedudukan tinggi itu – sebelum ada teknologi pembesar suara, ialah agar suara azan lebih jauh kedengaran. Sememangnya untuk menyampaikan maklumat di hadapan khalayak, penyampai lebih sesuai berada di tempat yang lebih tinggi agar khalayak mendengar, bahkan nampak pihak yang bercakap. Dinyatakan yang Rasulullah s.a.w. berkhutbah di hadapan jamaah di Masjid Madinah pada peringkat permulaan dengan berdiri di atas batang khurma. Bilal Tukang Bang (muezzin) Rasulullah s.a.w. mengalunkan azan dari atas sutuh bangunan. Bangunan di negeri Arab bersutuh rata, kerana jarang mnenerima hujan. Di dalam perkembangan lanjut disediakan tempat yang lebih tinggi bagi melantaskan suaru muazzin ke berbagai pelusuk tempat. Ini membawa kepada wujudnya menara sebagai ciri dan identity masjid.
Menara adalah pecahan kata dari `nar` menjadi `manar` bererti tempat bercahaya dan bagi bahasa Melayu `manar` dipanggil sebagai `menara`. Menara selain dari tempat azan, ianya didirikan sebagai rumah api yang berbentuk sebagai menara yang dapat dijadikan tanda dan panduan bagi pelayar-pelayar di lautan.


Menara bagi sesebuah masjid yang berfungsi untuk melantaskan suara ke kawasan yang lebih jauh sebenarnya cukup dengan sebuah menara sahaja, tetapi bagi kepentingan estetik ada masjid yang mempunyai 2 menara, bahkan sampai empat atau lebih. Kebiasaan bilangan jumlah menara adalah gasal seperti satu, lima dan sebagainya. Kadang-kadang ada 4 menara dicampur dengan satu kubah menjadikan jumlah gasal, iaitu lima. Antara cirri menara bahawa menara-menara yang didirikan adalah lebih tinggi dari puncak kubah masjid. Antara ciri menara adalah bersifat bulat yang melambangkan kesempurnaan dan bila lebih dari satu, ianya hendaklah sama dari segi bentuk dan ketinggian agar kelihatan harmoni. Bentuk menara adalah besar dan lebar pada bahagian tapak dan makin tinggi makin mengecil hingga ke puncaknya makin kecil dengan bahagian atas merupkan tunjuk langit. Menara juga mempunyai isyarat maknawi. Ia merupakan lambang perjalanan rohani yang menuju dan meningkatkan ke arah Yang Maha Tinggi. Ianya juga melambangkan mikraj jiwa para jamaah yang menunaikan ibadat –seperti solat dan munajat kepada Ilahi.


Sebagaimana masjid-masjid yang lain, maka Masjid Al-Umm juga mempunyai menara.  Jumlah menara ialah sebanyak dua buah sahaja (campur kubah jadi tiga), iaitu terletak di kanan dan kiri bagi pintu gerbang memasuki masjid. Perbincangan mengenai menara tidaklah sebanyak dan sekerap  perbincangan mengenai kubah. Untuk memilih kubah sebenarnya masih banyak masa, kerana ianya merupakan bahan yang terakhir dipasang dibahagian atas dan di tengah-tengah pada atas masjid. Adapun menara apabila dibina, maka bentuknya dan kedudukannya tak boleh diubah. Oleh kerana tapak menara mulai dibina, maka bentuk menara  dibincangkan pada 2 September 2014 semasa kontrektor Majleza datang berbincang mengenai kubah. Sebenarnya plan dan bentuk menara sudah sedia ada dalam pelan pembinaan masjid dengan bentuk bersegi dan bulat dengan agak tumpat dengan bahagian dalam untuk ke atas kurang kelihatan dari luar. Tinggi menara Masjid Al-Umm adalah 17 meter (50 kaki) dengan bahagian bawah ialah setinggi 11 meter. Bentuk asal sebagaimana di dalam pelan ini adalah bentuk yang sedang dalam pembinaan. Namun dalam perbincangan, sebagaimana kubah mau dilihat bercahaya, terutama pada malam hari (api dalaman) di samping cadangan dipancar dari luar, maka ubahsuai perlu dilakukan. Jika cadangan ini diterima, maka bahagian atas mungkin lebih terbuka – tidak solid dan mungkin menggunakan bahan yang dapat ditembusi cahaya. Namun ada yang berpendapat ia melibatkan kos letrik. Ada yang berpendapat bentuk asal dikekalkan dengan bahagian atas mempunyai ruang bagi cahaya. Sekiranya ada perubahan mau dibuat, ianya kenalah diambil keputusan segera sebelum menara dibangunkan bahagian atasnya. Ada kecenderungan mengekalkan bentuk asal  dengan  sedikit penyesuaian bagi pencahayaan.
Sebarang perubahan melibatkan  maintenance dan kos  penggunaan letrik jangka panjang, lantaran itu ada kecenderungan mengekalkan bentuk asal dengan sedikit penyesuaian. Walau bagaimana pihak AJK bersedia mendengar dan memberi  perhatian pada sebarang proposal, tanpa terikat dengan sebarang cadangan perubahan.

Sekian.

September 5, 2014

Kubah: Paling Lama Dibincang Mencari Bentuk Paling Berkenan


BBB,  09 Zulkaedah 1435 = 4 September 2014 (Khamis):
Kubah menjadi salah satu bentuk ciri masjid dan kubah juga merupakan ciri estetika yang  mengindahkan senibina  masjid yang mencirikan elemen estika rohaniah dan takmilah. Kubah boleh dibaratkan sebagai mahkota bagi masjid. Kubah biasanya dipasang sesudah sempurnanya binaan. Kedudukannya pula di atas pada posisi paling tengah dan di tengah pula pada lantai utama bagi jamaah.
Kubah sebenarnya bukan satu kemestian bagi sesebuah masjid  atau surau, tetapi kubah sudah menjadi budaya bagi seni bina masjid. Kubah digunakan di Masjid al-Aqsa Baitul Maqdis,  Masjid Nabawi di Madinah (Kubah Hijau), bahkan kubah-kubah kecil digunakan di Masjidil Haram, Makkah,  lantaran itu ianya turut digunakan di masjid-masjid dan surau-surau.
Apakah istimewanya kubah ?


Kubah dengan bentuknya yang bulat adalah melambangkan kesempurnaan. Dari segi geometri  ianya 360 darjah sempurna. Banyak fenomena alam yang berbentuk bulat dari bumi, bulan, matahari dan planet-planet yang lain. Dengan bentuk bulat melambangkan ketangkasan dan kelicinan. Contoh bumi dan bulan yang bulat beredar dengan mudah. Dengan bulat pergerakan betul, seimbang  dan teratur contoh tayar yang dengan bentuk bulatnya bergerak secara teratur yang boleh laju dan perlahan. Oleh kerana bulat bentuk sempurna, maka banyak bentuk-bentuk bulat di masjid  digunakan bagi melambangkan kesempurnaan Yang Maha Sempurna seperti, tiang, menara, mihrab, khususnya kubah.
Bentuk kubah bagi  Masjid Al-Umm amat diberi perhatian oleh AJK-Ajk Masjid Al-Umm, bahkan kubah yang patut dipasang terakhir, iaitu selepas masjid siap ini, dibincangkan sejak awal sebelum pembinaan fizikal masjid. Perbincangan dimaksudkan bukan setakat di kalangan AJK, tetapi melibatkan syarikat-syarikat yang berpengalaman membina kubah-kubah masjid.
Antara Syarikat terawal yang menawarkan kepakaran membina kubah ialahSyarikat Aktif Aluminium Sdn. Bhd. dengan anak syarikatnya (membina kubah) Tri-Arch Sdn. Bhd membentangkan bentuk-bentuk kubah yag direka ciptanya pada 11 September 2013. Syarikat ini dipanggil interview pada 6.5.2014 dan datang dengan proposal  lebih kemas  dengan contoh-contoh kubah yang pernah dibina seperti Kubah Masjid Kg. Likas, Sabah, Kubah Bangunan Sapura Seri Kembangan, Masjid Batu 4, Gombak, Masjid Sultan Ahmad Kuantan dan Masjid Universiti Tenaga Nasional Bangi. Pihak AJK berminat dengan kepakaran dan pengalaman luas syarikat ini di dalam membina Kubah dan memanggilnya berbincang sekali lagi pada 14.5.2014.Turut diinterview pada 6.5.2014 ialah Syarikat  Kubah Anum dari Setapak yang juga turut dipanggil bagi perbincangan lanjutan pada 14.5.2014. Turut datang membentangkan proposal bagi kali pertama pada 14.5.2014 ialah Syarikat TA Decke Sdn. Bhd. Subang. Setiap syarikat membentangkan bentuk kubah yang dicadang, material yang digunakan dan bagaimana kubah dibina, juga komponen bagi kubah. Misalnya lapisan, bentuk bingkai dan kaedah cantuman dan pemasangan. Walaupun ada cadangan yang menarik, pihak AJK tidak membuat sebarang komitmen bagi memilih syarikat-syarikat di atas dan masih dalam tahap mencari dan membanding dari segi kualiti, termasuk harga.


Mutakhir, iaitu pada 28.8.2014 sebuah syarikat bernama Majleza Aluminium Sdn. Bhd. dari Johor Bharu datang membentangkan proposal secara praktikal dengan mencontohi Kubah Masjid Sultan Qabus, Oman. Walau bagaimana AJK Pembinaan tidak mau peniruan 100% bentuk kubah mana-mana masjid dan maukan kubah Masjid Al-Umm mempunyai ciri dan bentuknya yang tersendiri. Berbagai bentuk bulat dibincangkan antaranya bulat delima, bulat epal, bulat limau dan bulat bujur telur. Antara yang dipilih dari tiga contoh yang dibuat, ialah pemilihan bentuk bulat bujur separuh telur dengan struktur berkerawang dan mempunyai lapisan tiga lapis. Adalah dicadangkan pada kubah ini mempunyai cahaya api yang mengeluarkan cahaya keemasan, lantaran kubah dicadangkan berwarna keemasan. Pihak AJK juga maukan lambang Masjid dipuncak kubah sebagai tunjuk langit dan ianya hendaklah dilakar secara estetik dan mempunyai cahaya yang dengannya secara bergurau kami katakan menjadi masjid ini sebagai `Masjid Al-Umm al-Munawwarah`. Bersetuju di atas perbincangan ini syarkat  Majleza meminta tempoh seminggu untuk  merangka design Kubah sebagaimana dibincangkan. Tetapi belum cukup seminggu, ialah selepas 5 hari (pada 2.9.2014) pihak Syarikat Majleza datang membentangkan kubah yang dipadankan dengan Masjid Al-Umm. Walau bagaimana pihak AJK tidak berpuashati dengan kubah yang dicadangkan, terutama dari segi lambing Masjid Al-Umm pada tunjuk langit sebagai – maaf  `reba atau ranting kayu` dan `penyangkut baju` yang jauh dari bersifat estetik. Kami mencadangkan syarikat merangkakan bentuk yang lebih menarik dan memuaskan. Syarikat ini turut membentangkan `konsep menara` Masjid Al-Umm.  Pihak AJK masih tidak membuat sebarang komitmen. Kami dapati belum ada yang dapat menawarkan bentuk bersama lambang Masjid Al-Umm yang memenuhi ciri estetika selayaknya bagi Masjid Al-Umm.

Sekian.

September 4, 2014

Fasa Baru Pembinaan Masjid Al-Umm


BBB,  8 Zulkaedah 1435 = 3 September 2014 (Rabu):
Pada hari ini kelihatan lori pembancuh simen melengkapkan curahan dan perataan semin ke lantai dan kotak-kotak tiang bahagian sayap kanan sebelah masjid. Dengan kerja ini hamper melengkapkan rangka struktur Masjid. Sebagaimana disebutkan bahawa separuh dari masa pembinaan Masjid Al-Umm adalah menyiapkan struktur utama bagi masjid, iaitu semua tiang dan belira (beam) bagi tiga tingkat, tiga lapis lantai mulai lantai bahagian bawah untuk pelbagai kegunaan sebagaimana Penulis membuat lawatan kelmarin, lantai utama bahagian tengah untuk jamaah dan lantai lengkong tingkat tiga bagi jamaah perempuan dan penggunaan yang lain.
Separuh kedua nanti adalah merupakan melengkapkan keperluan atas dan dalaman masjid. Kerja-kerja mungkin nampak lebih kecil, tetapi memerlukan kemahiran khusus. Kalau dulu bahan-bahan utama bagi pembinaan ialah besi, batu dan semin, tetapi memasuki fasa baru pelbagai bahan dibawa masuk mulai dari batu bata, atap, kayu,  bahan-bahan dari besi, aluminium dan sebagainya. Kerja-kerja antaranya menegakkan kerangka atap, pintu-pintu, paip air dan saluran-saluran, tile, seterusnya pemasangan wiring yang melibatkan lampu, kipas, pendingin udara, pembesar suara, tempat mengambil wudhu`dan kemudahan-kemudahan qadha hajat, bahagian pengurusan mayat, tempat persalinan dan partition   bagi ruang-ruang  dan bilik-bilik bagi berbagai-bagai fungsi.
Dalam fasa dua ini juga melibatkan aspek-aspek yang mencirikan kemasjidan, bahkan melibatkan elemen estetika yang  berkait dengan  Takmilah. Berhubung dengan aspek-aspek yang mencirikan kemasjidanseperti arah, lantai, bumbung, keperluan wudhu` dan elemen estetikanya seperti kubah, menara, mihrab, mimbar dan elemen-elemen dekoratif, jika diteliti elemen-elemen  berkenan tidaklah static dan berlaku perubahan dengan perubahan teknologi, peralatan dan kemudahan semasa. Masjid pada zaman tradisi lebih merupakan rumah kayu bertiang dengan lantai kayu dan beruang yang luas yang dihampar adalah tikar yang dianyam dari mengkuang yang merupakan tumbuhan berdaun panjang tempatan. Tidak terbayang untuk menggunakan hamparan permaidani. Masjid tradisi tidak menggunakan kubah yang dengan bangunan tradisi yang menggunakan kayu-kayu untuk atap tidak sesuai digunakan kubah yang agak berat. Menara juga merupakan elemen yang relatifnya baharu yang dilihat sebagai tambahan yang tidak begitu perlu dan kini lebih bertujuan memenuhi tuntutan estetik. Pemakluman pada zaman tradisi yang belum ada letrik dan tiada pembesar suara, maklumat disampaikan ialah dengan memukul beduk juga ketuk kayu yang dipukul  dengan nada tertentu bagi masuk waktu solat, kematian dan sebagainya. Kini tiada lagi beduk dari belulang atau ketuk dari batang kayu dengan adanya pembesar suara secara moden. Pada  zaman tradisi kewujudan telaga atau perigi amat penting di dalam menyediakan air untuk wudhu`, khususnya bagi penggunaan bagi solat Jumaat.  Untuk persediaan air bagi wudhu` disediakan bekas  besar, tetapi kemudian dibuat qalah, bagi diisi air bagi keperluan wudhu`. Jika pada hari jumaat, bilal atau petugas-petugas khusus menimba air dari dalam perigi dengan timba dan dimasukkan ke kolah untuk mengambil  wudhu`. Kini dengan adanya paip air, maka fungsi telaga  berkurang, bahkan ruang kolah ditiadakan, kerana cara meng gunakan air secara beramai-ramai dari kolah kurang baik dari segi kesihatan, walaupun dapat menjimatkan air. Jadi paip air mengubahkan peralatan dan teknologi tradisi bagi mendapatkan air.
Pada zaman tradisi belum ada kemudahan letrik , khususnya di kampung-kampung, lantaran itu untuk mendapat cahaya digunakan lampu minyak yang digantung bagi mendapat cahaya dan pada zaman tradisi juga kerana belum sampai letrik, maka tiada kipas bertenaga letrik yang digunakan. Sebagaimana telah disebutkan pada zaman tradisi masjid berbumbung berlapis adalah sebagai cara memudahkan udara masuk ke dalam ruang dari bumbung-bumbung bertingkat yang menyejukkan. Udara juga memasuki dari bawah lantai dan dinding  yang boleh menyejukkan ruang dalam.
Adapun Masjid Al-Umm adalah dibina pada zaman moden dan tidak perlu  memenuhi aspek tradisi,kecuali di dalam beberapa perkara. Masjid Al-Umm adalah responsive dengan zaman moden dan perlu menyediakan kemudahan yang diperlukan di dalam zaman moden juga perlukan ketahanan tinggi yang digunakan oleh khalayak ramai. Hasrat Masjid Al-Umm tidak saja menyediakan keperluan fizikal yang agak sempurna, tetapi pengisian  kegiatan berterusan akan ditekankan.
`Ke arah kesempurnaan dan kegiatan beretrusan inilah  semua pihak bekerja.


Sekian.

September 3, 2014

Perkembangan Pembinaan Masjid Al-Umm Separuh Tempoh Perjanjian Siapnya Pembinaan


BBB, 7 Zulkaedah 1435 = 02 September (Selasa):
Seminggu lagi cukup tempoh separuh masa (9 bulan) bagi menyiapkan pembinaan Masjid Al-Umm yang dijangka siap pada akhir bulan Mei 2015 (76 minggu). Sebagaimana biasa setiap bulan diadakan mesyuarat,  pada minggu pertama Mesyuarat Tapak, diikuti minggu kedua Mesyuarat AJK Teknikal dan diikuti oleh Mesyuarat AJK Induk, iaitu pada setiap hari  Selasa, maka pada minggu pertama ini diadakan Mesyuarat AJK Tapak dengan turut hadir beberapa AJK Teknikal dan Induk. Mesyuarat  adalah merupakan kali ke 9 yang kali pertama bermula sejak Januari 2014.
Hingga kepada akhir Ogos 2014 didapati bahawa  kerja menanam cerocok, retainining wall, pile cap, lower ground beam, ground beam, R.C.Shear Wall, lower ground column, super dan Suspended Ground Beam dan Slab telah siap dibina setiap satu 100%, kecuali kerja-kerja Tanah 95%, ground floor Slab 60%, TNB Sub Station 20%, Column –Ground Floor to First Floor 40% dan  First Floor Beam and slab 20%.


Dari segi kemajuan pembinaan, akhir ogos  kerja  pembinaan keseluruhan mencapai 21.21 % dari kadar sebenar patut disiapkan ialah 20.00. Dengan ini kerja-kerja pembinaan ialah cepat 1.21%.
Bersama hadir dalam majlis pada hari ini di Pejabat Tapak, ialah beberapa jiran  yang rumah mereka berhampiran dengan masjid ialah Tuan Haji Ahmad bin Ismail, Dr. Abdul Fattah Haron dan Datin Shamsiah. Mereka dijemput khas mulai jam 10.30 pagi. Perbincangan mengenai bahagian belakang rumah mereka. Pihak kontrektor memaklumkan kepada Tuan-Tuan rumah akan dibina jalan dan pihak kontrektor member  jaminan tidak berlaku retak bila bahagian belakang rumah yang tidak mampat  dipadatkan. Pada sebelah kanan  jalan ada reserve sempadan dengan longkang di dalam kawasan masjid. Pihak tuan rumah nampaknya  bersetuju  dan tidak bermasalah. Ini adalah pertemuan kedua. Kali pertama adalah dengan Tuan Haji Ahmad bin Ismail pada mula-mula kerja pembinaan dilakukan, dan kali ini tiga orang pemilik hadir. Tuan Haji Dr. Yusof Hussain, seorang lagi dari pemilik rumah (4 orang), tidak dapat hadir, kerana berada di Ipoh, namun rumahnya tidak banyak terlibat di dalam kerja-kerja membuat jalan naik di belakang  rumah semi-D mereka.


Sempena pertemuan ini kemudian sebahagain dari AJK, termasuk penulis, Tuan Haji Ghazali Hussain, Tuan Haji Abdul Rahman, Tuan Haji Mohd Noor, Tuan Haji Marzuki Kontrektor dan  pegawainya, Tuan Haji Suib Setiausaha  dan saudara Adham hadir melihat kawasan sempadan masjid dengan tuan-tuan rumah. Didapati sempadan asal dengan tiang-tiang pagar lama masih kelihatan. Ini dapat membezakan antara sempadan masjid dengan tanah pemilik-pemilik rumah semi-D berkenaan.
Pada kesempatan melawat ke rumah-rumah jiran-jiran masjid, Penulis juga mengambil kesempatan melawat level bawah bagi Masjid Al-Umm yang dari luar nampak kecil, tetapi pertama kali masuk ke bahagian bawah, Nampak  agak luas dan kelihatan begitu teguh , iaitu dijangka dapat menampung kehadiran 1000 orang secara serentak. Di  bawah level bawah tanah ini masih banyak dengan tiang-tiang sementara yang  menyokong lantai dari bawah, walaupun sebahagian telah dibuang. Selepas melihat ruang lantai bagi bahagian bawah tiang, kami juga melihat tapak bagi menara masjid yang pada sebelah bahagian kiri, mulai dibina struktur bawahnya, manakala struktur bagi menara sebelah kanan belum lagi kelihatan. Antara kedua bahagian menara ini terdiri struktur pintu gerbang bagi memasuki masjid dari hadapan.


Kini hampir separuh masa tempoh kontrek telah berlalu, struktur binaan tiga tingkat nampak jelas. Separuh kedua dari tempoh kontrek akan menumpukan kepada pembinaan bahagian dalam masjid di ketiga tingkat, di samping bahagian atas dari masjid, terutama kubah dan menara yang kedua-duanya lebih menciri dan mengidentitikan  Masjid Al-Umm.


Sekian.

September 2, 2014

Turki Rakan Seiring Perjuangan


BBB. 06 Zulkaedah 1435 = 01 September 2014 (Isnin):
Melihat kepada kemantapan politik dan dasar yang  pro-Islam, maka kita dapati Turki kini adalah Negara Islam terkedepan dari  Negara-negara Islam yang lain, hatta Negara-negara   Arab sekalipun yang pada umumnya sentiasa kecoh dengan konflik dalaman, bahkan peperangan.
Bagi Malaysia yang juga dianggap dunia sebagai Negara Islam yang progresif, bukan bertujuan mengikut Turki, tetapi kita adalah rakan seiring dalam perjuangan. Turki yang berasal dari Negara sekular yang diperintah oleh general-general tentera sejak Turki  yang disifatkan sebagai `Orang Tua Yang Sakit` dalam perang dunia yang pertama diselamatkan  Turki dari dijajah oleh Bapa Pembebasan Turki – Mustafa Kamal Attaturk.  Sejak dari Kamal Turki diperintah general-general dan banyak mengubah elemen-elemen Islam seperti menggantikan huruf Arab yang diguna Turki kepada huruf Rumi dari Barat. Tidak dibenarkan azan secara terbuka  dan berpakaian ala Barat dan tidak lagi berimej Arab. Turki seolah-olah mau memisah diri dari warisan Islam yang didukungnya semasa pemerintahan Empayar Uthmaniah.
Malaysia diterima sebagai Negara Islam (berdasarkan perlembagaan Islam agama Rasmi Negara) sejak mencapai kemerdekaan. Dilihat terutama dari luar Malaysia adalah negera Islam, imej makin ketara dengan berbagai-bagai kegiatan keislaman – mempunyai pendidikan Islam hingga ke peringkat universiti, mempelopori kewangan dan perbankan keislaman, bahkan mengamalkan perundangan yang sebahagian berdasarkan Islam. Cuma barangkali pada pejuang-pejuang dan aktivis-aktivis Islam ianya belum cukup dan perlu kepada praktis dan amalan kepada peringkat maksimum. Turki dalam hal ini lebih lewat bertolak dari Malaysia. Gerakan kea rah keislaman secara terhad dan hati-hati hanya berlaku sejak 2003 apabila parti Kebajikan yang dipimpin oleh Recep Tayyip Erdogan memenangi pilihanraya Turki dan Tayyip diangkat menjadi Perdana Menteri Turki. Pada peringkat permulaan Tayyip dan parti yang memerintah terpaksa bergerak dengan hati-hati kerana menghadapi ancaman dari tentera  yang berakar budaya dalam pemerintahan. Parti Tayyip menghadapi ancaman untuk diharam dan ancaman tentera kembali mengambil alih kuasa. Tetapi  dengan cara diplomasi dan hati-hati dan tidak lantang dengan Islam beliau dapat meneruskan pemerintahan dengan baik, bahkan cara pemerintahannya yang positif member keyakinan dan sokongan dari rakyat.
Ini terbukti dari pilihanraya yang baru lalu, parti Tayyip dapat kemenangan majoriti  yang memuaskan. Pada 29 Ogos 2014 Tayyip Erdogan memperkukuhkan kedudukannya dengan memegang jawatan Presiden Turki yang sebelum ini diamanahkan kepada Abdullah Gol, setelah pengaruh Tentera semakin lemah. Perdana Menteri baru Turki diserahkan kepada Ahmed Davutoglu.
Cara Turki memerintah pada zaman era Tayyip menarik, sehingga penentangan dalaman dapat dikendurkan, bahkan bertukar dari tentangan kepada  sokongan. Rakyat Turki memberi  sokongan terhadap pendekatan  Turki yang bersifat islah keislaman. Dalam hubungannya dengan Negara luar Turki yang berada dalam lingkungan pengaruh Barat, Turki yang di bawah pimpinan Tayyip Erdogan yang mendukung Islam itu pada mulanya dicurigai Negara-negara Barat dengan kecenderungan Turki Baru kepada Islam dan antinya Barat terhadap Islam, tetapi kita lihat diplomasi Turki Baru bukan saja menyenangkan Negara-negara Islam, bahkan Negara-negara Barat, bahkan Turki sendiri berusaha untuk menjadi ahli Kesatuan Ekonomi  Eropah. Malaysia yang juga mendukung Islam patut sama mempunyai perdekatan yang dapat menyenangi penduduk dengan polisi-polisi Islam dan mendekati Negara seperti Turki  sebagai Negara seiring mendukung Islam. Sebenarnya terlampau banyak bidang-bidang  yang dapat diteroka  secara Islam di bawah bidang peradaban dan tamadun. Di dalam bidang peradaban seperti bidang  keilmuan, budaya, penyelidikan, nilai pegangan, falsafah pemikiran, seni warisan, teknologi dan inovasi. Manakala di dalam bidang ketamadunan seperti ekonomi Islam, perdagangan,  pembinaan, komunikasi, industri dan berbagai-bagai lagi.

Malaysia dan Turki adalah Negara sealiran yang perlu bekerjasama  meneroka bidang-bidang yang tertera di atas melalui penyelidikan dan menterjemahkannya ke dalam  kehidupan moden. Halangan selama ini lebih disebabkan kejahilan di dalam meneroka potensi di dalam bidang-bidang di atas dan  hanya melihat kepada yang sedia ada secara terhad yang tidak diolah dengan keperluan kini . Penglihatan  kadang-kadang lebih bersifat slogan dan rhetoric dan tidak mampu diterjemahkan kepada tindakan.
Adalah dilihat Malaysia dan Turki perlu menjadi  peneroka di dalam mengolah peradaban dan tamadun umat yang selama ini beku oleh kebekuan umat yang tidak berdaya meneroka dan berinovasi. Peluang begitu luas bagi kedua-dua negera  meneroka ke ruang dan masa depan.

Sekian.

September 1, 2014

Merdeka Untuk Semua, Galakan Secara Berwawasan


Sejak merdeka Negara pada 1957
Hingga kini 57 tahun negera merdeka
Setiap tahun diadakan  sambutan
Apakah ianya sekadar  pesta ulangan ?

Merdeka adalah pengiktirafan dan peluang
Tidak hanya tumpuan kepada orang politik
Itupun secara berpihak, lupa pada yang berhak
Tidak saja pada perajurit sekadar  berparade
Merdeka untuk semua rakyat Malaysia
Berpeluang menyumbangkan jasa.

Merdeka iktiraf  pada ibu bapa para guru berjasa
Mendidik anak bangsa  sebagai warga terpelajar
Mengeluarkan pemimpin  berbagai sektor kerjaya
Memacu kemajuan  Negara.

Merdeka memberi  penghormatan
Pada petani nelayan pekerja industri pengeluaran
Walaupun dilihat mereka sebagai  pekerja  biasa
Tapi mereka adalah landasan kehidupan
Tanpa mereka terhalang  kemajuan.

Merdeka adalah mengutama
Pelabur peniaga pengusaha
Sektor penting Negara
Penyedia peluang kerja
Dinamik ekonomi Negara

Merdeka tidak mengabaikan
Sektor perkhidmatan berbagai bidang
Melicinkan perjalanan tadbiran
Lumpuh tanpanya segala urusan

Merdeka memberi  ruang kepada
Pemikir kreatif berdaya inovatif
Diinamik dengan pembaharuan
Segar dan merangsang kemajuan.

Kepada mereka semua diberi  pengiktirafan
Menggilirkan kepada yang berkelayakan
Terbaik dari kalangan mereka
Galakan dan  sari tauladan
Digerak pemimpin berwawasan.

Bandar Baru Bangi,
05  Zulkaedah 1435

31 Ogos 2014.