September 2, 2014

Turki Rakan Seiring Perjuangan


BBB. 06 Zulkaedah 1435 = 01 September 2014 (Isnin):
Melihat kepada kemantapan politik dan dasar yang  pro-Islam, maka kita dapati Turki kini adalah Negara Islam terkedepan dari  Negara-negara Islam yang lain, hatta Negara-negara   Arab sekalipun yang pada umumnya sentiasa kecoh dengan konflik dalaman, bahkan peperangan.
Bagi Malaysia yang juga dianggap dunia sebagai Negara Islam yang progresif, bukan bertujuan mengikut Turki, tetapi kita adalah rakan seiring dalam perjuangan. Turki yang berasal dari Negara sekular yang diperintah oleh general-general tentera sejak Turki  yang disifatkan sebagai `Orang Tua Yang Sakit` dalam perang dunia yang pertama diselamatkan  Turki dari dijajah oleh Bapa Pembebasan Turki – Mustafa Kamal Attaturk.  Sejak dari Kamal Turki diperintah general-general dan banyak mengubah elemen-elemen Islam seperti menggantikan huruf Arab yang diguna Turki kepada huruf Rumi dari Barat. Tidak dibenarkan azan secara terbuka  dan berpakaian ala Barat dan tidak lagi berimej Arab. Turki seolah-olah mau memisah diri dari warisan Islam yang didukungnya semasa pemerintahan Empayar Uthmaniah.
Malaysia diterima sebagai Negara Islam (berdasarkan perlembagaan Islam agama Rasmi Negara) sejak mencapai kemerdekaan. Dilihat terutama dari luar Malaysia adalah negera Islam, imej makin ketara dengan berbagai-bagai kegiatan keislaman – mempunyai pendidikan Islam hingga ke peringkat universiti, mempelopori kewangan dan perbankan keislaman, bahkan mengamalkan perundangan yang sebahagian berdasarkan Islam. Cuma barangkali pada pejuang-pejuang dan aktivis-aktivis Islam ianya belum cukup dan perlu kepada praktis dan amalan kepada peringkat maksimum. Turki dalam hal ini lebih lewat bertolak dari Malaysia. Gerakan kea rah keislaman secara terhad dan hati-hati hanya berlaku sejak 2003 apabila parti Kebajikan yang dipimpin oleh Recep Tayyip Erdogan memenangi pilihanraya Turki dan Tayyip diangkat menjadi Perdana Menteri Turki. Pada peringkat permulaan Tayyip dan parti yang memerintah terpaksa bergerak dengan hati-hati kerana menghadapi ancaman dari tentera  yang berakar budaya dalam pemerintahan. Parti Tayyip menghadapi ancaman untuk diharam dan ancaman tentera kembali mengambil alih kuasa. Tetapi  dengan cara diplomasi dan hati-hati dan tidak lantang dengan Islam beliau dapat meneruskan pemerintahan dengan baik, bahkan cara pemerintahannya yang positif member keyakinan dan sokongan dari rakyat.
Ini terbukti dari pilihanraya yang baru lalu, parti Tayyip dapat kemenangan majoriti  yang memuaskan. Pada 29 Ogos 2014 Tayyip Erdogan memperkukuhkan kedudukannya dengan memegang jawatan Presiden Turki yang sebelum ini diamanahkan kepada Abdullah Gol, setelah pengaruh Tentera semakin lemah. Perdana Menteri baru Turki diserahkan kepada Ahmed Davutoglu.
Cara Turki memerintah pada zaman era Tayyip menarik, sehingga penentangan dalaman dapat dikendurkan, bahkan bertukar dari tentangan kepada  sokongan. Rakyat Turki memberi  sokongan terhadap pendekatan  Turki yang bersifat islah keislaman. Dalam hubungannya dengan Negara luar Turki yang berada dalam lingkungan pengaruh Barat, Turki yang di bawah pimpinan Tayyip Erdogan yang mendukung Islam itu pada mulanya dicurigai Negara-negara Barat dengan kecenderungan Turki Baru kepada Islam dan antinya Barat terhadap Islam, tetapi kita lihat diplomasi Turki Baru bukan saja menyenangkan Negara-negara Islam, bahkan Negara-negara Barat, bahkan Turki sendiri berusaha untuk menjadi ahli Kesatuan Ekonomi  Eropah. Malaysia yang juga mendukung Islam patut sama mempunyai perdekatan yang dapat menyenangi penduduk dengan polisi-polisi Islam dan mendekati Negara seperti Turki  sebagai Negara seiring mendukung Islam. Sebenarnya terlampau banyak bidang-bidang  yang dapat diteroka  secara Islam di bawah bidang peradaban dan tamadun. Di dalam bidang peradaban seperti bidang  keilmuan, budaya, penyelidikan, nilai pegangan, falsafah pemikiran, seni warisan, teknologi dan inovasi. Manakala di dalam bidang ketamadunan seperti ekonomi Islam, perdagangan,  pembinaan, komunikasi, industri dan berbagai-bagai lagi.

Malaysia dan Turki adalah Negara sealiran yang perlu bekerjasama  meneroka bidang-bidang yang tertera di atas melalui penyelidikan dan menterjemahkannya ke dalam  kehidupan moden. Halangan selama ini lebih disebabkan kejahilan di dalam meneroka potensi di dalam bidang-bidang di atas dan  hanya melihat kepada yang sedia ada secara terhad yang tidak diolah dengan keperluan kini . Penglihatan  kadang-kadang lebih bersifat slogan dan rhetoric dan tidak mampu diterjemahkan kepada tindakan.
Adalah dilihat Malaysia dan Turki perlu menjadi  peneroka di dalam mengolah peradaban dan tamadun umat yang selama ini beku oleh kebekuan umat yang tidak berdaya meneroka dan berinovasi. Peluang begitu luas bagi kedua-dua negera  meneroka ke ruang dan masa depan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment