Kuala Selangor, 22 Zulkaedah 1435 = 17 September 2014
(Rabu):
Penulis yang setiap hari berdepan dengan pembinaan Masjid
Al-Umm dan sebarang perkembangan dapat dilihat depan mata kepala, lantaran pembinaan
masjid tidak jauh dari rumah dan pejabat penulis sendiri. Prihatin terhadap
kemajuan pembinaan, baik pagi atau petang sengaja Penulis mendekati benteng
bangunan masjid bagi melihatnya lebih dekat, bahkan adakala masuk ke
tingkat-tingkat bangunan bagi menghayati
pembinaan masjid yang masih pada
peringkat menyiapkan rangka bangunan tiga tingkat itu. Penulis dan tentulah AJK
dan orang ramai, khususnya penderma-penderma mengharapkan Masjid Al-Umm akan
siap mengikut jadual dan spesifikasi
architecturenya agar dapat digunakan menurut jadual.
Pagi ini di Kampung Permatang Pasir, Penulis selaku Timbalan
Pengerusi Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan
Selangor (PADAT) berdepan dengan
situasi berlainan dan kontradik, jika
Masjid Al-Umm yang dalam pembinaan itu begitu kukuh dan hebat, tetapi yang
Penulis depani ialah sebuah rumah warisan yang begitu using dimamah usia dan
rosak. Turut hadir sama ialah Y.B. Dr.Ahmad Yunus Hairi Pengerusi PADAT yang
juga Exco Kerajaan Negeri Selangor, Puan Azlinda Azman CEO PADAT , Prof. Dr. A.
Ghafar Ahmad Pakar Pemuliharaan Bangunan Lama dari USM, AJK-AJK PADAT dan kakitangan..
Kehadiran kami adalah dalam rangka menilai kembali `Rumah
Warisan Bersenibia Bugis` yang dicadang untuk dipemulihara dan kemungkinan
menempatkannya kembali sama ada di Kuala
Selangor atau di pekarangan Muzium Sultan Alam Shah, di Shah Alam. Prof. Dr. A.
Ghafar Ahmad dari USM adalah pakar Pemuliharaan sengaja dijemput bagi menilai
dan membuat cadangan-cadangan. Kesedaran tentang kewujudan Rumah Tradisi Bugis
ini telah dikenalpasti sejak beberapa Tahun yang lepas. Pada masa Penulis selaku ADUN
Bangi (2008-2013) dan dilantik selaku
Pengerusi Padat (2012-2013), Penulis dan AJK telah membuat lawatan awal dan
berikutnya. Dari penilaian yang dibuat pihak AJK memberi priority memulihara
Rumah Warisan Bugis ini. Pada masa itu, walaupun rumah berkenaan telah usang,
tetapi masih boleh dinaiki dengan selamat. Bahagian bumbung pada masa itu
sengaja ditutup dengan tikar plastic untuk melindung bangunan dari hujan panas
yang boleh menyebabkan lekas reput. Tetapi pada hari ini, penutup plastic telah
hancur dan yang masih tinggal ialah cebisan-cebisan daripadanya kelihatan
bersangkutan, di samping terdapatnya sedikit atap nipah yang terpasang pada sebahagian dari kasau bumbung. Dapatlah
dikatakan bertahun selepas kunjungan bangunan terdedah kepada hujan panas dan
luluhawa yang menyebabkan lantai reput dan menaikinya perlu berhati-hati.
Dapatlah dikatakan ada kealpaan dari segi penjagaan.
Rumah Warisan Bugis pada asalnya adalah warisan yang diwarisi oleh keluarga
keturunan Bugis di sini. Menurut En. Mohd Ruslan (54) antara pewaris mutakhir Rumah Warisan
Bugis ini, bahawa rumah ini dibina oleh moyang mereka Mohd Taib bin Katas bin Zainal dari keturunan
Daeng Pandan dari Sulawesi. Ayah Mohd Ruslan, iaitu Zainal bin Mohd Taib
mewarisi rumah ini dan beliau (Zainal) pernah dilantik selaku Ketua
Kampung. di Kg. Permatang Pasir. Ayahnya
meninggal pada 2009. Selepas itu Rumah
Warisan Bugis ini terbengkalai.
Keaslian Rumah Warisan Bugis ini adalah pada bahagian rumah
ibu, manakala bahagian dapur yang lama telah diubahsuai dan bahagian asal sudah
tidak ada. Tetapi secara lakaran dapat digambarkan, terutama bagi keluarga
warisan yang masih mendiami bahagian dapur.
Sejak Mesyuarat pemuliharaan pada awal 2012 beberapa usaha telah dilakukan.
Antaranya penentuan waris yang berhak
terhadap Rumah Tradisi Bugis, rundingan pembelian bangunan berkenaan, kos yang
ditaksirkan dan pihak JAIS dirujuk mengenai pembahagian wang secara faraid bagi
waris-waris yang berhak. Taksiran dibuat adalah sebanyak RM50,000 dan
pembahagian telah dibuat terhadap waris-waris. Ini bererti bangunan Rumah
Tradisi Bugis ini adalah menjadi hak PADAT.
Kehadiran rombongan pada pagi ini lebih kepada bagaimanakah
rumah berkenaan hendak dipindah. Kecenderungan nampaknya lebih tinggi untuk
memindahkannya ke dalam kawasan Muzium Alam Shah di Shah Alam dari memindahkan
ke kawasan Muzium di Bukit Melawati,
Kuala Selangor, kerana difahamkan tiada
tapak di situ. Tidak ada rancangan untuk mengekalkan di tapak asal, kerana ia
melibatkan pemilikan tanah.
Penulis berdepan dengan dua situasi yang menyentuh rasa sayang
terhadap kedua bangunan. Bangunan Masjid Al-Umm yang dalam pembinaan dengan
ghairah mahu masjid itu siap dengan baik dan menarik. Sentuhan rasa saying juga
terhadap `Rumah Warisan Bugis` yang satu-satunya rumah sedemikian masih wujud
di Selangor. Terasa sedih dan sayang terhadap bangunan berharga dari segi budaya sudah rosak teruk.
Kita sama berharap tindakan segera, berkesan dan efektif segera diambil bagi
memulihara Rumah Warisan Bugis ini agar tidak hilang ditelan zaman.
Sekian.
No comments:
Post a Comment