September 16, 2014

Membaca Dari Alif Mengira Dari Satu


BBB, 20 Zulkaedah 1435 = 15 September 2014 (Isnin):
Kata-kata perbilangan di atas boleh dimaksud dan ditafsirkan kepada banyak perkara.
Boleh ditafsirkan bahawa bila melakukan sesuatu pekerjaan hendaklah diusahakan  dari mulanya  menurut kaedah secara teratur dan berterusan peningkatan hingga ke akhirnya mencapai kejayaan yang sempurna.


Boleh juga ditafsirkan bila belajar hendaklah bermula dari awal dan memahaminya secara bertahap dan  berterusan agar pengajian matang dan tidak berlaku kekeliruan.
Dan boleh juga ditafsirkan sesuatu keilmuan atau pekerjaan mempunyai procedure, kaedah dan aturan yang perlu dipelajari, difahami  dan diikuti bagi mencapai kejayaan.
Ketiga-tiga tafsiran di atas dapat diaplikasikan kepada usaha pembinaan Masjid Al-Umm dan pengisian. Membaca dari alif dan mengira dari satu adalah langkah mula diambil bagi mendirikan Masjid Al-Umm atas hasrat dan semangat jamaah bermula dengan berurusan dengan Pejabat Tanah dan mendapat jawapan positif (24 Mei 2008) dikuti dengan jawapan pewartaan tapak (01 September 2009) dan kelulusan dari pihak JAIS (17 november 2009).


Tahap kedua  `Membaca Dari Alif Mengira Dari Satu` ialah penubuhan AJK Besar pada 4 Februari 2010 dengan perwakilan dari surau-surau, Persatuan Penduduk yang mengambil keputusan setuju mendirikan Masjid Al-Umm dengan kos dijangkan pada masa itu ialah RM10 juta.
Hasrat mendirikan Masjid Al-Umm menjadi lebih jelas dengan lawatan Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim  Menteri Besar Selangor ke tapak dan mengumumkan kesediaan Kerajaan Selangor dengan peruntukan atas kadar `Ringgit ke Ringgit – Sejumlah RM6 juta. Diikuti dengan Majlis Do`a Selamat dan Penentuan Arah Kiblat yang disempurnakan oleh Penaung AJK Pembinaan Masjid Al-Umm TG Dato` Dr. Haron Din pada 2 Januari 2014 bersamaan 30 Safar 1435.
Mulai dari hasrat mendirikan Masjid Al-Umm, maka pelancaran derma dilakukan pada 19 Mei 2012. Keputusan bermulanya pembinaan Masjid Al-Umm ialah pada 10.12.2013, maka wang derma dari orang ramai yang terhimpun hingga 31 Disember 2013 adalah sebanyak RM2,641, 102.35. Dengan jumlah kewangan ini kami memulakan gerakerja pembinaan yang kemudian derma terus bertambah yang mengukuhkan keazaman kami bagi pembinaan Masjid Al-Umm.


Kami AJK Pembinaan Masjid Al-Umm kebanyakannya bukanlah orang yang berpengalaman dengan kerja-kerja pembinaan masjid yang bagi kami adalah besar dari segi peruntukan. Walau bagaimana kami berhasrat  untuk mendirikan sebuah masjid yang sempurna, baik dan indah sesuai dengan jumlah kewangan yang kami dapat hasil dari keikhlasan para dermawan kepada kami. Pengalaman dan pembelajaran yang kami dapati adalah berkaitan dengan berbagai-bagai permohonan kepada Pejabat Tanah, kepada JAIS, MAIS, Jabatan Mufti, MPKj. Berurusan dengan Masjid dan surau-surau – antaranya meminta keizinan meletakkan tong derma dan juga member penerangan kepada jamaah masjid-surau dan menghantar surat kepada mereka yang difikirkan dapat menderma dan menerima derma dari penderma-penderma


Bersama pengalaman berkomunikasi dengan berbagai jabatan, kami banyak menimba  pengalaman dan pembelajaran  melalui mesyuarat-mesyuarat yang diadakan sejak awal 2010 dan kekerapan bermesyuarat secara bulanan mulai 2012. Pada peringkat permulaan mesyuarat ialah antara AJK Pembinaan Masjid Al-Umm dan arkitek yang mulai merangka plan pembinaan bagi Masjid Al-Umm. Plan-plan mulai diangkat kepada pihak MPKj mulai pada pertengahan 2012. Kami yang bukan berpengalaman di dalam hal pembinaan, menyangka bahawa dengan adanya wang terkumpul dan dengan siapnya plan dan diangkat kepada MPKj dan jabatan-jabatan berkenaan dan selepas mendapat kelulusan, maka  kerja-kerja pembinaan dapat dilakukan.


Pembacaan kami walaupun bermula dari alif dan mengira dari satu, sebenarnya masih belum cukup dari segi keperluan membina sebuah Masjid. Kami memerlukan nasihat dan rundingan, bahkan plan yang dihasilkan walaupun kami faham, tetapi masih memerlukan kritikan dari pihak-pihak berkenaan dengan pembinaan, di samping kritikan dan cadangan dari kami yang masih dalami proses `Membaca Dari Alif Dan Mengira Dari Satu``.

Sekian.

No comments:

Post a Comment