BBB, 18 Zulkaedah
1435 = 15 September 2014 (Ahad ):
Mempelajari ilmu,
khususnya ilmu yang fardu adalah wajib, tanpa ilmu tidak terangkat tuntutan
fardu. Mempelajari ilmu pula adalah tuntutan
sebagaimana ungkapan, ``Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang
lahad.`` Sesungguhnya fizikal tubuh
badan menuntut keperluan makan-minum,
minda menuntut keilmuan dan hati-nurani
menuntut pengisian kerohanian. Fizikal merasa nikmat mendapat makanan dan
minuman, minda nikmat dengan keilmuan dan hati-nurani nikmat dengan ma`rifat kerohanian.
Institusi manakah yang paling sesuai mendukung tuntutan
`Belajar Sepanjang hayat ?` Pembelajaran selama ini membentuk
pandangan, `` Belajar peringkat sekolah sebagai pengajian asas yang
dapat mengangkatkan seseorang kepada
budaya boleh membaca, belajar di
pengajian tinggi dipandang sebagai
intelektual dan mudah dapat kerja dan berpeluang mencapai status kelas menengah dengan kerja-kerja yang dicapai, , kalaupun tidak mencapai status
kelas atas``. Pengajian-pengajian sedemikian lebih dilihat sebagai pencapaian individu dalam kerjaya. Dari satu segi kerjaya sedemikian dilihat sebagai pencapaian
individu di dalam kehidupan, tetapi jarang dikaitkan dengankejayaan dunia
akhirat dan status berakhir dengan persaraan. Lantas bagaimanakah kejayaan
sepanjang hayat, dunia akhirat ?
Sebenarnya melalui pengajian, sedar dengan amalan dan meletakkan
sesuatu secara betul, ber niat secara ikhlas, segala amal yang baik seperti
bekerja secara jujur dan dedikasi merupakan bahagian dari ibadat. Ini merupakan
satu dari kesedaran yang dapat dihayati dari pengajian. Sudah tentulah banyak
lagi maklumat dan keilmuan yang kita tidak ketahui tanpa mengaji yang jika
dipelajari dapat memperbaiki perspektif diri dan pandangan yang digaris Islam.
Bahagian daripadanya dapat dicapai dan dinikmati dalam perjalanan menerokai
keilmuan sepanjang hayat. Masjid Al-Umm mau sama berusaha meneroka konsep pengajian
sepanjang hayat semoga paling minimum ianya merupakan penyambungan rantaian ibadat di
dalam pengajian sepanjang hayat.
Adalah hasrat masjid menyediakan pengajian sepanjang hayat yang
boleh dikuti oleh semua lapisan
masyarakat. Masjid berusaha menyediakan
pengajian mengikuti solat waktu terutama selepas maghrib ke Isya` yang boleh diikuti para pekerja, lantaran
ianya disediakan di luar masa kerja. Mereka juga boleh mengikuti pengajian pada
hujung minggu pada hari Sabtu dan pagi Ahad. Mereka boleh mengikuti pengajian secara berpekej dalam tempoh waktu
tertentu, jika mereka mempunyai masa untuk mengikutinya,
Pihak Masjid juga berhasrat menganjurkan pengajian kepada
warga-warga emas yang telah bersara. Mereka boleh mengikuti pengajian khas
disusun bagi kalangan waga emas. Bagi mereka dan yang berminat kita bercadang
menyediakan sistem ala pondok yang
kurikulum di susun khas. Bagi mereka yang mau mengikuti pengajian sedemikian
bagi penduduk Bangi atau di luar Bangi mereka boleh tinggal di rumah
masing-masing, manakala bagi yang datang dari luar, kediaman diusahakan berdekatan dengan masjid. Bagi wanita mereka
mempunyai slot khas bagi pengajian yang berhubung dengan wanita.
Bagi kursus semua
pengajian yang dianjurkan mempunyai bidang-bidang keilmuan dan kurikulum bagi
setiap kursus. Kursus melibatkan pengajian akidah, fiqh, tasawuf, tafsir, hadith,
tajwid (Qur`an), sirah, nahu dan saraf.
Kursus pengajian juga diperluaskan kepada keperluan
hidup seperti memahami ekonomi Islam, kursus kekeluargaan,
alam sekitar, kesihatan, bank Islam,
takaful dan sebagainya.
Pengajian juga disediakan bagi kalangan remaja seperti Kelas Tahfiz, pengajian Al-Qur`an, kegiatan
seni Islam dan kegiatan sukan yang turut diberi perhatian terutama bagi
kalangan remaja
Dengan pengajian melalui
masjid, tidak saja mengikuti pengajian, tetapi dipraktikkan bersama
ibadat terutama solat. Melalui pengajian masjid ibadat solat berkesinambungan
dengan ibadat secara pengajian.Lantaran
itu masjid adalah tempat yang paling sesuai dengan konsep pengajian sepanjang
hayat dan berkesinambungan kehidupan di dalam beribadat. Peluang ini boleh dihadiri oleh sesiapa yang
berminat.
Sesungguhnya dilihat dari segi teori dan amali, pendidikan
melalui masjidlah merupakan pendidikan yang integrated antara ilmu dan amal dan
merupakan pendidikan berterusan seumur hayat.
Sebenarnya dari konsep dan ciri sedemikianlah berkembangnya pusat-pusat keilmuan Islam yang berasaskan
masjid yang melahirkan seperti
universiti Qairawan di Maghribi yang merupakan universiti
tertua di dunia, begitu juga universiti al-Azhar di Mesir yang
berkembang berasaskan masjid. Diharap
Masjid Al-Umm jika pun tidak berlaku sebagaimana Universiti Qairawan dan Universiti
Al-Azhar, diharap sekurang-kurangnya ianya menjadi pemangkin kepada pengajian
sepanjang hayat.
Sekian.
No comments:
Post a Comment