September 14, 2014

Mencari Wibawa Dalam Keilmuan Untuk Menjadi Bahan Pengajaran Dan Rujukan


BBB, 18 Zulhijjah 1435 = 13 September  2014 (Sabtu):
Kebiasaan dalam pengajian bagi sesuatu ilmu kita mencari buku pengajian dihasilkan oleh ulama atau tokoh yang berwibawa di dalam bidang berkenaan untuk dijadikan bahan pengajaran, bahkan menjadi teks yang diguna oleh guru dan pelajar-pelajar di dalam pengajian mereka. Ini menjadi trend pengajian tradisi, bahkan kini.
Di dalam pengajian di universiti juga, pensyarah biasanya ada buku-buku teks dijadikan bahan kuliah. Ia mungkin diambil dari bahan tulisan, buku atau kertaskerja-kertaskerja yang pernah dibentangkan di dalam bidang kepakarannya, tetapi bagi  perluasan kuliah disenaraikan buku cadangan rujukan dari kalangan pengarang-pengarang  buku-buku  berwibawa di dalam bidang yang dikuliahkan. Ini bermakna bagi pelajar yang rajin dan berdedikasi akan membaca dan merujuk kepada buku-buku yang dicadangkan, bahkan lebih dari itu  banyak lagi buku-buku berkaitan dengan topik sebagai bahan rujukan yang releven. Ini bermakna dengan merujuk kepada buku-buku yang dicadangkan, bahkan dari buku-buku tambahan yang dicari dan ditemui memperbanyak dan memperkayakan maklumat pelajar di dalam bidang yang dipelajari. Di sini dapat difahami tentang perkembangan keilmuan yang dipelajari tidak semata bergantung pada buku-buku yang dicadangkan,  bahkan makin bertambah dengan pertambahan buku yang dicari sendiri.
Bagi pelajar yang rajin yang banyak membaca  dia dapat sama berbincang dan memperkayakan maklumat yang didapati dari pembacaan dan sama dimanfaatkan melalui tutorial dan perbincangan.
Di dalam pengajian di masjid kita membawa pendekatan  `Tradisi dan moden` di dalam pengajaran. Bermaksud kita akan mempertahankan ciri pengajian tradisi di samping menggunakan kaedah-kaedah moden. Antara kaedah tradisi ialah menggunakan kitab sebagai bahan pengajaran dan pelajar-pelajar `menadah kitab` dengan menggunakan kitab yang sama digunakan oleh guru. Guru membaca dan menghuraikan berhubung dengan kandungan, huraian dan tafsiran. Guru mengajar secara duduk berhampiran mihrab berdepan dengan pelajar-pelajar yang duduk bersama kitab di atas rihal. Kadang-kadang bagi guru disediakan meja dan kerusi bagi pengajaran guru. Dengan ini guru dapat dilihat dengan jelas oleh pelajar-pelajar dan suara melalui penggunaan pembesar suara menjadi lebih jelas dan menarik untuk terus di dengar, Pengajaran yang memakan masa antara  satu setengah jam diakhiri dengan pertanyaan-pertanyaan kira-kira 15 minit. Dengan ini guru dapat menyampaikan pengajara n dengan jelas dan pelajar merasa puas. Guru digalakkan mengajar dengan menggunakan pengajaran seperti  power point dengan bantuan pembantu pengajar.
Kita juga turut menyediakan bahan-bahan rujukan berwibawa  antara 5 – 10 buah untuk dirujuk oleh pelajar-pelajar di luar dari waktu belajar. Ianya juga bahan yang dirujuk guru di samping rujukan yang lain yang ada  di dalam koleksinya. Dalm konteks ini perlunya ada perpustkaan yang  menyimpan bahan-bahan rujukan untuk dirujuk oleh guru-guru dan pelajar-pelajar.  Koleksi perpustakaan bukan setakat senarai buku yang menjadi rujukan, tetapi menyediakan berbagai-bagai  buku rujukan dari berbagai keilmuan bukan saja dirujuk guru dan pelajar-pelajar, tetapi juga penggunaan oleh orang ramai.
Di dalam mencari dan mencadangkan sebuah atau dua buah teks untuk digunakan oleh guru-pelajar kita bertembung dengan kesukaran. Misalnya di dalam bidang fiqh tidak ada teks lengkap moden dihasilkan oleh ulama wibawa yang kitabnya layak dibawa ke dalam majlis pengajaran sebagai buku teks, tetapi di sana tokoh-tokoh keilmuan fiqh dari zaman tradisi. Misalnya kitab Sabil al-Muhtadin oleh Shaykh Muhammad Arshad Banjar atau kitab Matla` al-Badrayn wa Majma` al-Bahrayn oleh syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fatani. Kesukaran juga untuk mendapat bahan-bahan rujukan fiqh moden yang boleh dijadikan bahan rujukan tambahan. Walaupun ada bahan, pengarangnya bukan dari kalangan ulama, dia sekadar mengkaji bagi keperluan ijazah, penyusun atau penterjemah dan tidak berkecimpung dalam bidang yang dihasilkan dan tidak dihormati di dalam bidang berkenaan.  Lantaran itu lebih selamat kita mengambil kitab-kitab yang dikarang ulama tradisi yang jelas authority  dan kealiman dan kitab-kitab terkenal digunakan di dalam pengajaran sejak berzaman.
Kesukaran begini berlaku di dalam bidang-bidang keilmuan Islam yang lain seperti  usuluddin, tasawuf dan lain-lain. Kesukaran mencari buku moden yang relevan menyebabkan kita lebih merasa berkeyakinan menyenaraikan kitab-kitab yang dihasilkan ulama tradisi terkenal, juga kitab-kitab sebagai bahan rujukan. Permasalahan yang didepani menggunakan kitab tradisi ialah bahasa lama yang distilahkan sebagai bahasa kitab yang banyak terpengaruh dengan gaya susunan bahasa Arab, tetapi inilah identity bahasa kitab yang menjadi budaya di dalam pengajian keilmuan Islam. Ini tidak bererti kita tidak menggalakkan kelahiran karangan-karanga moden. Sebenarnya itulah yang diharapkan, tetapi hendaklah benar-benar berauthority dan berwibawa menjadi teks pengajain.  Dalam hal ini buat kini  kita memggunakan teks tradisi, tetapi menghuraiakan bahasa tradisi secara moden.

Sekian.

No comments:

Post a Comment