September 6, 2014

Menara Penyeri Masjid


BBB, 10 Zulhijjah 1435 = 05 September 2014 (Jumaat):
Salah satu identity Masjid yang juga sebagai elemen estetika yang menyerikan masjid ialah menara. Fungsi awal yang membawa kepada pembinaan menara yang berkedudukan tinggi itu – sebelum ada teknologi pembesar suara, ialah agar suara azan lebih jauh kedengaran. Sememangnya untuk menyampaikan maklumat di hadapan khalayak, penyampai lebih sesuai berada di tempat yang lebih tinggi agar khalayak mendengar, bahkan nampak pihak yang bercakap. Dinyatakan yang Rasulullah s.a.w. berkhutbah di hadapan jamaah di Masjid Madinah pada peringkat permulaan dengan berdiri di atas batang khurma. Bilal Tukang Bang (muezzin) Rasulullah s.a.w. mengalunkan azan dari atas sutuh bangunan. Bangunan di negeri Arab bersutuh rata, kerana jarang mnenerima hujan. Di dalam perkembangan lanjut disediakan tempat yang lebih tinggi bagi melantaskan suaru muazzin ke berbagai pelusuk tempat. Ini membawa kepada wujudnya menara sebagai ciri dan identity masjid.
Menara adalah pecahan kata dari `nar` menjadi `manar` bererti tempat bercahaya dan bagi bahasa Melayu `manar` dipanggil sebagai `menara`. Menara selain dari tempat azan, ianya didirikan sebagai rumah api yang berbentuk sebagai menara yang dapat dijadikan tanda dan panduan bagi pelayar-pelayar di lautan.


Menara bagi sesebuah masjid yang berfungsi untuk melantaskan suara ke kawasan yang lebih jauh sebenarnya cukup dengan sebuah menara sahaja, tetapi bagi kepentingan estetik ada masjid yang mempunyai 2 menara, bahkan sampai empat atau lebih. Kebiasaan bilangan jumlah menara adalah gasal seperti satu, lima dan sebagainya. Kadang-kadang ada 4 menara dicampur dengan satu kubah menjadikan jumlah gasal, iaitu lima. Antara cirri menara bahawa menara-menara yang didirikan adalah lebih tinggi dari puncak kubah masjid. Antara ciri menara adalah bersifat bulat yang melambangkan kesempurnaan dan bila lebih dari satu, ianya hendaklah sama dari segi bentuk dan ketinggian agar kelihatan harmoni. Bentuk menara adalah besar dan lebar pada bahagian tapak dan makin tinggi makin mengecil hingga ke puncaknya makin kecil dengan bahagian atas merupkan tunjuk langit. Menara juga mempunyai isyarat maknawi. Ia merupakan lambang perjalanan rohani yang menuju dan meningkatkan ke arah Yang Maha Tinggi. Ianya juga melambangkan mikraj jiwa para jamaah yang menunaikan ibadat –seperti solat dan munajat kepada Ilahi.


Sebagaimana masjid-masjid yang lain, maka Masjid Al-Umm juga mempunyai menara.  Jumlah menara ialah sebanyak dua buah sahaja (campur kubah jadi tiga), iaitu terletak di kanan dan kiri bagi pintu gerbang memasuki masjid. Perbincangan mengenai menara tidaklah sebanyak dan sekerap  perbincangan mengenai kubah. Untuk memilih kubah sebenarnya masih banyak masa, kerana ianya merupakan bahan yang terakhir dipasang dibahagian atas dan di tengah-tengah pada atas masjid. Adapun menara apabila dibina, maka bentuknya dan kedudukannya tak boleh diubah. Oleh kerana tapak menara mulai dibina, maka bentuk menara  dibincangkan pada 2 September 2014 semasa kontrektor Majleza datang berbincang mengenai kubah. Sebenarnya plan dan bentuk menara sudah sedia ada dalam pelan pembinaan masjid dengan bentuk bersegi dan bulat dengan agak tumpat dengan bahagian dalam untuk ke atas kurang kelihatan dari luar. Tinggi menara Masjid Al-Umm adalah 17 meter (50 kaki) dengan bahagian bawah ialah setinggi 11 meter. Bentuk asal sebagaimana di dalam pelan ini adalah bentuk yang sedang dalam pembinaan. Namun dalam perbincangan, sebagaimana kubah mau dilihat bercahaya, terutama pada malam hari (api dalaman) di samping cadangan dipancar dari luar, maka ubahsuai perlu dilakukan. Jika cadangan ini diterima, maka bahagian atas mungkin lebih terbuka – tidak solid dan mungkin menggunakan bahan yang dapat ditembusi cahaya. Namun ada yang berpendapat ia melibatkan kos letrik. Ada yang berpendapat bentuk asal dikekalkan dengan bahagian atas mempunyai ruang bagi cahaya. Sekiranya ada perubahan mau dibuat, ianya kenalah diambil keputusan segera sebelum menara dibangunkan bahagian atasnya. Ada kecenderungan mengekalkan bentuk asal  dengan  sedikit penyesuaian bagi pencahayaan.
Sebarang perubahan melibatkan  maintenance dan kos  penggunaan letrik jangka panjang, lantaran itu ada kecenderungan mengekalkan bentuk asal dengan sedikit penyesuaian. Walau bagaimana pihak AJK bersedia mendengar dan memberi  perhatian pada sebarang proposal, tanpa terikat dengan sebarang cadangan perubahan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment