Ucaputama di atas disampikan oleh Ybhg. Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din selaku
Penaung dan Penasihat AJK Pembinaan Masjid Al-Umm pada pagi Ahad 26 Zulkaedah
1435 bersamaan 21 September 2014,
bertempat di Puri Pujangga, UKM dihadapan para peserta yang mewakili masjid dan
surau-surau di Bandar Baru Bangi dan AJK
Pembinaan dan Bengkel Masjid Al_Umm. Turut meraikan TG ialah Adun Bangi
Ustaz Shafie Ngah, Penulis selaku Pengerusi Pembinaan Masjid Al-Umm dan Dr.
Tajul Ariffin Noordin selaku Pengerusi
JK Pelaksana Bengkel dan AJK-AJK
Dalam ucapannya TG berfokus pada konsep mengimarahkan masjid
sebagai topik utama bengkel. Pendekatannya bagi mengimarahkan masjid ialah berdasarkan
ayat-ayat Al-Qur`an. Beliau bertolak pembicaraan berdasarkan ayat Al-Qur`an yang
bermaksud:
``Sesungguhnya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah
orang yang beriman dengan Allah dan pada hari akhirat, dia mendirikan solat,
mengeluarkan zakat dan dia tidak takut melainkan kepada Allah. Semoga mereka
itu dari kalangan yang mendapat hidayah.`` (Al-Taubah: 18).
Daripada ayat di atas dapat difahami antara ciri-ciri
memakmurkan masjid ialah wujudnya jamaah, masjid sebagai institusi mengukuhkan
keimanan dan memupuk taqwa. Mereka patuh dengan suruhan Islam dengan bersolat
dan berzakat. Mereka orang yang patuh dan tak takut melainkan kepada Allah dan
mereka adalah dari kalangan orang yang mendapat hidayah.
TG Dato` Dr Haron Din memuji dengan kepekaan AJK Pembinaan
dan Pemakmuran Masjid Al-Umm, walaupun masjid pada peringkat pembinaan fizikal
pada peringkat 25%, tetapi dari awal mempunyai kesedaran merangka perancangan
persediaan bagi memakmurkan masjid sebagaimana terbukti dengan perlaksanaan
bengkel pada hari ini. Sesungguhnya menurut TG,`` Pihak AJK telah beberapa kali
menemui saya di rumah bukan saja melaporkan pembangunan, tetapi membincangkan
perancangan dan program yang akan dilaksanakan – termasuk juga berhubung dengan
usaha mendapatkan dana.``
TG mau masjid sebagai `Rumah Allah` adalah menjadi tempat
`mesra jamaah dan pengunjung` dan tidak disekat dengan aturan dan birokrasi.
Kecintaan mereka hendaklah dipupuk terhadap masjid dan tertarik dengan apa yang
dapat ditawar dan disajikan kepada mereka seperti kemudahan beribadat dan wadah
keilmuan..
Menurut TG fungsi dan peranan masjid dapat difahami lagi
dari firman Allah bermaksud:
``Dan kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail
(dengan berfirman), ``Bersihkanlah
(Ka`bah dan Masjidil Haram dari perkara yang dilarang), untuk
orang-orang bertawaf dan orang-orang yang beriktikaf (yang tetap tinggal
padanya) dan orang-orang yang rukuk dan sujud.`` (Al-Baqarah: 125).
Masjid adalah tempat suci, maka perlulah dijaga dari segi
kesuciannya, baik kesucian bersifat
zahir dari kotoran nyata seperti najis dan sebagainya dan kotoran yang merosakkan.yang bersifat maknawi seperti
kekejian percakapan. Merujuk kepada Masjid Al-Umm ianya hendaklah dibina secara
bersih dan ikhlas sebagaimana niat dan harapan para penderma.
Masjid Al-Umm haruslah mendukung ciri-ciri yang digaris oleh
Al-Qur`an, bahkan Masjid Al-Umm hendaklah didirikan atas dasar taqwa dan menjadikannya tempat para jamaah memupuk
ketaqwaan sesuai dengan firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya Masjid (Quba` yang engkau bina wahai
Muhammad) yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah
sepatutnya engkau bersolat padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki
yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya dan Allah
mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).
(Al-Taubah: 108).
Demikianlah fungsi masjid yang utama adalah sebagai ruang
dan peluang insan mendekati Allah membersihkan diri zahir dan batin (kotoran
najis dan kekotoran paling tinggi ialah najis syirik) – antaranya melalui ibadat dan pengajian yang dengannya meningkatkan
ketaqwaan.
Sesungguhnya masjid adalah `Rumah Allah`, sebab itu
pembinaannya hendaklah kerana Allah dan siapa yang beribadat padanya kerana
Allah nescaya mendapat ganjaran pahala kerana Allah. Sesungguhnya firman Allah
bermaksud:
``Dan adalah masjid-masjid untuk beribadat kepada Allah
(semata-mata) dan janganlah kamu seru dan sembah sesiapa bersama Allah. `` (Al-Jinn:
18).
Solat yang berkait rapat dengan masjid adalah ibadat paling
istimewa dan perintah bersolat diterima melalui Isra` Mi`raj yang melibatkan
perjalanan dari Masjidil Haram ke Masjid al-Aqsa dan k e Sidratul Muntaha yang
gambaran detailnya sebagaimana di dalam surah Al-Najm. Allah memperlihatkan
ayat-ayatNya (tanda-tanda dan bukti-bukti) sebagaimana Allah memperlihatkan
kekuasaan dan Kebesarannya melalui cerita tentang pemuda-pemuda Al-Kahfi
yang ditidurkan selama 309H. tahun di
dalam alkahfi.
Masjid sebagai `Rumah Allah` perlu dipelihara kesucian dan
hendaklah menjaga dari segi adab-adab, antaranya tidak senonoh dari segi
berpakaian. Firman Allah bermaksud:
``Wahai anak Adam, hendaklah
berpakaian sopan dan indah di Masjid.``
(al-A`raf: 31).
Keperluan menjaga adab dan bertatatertib berpakaian penting
contoh pada hari Jumaat bila menunaikan solat Jumaat, supaya diri tidak
memaslahkan kepada orang lain di samping menjaga ketertiban.
Di samping menjaga pakaian individu, masjid sendiri hendaklah dijaga dari segi kebersihan,
menarik dari segi landscape luar dan dalam dan menenangkan fizikal, minda dan jiwa.
Masjid sebagai institusi Islam yang penting seharusnya menjadi pusat bagi ibadat, pendidikan, keilmuan dan kemasyarakatan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment