September 9, 2014

Seni Di Masjid


BBB, 13 Zulkaedah 1435 = 08 September 2014 (Isnin):
Apakah seni ada di masjid ? Ya ada, sebagaimana telah ditegaskan bahawa setiap yang dihasil tangan manusia mempunyai nilai seni, lantaran tendensi manusia sukakan keindahan yang menyempurnakan (teori Takmilah).  Masjid adalah bangunan yang dibina secara kolektif dan tidak terlepas dari nilai seni, sama ada materialnya dari kayu atau batu.
Adakah terbawanya nilai seni sesuatu yang tidak bercanggah dengan Islam ?.
Kembali kepada prinsip bahawa maksud Hadith riwayat Bukhari dan Muslim, ``Bahawa Allah itu indah dan sukakan kepada keindahan``.
Manakala ayat Al-Qur`an  bermaksud::
``Wahai anak-anak Adam , pakailah pakaian kamu yang  indah ketika kamu menunainaikan ibadat (solat ) di masjid.`` (Al-A`raf: 31);
Dapatlah difahamkan bahawa Allah bersifat indah dan Dia maukan hambanya berhias dan mengindahkan diri dengan pakaian yang indah ketika bersama jamaah di Masjid.
Juga dapatlah difahami, bahawa mendirikan masjid sebagai tempat ibadat, khususnya soat Jumaat dan solat-solat fardu dan keperluan-keperluan yang lain adalah tuntutan, yang jika tidak diadakan menyebabkan tidak dapat dirikan Jumaat dan solat-solat yang lain secara berjamaah di masjid.
Masjid sebagai tempat ibadat secara berjamaah, perlu kepada bangunan yang baik, kukuh dan menarik bagi  kemudahan dan menyenangkan  hati  jamaah.
Sebagaimana telah dikatakan bahawa, masjid sebagai hasil tangan manusia – jamaah tidak sunyi dari elemen seni sama ada disengaja atau tidak sengaja. Contoh disengajakan, sebagaimana telah dibicarakan secara bersiri, bahawa pemilihan bentuk  dan ciri kubah, menara, mimbar dan mihrab adalah memilih dan membina dengan sengaja, menurut bentuk  dan model tertentu juga pemilihan ciri seni yang dibawa oleh bentuk-bentuk berkenaan. Apa lagi jika bentuk-bentuk berkenaan direkacipta oleh arkitek atau penggubah tertentu.
Apakah sebarang seni boleh diabadikan di masjid ?
Tidak sebarang seni boleh diabadi atau dipamerkan di masjid. Seni yang wajar dan diharuskan sahaja. Seni  yang dibenarkan di masjid seni yang functional dan bertujuan membesar dan mengagungkan Kebasaran Allah. Tidak boleh dan tidak wajar selain daripada itu. Seni-seni yang functional selain dari kubah, menara, mimbar dan mihrab ialah bentuk-bentuk yang melambangkan kebesaran Allah seperti semua tiang yang mengambil bentuk bulat dan gasal, pintu-pintu yang berbentuk arch yang melambangkan ketundukan dan kepatuhan, perulangan bentuk sesuatu yang tiada awal dan akhir – contoh pintu gerbang masuk ke masjid yang mempunyai tiang berkeliling.  Setengah masjid mempunyai kolam atau tasik kecil di tepi masjid bagi mendinginkan sekitaran. Berdepan atau di kawasan masjid di hias dengan taman-taman dan pokok-pokok menghijau yang menyejuk mata memandang.


Adapun ragam hias di dalam masjid terutama pada bahagian hadapan di dalam masjid perlu dihiasai secara teliti. Pada bahagian dinding bahagian hadapan masjid tidak wajar banyak dengan berbagai ragam hias, kerana ianya mengganggu konsentrasi dan kekhusyukan jamaah. Tidak wajar dihias katakan dengan awan larat dan warna-warna berbagai yang mengganggu tumpuan dan kekhusyukan di dalam beribadah. Hiasan yang wajar dan tidak terlalu banyak ialah khat dengan ayat Qur`an yang berhubung dengan katuhanan dan ibadat dan tertulis secara jelas seperti di dalam bentuk khat nasakh. Dinding bahagian hadapan terutama berdekatan mihrab wajar menggunakan marmar biasa. Adalah dilarang dan dijauhi dari merakamkan bentuk-bentuk bertubuh manusia, bahkan sebarang bentuk benda yang hidup dan bernyawa, kerana ianya merupakan larangan. Pada bahagian pangkal tiang juga di atas  dan kubah boleh dihias motif-motif yang bersifat geometric design. Manakala pada bahagian dinding boleh dihiasi dengan khat ayat Quran, tetapi seharusnya sederhana, terang dan tidak terlampau banyak. Hiasan berkerawang bermotifkan tumbuh-tumbuhan biasa diukir secara tebuk tembus pada dinding mimbar, manakala pada bahagian atas berhias dengan kubah kecil dan tunjuk langit.
Pendek kata seni di dalam masjid tidak seni melalaikan, tetapi seni muqaddas, iaitu  seni yang mendekati  dan mengingati diri kepada Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment