September 7, 2014

Mimbar Khusus Untuk Khatib

BBB, 11 Zulkaedah 1435 = 6 September 2014 (Sabtu):
Mimbar adalah salah satu bahagian yang mencirikan masjid. Ia berhubung rapat dengan keperluan mendirikan Jumaat. Salah satu syarat mendirikan Jumaat ialah khatib dikehendaki menyampaikan khutbah. Penyampaian khutbah boleh disampaikan dengan cara biasa yang tidak memerlukan mimbar, tetapi untuk khatib menyampaikan khutbah dengan jelas dan dapat dilihat dengan terang  di dalam menerima dan menghayati khutbah, maka tempat khatib menyampaikan khutbah ini seharusnya lebih tinggi dari kedudukan jamaah. Ini membawa kepada penyediaan tempat menyampaikan khutbah yang dikenali dengan mimbar. Di dalam rukun khutbah, salah satu daripadanya khatib hendaklah duduk secara tam`ninah di antara dua khutbah. Ini bererti khutbah disampaikan secara berdiri dan perlu duduk antara dua khutbah. Ini membawa kepada persediaan tempat khutbah dan tempat duduk  lebih semperna dan kreatif, Ianya mungkin secara simple dengan menyediakan sebuah kerusi. Jika khatib memerlukan penggunaan teks bagi pembacaan atau panduan berkhutbah, maka diadakan `stand` bagi meletakkan teks panduan berkhutbah.


Bagi sesebuah masjid adalah menjadi keperluan menyediakan mimbar yang bentuknya mungkin berbagai-bagai. Pada kebiasaan mimbar berada pada bahagian kanan bagi ruang ke mihrab. Ianya merupakan sebuah  binaan yang sedia siap ditukangi dan diletakkan di bahagian kanan dari mihrab. Atau sengaja dibina ruang naik dari mihrab ke mimbar yang bersifat anjung dan tergantung yang mungkin dibina terus dari konkrit pada dinding sebelah kanan atau boleh juga dibina dari bahan besi bagi anjung tadi. Ia mengkin bersifat simple pada anjuang ini ada sebuah kerusi dan `stand` bagi meletakkan teks dan tempat meletakkan tongkat, tanpa ada sebarang lindungan di bahagian atas. Manakala di bawah ada ruang untuk diduduki  jamaah berjumaat, tanpa mengambil ruang bagi mimbar. Walau bagaimana ada mimbar yang lebih menarik yang sengaja diadakan lindungan dan hiasan berkerawang bagi dinding mimbar berkenaan. Pada bahagian atas ada lindungan sebagai menara kecil yang mempunyai tunjuk langit. Khatib yang tidak semestinya imam atau khatib merangkap imam seolah-olah berada di dalam satu kotak khusus baginya di dalam menyampaikan khutbah. Mimbar biasanya digunakan untuk menyampaikan khutbah pada hari Jumaat. Dia dianggap tempat suci dan mulia ianya tidak digunakan untuk ceramah biasa atau mengajar. Tempat ceramah biasa atau mengajar cukup dengan sebuah meja dan kerusi di bawah pada bahagian depan di tengah masjid. Adakala guru hanya duduk secara bersila biasa di hadapan para pendengar.
Adapun mimbar bagi Masjid al-Umm turut dibincang di dalam mesyuarat-mesyuarat, tetapi tidak sekerap dan sebanyak yang dibincangkan bagi kubah. Masalah yang dibincangkan di dalam mesyuarat berkenaan mimbar oleh kerana di dalam pelan asal mimbar mengambil ruang dari bahagian mihrab dan langsung kelihatan turun naik khatib. Kedudukan ini  dianggap tidak menarik kerana menghalang pandangan ke mihrab yang merupakan tunjuk arah kiblat. Lantaran itu timbul cadangan supaya diubahsuai bahawa mimbar hendaklah berada di sebelah kanan bagi mihrab dan tangga pertama bagi khatib melangkah ke atas hendaklah terselindung dari pandangan langsung dari jamaah. Khatib keluar dari bilik persediaan/rehat dari sebelah kiri mihrab dan naik ke mimbar. Tangga ke mimbar hendaklah dalam jumlah gasal bermula naik kaki kanan dan berakhir dengan kanan.


Berhubung dengan material mimbar, pada asalnya ianya adalah dari bahan konkrit dari dinding menganjur ke hadapan dengan pagar kiri, kanan dan depan dari besi, tanpa sebarang lindungan dari hadapan. Ketinggiannya sederhana sekadar jamaah dapat melihat khatib berdiri di atas mimbar menyampaikan khutbah dan masih kelihatan katib duduk antara dua khutbah.
Walau bagaimana ada yang berpendapat, walaupun anjung bagi mimbar ini dari konkrit (untuk kelihatan kukuh), tetapi materialnya hendaklah dari kayu tempatan yang tahan seperti cengal, berlian, merbau dan sebagainya. Penggunaan kayu adalah wajar, kerana banyak bahagian adalah batu dan besi. Bahagian kayu adalah bersifat tempatan dan lebih menarik. Adalah dicadangkan mimbar ini lengkap dengan ukiran yang sesuai dengan kedudukannya di dalam masjid, standnya juga hendaklah dari kayu dan mempunyai  lindungan yang menarik dan mempunyai tunjuk langit pada bahagian atasnya  berlambangkan logo Masjid al-Umm. Adalah dicadangkan jenis kayu yang digunakan ialah merbau. Disebutkan antara tukang yang baik dari Besut Terengganu atau dari Kelantan.
Satu persoalan yang timbul juga dalam perbincangan, bahawa dengan kedudukan mimbar berada di sebelah kanan, bahawa ianya berhadapan dengan  tiang seri (empat tiang seri utama masjid yang menyokong struktur atas, termasuk kubah di samping tiang-tiang yang lain). Penelitian dibuat bahawa mimbar berkenaan tidak benar-benar berdepan dengan tiang seri utama. Ianya tidak menghalang khatib berdepan dengan jamaah dan jamaah melihat khatib, kecuali yang sengaja mengambil posisi  berdepan tiang. Bagi yang berkedudukan jauh atau yang berada di tingkat bawah disediakan tayangan  cc tv.
Demikianlah setiap satu dari item di dalam masjid, walaupun sudah sedia dalam pelan arkitek, tidak terlepas dari perhatian dan perbincangan AJK di dalam mesyuarat. Banyak daripadanya diperbaiki hasil dari mesyuarat. Pelan asal tidak semestinya diikuti 100%. Jika didapati tidak sesuai, maka ianya diubahsuai hasil dari persetujuan ramai.

Sekian.

No comments:

Post a Comment