September 10, 2014

Ragam Hias Masjid


BBB, 14 Zulkaedah 1435 = 09 September (Selasa):
Selepas tulisan mengenai `Seni Di Masjid` diterbitkan pagi ini, maka selepas itu pada pagi ini, jam 10.00 ada mesyuarat AJK Teknikal, maka antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai ragam hias di Masjid Al-Umm. Sekali lagi pihak Syarikat Majleza Aluminium Sdn. Bhd. membentang beberapa aspek mengenai Masjid Al-Umm, tetapi apa yang mau diperkatakan di sini ialah mengenai ragam hias di Masjid Al-Umm. Sebagaimana aspek-aspek yang lain, maka demikianlah berhubung dengan ragam hias yang dicadangkan, tidak diterima sepenuhnya, bahkan mesyuarat mencadangkan banyak perubahan yang diminta pihak Majleza mengubahsuai sebagaimana yang dikehendaki oleh AJK.


Ragam hiasa atau dekorasi adalah sebahagian dari aspek seni, sebagaimana perlunya berhati-hati di dalam menggunakan elemen seni di dalam masjid, maka demikianlah juga ragam hias yang hendak digunakan di masjid juga perlu hati-hati, tidak sebarang ragam hias boleh digunakan di masjid, ianya perlu bersesuaian dan tidak merosakkan dari segi adab, sebaliknya dapat membantu mengukuhkan dari segi kemurnian, keharmonian  dan kekudusan masjid.  Beberapa ragam hias dicadang, dibincang, ada yang diterima dan ada yang dicadang pengubahsuaian.
Pada dinding hadapan di kanan dan kiri bagi mihrab dibuat dua set  garis arch lengkung memenuhi dua ruang kosong berkenaan. Walaupun kedua-dua garis lengkung bagi kedua-dua belah dinding berkenaan agak menarik, dilihat agak berat dengan dekorasi dan dibimbangi mengganggu konsentrasi  dan kekhusyukan jamaah di dalam bersolat, AJK mencadangkan agar dinding berkenaan kosong dan ditampal dengan marmar biasa, pada bahagian ke atas kiri kanan dipilih dua ayat Qur`an yang bersesuaian dan berimbang, sebaik tulisan ialah nasakh atau raq`ah yang tulisan adalah jelas,  sebaliknya garis arch berkenaan dibuat pada lengkung mihrab yang mihrab cadangan agak kecil dan minta diperluaskan menurut spesifikasi awal keluasan mihrab. Adapun bagi mihrab hendaklah berhias dengan ragam hias yang bersifat geometric design yang agak ringan dan tidak terlampau lebat dengan design bertujuan juga tidak mengganggu konsentrasi dan kekusyukan terutama Imam. Adapun cadangan untuk meletakkan dua jam besar kiri kanan dinding mihrab, AJK mencadangkan, bahawa dua jam yang mengambil ruang yang banyak itu tidak perlu, sesuai dengan zaman teknologi canggih, hendaklah menggunakan jam digital  yang maklumat secara digital bergerak juga dapat digunakan
Adapun kubah yang di permukaan luar berkerawang bergeometrik design, maka bahagian dalam  yang sengaja tidak bertutup juga dikehendaki dihias dengan bentuk geometric design. Adapun ragam hias bagi tunjuk langit pada bahagian atas bagi kubah, oleh kerana contoh yang dikemukana sebelum ini agak janggal, maka adalah dipersetujui bahawa tulisan Al-Umm adalah digunakan sebagaimana pada logo. Ragam hias yang ketara ialah pada mimbar. Adalah dipersetujui bahawa bahan bagi mimbar hendaklah dari kayu tempatan – disebut kayu merbau. Sebagaimana amalan biasa pada mimbar masjid, ragam hias adalah alam flora – tumbuhan yang diukir secara tebuk tembus. Mimbar ini hendaklah  terletak sebelah kanan mihrab dan berkedudukan lebih tinggi dari ruangan lantai agar lebih jelas dapat dilihat oleh para jamaah terutama bagi solat Jumaat.


Beberapa jenis design dikemukakan bagi ragam hias pada kepala tiang dan tapak tiang. AJK menimbulkan kerisauan kiranya, jika ragam hias terlampau banyak lengkuk dan lubang yang mungkin kelihatan cantik, tapi menimbulkan masalah dari segi maintenance terutama pada bahagian atas yang mungkin mengalamai kekotoran, habuk dan sebagainya. Ini memasalahkan  maintenance dari segi kebersihan. AJK lebih cenderung memilih design berbentuk pucuk rebung yang tersusun secara berlapis-lapis yang kelihatan sederhana, mudah dibersih,  tetapi menarik. Ragam hias bagi bahagian tapak juga hendaklah harmoni dengan bahagian atas.
Pihak Majleza belum bersedia dengan ragam hias pada menara, Ianya bakal dibentangkan pada masa akan datang. Pihak Majleza juga diminta mengemukakan perubahan cadangan yang dibincangan kepada bentuk sebenarnya, bukan setakat lakaran sahaja.
Walau apa perubahan yang berlaku, kami AJK merasa puashati bahawa walaupun kami bukan arkitek, tetapi  dapat memahami aspek-aspek pembinaan, bukan setakat memahami, tetapi membuat cadangan kepada aspek-aspek yang kami fikir lebih baik dan bersesuaian. Kami merasakan pembinaan Masjid Al-Umm bagi kami bukan setakat mencari peruntukan, tetapi sama-sama terlibat di dalam membuat cadangan, perubahan dan penyesuaian sehingga kami merasa kami benar-benar berpartisipasi di dalam pembinaan Masjid Al-Umm.

Sekian.

No comments:

Post a Comment