September 26, 2014

Pentahapan Pembinaan Masjid Al-Umm



BBB, 30 Zulkaedah 1435 = 25 September 2014 (Khamis):
Pembinaan Masjid Al-Umm boleh dibahagikan kepada beberapa tahap
1)      Tahap memohon keizinan dari` Pihak Berkuasa`  mendirikan Masjid Al-Umm seperti kelulusan dan gazet tanah dari pihak Kerajaan Negeri Selangor - Menteri Besar, pihak JAIS dan Pejabat Daerah (Tanah) Hulu Langat (Telah dibicarakan (24.9.2014).
2)      Tahap merancang  dan merunding dari segi arkitek dan melancarkan pemungutan Derma
3)      Tahap melantik perunding-perunding pembinaan
4)      Tahap pembinaan fizikal bangunan Masjid Al-Umm
5)      Tahap perbincangan dari segi teknikal bahagian utama masjid seperti kubah, mihrab, mimbar, menara dan dekorasi ruang dalam bahagian hadapan dalam  masjid seperti dinding bahagian hadapan,  tiang dan dekorasi bahagian dari dalam kubah.
2. Tahap Merunding dengan arkitek dan Pelancaran Derma
Selepas kelulusan utama di dapatin- kelulusan tapak dan keizinan pembinaan, maka AJK Pembinaan Masjid Al-Umm member  perhatian kepada usaha mendapat dana bagi pembinaan Masjid Al-Umm. Pada masa itu belum timbul soal mendapat kewangan dari pihak kerajaan negeri atau mana-mana institusi, apa yang menjadi focus ialah untuk mendapat derma sebanyak dan sesegera mungkin bagi mengisi Tabung yang dijangka RM10 juta ringgit. Ia adalah jumlah besar bagi AJK yang kecil dan besar hasrat dan cita-cita,
Tindakan awal dan utama  (2012) ialah memohon keizinan dari pihak JAIS untuk memungut derma dari orang ramai.  Keizinan didapati dari MAIS: MAIS/E/MAL/03-2/001/03-1/34 yang mentauliah 10 orang AJK memungut derma. Keizinan ini  adalah saluran utama bagi mendapat derma. Di samping derma diusahakan oleh setiap yang mendapat tauliajh satu Majlis Pelancaran Tabung Masjid  Al-Umm, Bandar Baru Bangi dilancarkan pada Sabtu 19 Mei 2012 jam  10.00 pagi bertempat di Tapak Letak Kereta Jalan 1/4 , Bandar Baru Bangi. Pelancaran derma ini mendapat sambutan yang memuaskan. Jumlah derma awal yang didapati dari pelancaran berkenaan ialah RM150,000. Jumlah ini menjadi  induk bagi perkembangan dan pertambahan derma seterusnya. Ikhtiar yang utama dari pencarian derma seterusnya ialah melalui tong derma yang diletak di masjid dan surau-surau yang antaranya diusaha penyampai  sendiri (Haji Abdul Rahman Daud dan pembantu-pembantunya).
Tahap kedua yang berlaku di dalam tahun 2012 ialah menyiapkan pelan arkitek bagi pembinaan Masjid Al-Umm. Pihak AJK tidaklah mengiklankan kepada sebarang arkitek untuk menawarkan kepakaran bagi  merekabentuk Masjid Al-Umm. Secara kebetulan di daklam AJK terdapat seorang arkitek yang tinggal di section 2, jamaah Surau Damai, surau yang paling dekat dengan Masjid Al-Umm. Beliau merupakan AJK yang mewakili Surau Damai dalam AJK di samping beberapa ahli lain dari Surau Damai. Beliau menawarkan kepakaran dan diterima AJK untuk beliau merekabentuk pelan Masjid Al-Umm di bawah syarikat beliau yang bernama Urusbina Sdn. Bhd. yang berpejabat di Arau, Perlis. Beliau telah merangka pelan yang melibatkan  berpuluh salinan (16 salinan untuk jabatan-jabatan seperti MPKj, Bomba,  LLN, perparitan, kesihatan dan sebagainya). Rangka pelan ini dipamirkan pada pameran tentang rekabentuk Masjid Al-Umm bila diadakan Majlis Pelancaran Derma  Masjid Al-Umm pada 19 Mei 2012 itu. Walau bagaimana pelan arkitek ini belum final. Bahkan pada setiap kali mesyuarat setiap bulan, maka agenda mengenai pelan, cadangan, perubahan dan kritikan berlaku.  Dapatlah dikatakan bahawa plan yang terhasil  adalah dari gabungan pendapat dan cadangan-cadangan dari AJK.
Pelan awal yang dicadangkan itu tidaklah amat menarik, bahkan boleh disifatkan biasa. Ia adalah gabungan elemen-elemen yang biasa dan bentuk biasa bagi sesebuah masjid sederhana yang dibina dari batu (bukan kayu). Binaan awal ialah satu setengah tingkat yang luas lantainya ialah 4,317 meter persegi atau 46,456 kaki persegi yang dijangka boleh memuatkan 3,000 jamaah secara serentak. Perbincangan mengenai rekabentuk  Masjid Al-Umm mengambil masa yang lama dan banyak berlaku perubahan pada rekabntuk asal. Misalnya AJK tidak bersetuju bahagian atas bersifat sutuh, kerana iklim Negara kita tidak seperti Negara Arab yang kurang hujan. Sutuh tidak sesuai kerana iklim kita sering hujan, mudah kotor dan berlumut. Bahagian atas perlu beratap yang bersifat curam sesuai dengan larian hujan dan bahagian dinding hendaklah dilindungi atap agar dinding tidak terdedah dengan hujan panas yang cepat kotor dan rosak. Dalam gambar perspektif masjid, dua menara kelihatan lebih rendah dari  kubah. Ia berlainan dari biasa. Menara hendaklah lebih  tinggi dari kubah. Pada asal cadangan masjid tidak direkabentuk untuk dipasang dengan air-cond., AJK mau agar ruang masjid sesuai untuk dipasang air-cond, di samping turut dipasang kipas sebagai alternative bila air-cond tidak digunakan. Perubahan dan perbincangan memerlukan pengubahsuaian plan arkitek dan melambatkan pelan berkenaan ke MPKj dan jabatan-jabatan lain.
Selain dari perbincangan dari segi pelan arkitek, soal tapak sering dibincangkan. Dari awal hingga ke akhir tahun 2012 tapak masih lagi berpokok, walaupun sudah beberapa kali dibersihkan. Pembersihan sebenarnya bila pembinaan hendak dimulakan, tetapi pada tahun 2012, belum ditentukan bila akan dibangunkan, kerana keperluan utama ialah kelulusan pelan dan pelan hanya  dalam persiapan pada pertengahan tahun 2012 tersebut.

Sekian.

No comments:

Post a Comment