September 13, 2014

Konsep Persyarikatan Ilmu Bagi Memasyarakatkannya


BBB, 17 Zulkaedah 1435 = 12 September 2014 (Jumaat):
Bandar Baru Bangi terkenal dengan jolokan `Bangi Bandar Ilmu`, bererti penghuninya adalah orang-orang berilmu. Kalau demikian boleh ditanyakan mengapakah bersusah-susah untuk mengatur  program pengajian kepada mereka yang sudah pandai ? Memang penghuni di Bandar Baru Bangi adalah pada dasarnya orang-orang berilmu, ini bukan bererti  bersifat keseluruhan. Sebahagian adalah dalam  tahap tidak berilmu dan perlu mencari ilmu. Akan tetapi bagi yang sudah berilmu, itupun terhad kepada bidang masing-masing  juga  perlu mencari ilmu dengan meluaskankan bidang kepakarannya dan mencari keilmuan yang tidak dipelajari – contoh bidang keagamaan. Pencarian ilmu tidak berakhiran –  `Tuntutlah ilmu dari buaian ke liang lahad`, maksud Hadith yang mencerminkan  konsep,  menuntut ilmu sepanjang hayat di dalam Islam.
Di Bandar Baru Bangi – termasuklah di bawah kariah Masjid Al-Umm dapat dikategorikan masyarakatnya kepada tiga bahagian.
a)       Kalangan orang awam yang digalakkan mereka belajar dan mereka perlu dibawa sama di dalam pengajian di Masjid Al-Umm.
b)      Golongan berpengetahuan yang sedar dan mereka berminat menambahkan ilmu pengetahuan
c)       Golongan intelektual  dan  professional  yang  mendalam dalam bidang keilmuan masing-masing.
Di dalam pendekatan ilmu selama ini berlaku compartmental dan pengasingan di antara mereka yang disifatkan alim di dalam bidang agama dan yang tidak. Pengasingan ini juga melibatkan keilmuan yang dianggap Islam seperti fiqah, tauhid, tasawuf, tafsir, Hadith dan sebagainya, manakala bidang-bidang yang di luar dari agama dianggap bukan `keilmuan Islam`. Contoh geografi, sejarah,  perubatan, alam sekitar, permakanan, statistic, matematik dan sebagainya. Keilmuan sedemikian sebenarnya  tidak boleh dianggap bukan Islam, lantaran segala keilmuan yang benar tidak bercanggah dengan Islam  adalah keilmuan Islam dan patut dipelajari oleh orang Islam bagi keperluan hidup dan mati mereka dan tidak salah dipelajari hingga ke masjid. Pandangan yang memisahkan apa yang dikatakan ilmu agama dan bukan agama, memisahkan kalangan intelektual dan ulama. Pada hal pada zaman suburnya pengetahuan di dalam Islam, maka  tokoh-tokoh ilmuan  seperti  Al-Kindi, Al-Faradi,  Ibn Sina, Al.Biruni dan Al-Ghazali menguasai berbagai-bagai bidang ilmu yang kini disifatkan sebagai keilmuan agama dan bukan agama.
Walau bagaimana setengah keilmuan yang seharusnya bersifat neutral dipengaruhi oleh pandangan falsafah pendukung-pendukungnya. Contoh ilmu sosiologi, sejarah, politik dan sebagainya dipengaruhi oleh ideology dan falsafah pendudkung-pendukungnya, lantaran itu  ada kecurigaan terhadap setengah keilmuan. Pada  sekitar  1970an-1990an ada saranan  `Mengislamisasikan  Ilmu`. Memang usaha dilakukan, tetapi tiada kejayaan ketara. Adalah tidak jelas penubuhan universiti-universiti  yang dilabelkan dengan Islam,  dari kesedaran bagi mengislamisasikan ilmu atau sekadar melabelkan semata-mata. Isu berkenaan tidak dibangkitkan lagi.
Di dalam pendekatan pengajian di Masjid Al-Umm dan juga boleh diperluaskan di Bangi, kita tidak akan mengambil pendekatan mempertajamkan perbedaan antara bidang-bidang keilmuan Islam dan apa yang dikatakan bukan, sebaliknya akan mengamalkan `Persyarikatan Ilmu bagi  Memasyarakatkannya` dengan menganggap segala bidang ilmu, jika tidak bercanggah dengan Islam,  maka ia adalah juga bidang keilmuan Islam. Dalam Persyarikatan Ilmu yang melibatkan golongan intelektual, ulama dan professional akan sama terlibat dalam pengajaran dan bimbingan. Pengajaran  di dalam bidang yang selama ini dikategorikan sebagai bidang keislaman jati akan diberi penekanan di dalam bidang pengajian. Pengajian ini turut sama diikuti oleh para intelektual dan professional . Manakala para intelelektual  dan professional  pula diminta mengajar atau membimbing dengan keilmuan masing-masing dan berusaha dari segi  pendekatan menurut perspektif Islam. Bayangkan keilmuan seperti ekonomi rumahtangga, alam sekitar, permakanan, keluarga bahagia, Bank  Islam, kesihatan, halal-haram  dan berbagai lagi adalah keperluan hidup masyarakat ummah. Dengan pendekatan seperti ini.
a)      Meruntuhkan batas batas yang menyempitkan keilmuan yang dilabelkan dengan Islam kepada perspektif yang luas.
b)      Masjid menjadi institusi masyarakat yang membimbing umat hidup-mat i mereka  dengan keilmuan Islam
c)       Mendekatkan Pakar, intelektual dan professional dengan Islam, lantaran mereka mendekatkan keilmuan mereka dengan Islam.
d)      Mengubahkan kurikulum yang dikatakan `Pengajian Islam` yang  boleh disifatkan sebagai `kurang bergerak` kepada lebih terbuka dan cergas.
e)      Mengislamisasikan keilmuan dari perspektif Islam atau boleh disebut keislaman ilmu dalam keilmuan Islam.
f)       Memvariasikan pengajaran dan pembelajaran kepada yang lebih bersifat menarik
g)      Mendekatkanberbagai bidang keilmuan  menurut  perspektif Islam
h)      Menyuburkan daya kreatif dan inovatif di dalam pengajaran dan pembelajaran
i)        Masjid lebih menarik dan dihadiri semua lapisan masyarakat
j)        Lebih memberi  erti Masjid sebagai `Al-Umm  bagi keilmuan.

Sekian. 

No comments:

Post a Comment