September 24, 2014

Alu-Aluan Dan Format Bengkel - Pengerusi Pelaksana

BBB, 28 Zulkaedah 1435 = 23 September 2014 (Selasa):


Pada pagi Ahad 21 September, majlis bagi Bengkel Untuk Merancang Dan Mengimarahkan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi bermula dengan alu-aluan  selepas  doa, dari Pengerusi Pelaksana Bengkel . Majlis dikendalikan oleh Tuan Haji Mohd. Ghazali Abbas  menjemput  Dr. Hj. Tajul Ariffin Noordin selaku Pengerusi JK Pelaksana Bengkel  berucap menyampaikan ucapan alu-aluannya. Beliau  mengucapkan terima kasih di atas kehadiran TG Dato` Dr. Haron Din Penaung dan Penasihat AJK Pembinaan Masjid Al-Umm yang walaupun baru pulang dari Muktamar Pas di Batu Pahat, Johor  malamnya, tapi masih dapat hadir ke bengkel pagi itu. Beliau juga mengalu-ngalukan kehadiran Y.B. Ustaz Shafie Ngah Adun Bangi, Pengerusi AJK Pembinaan Masjid Al-Umm Dr. Shafie Abu Bakar, Nazir Masjid Al-Hasanah Ustaz Napiah bin Shahrani, ahli-ahli panel  Sidang Pleno, pengerusi-pengerusi surau dan wakil-wakil kerana sudi memenuhi jemputan, walaupun pada hujung minggu – dan hujung cuti sekolah yang sepatutnya masing-masing sebok menguruskan persediaan anak-anak  kembali ke sekolah.


Selaku Pengerusi AJK Pelaksana Dr. Tajul memaklumkan kepada hadirin bahawa beliau mendapat kerjasama dari AJK yang terdiri dari Haji Mohd. Ghazali Abbas, Haji Ahmad Hasbullah, Hj. Abdul Rahman Daud, Hj. Mohd Suib Maulud, Haji Mohd. Nor Haji Yassin, Dr. Mohd Sabri Haron dan Nik Muhammad Adham bin Nik Anuar selaku Setiausaha JK Pelaksana. Dengan kerjasama mereka  terlaksananya majlis yang bersifat bengkel  sebagaimana yang tuan-tuan dan puan-puan saksikan pada pagi ini.  Kata Dr. Tajul, ``Saya mengucapkan terima kasih kepada mereka.``
Menurut Dr. Tajul, ``Bangunan fizikal Masjid Al-Umm yang mula pembinaannya pada 10 Disember 2013 sedang rancak didirikan. Mutakhir rangka  dan tiang-tiang bagi tingkat tiga sedang  dibina dan tapak menara juga turut dibangunkan. Adalah dijangka bangunan Masjid Al-Umm akan  disiapkan pada pertengahan Mei 2015.`` Namun tambah Dr. Tajul,


``Siapnya bangunan tiada erti, tanpa perancangan program dan pengisian.Dengan pengisian, maka  barulah Masjid benar-benar berfungsi.``
Jadi tujuan mengadakan Bengkel Perancangan dan Pengimarahan masjid bertujuan mendapat maklumat dan maklum balas dari hadirian apakah kaedah dan pendekatan terbaik bagi mengimarakan Masjid Al-Umm. Antara tujuan bengkel:
Bagi mendapatkan input-input awal dari seluruh warga Bandar Baru Bangi untuk merancang pengisian dan pelaksanaan pengajian Masjid Al-Umm. Input-input diharapkan ialah
1)      Konsep dan model pengajian yang unggul
2)      Penentuan modul, bidang dan tajuk pengajian
3)      Strategi pelaksanaan terbaik dalam konteks peranan surau-surau dan masjid-masjid yang sedia ada di Bandar Baru Bangu
Bagi mendapat input yang  banyak. Maka  format bengkel dibahagikan kepada beberapa sesi yang berlainan.
Bagi mendapat panduan dari segi prinsip dan dasar bagi pengimarahan Masjid Al-Umm, maka kita jemput TG Dato` Dr. Haron Din Penaung Dan Penasihat AJK Pembinaan Masjid Al-Umm menyampaikan Ucaputama yang daripada ucapannya dapat diambil  panduan mengendalikan masjid, di samping pandangan-pandangan lain.


Pembentangan kertas kerja oleh Dr. Shafie Abu Bakar selaku Pengerusi AJK Pembinaan Masjid Al-Umm adalah panduan bagi penyediaan bidang-bidang keilmuan  yang mau disampaikan di masjid, termasuk kitab dan buku serta membina  kurikulum bagi bidang-bidang keilmuan. Seterusnya perbincangan mengenai ruang-ruang yang hendak digunakan. Cadangan pengajian tahfiz dan pengajian secara pakej serta pecahan-pecahan masa yang sesuai.
Maklumat diperkayakan dengan adanya Pengulas, iaitu Profesor Dr. Azimi , Profesor bidang pendidikan dari UPM.


Diikuti dengan soal jawab dari peserta-peserta yang diharap mencetuskan pandangan. Dengan cara  ini dijangka banyak idea dan cadangan yang  diutarakan oleh peserta-peserta.
Sesi terakhir Sidang Pleno yang melibatkan beberapa tokoh terkenal di dalam pentadbiran masjid seperti Ustaz Napiah Shahrani Nazir Masjid Al-Hasanah , Ustaz Muis dari PAID  Hulu Langat yang antara tugasnya  ialah menguruskan  hal ehwal Masjid dan Surau
Juga saudara Sahrizal seorang yang berpengalaman menjga dan mengurus Islamic Centre di Belfast,  Ireland. Dari siding pleno juga kita dapat pandangan dan cadangan dari peserta-peserta.
Menurut Dr. Tajul dengan cara ini kami berharap mendapat renpond dari semua yang hadir memberi pendapat dan pandangan yang bakal dijadikan panduan bagi merancangkan kegiatan dan mengimarahkan Masjid Al-Umm. Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua dan selamat berbengkel.

Sekian.

No comments:

Post a Comment