September 17, 2014

Berguru Pada Yang Tahu Berpedoman Pada Pengalaman


BBB, 21 Zulkaedah 1435 = 16 September 2014 (Selasa):
Lanjutan dari perbilangan kata `Membaca Dari Alif Mengira Dari Satu` ialah `Berguru Pada Yang Tahu Berpedoman Pada Pengalaman`, bahawa maksud `Berguru Pada Yang Tahu Berpedoman Pada Pengalaman` ialah bagi mempelajari sesuatu bidang , baik bersifat keilmuan, maupun bersifat teknikal` perlu belajar kepada guru dan yang terlibat di dalam keilmuan dan  ketukangan berkenaan. Sebahagian daripada maklumat mungkin sudah ada pada diri yang merupakan pengalaman-pengalaman yang lepas. Kombinasi dari kedua-dua elemen ini memantapkan  penghasilan.
Perbilangan di atas dapat diaplikasikan dalam usaha pembinaan Masjid Al-Umm. Telah dibicarakan betapa kerja-kerja yang melibatkan perancangan dan pentadbiran secara intensif dilakukan sejak awal 2012 (walaupun penubuhan AJK sejak 2010). Perancagan juga melibatkan plan pembinaan yang dibincangkan sejak awal 2012 dan diangkatkan kepada pihak MPKj pada pertengahan tahun tersebut.
Cetusan pendapat yang amat penting dan tepat dengan perbilangan kata, bahawa antara AJK yang berpengalaman di dalam pembinaan, iaitu Tuan Haji Omar Jaafar Bekas Pendaftar Pembangunan UKM yang terlibat dengan pembinaan Kampus UKM dan kampus-kampus cawangan, mencadangkan bahawa AJK Pembinaan Masjid Al-Umm  perlu menubuhkan AJK Teknikal bagi  membantu AJK Induk melicinkan pentadbiran yang berhubung dengan teknikal. Cadangan beliau diterima yang membawa kepada perlantikan  Ir . Tuan Haji Ishak bin Arshad  dari  Fakulti Pembangunan di UKM. Beliau dilantik selaku Pengerusi AJK Teknikal yang ahli-ahlinya  terdiri dari arkitek dan perunding-perunding yang diwakili di dalamnya beberapa wakil dari AJK Induk. AJK ini mula bertugas  awal 2013. AJK ini  melaporkan segala cadangan kepada Mesyuarat AJK Induk yang kedua-duanya mengadakan mesyuarat  berturut minggu bagi setiap bulan. Antara tugas AJK Teknikal  meneliti dari segi plan arkitek dan cadangan-cadangan perubahan dan pembaikan, mengurus dan menyediakan kawasan tapak, menyediakan dokumen tender, mengiklankan  tender kepada kontrektor-kontrektor, mencadangkan kepada AJK pengambilan pekerja seperti kerani tapak, penyelia dan sebagainya, mempastikan persediaan pejabat di tapak sesuai sebagai bilik operasi dan msyuarat, melaporkan perkembangan teknikal kepada Mesyuarat AJK Induk berhubung dengan perkembangan pembinaan, mendirikan papan iklan kontrektor dan membuat pengakuan cadangan prmbayaran yang dituntut kontrektor untuk dipertimbang dan diluluskan oleh AJK Induk yang mana Pengerusi AJK Teknikal menjadi ahli dalam Mesyuarat AJK Induk. Dalam mesyuarat AJK Induk pihak perunding dan arkitek juga dijemput jika berkenaan. Mesyuarat-mensyuarat khas juga diadakan jika ada cadangan dan pembentangan dari sesuatu syarikat yang mau mengemukakan sesuatu proposal, contoh mengenai kubah, menara, ragam hias dan sebagainya.
Kegiatan pembinaan  lebih sebok selepas kontrektor masuk tapak pada 10 Disember 2013 dan berikut dari itu mulai awal 2014 ditubuhkan AJK Mesyuarat Tapak yang anggotanya terdiri dari arkitek kontrektor dan  perunding-perunding. Mesyuarat dipengerusikan oleh Tuan Haji Ghazali Hussin dari AJK Induk. Fungsi AJK ini melaporkan segala kegiatan perkembangan pembinaan Masjid Al-Umm dan cadangan-cadangan kepada AJK Teknikal.

Melalui mesyuarat banyak keputusan yang diambil pada peringkat puncak mesyuarat iaitu pada tahap induk, misalnya pada peringkat awal sebagaimana disiapkan oleh pihak Arkitek Urusbina, bahawa Masjid Al-Umm adalah sebanyak dua tingkat, iaitu tingkat utama di atas tanah dan tingkat bagi wanita pada tingkat atas. Namun hasil dari perbincangan dengan perunding yang melihat bahawa tapak bagi Masjid Al-Umm adalah berada pada tanah tinggi bersempadan dengan jalan ¼  ke sekolah adalah rendah, maka adalah sesuai diadakan tingkat bawah tanah yang menjadikan masjid mempunyai tiga tingkat. Cadangan adalah releven dengan tanah bagi tapak hanya 2 ekar sahaja. Level bawah tanah sesuai dijadikan ruang multi purpose. Dengan penerimaan cadangan menambahkan ruang yang boleh dimasuki terus dari bahagian jalan  ¼ ke sekolah. Ianya tidak mengganggu bahagian hadapan pintu masuk utama ke masjid. Adalah didapati kos dengan tiga tingkat tidaklah sangat berbeza.
Hasil dari perbincangan  adalah diputuskan bahawa pihak AJK Induk perlu memohon dari pihak TNB dan Pejabat tanah untuk menggunakan kawasan di bawah cable TNB berdepan dengan masjid dan berhampiran dengan sekolah. Melalui permohonan AJK dan diuruskan oleh Tuan Haji Abdul Rahman Daud kelulusan didapati dari pihak TNB pusat di Bungsar. Dengan kelulusan ini, maka tanah yang dikeluarkan dari tapak bagi ruang bawah tanah Masjid Al-Umm dapat digunakan bagi menimbus kawasan rendah bagi tapak parker masjid. Dengan penggunaan tapak ini dapat memuatkan 130 ruang parker. Keputusan-keputusan juga dibuat bagi mendapat derma dari beberapa tokoh dermawan yang dapat meningkatkan jumlah dana Masjid Al-Umm.
Perbincangan selain tertumpu pada bahagian fizikal bangunan, turut dibincangkan dan banyak berlaku perubahan terhadap aspek dalaman seperti mihrab, mimbar, ragamhias dinding dan  masih dalam perbincangan mengenai kubah dan menara.
Dengan keterlibatan semua pihak dalam mencadang, merubah, menambah dan memantapkan pembinaan, kami merasa sama berguru dan sama mencadang dan merasakan bahawa pembinaan Masjid Al-Umm tidak hanya ditentukan oleh kehendak arkitek dan dilaksanakan oleh kontrektor, tetapi ianya adalah hasil cadangan, pdrubahan dan pemantapan yang diambil keputusan secara  bersama dalam membina Masjid Al-Umm.

Sekian.  

No comments:

Post a Comment