September 8, 2014

Mihrab Terkedepan Dari Bahagian Masjid


BBB, 12 Zulkaedah 1435 = 07 September 2014 (Ahad):
Salah satu ciri seni bina masjid ialah wujudnya `mihrab`, iaitu jika binaan batu  merupakan  anjung kecil yang di tengah bahagian depan ada lengkung separuh bulat bujur bahagian luar ke depan, sedangkan dari dalam membentuk lengkungan kosong di tengah sebagai tanda arah kiblat. Jika bangunan masjid dari kayu, maka tidaklah dibuat lengkungan bulat, sebaliknya sebagai anjung kecil empat segi ke depan dari bangunan ibu, bagi menandakan arah kiblat. Di dalam kawasan anjung kecil ini imam mengambil tempat mengimami solat menghadapi kiblat bermakna ianya mendepani di bahagian mihrab berkenaan. Jika makmum tak ramai, kadang-kadang imam mengambil  tempat ke belakang sedikit, tetapi biasanya berdepan mihrab dalam menghadapi kiblat.
Membina mihrab bagi masjid tidaklah merupakan satu kemestian, tetapi dengan adanya mihrab member pertunjuk yang jelas bagi ahli jamaah dan orang ramai mengenai bahagian hadapan dan belakang  masjid dan k e mana sebenarnya arah kiblat. Mihrab yang functional  menunjuk ke arah kiblat ini secara tidak langsung ianya mempunyai fungsi estetik bagi masjid yang dari jauh boleh kelihatan. Bagi dalam masjid mihrab adalah `larangan tidak rasmi` kepada orang ramai memasuki  tempat ini. Yang berurusan rasmi di sini ialah bilal yang keluar masukl dari bilik bersebelah mihrab untuk urusan terutamanya bagi azan dan iqamah setiap waktu solat, imam yang mengimami jamaah solat yang imam berada di hadapan pada kawasan mihrab dan juga khatib yang juga imam berkenaan atau khatib khas kerana naik turun dari kawasan mihrab ke mimbar. Sebenarnya tidak ada keperluan bagi jamaah biasa untuk memasuki kawasan mihrab, tanpa tujuan.
Kawasan mihrab dilihat bukan saja sebagai `kawasan larangan tidak rasmi`, tetapi sebagai tempat suci, tempat imam mengetuai jamaah bersolat menghadap Kiblat – menyembah Allah. Mihrab dengan bentuk bulat melambangkan kesempurnaan dan bentuk lengkung tunduk melambangkan kekhusyukan jiwa dalam mendepani Allah. Tempat berkenaan perlu bersih dari gangguan di samping bersih fizikal sebagai  tempat imam memimpin jamaah dalam memikrajkan jiwa terhadap Allah – perjalanan mentakmilahkan ibadat dan kejiwaan. Dari tempat inilah juga bilal bukan saja mengalunkan azan, juga membaca Qur`an sebagai menandakan hampir  waktu solat waktu.


Bagi masjid satu tingkat, kalau binaan dari bahan kayu lebih mudah membina mihrab pada bahagian depan masjid (Tidak dibuat tangga atau pintu yang direct masuk ke mihrab). Adapun bangunan bertingkat maka cara mewujudkan mihrab agak berlainan. Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi sebagaimana dimaklumi adalah terdiri dari tiga tingkat. Pada bahagian hadapan bagi masjid adalah rata tiada dibuat anjung bagi masjid. Mungkin juga bagi memilihara ruang tanah yang agak terhad, Mihrab bagi Masjid Al-Umm adalah ditambah dengan  tapak  lengkongan bulat di tengah bahagian depan bagi menandakan arah Kiblat. Satu  bulatan dibuat dari level tengah ke atas. Dari tapak di tengah ini kelak akan dipasang batu bata ke atas secara melengkung sampai ke atas menyentuh cucur atap.
Sebagaimana telah disebutkan, bahawa dengan pembinaan  tapak bulat bujur bahagian depan, kelihatan ianya seolah-olah tong tangki yang merosakkan nilai estetik, lebih-lebih lagi pada asalnya bahagian atas kosong antara atas bagi bulatan hingga ke atap. Cadangan dibuat agar bulatan bersambung kepada atap, agar tidak kelihatan sebagai tong yang tergantung, bahkan disarankan bahawa mihrab bulat bujur ini hendaklah turun ke level ground floor agar kelihatan lebih harmoni dan turut berfungsi bagi arah tunjuk kiblat bagi level bawah tanah.


Dengan bahagian mihrab ada pada level tengah ke atas dan ke bawah, sebenarnya lebih sempurna kelihatan, terutama dari luar, lantaran bangunan Masjid Al-Umm berada pada tanah tinggi. Bangunan berada lebih tinggi dari benteng konkrit bagi bangunan. Masjid berada di atas benteng konkrit. Dengan bahagian mihrab meliputi ke tiga-tiga tingkat, maka dari jauh kelihatan lebih harmoni dan tidak bersifat tergantung.  Pada bahagian dalam bagi mihrab biasanya adalah tidak dihias dengan hiasan-hiasan yang boleh mengganggu konsentarsi imam di dalam solat dan boleh mengganggu ke khusyukan, Jika pun hendak dihias bagi mihrab dari dalam ialah dengan pemasangan mozaik kecil dengan warna-warna kebiasaan agar tidak mengganggu ke khusyukan. Jika memang masjid tidak menggunakan `hawa dingin, keseluruhan maka dipasang satu unit kecil penghawa dingin bagi member  keselesaan imam dan para jamaah pada bahagian depan. Juga  memberi  keselesaan pada guru-guru yang mengajar. Di samping turut menggunakan kipas bagi khalayak jamaah yang ramai.

Sekian.

1 comment:

  1. saya tgk plan masjid ini memang cantik. amat bersetuju dengan kedudukan mihrab itu.

    cuma satu saja saya khuathir, telah banyak masjid di malaysia ini saya tengok minrab sudah bertukar fungsi, disitulah berserabut dengan kipas, dengan speaker, dgn meja penceramah dengan rak AlQuran etc.

    Saya berharap sangat mihrab yg cantik direkacipta oleh arkitek menjadi "musnah" dengan pelbagai benda2 yg saya sebut tadi. kalau boleh pastikan Imam berdiri memimpin solat di situ seperti yg saya tengok di masjid nabawi.

    ReplyDelete