October 7, 2014

Kandungan Buku Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu


BBB, 11 Zulhijah 1435 =  06 Oktober 2014 (Isnin):
Dalam kertas kerja Dr. Shafie bin Abu Bakar yang berjudul ``Pengajian Di Masjid Al-Umm:  Cadangan`` yang dibentang dalam Bengkel Untuk Merancang & Mengimarahkan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi di  Bakawali Ballroom, Hotel Puri Pujangga, UKM pada 26 Zulkaedah 1435 bersamaan 21 September 2014 beiau mencadangkan :


``Kertaskerja ini hendaklah dibaca bersama buku Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu hasil dari pembentangan kertas-kertaskerja dan diskusi  berkenaan dengannya yang diadakan pada 19 Sya`ban 1435 bersamaan dengan 14 Jun 2014.  Kertas-kertaskerja  dan rumusan perbicangan di dalam bentuk buku kecil sebagai kesinambungan buku-buku Bangi Bandar Ilmu dan Gagasan Bangi.`` (Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu, 2014: 69hlm.).
Dalam kata yang lain bahawa kertas kerja, ``Pengajian Di Masjid Al-Umm: Cadangan`` tidaklah bersifat tersendiri dan berasingan, tetapi adalah merupakan lanjutan, bahkan merupakan `part and parcel` dari Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu, bahkan dilihat secara lebih luas  adalah lanjutan dari buku Bangi Bandar Ilmu dan Gagasan Bangi yang merupakan perluasan dari konsep Bangi Bandar Ilmu. Bahkan dapat dilihat kertaskerja `Pengajian Di Masjid Al-Umm adalah mini mikro dalam mana Masjid Al-Umm menjadi induk pengajian di Wadi Ilmu yang bersifat mikro di Wadi Bangi , di samping pendekatan Makro yang pendekatan  melihat  hendaklah digerak secara  holistic, menyeluruh dan serentak. Pendekatan secara mikro adalah bermula dari Masjid Al-Umm sebagai induk Ilmu dan mekanismenya meluas ke seluruh Bangi Bandar Ilmu dengan sokongan masjid-masjid, surau-surau dan berbagai institusi pendidikan  lain yang banyak kedapatan di Bangi.
Di dalam buku Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu terdapat dua kertaskerja iaitu:
1)      Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu – Integrasi Berbagai Institusi Berindukkan Masjid Al-Umm oleh Shafie Abu Bakar (Kertas ini dinamakan sebagai Pendekatan Mikro).
2)      Indikator Dan Cabaran: Pelaksanaan Bangi Bandar Ilmu (BBI) oleh Profesor Madya Dato` Dr.Ab. Halim Tamuri, Rektor KUIS (Kertas ini dinamakan Pendekatan Makro).
Dari segi persembahan buku ini agak unik. Selepas Pendahuluan oleh Penyelenggara, ianya bermula dengan Perasmian, rumusan kedua-dua kertaskerja, sesi perbincangan , diskusi meja bulat (bermaksud adalah rumusan dari perbincangan). Kemudian diikuti dengan kandungan kertaskerja satu dan dua secara sepenuhnya dan diakhiri dengan sebuah puisi `Masjid Al-Umm Adalah Kecintaan` dan penghargaan.
Dalam kata Pendahuluan Penyelenggara mengusahakan penerbita buku `Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu`  dengan harapan:
``Dengan penerbitan buku kecil ini dapat melengkapkan lagi Gagasan Bangi Bandar Ilmu. Juga dapat membantu sebagai panduan bagi perkembangan kegiatan keilmuan di Masjid Al-Umm secara khusus dan menjadi rujukan bagi perbincangan keilmuan di Bangi pada masa akan datang.``  Penyelenggara, hlm. 1).
Dalam ucapan perasmiannya Adun Bangi Y.B. Ustaz Shafie Ngah melahirkan penghargaannya kepada pihak MPKJ dan Pejabat Daerah yang menghantarkan wakil-wakil  yang dengan kehadiran mereka dapat mendengar permasalahan dan keperluan-keperluan yang dibangkitkan oleh para peserta  agar tindakan dapat diambil. Beliau juga menyebut beberapa kegiatan contoh yang berkait dengan pendidikan yang dilaksanakan oleh ADUN.
Bagi menjelaskan konsep Bangi Bndar Ilmu, diterangkan asal usul dan sejarah yang mencetuskan konsep Bangi Bandar Ilmu  sejak tahun 2007 (Sambutan 30 Tahun Bandar Baru Bangi)  yang puncaknya ialah pelancaran Bangi Bandar Ilmu dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato` Seri Abdul  Khalid bin Ibrahim Dato` Menteri Besar Selangor di Kuis pada 22 Jun 2008 yang kemudian pada tarikh ini adalah menjadi `Hari Ilmu` yang disambut dan diadakan kegiatan-kegiatan keilmuan dan penghargaan kepada pelajar cemerlang yang merupakan kegiatan tahunan di DUN Bangi sejak 2008 sehingga 2013.
Antara kegiatan ketara ialah penghasilan buku `Bangi Bandar Ilmu (2012) yang mendapat tunjangan kos penerbitan dari Kerajaan Negeri Selangor. Begitu juga penerbitan buku `Gagasan Bangi` yang merupakan hasil pertandingan menulis esei pada peringkat universiti. Mereka menghasilkan hasil tulisan berhubung dengan Konsep Bangi Bandar Ilmu dan topik-topik lain yang berkait dengan gagasan Bandar Ilmu. Turut dipertandingkan ialah penulisan puisi yang tema agak bebas, tetapi ada kaitan dengan wawasan  keilmuan. Daripada  esei-esei yang menang dan terpilih, juga yang  menang di dalam penulisan puisi,  diterbitkan dalam buku ``Gagasan Bangi`` (2012).
Buku Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu adalah lanjutan dan pelengkap bagi konsep Bangi Bandar Ilmu dan Bengkel Untuk Merancang & Mengimarahkan Masjid Al-Umm dengan kertaskerja ``Pengajian Di Masjid Al-Umm: Cadangan`` adalah usaha memperkukuhkan Bangi Bandar Ilmu berindukkan Masjid Al-Umm.


Sekian.

October 6, 2014

Naik Tangga Bergoyang Ke Tingkat Tiga Lihat Perkembangan Pembinaan


BBB, 9 Zulhijah 1435 = 4 Oktober 2014 (Sabtu):
Perkembangan pembinaan Masjid Al-Umm adalah berlaku dihadapan mata Penulis. Setiap hari perubahan berlaku diperhati Penulis. Lantaran bangunan Masjid Al-Umm yang dibina tidak jauh daripada rumah dan pejabat penulis. Jika perubahan besar berlaku maka Penulis merakmkannya secara bergambar. Sekali sekala pula Penulis meniti parit bersebelahan pagar zink, naik ke atas – ke pintu masuk memerhati perkembangan pembinaan. Kebiasaannya pergi secara persendirian atau melihat sebelum dan selepas Bermesyuarat Tapak dalam kawasan pembinaan. Pemergian secara perseorangan jika disedara oleh pihak Pengurus yang bertugas dan mengenali Penulis, maka dia mengiringi Penulis melihat pembinaan dan menjawab pertanyaan.


Dalam tempoh mutakhir ini Penulis memerhati kerja-kerja begitu pesat berlaku. Penulis melihat semua termasuk pekerja-pekerja mengejar masa mau menyiapkan semua kerja dengan segera. Maklumlah tempoh sudah melebihi separuh – sudah sepuluh bulan dari tempoh 18 bulan !
Hari ini – Sabtu  petang jam 3.00, sebelum esok Hari Raya Idul Fitri, pekerja-pekerja tetap bekerja, Penulis sengaja pergi meninjau ke bangunan Masjid Al-Umm dengan meniti tepi  longkang naik ke atas – bahagian agak tinggi dan masuk ke tapak pembangunan, masa itu hari redup dan hendak hujan. Dalam kawasan masjid ada sebuah trailer panjang. Penulis bertanya kepada pekerja, ``Apakah barang yang dihantar ?`` Jawab antara pekerja, ``Semin !``  Tanya Penulis, ``Bukankah semin dihantar secara ready mixed ?``Jawabnya, ``Tidak semua Tuan Haji (dia membahasakan Penulis Tuan Haji !), kerja-kerja kecil  dan memasang batu bata adalah dengan semin yang dibancuh di sini. Kelihatan pekerja-pekerja membuka penutup knaves dan antara mereka menurunkan beg-beg semin ke bawah pondok kongsi tempat barang.


Kebiasaan Penulis melihat bangunan dari bahagian hadapan (bermihrab), tetapi masuk dari bahagian jalan masuk bangunan, sebelum ini hanya tiang-tiang baru dipasang untuk menara dan untuk tingkat tiga, tapi kali ini banyak perubahan berlaku. Tapak menara sudah tegak dengan tiang asas, demikian juga dengan rangka pintu gerbang dari hadapan sudah mempunyai asas tiang-tiang. Ruang lift juga sudah dibina.  Yang paling jelas ialah lantai bagi tingkat tiga sudah siap dikonkrit dengan semin – sebelah menyebelah, sedangkan bahagian tengah adalah ruang kosong yang menjadi ruang utama (qa`ah) bagi tingkat utama (di atas tingkat bawah tanah). Bagi tingkat utama ini sengaja tiada tiang tengah kecuali tiang-tiang junjung bagi  kubah, bagi melawaskan pandanga jamaah ke hadapan. Penulis sengaja ke bawah tingkat tiga yang sudah dikonkrit dan antara pekerja-pekerja menanggalkan papan dari bahagian bawah lantai tingkat tiga berkenaan. Kepada beberapa pekerja yang berada di situ Penulis bertanya,
``Sudah berapa lama lantai konkrit itu diseminkan ?`` Antara mereka menjawab.
``Kurang lebih seminggu !``  Pekerja-pekerja buruh berkenaan adalah Indonesia.
Dari bahagian lantai bersambung dengan tiang-tiang di bawah sedang dipasang besi keluli untuk ditegakkan tiang-tiang bagi bahagiaan `roof` bangunan. Separuh dari bahagian tiang antaranya sudah bersemin.
Dengan penuh rasa curiosity dan ingin tahu perkembangan bagi tingkat tiga ini, Penulis  mengintai-ngintai bagaimanakah pekerja-pekerja ini naik turun ke bahagian atas ditingkat tiga. Lantas Penulis melihat ada tangga besi kecil bengkang bengkok ke atas, satu tangga di sebelah kiri berdekatan dengan Penulis dan sebuah lagi tangga di sebelah kanan. Penulis membuat perhitungan dengan diri Penulis yang tergolong sebagai warga emas ini, adakah berkemampuan memanjat  tangga besi empat kali lipat itu untuk naik sebahagian daripadanya  ke level  tingkat tiga. Penulis berkeyakinan boleh naik dan mengambil keputusan naik !
Tanpa memberitahu kepada pekerja-pekerja secara bersendirian Penulis melangkah ke tangga bergoyang itu dan naik dari mata tangga ke mata tangga yang agak basah dan licin, lantaran hujan mulai turun. Al-hamdulillah tidak ada masalah Penulis dapat naik  ke tingkat tiga dan bergerak memerhati lantai yang sudah dikonkrit, juga bergerak ke bahagian mihrab dan mengambil gambar bahagian-bahagian penting dan memerhati pandangan ke arah barat yang terdiri dari kedai-kedai dan perumahan yang kelihatan di bawah dari bangunan masjid. Kiranya selepas tiang-tiang yang sedang dibina untuk bahagian `roof` siap dan bahagian atap siap dan kubah dipasang juga menara berkembar siap didirikan – insya Allah  bahagian-bahagian masjid ini akan kelihatan dari jalan masuk Tol ke Bandar Baru Bangi dan juga akan kelihatan dari Jalan besar berdekatan UKM, apa lagi jika di waktu malam, apabila api di kubah dan menara dipasang. Tentulah dari jauh bergemerlapan dengan cahaya api indah kelihatan. Sudah pastilah Masjid Al-Umm menjadi `landmark` penting bagi Bandar Baru Bangi.


Sedang penulis bergerak di lantai tingkat tiga  Masjid Al-Umm dan mengambil gambar bahagian-bahagian tertentu hujan turun dengan agak lebat. Oleh kerana tiada perlindungan pada bahagian atas, maka Penulis turun kembali secara hati-hati dari mata tangga ke mata tangga yang bergoyang itu. Al-hamdulillah tak ada apa-apa bahaya berlaku dan Penulis berlindung di bawah lantai tingkat tiga sambil kembali memerhati pekerja-pekerja sedang menanggalkan papan-papan dari bawah lantai yang terlekat padanya, lantai- lantai yang diseminkan itu sudah cukup kering.
Sebaik hujan reda Penulis kembali meniti tepi longkang parit ditepi bangunan menurun ke bawah dan  ke pejabat Penulis dengan diri yang agak basah dan kesejukan.

Sekian.

October 5, 2014

Lanjutan Pendekatan, Kategori Dan Bidang


BBB, 09 Zulhijah 1435 = 04 Oktober 2014 (Sabtu):
Masjid adalah Pusat Ibadat yang juga berfungsi sebagai institusi pendidikan dan kegiatan kemasyarakatan yang sesuai dengan Islam. Ianya melibatkan semua masyarakat Islam dari peringkat anak-anak membawalah kepada remaja, orang dewasa hinggalah kepada warga emas – lelaki dan perempuan. Lantaran itu perancangan mengimarahkan masjid dan pendidikan perlu memenuhi keperluan semua peringkat dan generasi masyarakat. Perancangan pula bukan setakat  memenuhi  semua peringkat, tetapi mempunyai visi dan misi bagi memperkembangkan potensi yang sedia ada dan belum ada  pada mereka kepada kemampuan menerima ilmu dan pendidikan termasuk kerohanian kepada tahap maksimum. Dengan demikian setiap orang berilmu dan berpendidikan  dapat menunaikan ibadat secara terbaik dan khidmat kemasyarakatan ke tahap cemerlang.


Di dalam kertas kerja yang dibentangkan sungguhpun ia menghadkan kepada bidang pengajian dan pendidikan ianya merangkumi semua kategori lapisan masyarakat yang berada di sekitar Bandar Baru Bangi. Antaranya dengan menkategorikan mereka kepada tahap umur. Misalnya berdasarkan fasiliti yang ada di Masjid Al-Umm dicadangkan:
1)       Ada pendidikan pada tahap Tadika
2)      Kelas Pengajian Al-Qur`an untuk anak-anak
3)      Kelas Tahfiz
4)      Kelas IT
5)      Pengajian Terbuka mengiringi solat-solat tertentu – Termasuk ceramah Agama
6)      Pengajian Khas Untuk Wanita
7)      Pengajian Hujung Minggu
8)      Pengajian Secara Pakej
9)      Pengajian Ala Pondok
10)   Kelas-Kelas Bimbingan
Bahkan tahap pengajian dilihat dan dikategorikan kepada:
1)       Kalangan ulama`,  intelektual dan professional
2)      Mereka yang mantap dalam bidang keilmuan Islam dan bidang-bidang yang lain.
3)      Masyarakat awam biasa
4)      Belia dan pelajar
5)      Tahap anak-anak.
Bagi yang di dalam kategori satu dan dua di atas, mereka tidaklah diajar, tetapi lebih kepada `Persyarikatan Ilmu`. Ertinya mereka diharap dapat sama menyumbangkan keilmuan dan kepakaran mereka di dalam pengajaran di masjid. Pengajaran lebih ditujukan kepada masyarakat awam. Bagi belia dan pelajar ada pendekatan dan bidang pengajian yang sesuai bagi mereka. Demikian bagi tahap anak-anak disesuaikan pendidikan kepada mereka pada tahap tadika.


Paling penting dari segi pengajian ialah apakah bidang-bidang ilmu yang mau ditawarkan oleh Masjid Al-Umm kepada khalayak masyarakat yang datang beribadat dan meminati ilmu pengetahuan. Dari segi pendekatan  ialah bidang-bidang fardu, kifayah dan tuntutan yang dapat memberi bekalan hidup-mati kepada jamaah. Bidang-bidang berkenaan adalah bermula dari peringkat bawah membawalah kepada peringkat tinggi. Sebagai contoh pengajian Al-Qur`an adalah diberi keutamaan di dalam pengajian di Masjid Al-Umm. Dari peringkat bawah adalah bermula daripada mengenali huruf-huruf Al-Qur`an. Membaca kepada mengeja, memulakan pengajian dari muqaddam hinggalah tamat 30 juz` termasuk dengan pengajian tajwid. Pada peringkat yang lebih tinggi menghafal Al-Qur`an secara sistematik melalui pengajian tahfiz. Dan lebih tinggi daripada itu mendalami Al-Qur`an melalui pengajian tafsir dan mengistinbat dari ayat-ayat Al-Qur`an terhadap bidang-bidang keilmuan yang lain.
Walau bagaimana pengajian yang ditawarkan tidaklah merupakan pengajian agama per-se, tetapi dibekalkan sama keilmuan-keilmuan yang releven dan ada kaitan dengan bidang keislaman. Namun tidaklah masjid menawarkan segala ilmu secara luas, kerana bidang-bidang berkenaan ditawarkan oleh pengajian-pengajian tinggi yang releven yang banyak terdapat di Bangi dan sekitarnya. Keilmuan yang ditawarkan:
1)      Al-Qur`an dan Tajwid
2)      Aqidah
3)      Fiqh
4)      Tafsir
5)      Hadith
6)      Tasawuf
7)      Sirah
8)      Ekonomi Islam
9)      Bahasa-Bahasa (Arab, Melayu, Inggeris) dan IT
10)   Seni Khat, Tarannum, Nasyid, Marhaban, Animasi dan lain-lain.
11)   Kursus keusahawanan
12)   Tasawwur Islam
Bagi setiap bidang keilmuan disediakan kurikulum, buku-buku rujukan dan buku utama yang dipilih sebagai teks utama dalam pengajaran dan pengajian..
Pengajian di atas tentulah memerlukan guru-guru berkelayakan, masa yang bersesuaian, ruang yang selesa, kaedah pengajaran yang baik dan penilaian pencapaian mereka yang mengikuti  pengajian.
Keperluan-keperluan yang lain ialah pentadbiran yang cekap, pengajian yang bermutu, kewangan yang mantap, perpustakaan yang lengkap dan wujudnya kumpulan pelajar dan pengajian  secara berterusan.
Masjid dengan fungsi utamanya sebagai tempat ibadat, ianya turut berperanan di dalam memberi khidmat kepada masyarakat. Masjid Al-Umm misalnya menyediakan ruang untuk kenduri , majlis perkahwinan, seminar dan perhimpunan, khairat dan pengurusan kematian, juga kemungkinan menyediakan khidmat takaful  dan koperasi  jika disetujui.
Diharap Masjid Al-Umm dapat membantu meningkatkan kualiti ibadat, keilmuan dan kehidupan masyarakat di Bangi.

Sekian.

October 4, 2014

Bengkel Masjid Al-Umm: Keperluan Dan Pendekatan


BBB, 08 Zulhijah 1435 = 03 Oktober 2014 (Jumaat):
Bengkel berjudul: Bengkel Untuk Merancang & Mengimarahkan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi sengaja di atur dan sepatutnya telah berlangsung sejak 3 bulan yang lalu (Sya`ban/ Julai) sebelum Ramadhan, tapi ditangguhkan kepada 26 Zulkaedah 1435 = 21 September 2014. Pun begitu dengan berlangsungnya bengkel pada hari ini masih dikira selesa dan masih mempunyai ruang untuk membuat persediaan dan pembaikan, lantaran bengkel pada hari ini merupakan berada pada masa separuh kedua dari tempoh pembangunan fizikal masjid Al-Umm yang bermula pada 10 Disember 2013 hingga kini sudah Sembilan bulan dan tarikh dijangka siap ialah pada 25 Mei 2015 yang bakinya masih separuh tempoh pembinaan tamat. Menurut Penyata Laporan Kerja oleh Kontrektor Tekad Nusantara Sdn. Bhd. hingga 31 Ogos 2014, kerja pembinaan menurut jadual ialah 20%, tetapi pencapaian kerja ialah 21.21%, iaitu lebih cepat sebanyak 1.21%,  selepas 264 hari digunakan daripada 532 hari. Penggunaan hari adalah 49%.
Bengkel yang diadakan ialah merupakan persediaan bagi pengisian kegiatan Masjid Al-Umm apabila mula digunakan pada Jun 2015 menjelang Ramadhan 1436.
Banyak persediaan  perlu disusun yang melibatkan kegiatan masjid. Masjid sebagai institusi di bawah JAIS perlu melantikPegawai Dan Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid Al-Umm yang menurut format mesti terdiri dari 15 AJK yang diketuai oleh Nazir, Timbalan Nazir, Setiausaha, Penolong Setiausaha, Bendahari dan 8 orang AJK dan dua orang pemeriksa kira-kira. Seorang Setiausaha Kerja perlu dilantik. Manakala pegawai-pegawai selaku petugas-petugas harian perlu dilantik. Jika menurut format Masjid Al-Hasanah terdiri dari 4 Imam (Imam 1 hingga 4), dua Bilal (Bilal 1 dan dua), tiga siak (Siak 1 hingga 3).
Selain daripada itu, jika menurut format Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi, di samping Nazir dan Ajk-Ajk dan petugas-petugasnya terdapat biro-biro yang ditubuhkan dan setiap biro pula mempunyai AJKnya sendiri. Biro-biro yang ditubuhkan ialah:
1)      Biro Dakwah
2)      Biro Pembangunan Dan Landskap
3)      Biro Kebajikan Dan Keselematan
4)      Biro Pendidikan
5)      Biro Pengurusan Tanah Kubur & Wakaf
6)      Biro IT Dan Multimedia
7)      Biro Pemuda
8)      Biro Wanita
9)      Biro Ekonomi  (Termasuk penubuhan Koperasi Masjid)
Format Pentadbiran dan kegiatan yang ditubuhkan oleh Masjid Al-Hasanah ini boleh dijadikan contoh dan mungkin diubahsuai menurut kepentingan dan kesesuaian  bagi Masjid Al-Umm.
Masjid Al-Umm sejak dari awal mempunyai misi dan visi yang lebih luas di dalam bidang Pengajian (Pendidikan). Masjid Al-Umm sebagai masjid yang menjadi Pusat Ibadat yang memupuk ubudiyah hamba kepada Allah melalui ilmu dan amal, maka di dalam visi dan misinya,  Masjid Al-Umm adalah menjadi induk bagi `Wadi Ilmu` bagi kegiatan ibadat dan keilmuan bagi lokasi Wadi Ilmu berkenaan.
Konsep Wadi Ilmu ini dilihat sebagai lokasi bersifat Mikro bagi perluasan secara meluas ke seluruh Bangi Bandar Ilmu – dengan kerjasama masjid-masjid , surau-surau dan institusi-institusi ilmu yang lain yang termasuk konsep dan sekaligus perlaksanaan gagasan Bangi Bandar Ilmu.
Pembentang kertas kerja  bagi Bengkel Untuk Merancangkan & Mengimarahkan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi, tidak membincangkan Gagasan Bangi Bandar Ilmu yang begitu luas skop perbincangannya. Tetapi pendekatannya melihat bahawa Fungsi Masjid Al-Umm, Pengajian Dan Pendidikannya seharusnya menjadi Induk Bagi Wadi Ilmu dan formatnya  secara fleksibal boleh diperluaskan ke seluruh Bangi Bandar Ilmu.


Pendekatan bagi Bangi Bandar Ilmu sebenarnya telah dibincangkan di dalam Bengkel Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu yang telah diadakan pada 14 Jun 2014 bertempat di Puri Pujangga UKM atas inisiatif Persatuan Pemuda Prihatin Bangi dan pihak Sekretariat Bangi Bandar Ilmu menerbitkan kertaskerja –kertaskerja berkenaan di dalam bentuk buku. Didalamnya terdapat dua kertaskerja satu Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu bertolak secara Mikro oleh Dr. Shafie Abu Bakar dan sebuah lagi kertaskerja Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu secara Makro oleh  Dato` Dr. Abdul Halim Tamuri. Kertas secara Mikro bertolak dari Masjid Al-Umm sebagai Induk bagi Wadi Ilmu dan kertas secara makro membicarakan konsep Bangi Bandar Ilmu sebagai gagasan secara menyeluruh.
Penulis bagi kertaskerja Bengkel Untuk Merancang & Mengimarahkan Masjid Al-Umm memilih satu aspek penting sahaja  bagi pengisian dan kegiatan bagi mengimarahkan Masjid Al-Umm ialah ``Pengajian Di Masjid Al-Umm``. Bidang ini dianggap penting sebagai pengisian berterusan di masjid Al-Umm. Adapun peranan Masjid Al-Umm di Wadi Ilmu dan meluas di Bangi Bandar Ilmu bersama-sama institusi yang lain boleh dirujuk di dalam buku, ``Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu (2014) yang diedarkan serentak bersama kertaskerja kepada peserta-peserta. Bahkan peserta Bengkel Untuk Merancang & Mengimarahkan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi diminta membaca kertaskerja bersekali dengan buku yang diedarkan bagi memahami peranan Masjid Al-Umm secara mikro dan Makro bagi Wadi Ilmu dan Bangi Bandar Ilmu.

Sekian.

October 3, 2014

Kronologi Perkembangan Pembinaan Masjid Al-Umm


BBB, 07 Zulhijah 1435 = 02 Oktober 2014
Nama:   Masjid Al-Umm
Lot:       51177
Lokasi:  Jalan ¼  Seksyen Satu, 43650 Bandar Baru Bangi.
Luas:   1.89 ekar
Kontrektor:  Tekad Nusantara Sdn. Bhd.
Jumlah Kontrek:  RM10,556.800.00
Tarikh Masuk Tapak:  10 Disember 2013
Tarikh Penyiapan Asal: 25 Mei 2015
Jangka Masa Projek:  76 minggu
Tempoh Tanggungan Kecacatan: 12 bulan
Policy Contractor All Risk:  ACE Jerneh Insurance Berhad. Policy No. HQ-E0040753-ECR-E002
No. Pendaftaran PERKESO: A3737633P.
Bon Perlaksanaan:  Wang jaminan pelaksanaan
Potongan sebanyak 10% daripada setiap bayaran yang diterima
Sehingga mencapai  jumlah 5% harga kontrek.
Pembinaan
14 Disember 2013     Pembersihan tapak
21 Disember 2013    Kerja tanah
18 Januari  2014       RC wall
11 Februari – 11 April 2014    Kerja cerocok
4  April 2014      PDA test
4  April 2014    Ground beam
13  April  2014 Pile cap
17 Mac – 6 Ogos 2014 Work below lower finish
03 Ogos – 31 Disember 2014  Kerja Struktur.
Perkembangan Pembinaan Pemerhatian Mata Kasar Penulis:
2 Julai 2014  Naik tiang keluli berpasang kotak
13 Julai 2014: Kotak-kotak tiang diisi semin secara ready mixed, diturun oleh lori `sky bucket` bertimba semin


7 Ogos 2014   Level  tengah diratakan dengan semin, sesudah `ground level disemin terlebih dahulu
9 Ogos 2014 Kayu pemidang semin ditanggalkan, kelihatan lantai utama.
12 Ogos 2014 Batang keluli bagi tingkat di atas level utama mulai dipasang/ditegakkan. Bahagian hadapan level utama juga sedang dibina.
15 Ogos 2014 Kotak kayu bagi rangka tiang keluli di atas tingkat utama dipasang
18 Ogos 2014 Mula dimasukkan semin ke kotak tiang tingkat utama
21 Ogos 2014  Kotak tiang ditanggal, kelihatan tiang semin bulat
22 Ogos 2014 Mula dipasang kotak tiang bagi level atas (3)
26 Ogos 2014 Mengisi semin bagi kotak tiang bagi tingkat tiga
02 September 2014: Kerja dinilai mencapai 21.21% ke hadapan 1.21% dari sepatutnya (20%)
03 September:  Kotak beam bagi tingkat tiga diisi semin
19 September Kotak beam tingkat tiga dibuka
Hari ini batu bata (merah) dihantar ke hadapan bangunan.
24 September 2014 Batu bata mulai dipasang bagi dinding tingkat bawah tanah
25 September 3014 Tiang supportive kepada kubah mulai diisi semin
01 Oktober 2014 Tingkat utama atas dari tingkat bawah tanah juga mulai dinaikkan batu bata ke atas untuk dinding  (belum berpasang).
03 Oktober 2014 Semua rangka bangunan sudah wujud
Kerja-kerja selanjutnya meratakan lantai tingkat tiga dengan semin, memasang beam bagi roof, rangka roof, atap, memasang kubah, melengkapkan binaan menara.pintu gerbang,  kawasan wudhu`, bilik mayat, pemasangan lantai dan kerja-kerja finishing bagi dalam dan luar serta kerja-kerja landscaping, pagar dan hiasan luar.

Sekian.

October 2, 2014

Kerja-Kerja Sehingga Separuh Masa Pembinaan


BBB, 06 Zulhijah 1435 = 01 Oktober 2014 (Rabu):
Selepas kerja tanah ialah kerja piling tanah dengan tiang-tiang yang ditanam secara hentakan. Jumlah tiang-tiang ini beratus tiang yang setiap satu lebih kurang  30 kaki tinggi. Kerja piling ini memakan masa lebih dari sebulan. Kerja-kerja piling agak bising dengan bunyi hentakan, kemudian diikuti dengan penanaman cerocok dan dinding retaining wall bagi level bawah tanah.
Dilihat dari segi perkembangan sejak dari awal Februari hingga akhir Jun 2014 dilaporkan sebagai contoh sebagaimana  berikut:


a)      Masa terpakai  202 daripada 532 hari = 38%
b)      Kemajuan kerja  Fizikal
Jadual 12.91%     sebenarnya  14.04%     cepat  1.13%
Cepat 6 hari mengikut `Work Program`
Kerja-Kerja telah dilaksanakan di Tapak sehingga 30 Jun 2014
1  Kerja tanah                                                        95%
2. Kerja-kerja menanam cerocok                      100%
3.R.C. Retaining Wall (RW 2)                              100%
4. Pile cap                                                               100%
5.Lower Ground Beam                                           75%
6. Ground Beam                                                      85%
7. R.C. Shear Wall                                                    90%
8.Lower Ground Slab                                              25%
9. Ground Floor Slab                                               25%
Cuaca sepanjang kerja adalah baik.

Arahan-Arahan yang diterima dari consultant - Safari Ingenniuers:
1.       Perubahan aras tanah bagi:
a.       Bangunan TNB
b.      Rumah sampah
c.       Ruang sembelihan
 2.Perubahan lokasi cerocok di grid Line 1/B
3. Penambahan cerocok dan rasuk
4. Penambahan item untuk PVC Waterstop untuk RC Shear Wall
5 Penambahan Ground Beam at grid line 4B/K2 & K5/4-5C.
6. Pad Footing at grid line K5/4B & M2/6
7. Plith for FRP Hosereel Tank.
Manakala semua sample bahan binaan diuji adalah dilluluskan. Begitu juga dengan Cube test semuanya pass kecuali satu rebound (Pile cap GL 10-8/H-M2).
Sehingga bulan Ogos kemajuan pembinaan adalah 18.45% dan bulan September adalah 21.21 %
Dan aspek-aspek pembinaan yang lain yang belum siap turut bertambah dari segi kemajuan dan peratusan .


Hari ini masuk 01 Oktober 2014 dilihat dari segi perkembangan fizikal bahawa level bawah tanah telah dipasang dinding dengan batu bata merah. Turut dipasang batu bata ialah tingkat utama. Beam-beam pada tingkat tiga sudah siap dipasang dan tiang-tiang untuk kubah sudah tegak didirikan. Kerja-kerja sedang rancak berlaku. Hujan yang berlaku  berselang petang mutakhir ini tidak mengganggu dari segi progress pembinaan. Sebelum hariraya Idul Fitri pada Jumaat 4 Oktober 2014 dijangka kerja-kerja adalah melebihi 25%.
Apa yang dibentangkan adalah contoh sebahagian dari kerja-kerja yang dijalankan  memperlihatkan  ia   adalah bersifat teknikal dan professional, berjadual yang dapat diikuti dan diperiksa. Setakat ini perkembangan pembinaan adalah baik dan lancar serta menurut jadual.

Sekian.

October 1, 2014

Kerja-Kerja Awal Dan Laporan Dalam Tempoh Sebulan


BBB, 05 Zulhijah 1435 = 30 September 2014 (Selasa):
Kerja awal selepas `Masuk Tapak` pada 10 Disember 2013, ialah kerja tanah. Sebelum dari itu disyaratkan oleh MPKj pihak Pemaju agar mendirikan papan tanda yang menyatakan pemilik bangunan (JAIS), arkitek, civil engineer, perunding-perunding, kontrektor, rujukan kelulusan dari MPKj, tarikh mula masuk kerja dan tarikh siap.


Syarat yang lain ialah dimestikan mendirikan pondok pengawal di luar bagi pintu masuk pagar bagi kawasan pembinaan dan ada pengawalnya. Ini adalah bertujuan bukan saja mengawal kawasan yang berpagar, tetapi mesin-mesin dan barang-barang yang berkait dengan pembinaan. Keperluan yang tidak disebut, ialah pihak kontrektor perlu menyediakan `Pondok Pejabat` berhawa dingin sebagai site office dan pusat operasi yang boleh dirujuk padanya berhubung dengan panduan pelan dan keperluan barang-barang.  Pejabat ini juga adalah tempat mesyuarat misalnya mesyuarat AJK tapak yang bila bermesyuarat berhubung dengan teknikal dan pembinaan boleh dilihat terus perkara-perkara yang dibicara atau dibangkitkan. Pondok seharusnya boleh memuatkan lebih kurang 30 orang dengan kerusi, meja dan peralatan. Sudah tentulah berhampiran mempunyai toilet sebagai kemudahan kebiasaan. Berdekatan juga terdapat pondok yang menyimpan bahan-bahan dan peralatan pembinaan.
Sebagaimana pada kebiasaan, di dalam pagar bahagian sebelah kiri masuk selepas  Pondok Pejabat dibina pondok-pondok kongsi yang menjadi kediaman sementara bagi pekerja-pekerja yang tiada berumah atau rumah jauh dan memilih untuk menduduki pondok kongsi sebagai kediaman sementara. Pada peringkat permulaan peralatan yang dibawa bagi kerja-kerja tanah ialah mesin bolduzar dan lori-lori yang menolak dan mengangkat tanah-tanah ke lori untuk meratakan tempat-tempat yang tidak rata dan membawa tanah keluar ke tempat parkir.


Perkembangan pekerjaan selain dari dapat dilihat secara nyata, pihak kontrektor Tekad Nusantara melalui Site Agent (Sdr. Razak Rahman) menyediakan laporan bertulis bulanan secara standard dan disemak oleh Clerk of Works (Sdr. Azhar bin Ahmad) bagi dibentangkan sebagai laporan dalam Mesyuarat Tapak. Misalnya laporan bagi bulan pertama dari 10 Disember 2013 hingga 9 Januari 2014 laporan adalah mengenai:
 Butir-butir Projek dengan jumlah kontrek, tarikh milik tapak (10 Disember 2013), Tarikh penyiapan  (25 Mei 2015), Jangka masa projek (76 minggu), Denda kelewatan (tiada), Tempoh Tanggungan kecacatan (12 bulan), Lanjutan masa kontrek (Belum berkenaan), Kontrektor (Tekad Nusantara Sdn. Bhd.), Polisi Kontraktor All Risk (Ace Jerneh Insurance Berhad), No. Pendaftaran Perkeso (ada) dan Bon Perlaksanaan (Wang Jaminan Perlaksanaan).
Dari segi Laporan Kerja setelah sebulan berakhir 9 Januari 2014
a)      Masa Terpakai:
Hingga 9 Januari 2014   31 Hari, bahagi 532 = 5.8%
b)      Peratus Kemajuan Kerja Fizikal:
 Jadual (%) = 1.78
Sebenar (%) 1.66
Lewat (%) 0.12
Lewat:   1 Hari mengikut Cpm.
Turut disediakan carter jenis-jenis kerja yang melibatkan 359 item contoh, cat, tiang, siling, atap dan sebagainya yang kebanyakan belum wujud pada peringkat permulaan  kerja.
Turut diberi laporan mengenai kerja-kerja tapak  yang melibatkan  62 item seperti pengukuran,  Shear wall, pile cap, stump, ground beam dan sebagainya yang masih belum berlaku setakat sebulan kerja.
Turut dilaporkan laporan cuaca sejak 10 Disember 2013 sehingga 9 Januari 2014 yang digambarkan secara bulatan sebagai bentuk jam, juga disediakan laporan berhubung dengan jadual sumber tenaga manusia yang digunakan menurut perkembangan kerja dan masa. Begitu juga dilaporkan mengenai Jadual Mesin dan Jentera di Tapak. Terdapat ruang arahan kerja yang dikeluarkan oleh pihak consultant, Jadual sample bahan binaan (Perunding Safari Ingeniuers) sama ada diluluskan atau tidak dilulus (terdapat  mesin alat ujian bahan) serta senarai bahan dan resit penerimaan. Dan pada bahagian akhirnya ialah laporan bergambar.
Laporan sedemikian yang setebal 30 halaman atau lebih disediakan setiap bulan bagi setiap kali mesyuarat.


Pendek kata kerja-kerja pembinaan Masjid Al-Umm adalah secara professional yang melibatkan mereka yang berkemahiran di dalam bidang-bidang berkenaan.yang melibatkan AJK Pentadbir Induk, Teknikal, Tapak, arkitek, Perunding-perunding, pegawai  site office, tapak  dan arkitek. Setakat ini kita berpuashati dengan kerja-kerja yang berlangsung –teratur, licin dan lancar.

Sekian.