BBB, 9 Zulhijah 1435 = 4 Oktober 2014 (Sabtu):
Perkembangan pembinaan Masjid Al-Umm adalah berlaku
dihadapan mata Penulis. Setiap hari perubahan berlaku diperhati Penulis.
Lantaran bangunan Masjid Al-Umm yang dibina tidak jauh daripada rumah dan
pejabat penulis. Jika perubahan besar berlaku maka Penulis merakmkannya secara
bergambar. Sekali sekala pula Penulis meniti parit bersebelahan pagar zink,
naik ke atas – ke pintu masuk memerhati perkembangan pembinaan. Kebiasaannya pergi
secara persendirian atau melihat sebelum dan selepas Bermesyuarat Tapak dalam
kawasan pembinaan. Pemergian secara perseorangan jika disedara oleh pihak
Pengurus yang bertugas dan mengenali Penulis, maka dia mengiringi Penulis
melihat pembinaan dan menjawab pertanyaan.
Dalam tempoh mutakhir ini Penulis memerhati kerja-kerja
begitu pesat berlaku. Penulis melihat semua termasuk pekerja-pekerja mengejar
masa mau menyiapkan semua kerja dengan segera. Maklumlah tempoh sudah melebihi
separuh – sudah sepuluh bulan dari tempoh 18 bulan !
Hari ini – Sabtu petang jam 3.00, sebelum esok Hari Raya Idul
Fitri, pekerja-pekerja tetap bekerja, Penulis sengaja pergi meninjau ke
bangunan Masjid Al-Umm dengan meniti tepi
longkang naik ke atas – bahagian agak tinggi dan masuk ke tapak
pembangunan, masa itu hari redup dan hendak hujan. Dalam kawasan masjid ada
sebuah trailer panjang. Penulis bertanya kepada pekerja, ``Apakah barang yang
dihantar ?`` Jawab antara pekerja, ``Semin !``
Tanya Penulis, ``Bukankah semin dihantar secara ready mixed ?``Jawabnya,
``Tidak semua Tuan Haji (dia membahasakan Penulis Tuan Haji !), kerja-kerja
kecil dan memasang batu bata adalah
dengan semin yang dibancuh di sini. Kelihatan pekerja-pekerja membuka penutup
knaves dan antara mereka menurunkan beg-beg semin ke bawah pondok kongsi tempat
barang.
Kebiasaan Penulis melihat bangunan dari bahagian hadapan
(bermihrab), tetapi masuk dari bahagian jalan masuk bangunan, sebelum ini hanya
tiang-tiang baru dipasang untuk menara dan untuk tingkat tiga, tapi kali ini
banyak perubahan berlaku. Tapak menara sudah tegak dengan tiang asas, demikian
juga dengan rangka pintu gerbang dari hadapan sudah mempunyai asas tiang-tiang.
Ruang lift juga sudah dibina. Yang
paling jelas ialah lantai bagi tingkat tiga sudah siap dikonkrit dengan semin –
sebelah menyebelah, sedangkan bahagian tengah adalah ruang kosong yang menjadi
ruang utama (qa`ah) bagi tingkat utama (di atas tingkat bawah tanah). Bagi
tingkat utama ini sengaja tiada tiang tengah kecuali tiang-tiang junjung
bagi kubah, bagi melawaskan pandanga
jamaah ke hadapan. Penulis sengaja ke bawah tingkat tiga yang sudah dikonkrit
dan antara pekerja-pekerja menanggalkan papan dari bahagian bawah lantai
tingkat tiga berkenaan. Kepada beberapa pekerja yang berada di situ Penulis
bertanya,
``Sudah berapa lama lantai konkrit itu diseminkan ?`` Antara
mereka menjawab.
``Kurang lebih seminggu !`` Pekerja-pekerja buruh berkenaan adalah
Indonesia.
Dari bahagian lantai bersambung dengan tiang-tiang di bawah
sedang dipasang besi keluli untuk ditegakkan tiang-tiang bagi bahagiaan `roof`
bangunan. Separuh dari bahagian tiang antaranya sudah bersemin.
Dengan penuh rasa curiosity dan ingin tahu perkembangan bagi
tingkat tiga ini, Penulis mengintai-ngintai
bagaimanakah pekerja-pekerja ini naik turun ke bahagian atas ditingkat tiga.
Lantas Penulis melihat ada tangga besi kecil bengkang bengkok ke atas, satu
tangga di sebelah kiri berdekatan dengan Penulis dan sebuah lagi tangga di
sebelah kanan. Penulis membuat perhitungan dengan diri Penulis yang tergolong
sebagai warga emas ini, adakah berkemampuan memanjat tangga besi empat kali lipat itu untuk naik
sebahagian daripadanya ke level tingkat tiga. Penulis berkeyakinan boleh naik
dan mengambil keputusan naik !
Tanpa memberitahu kepada pekerja-pekerja secara bersendirian
Penulis melangkah ke tangga bergoyang itu dan naik dari mata tangga ke mata
tangga yang agak basah dan licin, lantaran hujan mulai turun. Al-hamdulillah
tidak ada masalah Penulis dapat naik ke
tingkat tiga dan bergerak memerhati lantai yang sudah dikonkrit, juga bergerak
ke bahagian mihrab dan mengambil gambar bahagian-bahagian penting dan memerhati
pandangan ke arah barat yang terdiri dari kedai-kedai dan perumahan yang
kelihatan di bawah dari bangunan masjid. Kiranya selepas tiang-tiang yang sedang
dibina untuk bahagian `roof` siap dan bahagian atap siap dan kubah dipasang
juga menara berkembar siap didirikan – insya Allah bahagian-bahagian masjid ini akan kelihatan
dari jalan masuk Tol ke Bandar Baru Bangi dan juga akan kelihatan dari Jalan
besar berdekatan UKM, apa lagi jika di waktu malam, apabila api di kubah dan
menara dipasang. Tentulah dari jauh bergemerlapan dengan cahaya api indah
kelihatan. Sudah pastilah Masjid Al-Umm menjadi `landmark` penting bagi Bandar
Baru Bangi.
Sedang penulis bergerak di lantai tingkat tiga Masjid Al-Umm dan mengambil gambar
bahagian-bahagian tertentu hujan turun dengan agak lebat. Oleh kerana tiada
perlindungan pada bahagian atas, maka Penulis turun kembali secara hati-hati
dari mata tangga ke mata tangga yang bergoyang itu. Al-hamdulillah tak ada
apa-apa bahaya berlaku dan Penulis berlindung di bawah lantai tingkat tiga
sambil kembali memerhati pekerja-pekerja sedang menanggalkan papan-papan dari
bawah lantai yang terlekat padanya, lantai- lantai yang diseminkan itu sudah
cukup kering.
Sebaik hujan reda Penulis kembali meniti tepi longkang parit
ditepi bangunan menurun ke bawah dan ke pejabat
Penulis dengan diri yang agak basah dan kesejukan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment