October 17, 2014

Pengalaman Pegawai Penyelaras Masjid Daerah Hulu Langat


BBB, 21 Zulhijah 1435 = 16 Oktober 2014 (Khamis):
Tokoh kedua yang bercakap tentang pengalamannya mentadbir  masjid ialah Ustaz Abdul Muis sebagai Pegawai  Penyelaras Masjid di Pejabat Agama Daerah Hulu Langat (PAID). Menurut Ustaz Muis  Pegawai yang terlibat langsung dengan masjid peringkat negeri ialah Ustaz Hanifuddin bin Haji Roslan.


Menurutnya, ``Mendirikan masjid mestilah  mendapat keizinan dari JAIS menurut anekman yang diperuntukkan dan pewartaan tapak oleh pihak kerajaan Negeri Selangor dan Masjid Al-Umm sudah mendapat kelulusan tersebut dengan itu pembinaan sedang dilakukan.``
Menurut Ustaz Muis, ``Di Hulu Langat – termasuk Ampang terdapat sebanyak:
49  Masjid
65  Surau yang mendirikan solat Jumaat
(Jumlah sutau yang berdaftar sebanyak 400 buah surau).
Sebagai Penyelaras Ustaz Muis memastikan pegawai-pegawai masjid yang dilantik menjalankan tugas dan  mempastikan peruntukan bagi masjid-masjid. Pihak masjid juga menjaga perjalanan surau-surau di bawahnya . termasuklah kegiatan dan mengawasi pemilihan AJK sebanyak 3 tahun sekali, termasuk pemilihan AJK Masjid.
Ustaz Muis berpuashati dengan perjalanan Masjid Al-Hasanah, bahkan menurutnya, ``Masjid Al-Hasanah adalah antara masjid yang dikategorikan antara Masjid 5 Bintang di Selangor dan satu dari tiga masjid di Hulu Langat, dua lagi masjid di Hulu Langat ialah Masjid Al-Azim Pandan Indah dan Masjid Al-Salam di Puchong.
Fungsi Masjid adalah untuk mendirikan solat dan berbagai kegiatan ibadat. Tetapi masjid boleh memikirkan keperluan-keperluan bagi ibu bapa yang datang berjamaah atau mengikuti pengajian dengan menyediakan  `Playing Room` kepada anak-anak yang dibawa dengan jagaan. Beliau juga berharap pihak masjid juga memberi  perhatian terhadap saudara baru di kariah masing-masing dengan membimbing mereka dengan keimuan agama, bantuan-bantuan dan  membawa mereka bergaul dengan masyarakat setempat. Menurutnya, Pihak Mais memang memperuntukkan asnaf zakat kepada mereka  dan pembahagian dilakukan sebanyak 2 kali setahun. Walau bagaimana kita tidak mau saudara bar u terus mengharapkan bantuan zakat, sebaliknya kita mengharapkan mereka dapat melepaskan diri dari jurang kemiskinan dan dapat memberi  sumbangan pula kepada masyarakat.
Ustaz Muis menyebut bahawa dari segi kewangan, masjid-masjid di bandar-bandar tidak menjadi masalah, kerana masjid mendapat sumber dari pungutan sumbangan dari ahli jamaah pada hari jumaat yang setengah masjid begitu lumayan dari segi dapatan. Bahkan selain dari pungutan hari Jumaat ada derma-derma yang diberi oleh ahli jamaah dari masa ke masa. Yang agak sukar ialah bagi masjid-masjid di luar Bandar, khususnya di kampung-kampung yang kurang dari segi dapatan dan tidak cukup dari segi peruntukan hingga tidak dapat membayar elaun bagi imam tambahan dan kakitangan masjid. Dalam keadaan masjid yang mendapat sumber yang agak banyak, ada masjid yang suka menghimpun pungutan, tetapi tidak mau berbelanja untuk kepentingan masjid, misalnya pembaikan bagi  bangunan yang rosak, memperuntukkan sebahagian bagi kebajikan seperti membantu anak yatim, faqir miskin dan mengadakan kegiatan bagi kepentingan pelajaran anak-anak kariah dan sebagainya. Manakala ada sebahagian masjid yang `kaya` memang berbelanja untuk kepentingan masjid dan anak-anak kariah yang memerlukan, tetapi oleh kerana pendapatannya banyak, maka duit di dalam simpanan tetap banyak. Di dalam hal ini Ustaz Muis mencadangkan, `Adalah baik jika masjid membantu dengan kelebihan wangnya kepada mana-mana surau di bawah jagaan masjid yang memerlukan, lantaran ahli-ahli surau berkenaan adalah jamaah masjid berkenaan. Dengan demikian dapat membantu keperluan yang dihajati oleh pihak surau atau surau-surau.
Berhubung dengan pengajian di bawah anjuran JAIS, Ustaz Muis menyebut bahawa pihak  JAIS mempunyai 22 orang guru ta`mir yang mengajar di masjid-surau di negeri Selangor, tetapi dengan jumlah guru seramai ini tentulah tidak mencukupi untuk dihantar mengajar di kesemua surau dan masjid. Walau bagaimana dengan masjid surau di Bandar seperti di Bandar Baru Bangi ini, guru-guru begitu banyak dan peruntukan ada mereka boleh menjemput guru-guru mengajar – bertauliah untuk mengajar berbagai-bagai pelajaran, kursus dan sebagainya. Walau bagaimana Ustaz Muis menyebut, bila menjemput guru yang kadang-kadang dari  jauh dengan kereta, janganlah imbuhan diberi sekadar RM50/= yang belanja minyak tidak dapat ditampung. Kiralah kos dan imbuhan yang sesuai dan tidak membebankan guru-guru yang datang dengan ikhlas dengan niat berdakwah dan membuat kebajikan.
Ustaz Muis juga menyebut, ``Masjid adalah Rumah Allah`` dan hak bagi mereka yang datang beribadat. Sebab itu masjid hendaklah bersifat terbuka. Misalnya terbuka untuk mereka yang datang beriktikaf, qiyamullail dan sebagainya. Pihak masjid seharusnya mengatur dengan bijak masa-masa di dalam pentadbiran masjid. Seterusnya bagi masjid yang mantap dan maju seperti Masjid Al-Hasanah ada menubuhkan koperasi bagi menjanakan kewangan dan asset masjid, bagi masjid yang merasa wajar dan berkelayakan dan bersesuaian boleh menubuhkan koperasi dengan mendapat nasihat dari pihak Angkasa atau Kpperasi Malaysia.
Sesungguhnya maju mundurnya perjalanan sesebuah masjid bergantung pada Nazir dan AJK Masjid, sebab itu bagi ahli kariah dan jamaah seharusnya memilih AJK yang dapat memaju dan mengimarahkan masjid.

Sekian.

1 comment:

  1. Saya setuju jika dikatakan Masjid al_Hasanah BBB boleh dikategorikan '5 bintang' kerana menampakkan masjid yang 'mesra' untuk warga emas dan OKU...Namun sejak akhir-akhir ini persekitaran masjid agak 'SARAT DAN MERIMASKAN' kerana terlalu banyak ruang aktiviti perniagaan diadakan hingga berlaku gangguan kepada jemaah dan aliran tafik. Biarlah pentadbiran m,asjid ini bersikap wasatiyah bukan melampau-lampau. Salam.

    ReplyDelete