October 11, 2014

Konsep Persyarikatan Ilmu Untuk Diaplikasi Di Masjid Al-Umm


BBB, 15 Zulhijah 1435 = 10 Oktober 2014 (Jumaat):
Di dalam kertaskerja yang dibentangkan Penulis  terdapat  satu cetusan  cadangan  mengenai konsep `Persyarikatan Ilmu` yang  dijangka akan diaplikasikan di Masjid Al-Umm. Konsep `Persyarikatan Ilmu` ini dilihat paling sesuai  dipraktikkan di Masjid Al-Umm memandangkan masyarakat di Bangi terdiri dari kalangan intelektual yang menguasai berbagai bidang ilmu pengetahuan dan sesuai pula dengan hasrat masjid mau menyediakan keilmuan agama dan keilmuan-keilmuan semasa yang releven dengan kehidupan masyarakat umat.


Apa yang dicadangkan itu adalah disetujui Pengulas Profesor Dr. Azimi, bahkan beliau menambah, ``Ilmu yang kita dapat adalah amat  terhad, hatta dalam bidang yang kita dalami, bahkan kita terhutang budi, bahawa apa yang kita dapati adalah sumbangan  ilmuan lain yang mendahului kita. Sebab itu bagi memperkayakan ilmu dan dapat dimanfaatkan oleh orang ramai kita hendaklah bersifat memberi dan menerima untuk diaplikasikan di dalam kehidupan.
Untuk tidak menimbulkan rasa keganjilan atau rasa tidak senang apabila sesuatu ilmu yang  dianggap bukan agama dan tidak sesuai dibawa ke masjid agar dilihat releven dan perlu bagi masyarakat dan keluarga Islam setempat khususnya di Bangi, maka premisnya seharusnya  bertolak dari konsep `Islam` Din dan Ibadah`. Bahawa `Islam is a way of life` dan `Din` adalah millah atau jalan atau aturan yang diikuti  dan ibadah segala amalan yang berfaedah dilakukan dengan niat yang baik dan tidak bercanggah  dengan nilai Islam – termasuk ilmu.  Kita perlukan berbagai  keilmuan yang releven bagi memandu kehidupan dunia akhirat. Di dalam hal ini konsep keilmuan yang dipelajari di masjid  seharusnya tidak terhad kepada keilmuan aqidah, syariat, akhlak dan tafsir-Hadith sahaja yang dianggap sesuai dipelajari di masjid, tetapi wajar sama dibicarakan menurut perspektif Islam ilmu-ilmu  misalnya ekonomi  Islam,  kesihatan, permakanan halal, keluarga bahagia  dan sebagainya, lantaran itu perlu diperbetulkan konsep keilmuan Islam kepada skop yang lebih luas dan releven dengan kehidupan. Dalam kata lain banyak keilmuan yang sesuai dibawa ke masjid bagi panduan hidup-mati  masyarakat umat Islam yang dengannya melengkapkan kehidupan dan termasuk di bawah amalan ibadah.
Merujuk kepada Masjid Al-Umm yang mau diaplikasikan konsep `Persyarikatan Ilmu` yang ahli kariahnya mempunyai ramai dari kalangan ulama`, intelektual dan pakar dalam berbagai bidang,  sebagaimana dikatakan setiap individu walau pun pakar ada aspek yang di luar dari pengetahuannya dan tentu bergantung kepada  pakar yang lain. Dari kalangan pakar sedemikian kita mengharapkan mereka sama  hadir dan mengimarahkan masjid. Kita tidak bertujuan mengajar mereka. Tapi kita mengharapkan dengan  kepakaran mereka   dapat mereka memberi  sumbangan  keilmuan mereka di masjid di samping dapat sama  mempelajari bidang-bidang  di luar dari kepakaran masing-masing.  Sesungguhnya tidak ada salahnya keilmuan-keilmuan berkenaan disampaikan di masjid. Apa lagi jika keilmuan berkenaan disampaikan  secara saintifik menurut perpektif Islam. Sudah pasti ianya merupakan sesuatu yang baharu dan menarik bagi jamaah.  Bayangkan melalui `Persyarikatan Ilmu` para jamaah dapat mengikuti di samping ilmu aqidah, syariat, tafsir dan Hadith, para jamaah juga dari semasa ke semasa menurut jadual mengikuti kuliah atau kursus berhubung dengan kesihatan misalnya `mencegah dari penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan obesiti. Dalam bidang ekonomi misalnya dapat dikuti berkenaan `Bajet rumah tangga di dalam menghadapi peningkatan harga dan inflasi, Menjimatkan kos pengangkutan dalam kehidupan harian, Kepentingan koperasi di Bangi. Dalam bidang Sains Sosial pakar menyampaikan tajuk, ``faktor-faktor yang mendorong kepada bercambahnya  gejala sosial dan mencegahnya, Pakar dalam bidang IT  dan  komputer misalnya menyampaikan kuliah bertajuk, Melaris atau berniaga melalui online – Internet. Sesungguhnya banyak lagi bidang dan kepakaran yang ada di Bangi seperti bidang psikologi, biologi, kimia, pertanian, perbandaran, kepolisian, industri dan sebagainya yang dapat dijemput dan diselang seli dengan pengajian pure Islamic.
Walau bagaimana pengisian bagi mengimarah masjid berkenaan seharusnya tidak dilakukan secara tankap muat bagi mengisi slot-slot yang kosong semata-mata, tetapi sebagaimana bidang-bidang keislaman jati mempunyai kurikulum dan slibus, buka-buku rujukan dan panduan, maka demikianlah dengan bidang-bidang keilmuan di luar dari keilmuan agama yang biasa perlu dikendali pakar-pakar  di dalam bidang-bidang berkenaan berunding bagi membincangkan topic kandungan, buku-buku bacaan dan rujukan serta tokoh-tokoh yang mau dijemput agar semuanya berada di dalam kerangka keilmuan menyeluruh ,  bersepadu dan terarah yang benar-benar memberi  faedah kepada para jamaah dan pelajar-pelajar yang mengikutinya.
Kita percaya dengan pendekatan keilmuan Islam yang tradisi dan semasa serta  releven dengan kehidupan pengajian menjadi lebih segar dan dapat menarik lebih ramai peminat dan pengunjung yang setia sebagai jamaah masjid. Dengan konsep `Persyarikatan Ilmu`, maka natijahnya:
1)      Memperluaskan konsep keilmuan Islam tidak terhad kepada yang bersifat tradisional, tetapi juga bersifat semasa.
2)      Memberi peluang kepada pakar-pakar menampilkan keilmuan mereka dari perspektif Islam yang dengan demikian meluaskan skop keilmuan Islam.
3)      Bagi yang mengikuti pengajian merasa ada pembaharuan dan kesegaran  dengan keilmuan-keilmuan yang dipelajari
4)      Dengan persyarikatan ilmu semua pihak mendapat manfaat dan berkat
5)      Masjid benar-benar menjadi sumber ilmu dan memperkukuhkan ibadat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment