October 9, 2014

Ulasan Terhadap Kertaskerja `Pengajian Di Masjid Al-Umm: Cadangan`


Oleh: Profesor Dr. Azimi bin Hamzah
Profesor di Fakulti Pendidikan, Universiti Putera Malaysia. (Pengkhususan Pengajian Sepanjang Hayat)
(Hotel Puri Pujangga, UKM: Ahad 26 Zulkaedah 1435 = 21 September 2014).
Bertepatan dengan bidang kepakarannya dan selari dengan tuntutan Islam agar menuntut ilmu sepanjang hayat (Maksud Hadith: Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad). Menurut Prof. Dr. Azimi, ``Masjid adalah institusi yang menyediakan pendidikan sepanjang hayat. Pendidikan bersifat akli, rohani dan amali serta tiada batas umur, mulai dari anak kecil, kanak-kanak, remaja, dewasa hinggalah kepada warga emas.``
Sebab itu masjid menurut Prof. Azimi, ``Hendaklah mampu menyedia dan mengisi fungsi  dan peranan masjid sebagai memenuhi tuntutan pengajian, penghayatan dan amalan  sepanjang hayat sebagaimana diperlukan oleh anak kariah dan masyarakat setempat.`` Tuntutan adalah bagi menyempurnakan amalan berterusan terutama yang bersifat fardu dan kifayah, juga bagi kepuasan rohani dan akli, agar dengan demikian mereka bukan saja beribadat dan beramal salih secara betul, tetapi merasa manis beribadat, ikhlas dan taqwa dari segi  amalan dan tenang menghadapi kehidupan, reda dan pasrah dengan segala ujian dalam  perjalanan kembali kepada Ilahi.
Menurut Profesor Azimi
·         Masjid Rumah Allah hendaklah bersifat terbuka dan ahli kariah merasa sebagai milik bersama
·         Bersih, menarik dan teratur
·         Menyenangkan  jamaah untuk terus berkunjung
·         Menyelesaikan masalah semasa
·         Sumber pengajian dan kerohanian
Masjid Al-Umm sebagai Rumah Allah adalah rumah terbuka untuk dikunjungi, khususnya untuk beribadat. Seharusnya tidak ada sekatan bagi siapa yang datang. Masjid Al-Umm didirikan atas derma orang ramai. Ini memperkukuhkan lagi Masjid Al-Umm adalah milik bersama. Tiap ahli kariah seharusnya sama bertanggungjawab dan sama berusaha mengimarahkannya. Dengan keterlibatan semua pihak menjadi semua menyayangi masjid dan memang ianya adalah milik bersama.
Prinsip taharah adalah sesuatu kemestian di dalam ibadat. Tanpa taharah zahiri (daripada najis) dan maknawi (seperti berhadath – kecil dan besar) tidak sah solat seseorang. Ini seharusnya difahami betapa taharah amat ditekan di dalam Islam, bahkan diungkapkan bahawa `Al-Nazafah` - kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Sebab itu pihak yang diberi amanah menjaga masjid hendaklah mempastikan kebersihan masjid, supaya ianya tidak menjadikan pengunjung jijik. Setiap juzuk masjid daripada ruang dalam hingga kepada tandas dan tempat berwudhu` hendaklah bersih.  Termasuk di bawah bersih dan menarik ialah binaan dan landscape masjid. Seni bina masjid dan landscape masjid yang menarik adalah salah satu faktor yang menarik jamaah dan pengunjung datang dan mungkin jadi daya tarikan bagi pengunjung dari luar datang dan ianya merupakan dakwah secara halus kepada mereka – terutama bagi yang bukan Islam terhadap Islam. Masjid Al-Umm insya Allah menjadi salah salah `landmark` yang penting di Bangi dan diharap lebih terkenal dengan kegiatan-kegiatannya yang mengukuhkan syiar Islam di Bangi.
Profesor Azimi  menekankan agar Masjid Al-Umm berperanan sebagai `One Stop Centre` yang bukan saja ianya berfungsi sebagai tempat ibadat dan pengajian, tetapi dapat menyelesaikan keperluan dan masalah masyarakat. Sememangnya selama ini pihak masjid berperanan seperti menguruskan kematian, perkahwinan dan upacara-upacara seperti khatam, khitan dan mengadakan berbagai-bagai sambutan perayaan, tetapi Profesor Azimi mau masjid  berperanan lebih dari itu, iaitu mesra keperluan seperti menyediakan perkhidmatan dylisis kepada pesakit-pesakit buah pinggang, mengadakan hari kesihatan, kempen membasmi denggi dan menganjurkan kempen kebersihan dan gotong royong bersama masyarakat setempat melalui rukun tetangga, JKK,  persatuan penduduk dan sebagainya,..
Masjid juga seharusnya  melibatkan diri dengan kegiatan kemasyarakatan seperti mengadakan hari keluarga yang dapat mengeratkan ukhuwwah sesama jiran tetangga dan masyarakat,menganjurkan kem ibadat dan sukan di kalangan belia. Beliau menganjurkan agar mencontohi kegiatan beberapa masjid di Singapura yang dapat menarik golongan muda ke masjid dan antaranya turun kepada masyarakat mengadakan klinik Al-Qur`an yang fokus utamanya terhadap golongan muda.
Masjid juga haruslah peka dengan masalah ahli kariah  misalnya mereka yang kemalangan, sakit,muallaf,  mereka yang miskin dan anak yatim. Sebaiknya masjid mempunyai biro-biro  yang memberi  perhatian terhadap bidang-bidang yang releven seperti kebajikan, ekonomi, kemasyarakatan, pendidikan, keselamatan, penceriaan, dakwah, kewangan dan sebagainya.

Bersambung.

No comments:

Post a Comment