October 18, 2014

Pengalaman Nazir Mengimarahkan Masjid Al-Hasanah Bandar Baru Bangi


BBB, 22 Zulhijah 1435 = 17 Oktober 2014 (Jumaat):
Panel terakhir  Sidang Pleno  bagi Bengkel Untuk Merancang & Mengimarahkan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi ialah Ustaz Mohd Napiah Shahrani Nazir Masjid Al-Hasanah yang telah dua penggal dilantik memegang amanah mentadbir Masjid Al-Umm – Bermula 1 Jun 2009. Beliau adalah Mantan Pensyarah di Institut Pendidikan Islam Bangi dan Pentadbir beberapa sekolah. Di bawah pentadbirannya dengan AJK yang aktif ketara Masjid Al-Hasanah yang mula digunakan 2001 itu begitu maju. Terbaru Masjid Al-Hasanah dikategorikan sebagai salah sebuah Masjid Bertaraf Lima Bintang di Selangor – Tahniah.


Menurut Tuan Nazir Haji Napiah, kemajuan pentadbiran Masjid Al-Hasanah mempunyai kesan dari Surau Al-Nur, Seksyen Satu Bandar Baru Bangi, kerana pada peringkat permulaan sebahagian dari tenaga aktif di Surau Al-Nur dipinjamkan ke Masjid Al-Hasanah seperti Tuan Haji Ghazali Abbas, Dr. Tajul Ariffin Noordin yang pada masa itu juga adalah YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dan Tuan Haji Kamaruddin Muhammad. Kata Tuan Nazir, ``Saya adalah generasi yang meneruskan pentadbiran di Masjid Al-Hasanah.``  . Kemajuan masjid dan surau pada era ini juga ada hubungan dengan suasana baru kerajaan yang lebih bersifat terbuka bagi masjid-surau menjalankan kegiatan. Sebab itu imarah masjid-surau berlaku di seluruh negeri Selangor yang kesannya masih berlangsung hingga kini.
Menurut Tuan Haji Napiah, ``Kemajuan sesebuah masjid adalah bergantung pada cinta dan mesranya ketua dan Ajk yang dilantik terhadap tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Dengan cinta dan mesra ini membuat setiap orang menjalankan tugas secara ikhlas. Kemajuan lebih terserlah dengan adanya kepakaran dan kebolehan AJK yang dilantik mengepalai biro masing-masing.
Bersama AJK juga melalui mesyuarat dijana idea-idea bernas yang diterjemahkan kepada tindakan menurut bidang-bidang tugas berkenaan.
Satu cabaran yang dihadapi oleh Masjid Al-Hasanah ialah, bagaimana menarik jamaah  mengimarahkan Masjid Al-Hasanah yang pada peringkat permulaan relatifnya kurang dari jamaah.
Menurut Tuan Nazir, ``Daya tarikan paling utama ialah bagaimana kita mengimarahkan masjid yang dapat menjadi tarikan para jamaah hadir. Menurut Tuan Nazir, antara pendekatan yang diambil yang antara para hadirin pernah sama terlibat ialah:
·         Melantik biro-biro yang menjalankan aktiviti, iaitu Biro Dakwah, Pembangunan dan Landscape, Kebajikan dan Keselamatan, Perkuburan dan Wakaf, Pendidikan, Belia Masjid, IT dan Multimedia,  Wanita dan Ekonomi.
·         Mengadakan kelas-kelas  pengajian, antaranya dikenali dengan `Tafaqquh fi al-Din` yang ulama, guru-guru dan para pakar keilmuan tidak begitu sukar untuk didapati di Bangi untuk mengajar di dalam berbagai bidang keilmuan yang disusun.
·         Mewujudkan `Kumpulan Pakar  Rujuk` yang dapat dirunding bila timbul permasalahan hukum, tindakan yang mau diambil atau memberi  pandangan  terhadap sesuatu kegiatan yang hendak dilakukan agar tidak timbul kontroversi.
·         Pengajaran diadakan setiap malam, lebih banyak pengajaran, pembelajaran, kursus diadakan pada hari Sabtu dan Ahad. Masjid Al-Hasanah mempunyai `Bank Maklumat` mengenai penceramah-penceramah yang sering dijemput datang berceramah. Terdapat 40 tokoh penceramah yang sering berceramah di Masjid Al-Hasanah.
·         Mengadakan karnival bagi member peluang masyarakat lebih dekat kepada masjid dengan berbagai permakluman dan kegiatan yang dilakukan.
·         Mengadakan berbagai  sambutan dan perayaan tahunan. Contoh Hariraya Idil Fitri, Idul Adhha, maulid al-Rasul, Hijrah al-Rasul dan berbagai-bagai lagi.
Menurut Tuan Nazir Haji Napiah, ``Kini masjid Al-Hasanah menghantar guru-guru dari Masjid Al-Hasanah mengajar di surau-surau yang memerlukan tenaga pengajar. Contoh mengajar Membaca Al-Qur`an dan keilmuan fardu –  di Surau Al-Ridhwan di Seksyen 16 Bandar Baru Bangi.
Masjid Al-Hasanah juga kini menubuhkan koperasi yang ahlinya terbuka kepada penduduk Bandar Baru Bangi. Koperasi ditubuhkan sebagai asset kepada Masjid Al-Hasanah di samping menjana sumber kewangan. Setakat ini koperasi ini mendapat sambutan dari para jamaah Masjid Al-Hasanah.
Sebagai kesimpulan, Masjid Al-Hasanah adalah milik penduduk Bandar Baru Bangi, kami diberi amanah untuk mengimarahkan Masjid Al-Hasanah secara berjamaah, namun pengimarahan tidak dapat dicapai sepenuhnya tanpa kerjasama dari berbagai-bagai lapisan penduduk. Setakat ini kami mendapat sokongan yang menggalakkan  dari  penduduk. Dengan kerjasama mereka masjid berusaha menjalankan berbagai-bagai kegiatan yang masyarakat dapat ikuti dan nilaikan.
``Sama-samalah kita mengimarahkan Masjid Al-Hasanah – Masjid kita bersama.``

Sekian.

No comments:

Post a Comment