October 5, 2014

Lanjutan Pendekatan, Kategori Dan Bidang


BBB, 09 Zulhijah 1435 = 04 Oktober 2014 (Sabtu):
Masjid adalah Pusat Ibadat yang juga berfungsi sebagai institusi pendidikan dan kegiatan kemasyarakatan yang sesuai dengan Islam. Ianya melibatkan semua masyarakat Islam dari peringkat anak-anak membawalah kepada remaja, orang dewasa hinggalah kepada warga emas – lelaki dan perempuan. Lantaran itu perancangan mengimarahkan masjid dan pendidikan perlu memenuhi keperluan semua peringkat dan generasi masyarakat. Perancangan pula bukan setakat  memenuhi  semua peringkat, tetapi mempunyai visi dan misi bagi memperkembangkan potensi yang sedia ada dan belum ada  pada mereka kepada kemampuan menerima ilmu dan pendidikan termasuk kerohanian kepada tahap maksimum. Dengan demikian setiap orang berilmu dan berpendidikan  dapat menunaikan ibadat secara terbaik dan khidmat kemasyarakatan ke tahap cemerlang.


Di dalam kertas kerja yang dibentangkan sungguhpun ia menghadkan kepada bidang pengajian dan pendidikan ianya merangkumi semua kategori lapisan masyarakat yang berada di sekitar Bandar Baru Bangi. Antaranya dengan menkategorikan mereka kepada tahap umur. Misalnya berdasarkan fasiliti yang ada di Masjid Al-Umm dicadangkan:
1)       Ada pendidikan pada tahap Tadika
2)      Kelas Pengajian Al-Qur`an untuk anak-anak
3)      Kelas Tahfiz
4)      Kelas IT
5)      Pengajian Terbuka mengiringi solat-solat tertentu – Termasuk ceramah Agama
6)      Pengajian Khas Untuk Wanita
7)      Pengajian Hujung Minggu
8)      Pengajian Secara Pakej
9)      Pengajian Ala Pondok
10)   Kelas-Kelas Bimbingan
Bahkan tahap pengajian dilihat dan dikategorikan kepada:
1)       Kalangan ulama`,  intelektual dan professional
2)      Mereka yang mantap dalam bidang keilmuan Islam dan bidang-bidang yang lain.
3)      Masyarakat awam biasa
4)      Belia dan pelajar
5)      Tahap anak-anak.
Bagi yang di dalam kategori satu dan dua di atas, mereka tidaklah diajar, tetapi lebih kepada `Persyarikatan Ilmu`. Ertinya mereka diharap dapat sama menyumbangkan keilmuan dan kepakaran mereka di dalam pengajaran di masjid. Pengajaran lebih ditujukan kepada masyarakat awam. Bagi belia dan pelajar ada pendekatan dan bidang pengajian yang sesuai bagi mereka. Demikian bagi tahap anak-anak disesuaikan pendidikan kepada mereka pada tahap tadika.


Paling penting dari segi pengajian ialah apakah bidang-bidang ilmu yang mau ditawarkan oleh Masjid Al-Umm kepada khalayak masyarakat yang datang beribadat dan meminati ilmu pengetahuan. Dari segi pendekatan  ialah bidang-bidang fardu, kifayah dan tuntutan yang dapat memberi bekalan hidup-mati kepada jamaah. Bidang-bidang berkenaan adalah bermula dari peringkat bawah membawalah kepada peringkat tinggi. Sebagai contoh pengajian Al-Qur`an adalah diberi keutamaan di dalam pengajian di Masjid Al-Umm. Dari peringkat bawah adalah bermula daripada mengenali huruf-huruf Al-Qur`an. Membaca kepada mengeja, memulakan pengajian dari muqaddam hinggalah tamat 30 juz` termasuk dengan pengajian tajwid. Pada peringkat yang lebih tinggi menghafal Al-Qur`an secara sistematik melalui pengajian tahfiz. Dan lebih tinggi daripada itu mendalami Al-Qur`an melalui pengajian tafsir dan mengistinbat dari ayat-ayat Al-Qur`an terhadap bidang-bidang keilmuan yang lain.
Walau bagaimana pengajian yang ditawarkan tidaklah merupakan pengajian agama per-se, tetapi dibekalkan sama keilmuan-keilmuan yang releven dan ada kaitan dengan bidang keislaman. Namun tidaklah masjid menawarkan segala ilmu secara luas, kerana bidang-bidang berkenaan ditawarkan oleh pengajian-pengajian tinggi yang releven yang banyak terdapat di Bangi dan sekitarnya. Keilmuan yang ditawarkan:
1)      Al-Qur`an dan Tajwid
2)      Aqidah
3)      Fiqh
4)      Tafsir
5)      Hadith
6)      Tasawuf
7)      Sirah
8)      Ekonomi Islam
9)      Bahasa-Bahasa (Arab, Melayu, Inggeris) dan IT
10)   Seni Khat, Tarannum, Nasyid, Marhaban, Animasi dan lain-lain.
11)   Kursus keusahawanan
12)   Tasawwur Islam
Bagi setiap bidang keilmuan disediakan kurikulum, buku-buku rujukan dan buku utama yang dipilih sebagai teks utama dalam pengajaran dan pengajian..
Pengajian di atas tentulah memerlukan guru-guru berkelayakan, masa yang bersesuaian, ruang yang selesa, kaedah pengajaran yang baik dan penilaian pencapaian mereka yang mengikuti  pengajian.
Keperluan-keperluan yang lain ialah pentadbiran yang cekap, pengajian yang bermutu, kewangan yang mantap, perpustakaan yang lengkap dan wujudnya kumpulan pelajar dan pengajian  secara berterusan.
Masjid dengan fungsi utamanya sebagai tempat ibadat, ianya turut berperanan di dalam memberi khidmat kepada masyarakat. Masjid Al-Umm misalnya menyediakan ruang untuk kenduri , majlis perkahwinan, seminar dan perhimpunan, khairat dan pengurusan kematian, juga kemungkinan menyediakan khidmat takaful  dan koperasi  jika disetujui.
Diharap Masjid Al-Umm dapat membantu meningkatkan kualiti ibadat, keilmuan dan kehidupan masyarakat di Bangi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment