October 24, 2014

Merakam Kenangan Dan Mengikuti Ucapan Alu-Aluan Naib Canselor


BBB, 28 Zulhijah 1435 = 23 Oktober 2014 (Khamis):
Sedang para `Graduan Sulung UKM` masih bermesra ,  menjalin  kenangan silam dan gembira dengan pertemuan, jam 12.15 Pengerusi  Majlis mengumumkan ketibaan Naib Canselor UKM, para Graduan Sulung UKM sebahagian bangun  menuju ke hadapan untuk menyambut kehadiran Naib Canselor Ybhg. Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali, termasuk Penulis untuk bersalam dan mengucapkan selamat datang, tetapi sebahagian besar daripada mereka kembali ke kerusi masing-masing bagi mengikuti acara formal. Penulis sejak mula-mula tiba berkira-kira untuk mengambil tempat duduk di bahagian hadapan, tetapi dimaklumi dari tanda-tanda di meja, bahawa empat meja di bahagian hadapan adalah untuk VIP-VIP.  Meja Naib Canselor dan pegawai-pegawai ialah meja pertama dari kanan Pengerusi majlis. Penulis mengambil meja kedua dari barisan kedua dari hadapan pengerusi.  Bersama dengan Penulis di meja ini ialah Tuan Haji Mohd. Nor Haji Yasin yang sama bertolak dari Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi, saudara Auni bin Abdullah, Dr. Mohd Nor Manuty dan saudara Dr Koh Aik Khoon.


Kehadiran Naib Canselor tidaklah terus ke meja VIP, tetapi beliau bersalam dan berkenalan dengan sebahagian dari `Graduan Sulung UKM`, tetapi pada akhirnya Naib Canselor tidak mengambil tempat di meja bahagian hadapan yang khas disediakan, sebaliknya beliau mengambil tempat di meja yang Penulis bersama. Beliau mengambil tempat duduk antara Dr. Mohd Nor Manuty dan saudara Auni bin Abdullah – bertentang dengan Penulis. Dari mulut beliau keluar ucapan syukur dan terima kasih di atas kehadiran dan kejayaan Majlis Mengimbau Kenangan  `Graduan Sulung UKM` yang pertama kali diadakan. Menurut Naib Canselor yang nampaknya mengenali Dr. Mohd Nor Manuty sebelahnya dan menyebutnya `Orang Sama Sekampung – Batu Kurau` Naib Canselor menyebut dengan nada merendah diri, `` Tuan-tuan Graduan Sulung UKM boleh disifatkan sebagai bapa bagi saya, kerana semasa UKM dibuka saya masih bersekolah rendah darjah tiga, tetapi saya sudah dapat memahami perjungan mendirikan Universiti Kebangsaan Malaysia.`` Sampuk penulis, `Tuhan mengatur kehendakNya  Tuan dilantik menjadi Naib Canselor, tahniah ! Dan berpeluang kita bertemu dan melakar sejarah di dalam majlis yang bersejarah ini !.`` Menurut Naib Canselor, beliau difahamkan, ``Pemilihan pelajar-pelajar sulung UKM dengan memberi  keutamaan kepada calon-calon yang layak dan  membuat pilihan utama ke UKM.``  Penulis mengiakan, lantaran Penulis sendiri membuat pilihan utama ke UKM semasa membuat permohonan masuk  dan diterima sebagai  antara pelajar sulung yang masuk ke UKM.
Sedang asyik bercakap Pengerusi Majlis mengumumkan, sebelum majlis rasmi dimulakan, ``Semua Graduan Sulung UKM` dan para pegawai universiti yang menurut senarai turut hadir ialah Ybhg. Prof. Datin Noor Aziah Mohd Awal Timbalan Naib Canselor (HEPA), Prof. Ir. Dr. Riza Atiq Abdullah O.K.Rahmat Timbalan Naib Canselor (HEAA), Prof. Dr. Imran Ho Abdullah Timbalan Naib Canselor (HEJIM) dan belasan pegawai-pegawai kanan universiti dijemput sama bergambar kenang-kenangan. Lokasi bergambar ialah di tangga ruang masuk ke Lobi Hotel Puri Pujangga. Selepas acara bergambar yang mengambil masa lebihkurang 15 minit, para Graduan Sulung UKM dan para pegawai universiti dijemput kembali di dalam dewan bagi memulakan acara. Naib Canselor juga kembali  ke kerusi bersama kami bagi sama mengikuti acara.
Majlis rasmi bermula dengan Lagu Negaraku dan lagu rasmi UKM `Varsitiku` dan kemudian pembacaan doa. Berikutnya Naib Canselor Ybhg. Prof Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali  dijemput menyampaikan ucapan alu-aluan.
Dalam ucapannya Naib Canselor menggalurkan sejarah perjuangan melahirkan UKM yang pada permulaan melahirkan graduan  menerima ijazah Am- Sarjanamuda  (tahun 3, tahun 4 ijazah kepujian bagi yang layak) adalah berjumlah 166 orang yang pecahannya:
32  Pengajian Islam
23  Sains
111 Sastera
Menurut Naib Canselor hingga kini UKM telah mengeluarkan seramai 163,853 siswazah. Naib canselor juga memperkenalkan  Timbalan-Timbalan Naib Canselor dan beberapa Dekan yang turut hadir.Prof. Datuk Naib Canselor bersyukur dapat berkenalan dengan para Graduan Sulung UKM dan berterima kasih kerana menerima jemputan dan datang ke majlis yang begini bersejarah. Para Graduan Sulung juga dijemput  sebagai tamu istimewa untuk menghadiri konvokesyen  sesi  pertama mulai 1 November 2014 ini.


Datuk Prof Naib Canselor menyebut slogan yang dikaitkan dengan UKM sebagai `The Guardian of The Nation` yang menjadi harapan masyarakat yang memperjuangkan bagi mendirikan UKM. Menurutnya ini adalah tanggungjawab besar bagi UKM. Pada permulaan UKM ditubuhkan menurutnya, semacam kurang keyakinan masyarakat, tetapi  hasil dari kegigihan UKM kini ia adalah satu daripada Universiti Penyelidikan terbaik di  Malaysia dan merupakan  Universiti ke 56  terbaik di dunia. Kini dengan hampir 170 ribu keluarannya berkhidmat di dalam berbagai lapangan dan di mana saja kita pergi di Malaysia, terdapat graduan UKM berkhidmat. Ramai pula graduan bersifat antarabangsa. Sesungguhnya kejayaan UKM sekarang adalah merupakan hasil dari langkah awal kejayaan yang telah diterokai oleh Graduan Sulung UKM. Semua pihak berbangga dengan UKM dan diharap semua pihak bekerja keras bagi melaksanakan amanah yang diletakkan masyarakat kepada UKM. Kita berharap akan terus melakarkan kejayaan dan masa depan yang lebih cemerlang.
Selepas Naib Canselor berucap, beliau kembali ke kerusi di meja kami dan kami bersalam dengannya dan mengucapkan syabas di atas ucapannya.
Selepas ucapan alu-aluan dari Prof. Datuk Dr. Noor Azlan para hadirin dijemput menikmati jamuan tengahari dan perbincangan secara tidak resmi berterusan di kalangan hadirin, termasuk ucapan ringkas dari beberapa Graduan Sulung UKM.
Majlis berakhir menurut jadual jam 2.00 petang. Kami sekali lagi bersalam dengan Naib Canselor dan mana yang berkesempatan dengan para hadirin.

Sekian.

No comments:

Post a Comment