October 27, 2014

Adakah Bangi Benar-Benar Pemangkin Kemajuan UKM Dan Sebaliknya Seperti Diharap Tun Abdul Razak ?


BBB, 02 Muharram 1436 = 26 Oktober 2014 (Ahad):
Permohonan kedua Penulis dalam ucapan pada Majlis Mengimbau Kenangan `Graduan Sulung UKM` ialah dengan merujuk kepada harapan Tun Abdul Razak Canselor Pertama UKM dan juga Perdana Menteri Malaysia, Tun berharap, ``Bahawa dengan pembukaan Bangi adalah menjadi pemangkin kepada kemajuan UKM Dan Sebaliknya`. Dalam kata lain Tun berharap agar Bangi menjadi `Bandar Universiti` sebagaimana Cambridge menjadi `Bandar Ilmu kepada Universiti Cambridge dan Bandar Oxford menjadi `Bandar Ilmu` kepada Universiti Oxford. Demikian juga dengan  Lembah Silikon Valley di California mempunyai universiti  terbaik, iaitu University of California dan  Stanford University dan Route 128 yang mempunyai universiti terbaik di dunia, iaitu Harvard University dan Massachusette Institute of Technology (MIT). Adakah Bangi berciri Bandar Universiti sebagaimana bandar-bandar universiti di atas dan adakah harapan Tun Abdul Razak itu terlaksana ?
Jawapan adalah mengecewakan. Bangi baik sebelum wujudnya KLIA (1990an dan Putrajaya 2001) dilihat sebagai tidak ada hubungan dengan UKM. Sebelum ada KLIA dan Putrajaya – Bangi bukan tempat pilihan, tetapi sekadar menyediakan tempat tinggal kepada pekerja-pekerja kebanyakannya bawahan bagi UKM, UPM dan pekerja-pekerja kilang. Bila Bangi makin maju dengan adanya KLIA dan Putrajaya dan pasaran hartanah meningkat maju dan menjadi pilihan tempat tinggal berbagai golongan, Bandar Baru Bangi dilihat tidak lebih dari Bandar biasa dan tidak ada kaitan dengan UKM.
Penulis dalam ucapan mengharapkan pihak UKM sama memberi  perhatian terhadap Bangi dan sama mempertingkatkan imej Bangi sebagai `Bandar Ilmu` yang diharapkan oleh Tun Abdul Razak. Ianya perlu melalui plan-plan teratur dan program-program terancang yang melibatkan agensi-agensi, kerajaan negeri dan juga Persekutuan. Sesungguhnya pembangunan Bangi  Bandar yang paling dekat dengan UKM akan turut sama menaikkan imej UKM dan UKM tidak sepatutnya menjadikan Bangi sekadar jalan laluan keluar masuk ke kampus sahaja.


Walaupun harapan agar `Bangi` menjadi Bandar Universiti` tidak kesampaian, usaha dilakukan memprojekkan Bandar Baru Bangi sebagai `Bandar Ilmu`. Misalnya sempena Sambutan 30 Tahun  Bandar Baru Bangi mulai 30 Julai – 1 September 2007, mulai dipopularkan bahawa `Bangi Bandar Ilmu`. Pada masa Penulis sebagai Adun Bangi (2008-2013) Perasmian Bangi Bandar Ilmu ini telah dilakukan oleh Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid bin Ibrahim Menteri Besar Selangor pada 22 Jun 2008 bertempat di KUIS. Pelancaran `Bangi Bandar Ilmu`  kemudiannya diikuti pihak Negeri yang kemudian turut mengadakan Hari Ilmu selepas itu mulai setiap 26 Jun 2010 setiap tahun.
Konsep `Bangi Bandar Ilmu` adalah berdasarkan kegiatan keilmuan berlaku di Bandar itu seperti di masjid, surau dan institusi-institusi keilmuan dan Bangi dikelilingi oleh berpuluh Pusat Pengajian Tinggi seperti UKM, UPM, USIM, Nilai Universiti, Universiti Multi Media, German-Malaysian Institute, French- Malaysian Institute, Lim Kok Wing University, KUIS, Mara Universiti, Kolej Dar Al-Hikmah dan berpuluh-puluh Pusat Penyelidikan. Walau bagaimana di tengah berbagai-bagai pengajian tinggi, UKM adalah universiti  utama yang menjadi harapan Bangi, lantaran Bangi diwujudkan pada asalnya berkait dengan kewujudan universiti  tersebut dan imej Bangi sebagai Bandar Ilmu diharap lebih merupakan pancaran dari UKM di samping berbagai-bagai universiti   dan pusat-pusat pengajian tinggi yang lain.
Dari segi  operasi  menjadikan` Bangi Bandar Ilmu` pihak Adun Bangi pada masa itu memperuntukkan setiap tahun  peruntukan antara tertinggi kepada  kegiatan keilmuan, di samping keagamaan dan kebajikan. Peruntukan dibelanjakan bagi member insentif kepada pelajar-pelajar di Dun Bangi dari peringkat rendah hinggalah kepada peringkat tinggi. Menggalakkan penyebaran keilmuan melalui masjid dan surau. Lawatan-lawatan dibuat kepada beberapa pengajian tinggi berkenaan – tidak UKM sebagai menjalinkan hubungan dan kerjasama dengan pengajian-pengajian tinggi berkenaan, terutama di dalam bidang keilmuan dan kemasyarakatan.


Bagi merakamkan konsep, gagasan dan merealisasikan Bangi Bandar Ilmu pihak Adun Bangi melalui Sekretariat Bangi Bandar Ilmu yang ditubuhkan bagi mempromiosi dan meningkatkan Bangi Bandar  Ilmu telah menerbitkan  tiga buah buku berhubung dengan Bangi Bandar Ilmu, iaitu:
1)      Bangi  Bandar Ilmu (2012)
2)      Gagasan Bangi (2012)
3)      Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu (2014)
Buku Bangi Bandar Ilmu ialah rakaman kegiatan Di Dun Bangi, khususnya mengenai kegiatan keilmuan di Dun tersebut, manakala Gagasan Bangi ialah himpunan esei mengenai Gagasan Bangi yang dipertandingkan di kalanghan pelajar universiti pada peringkat ijazah pertama, Sarjana dan Ph. D. dan buku Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu ialah hasil dari Bengkel Bangi Bandar Ilmu yang dianjurkan oleh Pemuda Prihatin dengan kerjasama Sekretariat Bangi Bandar Ilmu  dan diambil inisiatif oleh Sekretariat Bangi Bandar Ilmu menerbitkannya.
Pendek kata usaha memprojekkan Bangi Bandar Ilmu telah dan sedang dilakukan, adalah diharapkan akan mendapat kerjasama terutama dari UKM, di samping berbagai universiti  dan pasat-pusat pengajian tinggi disekitar dan di sekeliling Bangi. Antara bidang dan ruang kerjasama yang dapat dilakukan ialah seperti:
1)      Meningkatkan prestasi  pelajar-pelajar di sekitar Bangi dan insentif di atas kejayaan
2)      Mengadakan pertandingan di kalangan pelajar seperti penulisan, sukan dan sebagainya
3)      Mengadakan konvensyen keilmuan antara pengajian tinggi di Bangi
4)      Mengadakan pameran dan pemasaran buku pengajian-pengajian tinggi di Bangi
5)      Mengambil bahagian dan memeriahkan Hari Ilmu Bangi setiap 22 Jun setiap tahun
6)      Pengajian-pengajian tinggi mengadakan hari terbuka bagi pelajar dan penduduk Bangi.
7)      Mengadakan Hari Sukan antara varsity dengan pelajar dan penduduk
8)      Mengadakan kegiatan kemasyarakatan oleh pengajian tinggi seperti Hari Kesihatan dan Kerjaya
9)      Memilih Bangi melaksanakan kajian-kajian  yang dihasilkan oleh university mana yang bersesuaian
10)   Memberi peluang penduduk menghadiri kursus pendek yang releven dengan mereka seperti ekonomi rumah tangga, menentang inflasi, keluarga bahagia dan sebagai.
Seterusnya berbagai program lain yang difikirkan bersesuaian untuk dilaksanakan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment