UKM, 26 Zulhijah 1435 = 21 Oktober 2014 (Selasa):
Sebagaimana biiasa pada setiap kali hari Selasa kami
mempunyai jadual mesyuarat berhubung dengan Masjid Al-Umm, sama ada Mesyuarat
Tapak, Teknikal, Induk atau mesyuarat tambahan seperti mengenai Kubah dan
sebagainya. Pagi ini kami mempunyai Mesyuarat Teknikal. Penulis hadir ke
mesyuarat bertempat di bilik mesyuarat di dalam kawasan tapak masjid.
Namun selepas satu jam mesyuarat yang
dipengerusikan Ir. Haji Ishak bin Arshad yang bermula dari jam 10.00 pagi,
Penulis dan Tuan Haji Mohd. Nor bin Haji Yasin (Bendahari) memohon izin dari
Pengerusi keluar dari mesyuarat kerana menghadiri Majlis Mengimbau Kenangan
`Graduan Sulung UKM`. Kami berkejar ke UKM di Hotel Puri Pujangga agar
jangan kami sampai terlewat dari VIP.
Bagi Penulis, majlis di atas adalah amat penting dan amat
nostalgic. Bayangkan selepas 44 tahun UKM dibuka pada 18 Mei 1970 di Kampus
Pertama di Jalan Pantai, Kuala Lumpur dan bagi kami Graduan Sulung, inilah
pertama kali kami dijemput menghadiri pertemuan. Selama inipun hati kecil
sering mengimbau kenangan mengangankan pertemuan dengan graduan-graduan sulung
UKM yang mula berdaftar sejumlah 197 orang itu. Namun hati kecil juga terbetik,
bahawa tidak mungkin mereka semua dapat diketemui kembali, kerana sebahagian
daripada mereka sudah kembali ke
Rahmatullah dan yang masih ada mereka berada di berbagai tempat di Negara ini.
Yang mengubat rindu adalah pertemuan dengan alumnai-alumnai yang berada di Bangi
yang mereka bekerja di universiti-universiti di UKM, UPM, USIM atau bekerja
sebagai pegawai-pegawai dan professional-professional di Kuala Lumpur, tetapi
tinggal di Bangi.
Usaha yang dilakukan oleh Ybhg. Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali Naib Canselor UKM patut
dipuji, lantaran hasrat memanggil dan mempertemukan graduan sulung UKM dapat
dilakukan, walaupun pertemuan dengan jumlah maksimum tidak mungkin dapat
dilakukan, selain dari sebahagian mereka telah meninggal, sebahagian daripada
mereka berada di tempat-tempat yang jauh dan sebahagian lagi mungkin di dalam
keadaan uzur lantaran sudah melewati umur lebih dari 60 puluh tahun – warga
emas. Pihak UKM nampaknya berusaha menjejaki Graduan Sulung UKM berkenaan,
bukan setakat menghantar surat terhadap Graduan-Graduan Sulung yang diketahui
alamat mereka, tetapi menelefon mana yang dikenali untuk mendapat maklumat
Graduan Sulung yang lain yang tidak diketahui. Penulis sendiri dihubungi
langsung oleh pihak pengurusan dan Penulis memberi maklumat Graduan-Graduan Sulung yang Penulis
ketahui untuk dihubungi UKM.
Penulis tiba ke Hotel
Puri Pujangga jam 11.00 pagi sebagaimana dijadualkan. Didapati ruang parkir telah penuh dan terpaksa mencari
parkir di tepi jalan yang agak jauh dan berjalan ke Hotel dan tiba di lobi bersama-sama yang sama tiba
dan mendaftar di lobi. Nama Penulis berada di dalam senarai yang datang pada
tempat kedua selepas Prof. Dr. Rahimah Abdul Aziz dari sejumlah graduan yang
sanggup datang seramai 47 orang.
Menyebut saudari Rahimah mengingatkan ingatan tentang saudari Rahimah bersama
saudari Sharifah Masturi dua pasangan pendebat yang memenangi sebagai Johan
debat antara universiti-universiti di
Asean yang berlangsung di Singapura sekitar tahun 1972.
Bertemu dan bersalam dengan graduan-graduan (lelaki) dan
perempuan di ruang pertemuan seperti saudara Nabir bin Abdullah (sama
berjabatan sejarah), Tuan Haji Zalfan bin Mohd Rashid (rakan sebilik di Kolej
Pertama UKM), Puan Norehan Jamaluddin, Hajah Nik Khatijah, saudara Mansor Ramli
(sama tinggal di rumah sewa di Paramount Garden, PJ), Puan Halimah binti
Hassan, saudara Hussain bin Yaacob (suami Puan Halimah), En. Mardi bin Nordin,
Asiah Sarji (sama bergiat dan menubuhkan Kelab Sastera UKM), saudara Jamaluddin
Jahi (Pengurus Kedai Persatuan Mahasiswa), Haji Kalyubi bin Ghazali (sama
sejamaah Surau Al-Umm BBB). Hj. Yaakob bin Mohd Noor (juga sama sesurau),
saudara Chamhuri Siwar (sama mengasas Kelab Sastera UKM sebagai Ketua Satu) dan
yang lain-lain lagi mencetuskan ingatan dan kenang-kenangan sesama berada di
kampus dan sama mengalami warna-warna kehidupan kemahasiswaan.
Mahasiswa yang asalnya berjumlah 197 orang yang menjadi
peneroka pertama UKM ini bukan semata-mata mahasiswa. Mereka ini adalah jelmaan
dari perjuangan panjang begi mewujudkan Universiti Kebangsaan. Idea agar
diwujudkan universiti di Tanah Melayu pernah dicetuskan oleh Za`ba dan Saad
Shukri dan pernah dibincangkan di dalam Mesyuarat Raja-Raja Melayu pada tahun
1903 dan ditulis di dalam Akhbar Lembaga Melayu 1917. Isu perlunya ditubuhkan
universiti di Negara ini menjadi topik debat sekitar 1923, tetapi terbantut
oleh banyak halangan, antaranya Perang Dunia kedua dan keengganan pihak penjajah,
oleh kerana ianya akan menyedarkan rakyat Negara ini yang mungkin menimbulkan
penetangan terhadap British yang menggugat mereka sebagai penjajah. Pengajian
tertinggi diwujudkan oleh British untuk melayakkan lulusan menjadi pentadbir
ialah dengan mendirikan Malay College Kuala Kangsar (MCKK). Itupun peluang
diberi kepada anak-anak raja dan elit. Sementara untuk melahirkan guru-guru
yang boleh mendidik anak-anak tempat boleh mengajar dan membolehkan rakyat
membaca, menulis dan mengira bagi memudahkan pihak penjajah berurus ialah
dengan terdirinya Maktab Perguruan Tanjung Malim, Perak sekitar 1930an.
Benih yang membuahkan Universiti Kebangsaan Malaysia
sebenarnya tersemai di tanah subur perjuangan kemerdekaan Negara ini yang
menjanjikan sebuah Dasar Pelajaran Kebangsaan. Itupun melalui gangguan dan
halangan sebelum kelahirannya pada 18 Mei 1970 yang melahirkan Graduan Sulung
UKM yang sebahagian mereka hadir pada hari ini. (Bersambung).
Sekian.
No comments:
Post a Comment