BBB, 04 Zulhijjah =
28 Oktober 2014 (Selasa):
Selepas Datin Rusmiati Harun dan Penulis bercakap di sini
dicatat empat lagi daipada Sembilan graduan bercakap:
1)
Saudara Azali Hj. Abdullah
Beliau lebih dikenali sebagai pelajar dari Singapura tapi
kini menetap di Seremban. Secara bergurau beliau menyatakan, ``Saya tidak
tinggal di asrama UKM (Kolej Pertama), tetapi banyak tinggal di asrama
berkenaan secara setenggan``. Menurutnya
kebimbangan yang paling utama dalam pengajian ialah ketakutan tidak lulus
kursus bahasa Inggeris dan matematik yang diwajibkan. Puan Yuhani, Puan
Sharifah dan Dr. Basil adalah guru-guru kami bagi bahasa Inggeris
Menurutnya mahasiswa UKM terkenal tinggi dengan semangat
kebangsaan. Mereka tidak peduli dengan anggapan pelajar UKM sebagai kelas dua.
Kini terbukti UKM adalah merupakan universiti terbaik bukan saja di Negara ini,
tetapi di dunia. Secara bergurau juga saudara Azali mengatakan. Sejak dari awal
pengajian, kerana pelajar tidak ramai, kita boleh kenal siapa yang kerap ke
library, siapa yang suka bercouple dan siapa yang kutu rayau. Namun mereka
tidak abaikan pelajaran. Bukti mereka adalah graduan Sulung UKM sebagaimana
kita saksikan pada hari ini.
2)
Prof. Bachok Mohd. Taib
Bila bangun bercakap secara bergurau beliau menyatakan,
``Saya bukan orang Bachok, Kelantan, saya tidak tahu mengapa ayah saya namakan
saya Bachok !``
Beliau menggalurkan imbauan kepada empat perkara:
a)
Ada yang sengaja berbaris masa mula mendaftar di
UKM membilang bilangan dalam barisan dan dia menyelinap dan mendaftar bagi no.
7, kerana masa itu popular film James Bond 007. Tapi katanya. ``Saya yang tak
kisah dengan no. dapat no. Matrik 47 !``
b)
Sebagai pelajar Sains sosial yang wajib pilih
tiga kursus wajib jabatan. Kata saudara
Bachok, ``Antara kursus yang saya pilih ialah Antropologi dan Sosiologi.``
Tambah saudara Bachok, ``Antara yang seronok memilih Antropologi dapat
menyertai trip bersama Pensyarah Dr.
Aris Othman ke Cameron Highland. Di sana dapat bersama orang asli dan dapat
bermain muzik bersama orang asli dan menggunakan serampang dan sumpit, terasa benar-benar
macam orang Asli,`` katanya. Beliau menambah mengikuti kursus Sosiologi beliau
terkesan dengan pengajaran yang disampaikan oleh Abdul Rahman Embong – Tokoh akademik
terkenal, terutama kursus `Sosiologi Politik`.
c)
Pengalaman yang tidak boleh dilupakan, katanya,
``Sejak masuk UKM, kita terseret dalam demonstrasi diajar oleh mahasiswa
Universiti Malaya dan aktiivis-aktivis pada masa itu. Ada pelajar kita kena
ketuk oleh FRU dan ada yang tertangkap dan terpaksa bermalam di dalam lokap,
sebelum jaminan diusahakan.
d)
Untuk
menghilangkan tekanan, tempat yang sering menjadi pilihan waktu malam ialah
mengunjungi Restoran Amjal – Sebenarnya Warung. Di sini di tepi jalan ke universiti
dalam suasana lampu malap, `` Kami bercakap-cakap sambil makan bagi
menghilangkan beban tekanan pelajaran.`` Restoran Amjal (Amin + Jalil) masih ada lagi hingga kini``
Menutup percakapannya kata saudara Bachok, ``Manis kenangan,
terasa baru dilalui, walaupun kini saya sudah 65 tahun usia !`` katanya.
3)
Saudari
Nik Khatijah
Tipikal orang Kelantan, bertubuh kecil dengan namanya `Nik` yang mencerminkan bahawa dia memang orang Kelantan.
Menurutnya selepas graduasi dari UKM, beliau memilih profession guru dan
berkhimat di Kelantan dari guru siswazah biasa hingga akhirnya sebagai Timbalan
Pengrah dan berkesempatan memangku selaku `Pengarah Pelajaran Kelantan` yang
mempunyai guru-guru berkhidmat di Kelantan seramai 25,000 staff.
4)
Saudara Nordin Awal.
Antara pelajar sulung UKM adalah mereka yang telah
berkeluarga. Mereka ini sudah bekerja dan terpaksa bercuti atau berhenti dari
kerja dan berusaha mendapat sumber kewangan bagi menampung pelajaran dan
keluarga. Nama popular bagi mahasiswa yang telah berkeluarga digelar
``Mahasitua``. Sebagai orang yang dianggap tua, mereka ini tidaklah bergaul
sangat dengan pelajar-pelajar yang fresh dari sekolah. Mereka lebih bergaul
sesama `mahasitua`. Setengah mereka tidak tinggal di asrama, sebaliknya menyewa
rumah – biasanya di Pantai Dalam, Kg. Abdullah Hukum dan ada juga yang menyewa
di Bangsar yang masa itu belum membangun, lantaran mereka berkeluarga dan
antara mereka membawa keluarga atau sesakali membawa keluarga. Namun
`mahasitua` ini agak bersungguh dalam pengajian. Sebagai bukti pada tahun
pertama Ijazah Kepujian UKM (1974), tiga orang yang mendapat Kelas Satu
semuanya dari kalangan yang sudah berkeluarga. Mereka adalah semuanya dari
Fakulti Sastera, iaitu saudara Chew Hock Tong (Prgawai Penerangan), Zaid bin
Awang (guru) dan Penulis (guru).
Saudara Nordin (guru) adalah salah seorang Mahasitua yang sudah berkeluarga. Beliau tinggal di
Bungsar dan dalam ucapannya beliau mengaku, tidak begitu bergaul dengan
kalangan pelajar muda. Kalau keluar makan bersama dengan kalangan mahasitua –
terutama sama guru.
Saudara Nordin mengimbau peristiwa yang dialami semasa di Kampus Jalan
Pantai, bahawa berlaku tunjuk perasaan. Beliau dan beberapa kawannya mengambil
sikap memerhati sahaja. Menurutnya Prof. Dr. Syed Naguib datang meninjau tunjuk
perasaan berkenaan dan terserempak dengan beliau dan kawan-kawannya. Beliau
ditanya Prof. Dr. Syed Naguib, mengapa tidak turun sama. Beliau mengatakan,
``Saudara harus turun sama menyokong
tindakan pimpinan``. Tunjuk perasaan antaranya menentang kehadiran Kitikachong ke Malaysia, kerana beliau sebagai Perdana
Menteri Thailand menekan umat Islam di Thailand. Ramai yang terbunuh dan
hilang.
Sekian.
No comments:
Post a Comment