October 23, 2014

Sambil Menunggu Ketibaan Naib Canselor Ke Majlis Mengimbau Kenangan `Graduan Sulung UKM` Ambil Kesempatan Bermesraan


BBB, 27 Zulhijah 1435 = 22 Oktober  2014 (Rabu):
Majlis yang sepatutnya bermula dengan alu-aluan Naib Canselor jam 11.20 pagi 21 Oktober 2014 bertempat di Hotel Puri Pujangga, UKM agak tertangguh, kerana jadual kehadiran Naib Canselor sepatutnya pada jam 11.15 itu, tetapi Naib Canselor masih belum tiba, walaupun pengumuman dibuat oleh Pengerusi Majlis beberapa kali seolah-olah Naib Canselor akan tiba pada bila-bila masa, tetapi tidak juga tiba. Pada permulaan Graduan-Graduan Sulung mengambil tempat masing-masing secara `free sitting` bagi mengikuti  program  disusun, tetapi bila didapati waktu ketibaan Naib Canselor tidak dipastikan masanya, maka para graduan yang telah lama berpisah antara mereka memilih bergerak bebas dalam majlis dari kelompok ke kelompok graduan dan dari meja ke meja bertanya khabar antara satu sama lain, termasuk Penulis juga bergerak bebas sedemikian. Sebahagian besar dari  Graduan Sulung  berkenaan masih dapat dikenali, walaupun sebahagian dari mereka tidak diingati nama mereka, tetapi ada di antara mereka yang sudah berubah dimamah usia dan sukar dikenali dan agak tersentak apabila diperkenakan nama. Kelambatan Naib Canselor datang, menurut maklumat kerana beliau ada urusan mendatang di Putra Jaya dan terpaksa ke sana terlebih dahulu, kelambatan sebenarnya adalah baik, lantaran sedemikian para Graduan Sulung dapat bergerak bebas dan dapat bertemu seramai mungkin para graduan. Penulis sendiri bergerak ke semua kelompok dan meja bertanya khabar dan mengambil kesempatan mengambil gambar dan bergambar, kerana  inilah kesempatan merakam kenangan yang sukar dicari setelah berpeisah dengan sebahagian daripada mereka lebih dari 4 dekad itu.


Pada Majlis Mengimbau Kenangan `Graduan Sulung UKM` ini tidak saja dihadiri oleh Graduan Sulung UKM, tetapi turut sama hadir merai dan memeriahkan suasana ialah serama 20 orang pegawai-pegawai kanan  UKM sebagaimana dalam senarai yang diedarkan.   Bagi menggambarkan betapa terputusnya maklumat, khususnya Penulis dari UKM, walaupun tinggal tidak jauh dari UKM (di Bandar Baru Bangi) daripada 20 nama pegawai-pegawai tinggi UKM ini hanya tiga (3) orang daripada mereka sahaja yang Penulis kenali, boleh ditambah seorang lagi Dr. Amran Kasimin (kini Dato`) Ahli Majlis UKM, tidak termasuk di dalam senarai, lantaran dikira dan dijemput beliau atas nama salah seorang Graduan Sulung UKM.


Penulis mengenali Ybhg. Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali Naib Canselor, lantaran beberapa kali menyertai seminar di UKM, beliau merasmi atau sama menyertai. Selain daripada itu berita tentang beliau sekali sekala keluar dalam akhbar. Juga dikenali ialah  Ybhg. Prof. Emeritus Dato` Dr. Hood Haji Mohamad Salleh, Pengarah Muzium Warisan Akademik, lantaran beliau bersama UKM sejak mula dibuka. Beliau bermula sebagai Tutor. Penulis terpandang-pandang pada waktu petang di court tenis depan Kolej Pertama UKM En. Hood sering bermain tenis bersama Cik Khadijah Salleh sebelum mereka bertolak ke luar Negara menyambung pelajaran. En. Hood nampaknya masih meneruskan khidmat dengan UKM sehingga sekarang dan mencapai kedudukan sebagai  Prof. Emeritus dan Dato` Dr., manakala Prof. Dr. Khadijah sudah berpulang ke Rahmatullah sedekad yang lepas yang juga tenaga akademik UKM. Manakala  En. Abdul Razak bin Hussin adalah bekas pelajar Penulis di Jabatan Persuratan Melayu, FSKK dan pada zaman mahasiswanya turut sama bergiat di Grupemuisi UKM yang Penulis begitu lama menjadi Penasihat dan terlibat sama di dalam menggerakkan Grupemuisi UKM.  Saudara Abdul Razak adalah pelajar keluaran dari Kampus Bangi. Beliau kini berjawatan selaku Timbalan Pengarah Jabatan Canselori, UKM.


Betapa 44 tahun telah memisahkan Graduan Sulung UKM. Mereka sebenarnya, terutama yang tidak menyambung ke peringkat Ijazah lanjutan, adalah Graduan Kelahiran UKM berkampus di Jalan Pantai, Pantai Baru, Kuala Lumpur. UKM berada dan berkampus di Jalan Pantai ialah dari bulan Mei 1970 secara rasmi (Persediaan menjadikannya Kampus UKM tentulah lebih awal) dan berterusan sehingga akhir 1977 apabila UKM mulai berpindah ke Bangi pada akhir tahun 1977 tersebut (Fakulti Sains sedikit lebih lewat). Pelajar-pelajar semasa di Kampus UKM Jalan Pantai hanyalah di dalam tiga Fakulti, iaitu Sains, Pengajian Islam dan Sastera sahaja. Ini bermakna kebanyakan Graduan Sulung  UKM tidak berkesempatan menikmati `Kampus Hijau Dan Teteram` Di Bangi. Kampus di Jalan Pantai bukan saja berkesempatan melahirkan Graduan Sulung berijazah Pertama UKM di Jalan Pantai, bahkan berkesempatan melahirkan Graduan pada peringkat Sarjana semasa di Jalan Pantai, termasuklah Penulis sendiri. Penerimaan Ijazah semasa di Jalan Pantai dilakukan di Parlimen Malaysia disampaikan oleh Tun Abdul Razak  Canselor Pertama UKM yang juga Perdana Menteri Malaysia..
Penulis berpendapat, Graduan Sulung UKM tidaklah mempunyai hubungan rapat dengan pentadbir-pentadbir UKM sebagaimana Penulis katakan, hampir keseluruhan pentadbir di UKM kini tidak dikenali Penulis, kecuali beberapa orang  dan lebih-lebih lagi graduan-graduan yang tidak bermestautin di Bangi, lantaran tidak kenal, maka tidak timbul kemesraan dengan mereka. Misalnya semasa mengambil gambar dan bergambar ada secara kebetulan dengan Timbalan Naib Canselor, tetapi Penulis tidak mengenali, kecuali bila diperkenalkan. Adalah lebih mesra jika yang dijemput bersama adalah dari kalangan tenaga pengajar dari professor, professor madya dan pensyarah  semasa di  Kampus Jalan Pantai yang mengajar Graduan-Graduan Sulung itu sendiri. Kita percaya sebahagian daripada mereka masih wujud dan masih sihat atau sekurang-kurangnya dapat hadir bersama. Jika dapat dilakukan sedemikian tentulah amat bermakna dan mencapai puncak kepuasan. Barangkali pertemuan dapat diaturkan pada kesempatan majlis-majlis yang akan diadakan pada masa akan datang. Wajar juga dijemput bersama Naib Canselor Pertama Tan Sri Rashdan dan pegawai-prgawai tinggi universiti peringkat awal yang masih sihat.
Shingga jam 12.00 lebih tengahari Naib Canselor belum tiba. Pengerusi membuat pengumuman kepada hadirin bahawa pihak majlis menyediakan Pameran Graduan Sulung UKM. Jadi disamping bercakap dan bermesra sesama Graduan Sulung, kami juga tertumpu ke pameran berkenaan, menghayati dan berkesempatan  mengambil gambar. Bahan-bahan pameran tidaklah banyak, hanya beberapa keratin akhbar jawi dan rumi  yang difotokopikan  dan beberapa majalah Semesta UKM beberapa keluaran peringkat awal yang Penulis menjadi pengarang, bahkan Ketua Pengarang, tidak ada akhbar-akhbar Gemasiswa penerbitan akhbar penting mahasiswa UKM di Jalan Pantai yang Ketua Pengarang Pertama ialah saudara Chamhuri Siwar. Hingga jam lebih 12.00 tengahari kami masih bersimbang mesra sesama Graduan Sulung UKM sambil menunggu ketibaan Naib Canselor UKM.

Sekian.

No comments:

Post a Comment