Hotel Puri Pujangga, UKM,
26 Zulkaedah 1435 = 21 September 2014 (Ahad):
Profesor Azimi di
dalam ulasannya terhadap kertaskerja `Pengajian Di Masjid Al-Umm` membicarakan tentang tarbiah. Menurutnya tarbiah
adalah konsep pendidikan sepanjang hayat yang tepat di dalam Islam. Tarbiah
adalah pecahan kata dari `Rabb` ialah Tuhan yang menjaga, memelihara dan
memberi rahmat kepada Sekalian Alam
(Rabbil Alamin). Tarbiah ialah
pendidikan yang dilalui secara bertahap dan berkembang subur/maju. Ianya
melibatkan perkembangan pentahapan baik dari segi lahiri dan maknawi. Dari segi biologi seorang
anak mengalami tarbiah penjagaan dalam rahmat Tuhan dari tahap kandungan ibu
kepada bayi, kanak-kanak, muda, remaja, dewasa hingga kepada warga emas dan
meninggal. Tarbiah dari segi maknawi melibatkan pentahapan dari segi pendidikan
akli, rohani, jiwa (emosi) dan amali.
Tarbiah di Masjid lebih berfokus kepada pendidikan yang bersifat maknawi.
Profesor Azimi menarik perhatian peserta dan pendengar dan
menekankan bahawa,
``Cabaran bagi mengimarahkan masjid ialah bagaimana menarik
para jamaah dari berbagai golongan dari yang muda hingga ketua untuk datang
mengimarahkan masjid !``
Menurut Profesor Azimi yang juga merupakan seorang
pendakwah, ``Ada ketika kita ke masjid – juga surau bersolat waktu yang ahli
jamaahnya tidak sampai satu saf. Tapi adalah jamaah, namun ada masjid dan surau
mengunci pintu dan dibuka hanya untuk waktu maghrib, isya` dan subuh dengan
ahli jamaah hanya beberapa kerat !``.
Merujuk kepada Masjid Al-Umm yang dalam pembinaan kata
Profesor Azimi, ``Saya percaya kemiskinan jamaah tidak akan berlaku di Masjid
Al-Umm, insya Allah, tapi cabaran mendepani ialah bagaimana mengimarahkan
Masjid Al-Umm secara berterusan dengan
para jamaah dari semua peringkat dalam jumlah yang ramai.``
Profesor Azimi menekankan, `Pengimarahan amat penting, lebih
penting dari `Masjid Indah` disiapkan
tapi kering dari kegiatan, pengimarahan dan kehadiran para jamaah. Ini perlu
difikir secara masak dengan kepelbagaian pendekatan.
Kata Profesor Azimi, ``Fungsi utama masjid juga surau ialah
sebagai tempat ibadat. Tapi bagi menyempurnakan pengibadatan dalam erti kata
yang luas, ianya perlu diperkukuh dan disempurnakan dengan keilmuan.
Beliau memuji penyediaan bidang-bidang keilmuan yang disediakan
oleh Masjid Al-Umm sebagaimana di dalam kertaskerja adalah baik yang melibatkan semua keilmuan
fardu seperti Al-Qur`an dan Tajwid, aqidah
dan fiqh, keilmuan pengukuhan seperti
tafsir, Hadith, Tasawuf, dan Sirah, Ilmu Bantu seperti bahasa Arab,
Melayu dan Inggeris dan keperluan IT. Juga disediakan keilmuan yang diperlukan
dalam kehidupan semasa seperti Ekonomi Islam dan bidang seni Islam seperti Seni Khat, tarannum, nasyid,
marhaban, animasi dan lain-lain. Juga bidang-bidang professional yang lain. Turut
diberi perhatian ialah bidang sukan yang bersesuaian dengan golongan remaja. Yang
lebih membantu bahawa bagi setiap bidang disediakan buku-buku rujukan dan buku
atau kitab yang dapat dijadikan panduan utama.
Pengajian-pengajian juga dicadangkan khas bagi kaum wanita,
pengajian-pengajian pada hujung minggu, pengajian berpakej, pengajian Tahfiz, Pengajian ala Pondok bagi
warga emas dan MOU dengan masjid-masjid terkenal yang bersifat tempatan dan
luar Negara. Pendek kata jika dapat dilaksanakan semua program berkenaan, maka
Masjid Al-Umm imarah dengan kegiatan-kegiatan keilmuan.
Untuk menarik jamaah khalayak tidak seharusnya cantik dari
segi program di atas kertas, tetapi juga dari segi kebolehan guru-guru menyampaikan pengajaran
sehingga mampu menarik khalayak pelajar-pelajar. Beliau bersetuju bahawa bukan
saja pelajaran perlu disusun secara teratur dan bertahap sebagaimana konsep
tarbiah, tetapi guru dan dan apa yang hendak diajar guru juga perlu dipastikan
supaya tidak timbul permasalahan dan percanggahan. Ianya seharus menurut
silibus dan kurikulum yang disediakan. Di samping itu kita percaya dengan
siapnya Masjid Al-Umm ianya dapat menyediakan ruang yang selesa bagi
pengajian-pengajian yang dianjurkan.
Selain dari pengajian yang bersifat terbuka kepada semua
pihak kita dapati ada pengajian khusus bagi peringkat Tadika, Tahfiz dan Pengajian
Ala Pondok. Pengajian peringkat tadika ialah bagi peringkat pra-sekolah dan
Tahfiz bagi peringkat awal sekolah dapat memenuhi tuntutan pengajian bagi semua
peringkat dan lapisan umur. Tapi yang agak menarik ialah pengajian Ala Pondok
yang dikhususkan bagi kalangan warga emas dan mereka yang meminatinya.
Pengajian ini jika dapat dilaksanakan dengan baik merupakan satu daya tarikan
kepada golongan pencinta ilmu dan menjadi identiti khusus bagi Masjid Al-Umm.
Namun bagi menjayakannya banyak cabaran yang dihadapi seperti menyediakan
guru-guru bersesuaian dan berkelayakan, menyediakan asrama atau tempat tinggal
bagi mereka yang luar dari Bangi dan penyediaan keperluan harian khususnya bagi
warga emas. Tapi kita berharap projek ini dapat dilaksanakan dengan baik.
Masjid dengan pendekatan yang dibincangkan diharap bukan
saja menawarkan keilmuan-keilmuan sebagaimana telah dibincangkan diharap dapat menjadikan
masyarakat berilmu yang dengan keilmuan berkenaan dapat membantu menyempurnakan
amal ibadat dan kehidupan kemasyarakatan mereka. Pada peringkat tinggi diharap
pengajian dapat memupuk mereka menjadi `Insan Rabbani` yang minda mereka
berilmu, rohani mereka berma`rifat, jiwa
mereka berakhlak ditengah khalayak dan
hidup tenang bahagia di dalam kehidupan dalam perjalanan kembali kepada Allah
Rabbul Alamin.
Sekian.
No comments:
Post a Comment