October 12, 2014

Memperkembang Potensi Dan Mewajakan Diri Remaja


BBB, 16 Zulhijah 1435 = 11 Oktober 2014 (Sabtu):


Salah satu fokus perbincangan mengenai pengimarahan masjid  yang disentuh kertaskerja dan Pengulas Profesor Dr. Azimi  juga ialah fungsi  masjid terhadap belia yang merupakan generasi pewaris masa depan. Sedar atau tidak bahawa generasi  awal yang menduduki Bangi dapat disimpulkan sebagai mereka yang berjaya di dalam kehidupan. Mereka berkedudukan sebagai profesor, pegawai tinggi universiti, pengarah, peguam, pensyarah dan berbagai  profession lagi yang mereka berkelulusan luar Negara dan juga tempatan. Mereka bertapak dengan kukuh di Bangi dengan kediaman dan kemudahan yang selesa di Bangi. Mereka berasal dari berbagai ceruk rantau di Negara ini – dari kampung dan pekan, mereka menetap di sini  kerana kejayaan mereka  dalam pelajaran dan profession pekerjaan.
Persoalannya apakah kejayaan yang dicapai generasi awal ini dapat diteruskan oleh generasi anak-anak pengganti. Mungkin  ada dari kalangan anak-anak generasi mampu dididik keluarga dan dapat mencapai kejayaan di dalam pelajaran melebih atau setara dengan apa yang dicapai ibu bapa dan dapat meneruskan kehidupan diasaskan oleh ibu bapa, jika pun tidak lebih dari mereka. Tapi tidak semua dapat mengekalkan kejayaan sedemikian Bagaimana dengan generasi ketiga dan seterusnya ?
Tugas mendidik anak-anak adalah tanggungjawab keluarga, tetapi sebagaimana Negara memberi perhatian pada rakyat dan menyediakan kemudahan pelajaran, maka  masjid di dalam Bandar atau kariah, sebagaimana sekolah menyediakan peluang pendidikan dan memperkembangkan potensi, maka masjid di samping institusi ibadat, juga berfungsi dari segi pendidikan. Pertanyaan yang boleh dikemukakan apakah  masjid hanya menyediakan peluang beribadah dalam maknanya yang terhad kepada pelajar-pelajar. Inilah yang patut difikirkan oleh masjid dan ibubapa yang sama berhak dan bertanggungjawab bagi mengimarahkan masjid.
Tanpa bertujuan mau mengubahkan fungsi dan identiti  masjid, masjid memerlukan generasi pewaris. Mereka adalah anak kariah yang seharusnya masjid mau dan merasa bangga di atas kejayaan anak-anak kariah, apa lagi jika masjid sama berfungsi mendidik anak-anak kariahnya. Tetapi sejauhmanakah anak-anak ini mau datang ke masjid dengan fungsinya yang terhad ?
Masjid seharusnya berfungsi sama di dalam memperkembangkan potensi  dan mewajakan diri remaja. Masjid  seharusnya menyediakan suasana yang kondusif dan releven kepada remaja. Dalam hal i inilah kita telah mencadang agar masjid meluaskan skop dan fungsinya yang tidak keluar dari garis sempadan dan fungsi masjid sehingga ianya adalah releven kepada generasi  remaja dan juga orang dewasa.
Antara pendekatan yang diambil, bahawa dari awal di dalam pelantikan ahli jawatankuasa pembinaan dan pentadbiran hendaklah ada keahlian AJK dari kalangan belia yang dianya pula menubuhkan AJK Belia yang dapat memikirkan apakah kegiatan-kegiatan yang dapat disedia atau dicadang bagi kepentingan belia .  Antara bidang yang  penting yang seharusnya disediakan bagi belia ialah berhubung dengan pelajaran. Masjid hendaklah berfungsi sebagai pemangkin pendidikan bagi pelajar-pelajar dan bekerjasama dengan Biro Pendidikan. AJK Belia perlu menggalakkan belia menjadi Rakan Masjid` yang mempunyai program-program yang sesuai dengan belia. Selain daripada cadangan  mengadakan kelas tahfiz, tadika wajar diadakan  kelas tuition, kursus motivasi pelajaran, kursus kerjaya bagi peringkat graduan juga kursus perkahwinan dan rumahtangga.  Masalah  menggunakan ruang di masjid tidak timbul, kerana kelas bimbingan dan kursus-kursus yang tidsk sangat bersifat agama boleh diadakan di ruang-ruang tingkat bawah tanah yang bersifat multi purpose.
Masjid juga patut mengadakan bengkel  tulisan jawi, khat, tarannum, nasyid,  marhaban, mengarang dan rekacipta animasi di kalangan belia. Pertandingan tahunan patut diadakan dan memilih mereka yang berbakat dan memberi   insentif kepada mereka. Misalnya menghantar mereka memasuki pertandingan pada peringkat yang lebih tinggi. Contoh memasuki pertandingan Tilawah Al-Quran pada peringkat daerah membawa ke negeri, Negara dan antarabangsa.
Belia juga diberi tugas bersama AJK misalnya menyambut hari-hari perayaan dan kebesaran Islam, maulid al-Rasul, awal tahun Hijrah, Hari Ibu Bapa Masjid dan sebagainya.
Bagi merapatkan belia dengan masjid antaranya ialah melalui sukan yang dianjur oleh masjid dengan batas susila yang tidak melanggar kesopanan. Masjid Al-Umm berdekatan dengan padang permainan dan court badminton secara tertutup. Berbagai-bagai sukan dapat diadakan yang menarik mereka ke masjid seperti pertandingan bola sepak, pertandingan badminton danberbagai-bagai pertandingan sukan di padang. Boleh juga diadakan pertandingan jalan kaki bagi semua peringkat. Di samping bersukan mereka tidak mengabaikan ibadat.
Dengan berbagai kegiatan yang dicadangkan dan boleh ditambah dengan cadangan-cadangan yang lain masjid berperanan mendidik pelajar-pelajar dengan ilmu keagamaan, meningkatkan pencapaian akademik pelajar-pelajar dan memperkembangkan potensi yang ada pada remaja dan mewajakan diri remaja baik dari segi fizikal, mental dan rohani mereka.

Sekian.

No comments:

Post a Comment