October 14, 2014

Bengkel Pengimarahan Masjid Al-Umm: Perbincangan


BBB, 18 Zulhijah 1435 = 13 Oktober 2014 (Isnin):
Berikut dari pembentangan kertaskerja  `Pengajian Di Masjid Al-Umm` dalam Bengkel Untuk Merancang Dan Mengimarahkan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi  pada pagi 26 Zulkaedah 1435 =  21 September 2014 di Hotel Puri Pujangga, UKM Pengerusi sesi pembentangan Ustaz Haji Ahmad bin Haji Hasbullah memberi  peluang kepada peserta-peserta membuat pertanyaan atau memberi   pendapat.


1)      Prof. Madya Dato` Dr. Abdul Halim Tamuri, Surau Damai, Seksyen Dua BBB
Peserta yang pertama bercakap dan membuat cadangan ialah Prof. Madya Dato` Dr. Abdul Halim Tamuri Rektor KUIS yang juga  ahli kariah yang tinggal berdekatan dengan Masjid Al-Umm  Dato` Dr. Abdul Halim bercakap tentang  aktiviti masjid, pentingnya kurikulum pengajian, kebajikan Saudara Baru dan program bagi menarik belia ke masjid.
Menurut Dato` Dr. Abdul Halim kemajuan sesebuah masjid banyak bergantung pada keaktifan AJK yang dilanti. AJK  Masjid Al-Umm  seharusnya bersifat kreatif dan inovatif. Beliau mengambil contoh Masjid Al-Hasanah. Sebelum dari perlantikan AJK-AJK  (2011-2016) kurang berdaya maju dari kurang dari dihadiri jamaah. Tapi Al-Hamdulillah kini Masjid Al-Hasanah diimarahkan dengan berbagai kegiatan sehingga masjid ini dikategorikan sebagai  salah sebuah Masjid bertaraf lima Bintang di Selangor dan satu dari tiga masjid terbaik di Hulu Langat (dua lagi di Pandan dan Puchong). Beliau mau masjid bersifat terbuka dan kalau boleh terbuka  dan berfungsi 24 jam.
Antara fungsi masjid ialah sumber  bagi keilmuan Islam. Dato` Dr. Abdul Halim Tamuri bersetuju dengn pembentang kertas kerja bahawa pengajian di  Masjid Al-Umm hendaklah dirangka dan disusun secara teratur dari segi bidang dan keilmuan yang mau diajar bermatlamat dan berobjektif. Keilmuan yang mau ditawarkan hendaklah berkurikulum dan mempunyai buku-buku atau kitab-kitab rujukan dan ada buku atau kitab utama sebagai bahan panduan. Guru-guru yang dijemput mengajar hendaklah dipilih secara selektif dan berwibawa di dalam bidang keilmuan  yang diajar dan jangan timbul perkara-perkara yang bersifat kontroversi. Elak dari bersifat tangkap-muat bagi mengisi slot semata-mata. Penceramah-penceramah yang dijemput juga hendaklah bersifat terpilih dan perlu diketahui latar belakang , topic dan isi yang hendak disampaikan, kalau boleh di dalam rangka keilmuan dan kurikulum yang diatur oleh masjid.
Menyentuh persoalan Saudara Baru, Dato` Dr. Abdul Halim mau kebajikan mereka dijaga agar tidak timbul kekecewaan di kalangan mereka yang boleh menyebabkan mereka  keluar dari Islam atau bertukar kepada agama lain. Beliau menekankan  Biro Dakwah Dan Kebajikan  di masjid perlu memainkan peranan di dalam menjaga kebajikan, membimbing dan memberi pendidikan dan pengajaran agama Islam. Dato` Dr. Abdul Halim yang juga Ahli Majlis MAIS menyebut statistic Saudara Baru di Selangor bagi tahun 2013 ialah berjumlah 2,500 orang. Tarikan mereka terhadap agama Islam  lebih meningkat jika layanan diberi oleh pihak masjid, PAID, JAIS, MAIS dan berbagai pihak yang prihatin dengan dakwah Islam.
Penekanan dari segi kebajikan patut diberi keutamaan oleh masjid selain dari Saudara Baru, ialah kebajikan terhadap anak yatim dan faqir miskin. Beliau menyebut antara khidmat kebajikan ialah dengan mengadakan perkhidmatan dylisis kepada pesakit-pesakit buah pinggang.
Dato` Dr. Abdul Halim Tamuri juga mau masjid memberi  perhatian terhadap kalangan belia bagi menarik mereka ke masjid.  Beliau member I   contoh seperti  menubuhkan Kelab Bermotosikal  Kuasa Tinggi di bawah naungan masjid dan mengadakan kegiatan sukan seperti pertandingan futsal, bola sepak, badminton dan sebagainya.


2)      Tuan Haji Yaakob Mohd Nor, Surau Al-Umm, Seksyen Satu, BBB
Tuan Haji Yaakob Mohd. Nor adalah antara jamaah setia di masjid dan surau menekankan tuntutan berjamaah di Masjid atau surau. Beliau berharap dengan siapnya Masjid Al-Umm memberi  kemudahan kepada jamaah dapat menunaikan solat berjamaah di Masjid. Beliau berharap Masjid Al-Umm  mendapat sambutan bagi  bersolat berjamaah pada setiap waktu. Beliau mengingatkan agar kita tidak tergolong dari kalangan munafiq yang lalai dan menangguh-nangguhkan solat. Tuan Haji Yaakob berharap aktiviti-aktiviti ibadat akan lebih dipertingkatkan di Masjid Al-Umm.
Tuan Haji Yaakob juga mengingatkan AJK Masjid mempastikan perjalanan, khususnya pengajaran di masjid hendaklah sentiasa berlandaskan Al-Qur`an dan Al Sunnah. Masjid menurutnya hendaklah  menjadi institusi yang mengukuhkan aqidah, beramal menurut syari`at dan berakhlak menurut akhlak Rasulullah.


3)      Tuan Haji Mubarak, Surau Abdul Rahman Bin Auf, Seksyen 3, BBB
Tuan Haji Mubarak menimbulkan soal asas dan utama di dalam solat. Di samping masjid mau menawarkan pengajian di dalam bidang-bidang pengajian yang beliau sifatkan sebagai tinggi, tapi katanya perlu diberi perhatian perkara- perkara asas, seperti membetulkan bacaan Fatihah yang menjadi rukun sembahyang. Beliau mau masjid memberi  penekanan tentang pembacaan Al-Fatiihah, terutama bagi Imam yang menjadi ikutan makmum. Imam hendaklah diuji bacaan Fatihahnya juga mamum agar solat sempurna.
Perlu maklum bahawa  pengajian Al-Qur`an diberi perhatian utama di dalam pengajian di masjid.
Menurut perancangan di masjid  ada kelas-kelas  Al-Qur`an yang ditawarkan kepada anak-anak, pelajar-pelajar sekolah dan juga kepada orang dewasa. Termasuk membaca Al-Fatihah secara betul. Di samping itu ada Tahfiz, tafsir dan bahasa Arab  sebagai kunci keilmuan Islam.

(Bersambung).

October 13, 2014

Pertandingan Bola Sepak Antara Sambutan Jubli Perak Muzium Sultan Alam Shah PADAT: Menyampaikan Hadiah


Shah Alam , 16 Zulhijah 1435 = 11 Oktober 2014 (Sabtu):
Muzium baru Selangor menggantikan Muzium Negara yang berasal di Negeri  Selangor didirikan di Shah Alam  dan rasmi dibuka pada 2  September 1989  oleh Al-Marhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Nama muzium ini ialah Muzium Sultan Alam Shah mengambil  sempena nama Al-Marhum  Sultan Hishamuddin Alam Shah Ibn Al-Marhum Sultan  Alaeddin Sulaiman Shah Al-Haj. Maka pada tahun 2014 ini genaplah usia Muzium Alam Shah  selama 25 tahun. Sempena dengan usia Jubli Prrak Muzium Sultan Alam Shah atas cadangan Penulis, maka pihak Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) mengadakan Sambutan Jubli Perak bagi Muzium Sultan Alam Shah dengan berbagai  acara sepanjang tahun 2014.


Salah satu  sambutan terbesar yang disusun oleh PADAT, ialah sengaja memohon dari pihak Persatuan-Persatuan Muzium Malaysia memperuntukkan sambutan tahunan Hari Muzium Antarabangsa (ICOM = The International Council of  Museums)  diadakan di Selangor sempena dengan Sambutan Jubli Perak Muzium Sultan Alam Shah, Selangor selepas sambutan yang diadakan pada tahun lepas (2013) di Pahang. Untuk mengadakan Sambutan Hari Muzium Sedunia (2014), maka selepas mendapat kepastian, selepas sambutan diadakan di Pahang yang Penulis turut hadir selaku Pengerusi Padat, maka persediaan bagi menyambutnya di Selangor telah dibincangkan tentang persediaan sejak tahun 2013 lagi.


Hari Muzium Antarabangsa  yang disambut di seluruh dunia setiap tahun ialah pada 18 Mei. Majlis Muzium Antarabangsa ditubuhkan pada tahun 1946 dan terletak di bawah UNESCO  Pertubuhan Bangsa Bersatu dengan 17,000 keahlian termasuk Malaysia  dan Sambutan di Malaysia bermula tahun 1997. Bagi menyambut Hari Muzium Sedunia bagi Malaysia yang bertempat di Selangor maka banyak aktiviti yang disusun. Secara rasminya bagi menyambut Hari Muzium Sedunia  di Selangor bermula dari 01 Mei 2014  dengan acara Larian Muzium di Dataran Shah Alam mulai jam 7.00 pagi hingga 11.00 pagi dirasmikan oleh YB Dr. Ahmad Yunus Hairi Exco yang juga selaku Pengerusi PADAT.
Pada 3 Mei ialah Golf Amal bertempat di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya mulai jam 8.00 pagi hingga 2.00 petang.


Pada 4 Mei ialah acara menembak bertempat di Lapangan Sasar, Kelab Menembak Selangor, Subang mulai jam 2-00 hingga 4.00 petang.
Pada 14 Mei taklimat kepada Ketua-Ketua Kontinjan yang tiba dari berbagai negeri bertempat di Dewan Raja Lumu mulai jam 4.00 hingga 6.00 petang, diikuti dengan Malam Kesejahteraan  di I City Shah Alam mulai jam 8.00 hingga 11.00 malam.

Pada 15 Mei Program Kembara Muzium  dari Muzium Shah Alam ke Kg. Kuantan, Kuala Srlangor bersama kumuniti  dan Lawatan Kelip-Kelip dari jam 9.00 pagi hingga 11.00 malam. Pada hari yang sama juga sebahagian mengikuti Program Lawatan Ke Bukit Melawati, Kuala Selangor  mulai jam 9.00 pagi hingga 1.30 petang.


Pada 16 Mei 2014 ialah Acara Perasmian Sukan Dan Perbarisan Kontingen bertempat di Padang Kelab SUK, Shah Alam  mulai jam 7.00 hingga 11.00 pagi (Jumaat). Mulai jam 3.00 petang ialah Seminar Permuziuman bertempat di Auditorium Daeng Chelak, Muzium Sultan Alam Shah dan pada malam doa dan Yasin serta Ceramah Agama di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.
Pada 17 Mei ialah Majlis Perasmian  (Oleh Menteri Pelancongan) dan
Karnival Muzium di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dari jam 10.00 pagi hingga 11.00 malam
18 Mei pertandingan masakan, permainan tradisi, Silat dan Mewarna di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam mulai jam  10.00 pagi hingga 6.00 petang.


20 Mei malam: Malam Sembah Kasih  dan Penutup.
Diluar dari program Sambutan Hari Muzium Sedunia, terdapat kegiatan-kegiatan sepanjang tahun 2014 yang merupakan Sambutan Jubli Perak Peringkat Muzium Negeri Selangor. Antara yang penting Pameran Senjata yang diadakan pada 1 Februari 2014 yang dirasmikan oleh YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor bertempat di Dataran Kemerdekaan Shah Alam.
Pada hari ini Sabtu 11 Oktober 2014 diadakan Pertandingan Bola Antara Muzium di Malaysia. Sebanyak 6 pasukan  muzium mengambil bahagian. Keputusan
1)      Kedah   - Johan
2)      JMM -   Muzium Negara      Naib Johan
3)      Terengganu  - Ketiga
4)      Selangor = Keempat
5)      Perzim, Melaka kelima  dan
6)      Johor   Keenam.
Oleh kerana  Exco yang juga Pengerusi Padat YB Dr. Ahmad Yunus Hairi, masih berada di Makkah, Penulis selaku Timbalan Pengerusi diminta menyampaikan hadiah-hadiah.
Satu lagi aktiviti sempena Jubli Perak Muzium Sultan Alam Shah, Selangor yang akan diadakan ialah Seminar mengenai Adat dan Pantang Larang Masyarakat Di Selangor yang dijangka akan berlangsung pada 25 November 2014 di Muzium Sultan Alam Shah, Shah Alam.
Dapatlah dikatakan bahawa tahun 2014 adalah tahun bersejarah dari segi permuziuman di Selangor.

Sekian.

October 12, 2014

Memperkembang Potensi Dan Mewajakan Diri Remaja


BBB, 16 Zulhijah 1435 = 11 Oktober 2014 (Sabtu):


Salah satu fokus perbincangan mengenai pengimarahan masjid  yang disentuh kertaskerja dan Pengulas Profesor Dr. Azimi  juga ialah fungsi  masjid terhadap belia yang merupakan generasi pewaris masa depan. Sedar atau tidak bahawa generasi  awal yang menduduki Bangi dapat disimpulkan sebagai mereka yang berjaya di dalam kehidupan. Mereka berkedudukan sebagai profesor, pegawai tinggi universiti, pengarah, peguam, pensyarah dan berbagai  profession lagi yang mereka berkelulusan luar Negara dan juga tempatan. Mereka bertapak dengan kukuh di Bangi dengan kediaman dan kemudahan yang selesa di Bangi. Mereka berasal dari berbagai ceruk rantau di Negara ini – dari kampung dan pekan, mereka menetap di sini  kerana kejayaan mereka  dalam pelajaran dan profession pekerjaan.
Persoalannya apakah kejayaan yang dicapai generasi awal ini dapat diteruskan oleh generasi anak-anak pengganti. Mungkin  ada dari kalangan anak-anak generasi mampu dididik keluarga dan dapat mencapai kejayaan di dalam pelajaran melebih atau setara dengan apa yang dicapai ibu bapa dan dapat meneruskan kehidupan diasaskan oleh ibu bapa, jika pun tidak lebih dari mereka. Tapi tidak semua dapat mengekalkan kejayaan sedemikian Bagaimana dengan generasi ketiga dan seterusnya ?
Tugas mendidik anak-anak adalah tanggungjawab keluarga, tetapi sebagaimana Negara memberi perhatian pada rakyat dan menyediakan kemudahan pelajaran, maka  masjid di dalam Bandar atau kariah, sebagaimana sekolah menyediakan peluang pendidikan dan memperkembangkan potensi, maka masjid di samping institusi ibadat, juga berfungsi dari segi pendidikan. Pertanyaan yang boleh dikemukakan apakah  masjid hanya menyediakan peluang beribadah dalam maknanya yang terhad kepada pelajar-pelajar. Inilah yang patut difikirkan oleh masjid dan ibubapa yang sama berhak dan bertanggungjawab bagi mengimarahkan masjid.
Tanpa bertujuan mau mengubahkan fungsi dan identiti  masjid, masjid memerlukan generasi pewaris. Mereka adalah anak kariah yang seharusnya masjid mau dan merasa bangga di atas kejayaan anak-anak kariah, apa lagi jika masjid sama berfungsi mendidik anak-anak kariahnya. Tetapi sejauhmanakah anak-anak ini mau datang ke masjid dengan fungsinya yang terhad ?
Masjid seharusnya berfungsi sama di dalam memperkembangkan potensi  dan mewajakan diri remaja. Masjid  seharusnya menyediakan suasana yang kondusif dan releven kepada remaja. Dalam hal i inilah kita telah mencadang agar masjid meluaskan skop dan fungsinya yang tidak keluar dari garis sempadan dan fungsi masjid sehingga ianya adalah releven kepada generasi  remaja dan juga orang dewasa.
Antara pendekatan yang diambil, bahawa dari awal di dalam pelantikan ahli jawatankuasa pembinaan dan pentadbiran hendaklah ada keahlian AJK dari kalangan belia yang dianya pula menubuhkan AJK Belia yang dapat memikirkan apakah kegiatan-kegiatan yang dapat disedia atau dicadang bagi kepentingan belia .  Antara bidang yang  penting yang seharusnya disediakan bagi belia ialah berhubung dengan pelajaran. Masjid hendaklah berfungsi sebagai pemangkin pendidikan bagi pelajar-pelajar dan bekerjasama dengan Biro Pendidikan. AJK Belia perlu menggalakkan belia menjadi Rakan Masjid` yang mempunyai program-program yang sesuai dengan belia. Selain daripada cadangan  mengadakan kelas tahfiz, tadika wajar diadakan  kelas tuition, kursus motivasi pelajaran, kursus kerjaya bagi peringkat graduan juga kursus perkahwinan dan rumahtangga.  Masalah  menggunakan ruang di masjid tidak timbul, kerana kelas bimbingan dan kursus-kursus yang tidsk sangat bersifat agama boleh diadakan di ruang-ruang tingkat bawah tanah yang bersifat multi purpose.
Masjid juga patut mengadakan bengkel  tulisan jawi, khat, tarannum, nasyid,  marhaban, mengarang dan rekacipta animasi di kalangan belia. Pertandingan tahunan patut diadakan dan memilih mereka yang berbakat dan memberi   insentif kepada mereka. Misalnya menghantar mereka memasuki pertandingan pada peringkat yang lebih tinggi. Contoh memasuki pertandingan Tilawah Al-Quran pada peringkat daerah membawa ke negeri, Negara dan antarabangsa.
Belia juga diberi tugas bersama AJK misalnya menyambut hari-hari perayaan dan kebesaran Islam, maulid al-Rasul, awal tahun Hijrah, Hari Ibu Bapa Masjid dan sebagainya.
Bagi merapatkan belia dengan masjid antaranya ialah melalui sukan yang dianjur oleh masjid dengan batas susila yang tidak melanggar kesopanan. Masjid Al-Umm berdekatan dengan padang permainan dan court badminton secara tertutup. Berbagai-bagai sukan dapat diadakan yang menarik mereka ke masjid seperti pertandingan bola sepak, pertandingan badminton danberbagai-bagai pertandingan sukan di padang. Boleh juga diadakan pertandingan jalan kaki bagi semua peringkat. Di samping bersukan mereka tidak mengabaikan ibadat.
Dengan berbagai kegiatan yang dicadangkan dan boleh ditambah dengan cadangan-cadangan yang lain masjid berperanan mendidik pelajar-pelajar dengan ilmu keagamaan, meningkatkan pencapaian akademik pelajar-pelajar dan memperkembangkan potensi yang ada pada remaja dan mewajakan diri remaja baik dari segi fizikal, mental dan rohani mereka.

Sekian.

October 11, 2014

Konsep Persyarikatan Ilmu Untuk Diaplikasi Di Masjid Al-Umm


BBB, 15 Zulhijah 1435 = 10 Oktober 2014 (Jumaat):
Di dalam kertaskerja yang dibentangkan Penulis  terdapat  satu cetusan  cadangan  mengenai konsep `Persyarikatan Ilmu` yang  dijangka akan diaplikasikan di Masjid Al-Umm. Konsep `Persyarikatan Ilmu` ini dilihat paling sesuai  dipraktikkan di Masjid Al-Umm memandangkan masyarakat di Bangi terdiri dari kalangan intelektual yang menguasai berbagai bidang ilmu pengetahuan dan sesuai pula dengan hasrat masjid mau menyediakan keilmuan agama dan keilmuan-keilmuan semasa yang releven dengan kehidupan masyarakat umat.


Apa yang dicadangkan itu adalah disetujui Pengulas Profesor Dr. Azimi, bahkan beliau menambah, ``Ilmu yang kita dapat adalah amat  terhad, hatta dalam bidang yang kita dalami, bahkan kita terhutang budi, bahawa apa yang kita dapati adalah sumbangan  ilmuan lain yang mendahului kita. Sebab itu bagi memperkayakan ilmu dan dapat dimanfaatkan oleh orang ramai kita hendaklah bersifat memberi dan menerima untuk diaplikasikan di dalam kehidupan.
Untuk tidak menimbulkan rasa keganjilan atau rasa tidak senang apabila sesuatu ilmu yang  dianggap bukan agama dan tidak sesuai dibawa ke masjid agar dilihat releven dan perlu bagi masyarakat dan keluarga Islam setempat khususnya di Bangi, maka premisnya seharusnya  bertolak dari konsep `Islam` Din dan Ibadah`. Bahawa `Islam is a way of life` dan `Din` adalah millah atau jalan atau aturan yang diikuti  dan ibadah segala amalan yang berfaedah dilakukan dengan niat yang baik dan tidak bercanggah  dengan nilai Islam – termasuk ilmu.  Kita perlukan berbagai  keilmuan yang releven bagi memandu kehidupan dunia akhirat. Di dalam hal ini konsep keilmuan yang dipelajari di masjid  seharusnya tidak terhad kepada keilmuan aqidah, syariat, akhlak dan tafsir-Hadith sahaja yang dianggap sesuai dipelajari di masjid, tetapi wajar sama dibicarakan menurut perspektif Islam ilmu-ilmu  misalnya ekonomi  Islam,  kesihatan, permakanan halal, keluarga bahagia  dan sebagainya, lantaran itu perlu diperbetulkan konsep keilmuan Islam kepada skop yang lebih luas dan releven dengan kehidupan. Dalam kata lain banyak keilmuan yang sesuai dibawa ke masjid bagi panduan hidup-mati  masyarakat umat Islam yang dengannya melengkapkan kehidupan dan termasuk di bawah amalan ibadah.
Merujuk kepada Masjid Al-Umm yang mau diaplikasikan konsep `Persyarikatan Ilmu` yang ahli kariahnya mempunyai ramai dari kalangan ulama`, intelektual dan pakar dalam berbagai bidang,  sebagaimana dikatakan setiap individu walau pun pakar ada aspek yang di luar dari pengetahuannya dan tentu bergantung kepada  pakar yang lain. Dari kalangan pakar sedemikian kita mengharapkan mereka sama  hadir dan mengimarahkan masjid. Kita tidak bertujuan mengajar mereka. Tapi kita mengharapkan dengan  kepakaran mereka   dapat mereka memberi  sumbangan  keilmuan mereka di masjid di samping dapat sama  mempelajari bidang-bidang  di luar dari kepakaran masing-masing.  Sesungguhnya tidak ada salahnya keilmuan-keilmuan berkenaan disampaikan di masjid. Apa lagi jika keilmuan berkenaan disampaikan  secara saintifik menurut perpektif Islam. Sudah pasti ianya merupakan sesuatu yang baharu dan menarik bagi jamaah.  Bayangkan melalui `Persyarikatan Ilmu` para jamaah dapat mengikuti di samping ilmu aqidah, syariat, tafsir dan Hadith, para jamaah juga dari semasa ke semasa menurut jadual mengikuti kuliah atau kursus berhubung dengan kesihatan misalnya `mencegah dari penyakit kencing manis, darah tinggi, penyakit jantung dan obesiti. Dalam bidang ekonomi misalnya dapat dikuti berkenaan `Bajet rumah tangga di dalam menghadapi peningkatan harga dan inflasi, Menjimatkan kos pengangkutan dalam kehidupan harian, Kepentingan koperasi di Bangi. Dalam bidang Sains Sosial pakar menyampaikan tajuk, ``faktor-faktor yang mendorong kepada bercambahnya  gejala sosial dan mencegahnya, Pakar dalam bidang IT  dan  komputer misalnya menyampaikan kuliah bertajuk, Melaris atau berniaga melalui online – Internet. Sesungguhnya banyak lagi bidang dan kepakaran yang ada di Bangi seperti bidang psikologi, biologi, kimia, pertanian, perbandaran, kepolisian, industri dan sebagainya yang dapat dijemput dan diselang seli dengan pengajian pure Islamic.
Walau bagaimana pengisian bagi mengimarah masjid berkenaan seharusnya tidak dilakukan secara tankap muat bagi mengisi slot-slot yang kosong semata-mata, tetapi sebagaimana bidang-bidang keislaman jati mempunyai kurikulum dan slibus, buka-buku rujukan dan panduan, maka demikianlah dengan bidang-bidang keilmuan di luar dari keilmuan agama yang biasa perlu dikendali pakar-pakar  di dalam bidang-bidang berkenaan berunding bagi membincangkan topic kandungan, buku-buku bacaan dan rujukan serta tokoh-tokoh yang mau dijemput agar semuanya berada di dalam kerangka keilmuan menyeluruh ,  bersepadu dan terarah yang benar-benar memberi  faedah kepada para jamaah dan pelajar-pelajar yang mengikutinya.
Kita percaya dengan pendekatan keilmuan Islam yang tradisi dan semasa serta  releven dengan kehidupan pengajian menjadi lebih segar dan dapat menarik lebih ramai peminat dan pengunjung yang setia sebagai jamaah masjid. Dengan konsep `Persyarikatan Ilmu`, maka natijahnya:
1)      Memperluaskan konsep keilmuan Islam tidak terhad kepada yang bersifat tradisional, tetapi juga bersifat semasa.
2)      Memberi peluang kepada pakar-pakar menampilkan keilmuan mereka dari perspektif Islam yang dengan demikian meluaskan skop keilmuan Islam.
3)      Bagi yang mengikuti pengajian merasa ada pembaharuan dan kesegaran  dengan keilmuan-keilmuan yang dipelajari
4)      Dengan persyarikatan ilmu semua pihak mendapat manfaat dan berkat
5)      Masjid benar-benar menjadi sumber ilmu dan memperkukuhkan ibadat.

Sekian.

October 10, 2014

Tarbiah Dan Keilmuan Di Masjid - Profesor Dr. Azimi


Hotel Puri Pujangga, UKM,  26 Zulkaedah 1435 = 21 September 2014 (Ahad):
Profesor Azimi  di dalam ulasannya terhadap kertaskerja `Pengajian Di Masjid Al-Umm`  membicarakan tentang tarbiah. Menurutnya tarbiah adalah konsep pendidikan sepanjang hayat yang tepat di dalam Islam. Tarbiah adalah pecahan kata dari `Rabb` ialah Tuhan yang menjaga, memelihara dan memberi rahmat kepada  Sekalian Alam (Rabbil Alamin).  Tarbiah ialah pendidikan yang dilalui secara bertahap dan berkembang subur/maju. Ianya melibatkan perkembangan pentahapan baik dari segi  lahiri dan maknawi. Dari segi biologi seorang anak mengalami tarbiah penjagaan dalam rahmat Tuhan dari tahap kandungan ibu kepada bayi, kanak-kanak, muda, remaja, dewasa hingga kepada warga emas dan meninggal. Tarbiah dari segi maknawi melibatkan pentahapan dari segi pendidikan akli, rohani,  jiwa (emosi) dan amali. Tarbiah di Masjid lebih berfokus kepada pendidikan yang bersifat maknawi.
Profesor Azimi menarik perhatian peserta dan pendengar dan menekankan bahawa,
``Cabaran bagi mengimarahkan masjid ialah bagaimana menarik para jamaah dari berbagai golongan dari yang muda hingga ketua untuk datang mengimarahkan masjid !``
Menurut Profesor Azimi yang juga merupakan seorang pendakwah, ``Ada ketika kita ke masjid – juga surau bersolat waktu yang ahli jamaahnya tidak sampai satu saf. Tapi adalah jamaah, namun ada masjid dan surau mengunci pintu dan dibuka hanya untuk waktu maghrib, isya` dan subuh dengan ahli jamaah hanya beberapa kerat !``.
Merujuk kepada Masjid Al-Umm yang dalam pembinaan kata Profesor Azimi, ``Saya percaya kemiskinan jamaah tidak akan berlaku di Masjid Al-Umm, insya Allah, tapi cabaran mendepani ialah bagaimana mengimarahkan Masjid Al-Umm secara berterusan  dengan para jamaah dari semua peringkat dalam jumlah yang ramai.``
Profesor Azimi menekankan, `Pengimarahan amat penting, lebih penting dari  `Masjid Indah` disiapkan tapi kering dari kegiatan, pengimarahan dan kehadiran para jamaah. Ini perlu difikir secara masak dengan kepelbagaian pendekatan.
Kata Profesor Azimi, ``Fungsi utama masjid juga surau ialah sebagai tempat ibadat. Tapi bagi menyempurnakan pengibadatan dalam erti kata yang luas, ianya perlu diperkukuh dan disempurnakan dengan keilmuan.
Beliau memuji penyediaan bidang-bidang keilmuan yang disediakan oleh Masjid Al-Umm sebagaimana di dalam kertaskerja  adalah baik yang melibatkan semua keilmuan fardu  seperti Al-Qur`an dan Tajwid, aqidah dan fiqh, keilmuan pengukuhan seperti  tafsir, Hadith, Tasawuf, dan Sirah, Ilmu Bantu seperti bahasa Arab, Melayu dan Inggeris dan keperluan IT. Juga disediakan keilmuan yang diperlukan dalam kehidupan semasa seperti Ekonomi Islam dan bidang seni Islam  seperti Seni Khat, tarannum, nasyid, marhaban, animasi dan lain-lain. Juga bidang-bidang professional yang lain. Turut diberi perhatian ialah bidang sukan yang bersesuaian dengan golongan remaja. Yang lebih membantu bahawa bagi setiap bidang disediakan buku-buku rujukan dan buku atau kitab yang dapat dijadikan panduan utama.
Pengajian-pengajian juga dicadangkan khas bagi kaum wanita, pengajian-pengajian pada hujung minggu, pengajian berpakej,  pengajian Tahfiz, Pengajian ala Pondok bagi warga emas dan MOU dengan masjid-masjid terkenal yang bersifat tempatan dan luar Negara. Pendek kata jika dapat dilaksanakan semua program berkenaan, maka Masjid Al-Umm imarah dengan kegiatan-kegiatan keilmuan.
Untuk menarik jamaah khalayak tidak seharusnya cantik dari segi program di atas kertas, tetapi juga dari segi  kebolehan guru-guru menyampaikan pengajaran sehingga mampu menarik khalayak pelajar-pelajar. Beliau bersetuju bahawa bukan saja pelajaran perlu disusun secara teratur dan bertahap sebagaimana konsep tarbiah, tetapi guru dan dan apa yang hendak diajar guru juga perlu dipastikan supaya tidak timbul permasalahan dan percanggahan. Ianya seharus menurut silibus dan kurikulum yang disediakan. Di samping itu kita percaya dengan siapnya Masjid Al-Umm ianya dapat menyediakan ruang yang selesa bagi pengajian-pengajian yang dianjurkan.
Selain dari pengajian yang bersifat terbuka kepada semua pihak kita dapati ada pengajian khusus bagi peringkat Tadika, Tahfiz dan Pengajian Ala Pondok. Pengajian peringkat tadika ialah bagi peringkat pra-sekolah dan Tahfiz bagi peringkat awal sekolah dapat memenuhi tuntutan pengajian bagi semua peringkat dan lapisan umur. Tapi yang agak menarik ialah pengajian Ala Pondok yang dikhususkan bagi kalangan warga emas dan mereka yang meminatinya. Pengajian ini jika dapat dilaksanakan dengan baik merupakan satu daya tarikan kepada golongan pencinta ilmu dan menjadi identiti khusus bagi Masjid Al-Umm. Namun bagi menjayakannya banyak cabaran yang dihadapi seperti menyediakan guru-guru bersesuaian dan berkelayakan, menyediakan asrama atau tempat tinggal bagi mereka yang luar dari Bangi dan penyediaan keperluan harian khususnya bagi warga emas. Tapi kita berharap projek ini dapat dilaksanakan dengan baik.
Masjid dengan pendekatan yang dibincangkan diharap bukan saja menawarkan keilmuan-keilmuan sebagaimana telah dibincangkan diharap dapat menjadikan masyarakat berilmu yang dengan keilmuan berkenaan dapat membantu menyempurnakan amal ibadat dan kehidupan kemasyarakatan mereka. Pada peringkat tinggi diharap pengajian dapat memupuk mereka menjadi `Insan Rabbani` yang minda mereka berilmu, rohani mereka  berma`rifat, jiwa mereka berakhlak ditengah khalayak  dan hidup tenang bahagia di dalam kehidupan dalam perjalanan kembali kepada Allah Rabbul Alamin.

Sekian.

October 9, 2014

Ulasan Terhadap Kertaskerja `Pengajian Di Masjid Al-Umm: Cadangan`


Oleh: Profesor Dr. Azimi bin Hamzah
Profesor di Fakulti Pendidikan, Universiti Putera Malaysia. (Pengkhususan Pengajian Sepanjang Hayat)
(Hotel Puri Pujangga, UKM: Ahad 26 Zulkaedah 1435 = 21 September 2014).
Bertepatan dengan bidang kepakarannya dan selari dengan tuntutan Islam agar menuntut ilmu sepanjang hayat (Maksud Hadith: Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad). Menurut Prof. Dr. Azimi, ``Masjid adalah institusi yang menyediakan pendidikan sepanjang hayat. Pendidikan bersifat akli, rohani dan amali serta tiada batas umur, mulai dari anak kecil, kanak-kanak, remaja, dewasa hinggalah kepada warga emas.``
Sebab itu masjid menurut Prof. Azimi, ``Hendaklah mampu menyedia dan mengisi fungsi  dan peranan masjid sebagai memenuhi tuntutan pengajian, penghayatan dan amalan  sepanjang hayat sebagaimana diperlukan oleh anak kariah dan masyarakat setempat.`` Tuntutan adalah bagi menyempurnakan amalan berterusan terutama yang bersifat fardu dan kifayah, juga bagi kepuasan rohani dan akli, agar dengan demikian mereka bukan saja beribadat dan beramal salih secara betul, tetapi merasa manis beribadat, ikhlas dan taqwa dari segi  amalan dan tenang menghadapi kehidupan, reda dan pasrah dengan segala ujian dalam  perjalanan kembali kepada Ilahi.
Menurut Profesor Azimi
·         Masjid Rumah Allah hendaklah bersifat terbuka dan ahli kariah merasa sebagai milik bersama
·         Bersih, menarik dan teratur
·         Menyenangkan  jamaah untuk terus berkunjung
·         Menyelesaikan masalah semasa
·         Sumber pengajian dan kerohanian
Masjid Al-Umm sebagai Rumah Allah adalah rumah terbuka untuk dikunjungi, khususnya untuk beribadat. Seharusnya tidak ada sekatan bagi siapa yang datang. Masjid Al-Umm didirikan atas derma orang ramai. Ini memperkukuhkan lagi Masjid Al-Umm adalah milik bersama. Tiap ahli kariah seharusnya sama bertanggungjawab dan sama berusaha mengimarahkannya. Dengan keterlibatan semua pihak menjadi semua menyayangi masjid dan memang ianya adalah milik bersama.
Prinsip taharah adalah sesuatu kemestian di dalam ibadat. Tanpa taharah zahiri (daripada najis) dan maknawi (seperti berhadath – kecil dan besar) tidak sah solat seseorang. Ini seharusnya difahami betapa taharah amat ditekan di dalam Islam, bahkan diungkapkan bahawa `Al-Nazafah` - kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Sebab itu pihak yang diberi amanah menjaga masjid hendaklah mempastikan kebersihan masjid, supaya ianya tidak menjadikan pengunjung jijik. Setiap juzuk masjid daripada ruang dalam hingga kepada tandas dan tempat berwudhu` hendaklah bersih.  Termasuk di bawah bersih dan menarik ialah binaan dan landscape masjid. Seni bina masjid dan landscape masjid yang menarik adalah salah satu faktor yang menarik jamaah dan pengunjung datang dan mungkin jadi daya tarikan bagi pengunjung dari luar datang dan ianya merupakan dakwah secara halus kepada mereka – terutama bagi yang bukan Islam terhadap Islam. Masjid Al-Umm insya Allah menjadi salah salah `landmark` yang penting di Bangi dan diharap lebih terkenal dengan kegiatan-kegiatannya yang mengukuhkan syiar Islam di Bangi.
Profesor Azimi  menekankan agar Masjid Al-Umm berperanan sebagai `One Stop Centre` yang bukan saja ianya berfungsi sebagai tempat ibadat dan pengajian, tetapi dapat menyelesaikan keperluan dan masalah masyarakat. Sememangnya selama ini pihak masjid berperanan seperti menguruskan kematian, perkahwinan dan upacara-upacara seperti khatam, khitan dan mengadakan berbagai-bagai sambutan perayaan, tetapi Profesor Azimi mau masjid  berperanan lebih dari itu, iaitu mesra keperluan seperti menyediakan perkhidmatan dylisis kepada pesakit-pesakit buah pinggang, mengadakan hari kesihatan, kempen membasmi denggi dan menganjurkan kempen kebersihan dan gotong royong bersama masyarakat setempat melalui rukun tetangga, JKK,  persatuan penduduk dan sebagainya,..
Masjid juga seharusnya  melibatkan diri dengan kegiatan kemasyarakatan seperti mengadakan hari keluarga yang dapat mengeratkan ukhuwwah sesama jiran tetangga dan masyarakat,menganjurkan kem ibadat dan sukan di kalangan belia. Beliau menganjurkan agar mencontohi kegiatan beberapa masjid di Singapura yang dapat menarik golongan muda ke masjid dan antaranya turun kepada masyarakat mengadakan klinik Al-Qur`an yang fokus utamanya terhadap golongan muda.
Masjid juga haruslah peka dengan masalah ahli kariah  misalnya mereka yang kemalangan, sakit,muallaf,  mereka yang miskin dan anak yatim. Sebaiknya masjid mempunyai biro-biro  yang memberi  perhatian terhadap bidang-bidang yang releven seperti kebajikan, ekonomi, kemasyarakatan, pendidikan, keselamatan, penceriaan, dakwah, kewangan dan sebagainya.

Bersambung.

October 8, 2014

Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu Berindukkan Masjid Al-Umm: Pendekatan Mikro


BBB, 12 Zulhijah 1435 = 07 Oktober 2014 (Selasa):
Tajuk di atas adalah merupakan tajuk bagi kertaskerja pertama dan utama bagi Bengkel Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu. Kertaskerja ini bertolak dari falsafah pendidikan dan pengajian di dalam Islam berprinsipkan ayat Al- Qur`an pertama diturunkan, iaitu `Iqra`. Daripadanya diperluaskan kepada konsep PESURAT` dan Teori Takmilah yang merupakan pendekatan bagi  membina Peradaban dan Tamadun Umat. Membangun Bangi  Bandar Ilmu adalah percikan darinya.
Sesungguhnya BBB mempunyai institusi-institusi keilmuan dan infrastruktur yang dapat merealisasikan Bangi Bandar Ilmu. Di Bandar Baru Bangi terdapat:
·         Masjid (2 buah)
·         Kompleks Pendidikan Islam
·         Sejumlah universiti dan Pusat pengajian tinggi (20 buah)
·         Sekolah (10 buah)
·         Pra-sekolah
·         Surau (melebihi 30 buah)
·         Darul Shifa
·         Pusat-pusat latihan (10 buah)
·         Tahfiz
·         Pendidikan swasta dan persendirian
Dengan jumlah institusi pendidikan sedemikian sudah menampakkan yang Bangi adalah Bandar Ilmu. Namun institusi-institusi berkenaan perlu digerak secara bersepadu dan berwawasan. Kertaskerja menyarankan pada peringkat permulaan dengan kemampuan yang ada agar  mengambil pendekatan secara mikro dan memperluaskannya  secara makro apabila infra-struktur sudah ada dan ada tenaga melaksanakannya.
Saranan yang dibuat ialah menjadikan Masjid Al-Umm (kini dalam progres pembinaan dan dijangka siap pada Mei 2015) sebagai Induk Pengajian di dalam satu  lokasi `Kampus Ilmu` yang dikenali dengan `Wadi Ilmu` lantaran lokasi ini berada di tengah banjaran Bukit Bangi. – Kawasan seluas 300 hektar (anggaran). Dalam kawasan ini terdapat satu masjid, 8 surau, satu Dar al-Shifa`, 4 sekolah biasa, 2 sekolah agama dan sebuah kompleks Pendidikan Islam (KPI). Masjid merupakan induk yang mengendalikan pendidikan agama, manakala KPI mengendalikan pendidikan formal (persekolahan) dan Dar Al-Shifa` mengendalikan Perubatan Islam . Surau merupakan fakulti-fakulti pengajian bagi masjid dengan KPI dan Dar al-Shifa` sebagai pengukuh keilmuan bagi pengajian.
Berasaskan Masjid Al-Umm, maka konsep pendidikan di dalam kawasan ini diintegrasikan dengan kurikulum keilmuan keislaman dan mendapat kerjasama dari pengajian-pengajian tinggi yang berada di Bangi dan sekelilingnya. Setiap pusat keilmuan berperanan meningkatkan keilmuan di dalam bidang masing-masing dengan pembaikan-pembaikan secara penyelarasan. Sedang pihak Masjid Al-Umm sebagai induk mengadakan pengajian yang diselaraskan, iaitu:
·         Pengajian mengiringi waktu solat fardu, khususnya selepas Maghrib dan Isya`
·         Pengajian-pengajian pada hujung minggu
·         Pengajian berpakej yang bersifat mingguan, bulanan, bahkan tahunan
·         Konvensyen Ilmu pada waktu-waktu bersesuaian.  Contoh cuti persekolahan
·         Pengajian Berkembar dengan pengajian terkenal, Mou dan ziarah Ilmu
Pihak Masjid juga  bercadang mengadakan
·         Pengajian Tahfiz dan Tadika
·         Pengajian Ala Pondok, khusus bagi warga emas
·         Kursus-kursus khusus seperti Haji, Perkahwinan, Keluarga bahagia, kesihatan,  ekonomi rumahtangga dan kursus belia (termasuk pelajar).
Keilmuan-keilmuan yang dicadangkan adalah keilmuan Islam, iaitu:
·         Al-Qur`an dan Tajwid
·         Aqidah
·         Fiqh
·         Tafsir
·         Hadith
·         Tasawuf
·         Sirah
·         Ekonomi Islam
·         Bahasa Arab, Melayu ,  Inggeris dan Penulisan
·         Seni Khat, tarannum,, nasyid, marhaban dan lain-lain
·         IT,  Komputer dan Animasi
·         Kursus usahawan, professional dan lain-lain.
Bagi kursus-kursus di atas ada kurikulum yang dirangkakan, buku-buku rujukan dan panduan. Guru-guru berkelayakan dipilih mengendalikan pengajaran bagi bidang-bidang keilmuan di atas. Kurikulum khusus dirangka bagi kursus-kursus khusus yang dianjurkan. Surau-surau di dalam kawasan Wadi Ilmu sama mengendalikan kursus di atas secara pilihan dan penyelarasan. Antara pelajar yang memilih pelajaran-pelajaran berkenaan perlu bergerak antara surau ke surau. Mereka juga boleh mengikuti pengajian di KPI sebagai pilihan mana-mana kursus yang bersesuaian. Mereka juga boleh mengikuti pengajian di Dar Shifa` sekiranya berkelayakan. Ada penilaian yang dibuat terhadap pelajar (formal) berdasarkan jumlah unit-unit pengajian yang dipilih. Pelajar Tahfiz dan yang di dalam lingkungan persekolahan perlu mengikuti pengajian formal persekolahan seperti di KPI, Sekolah Integrasi  dan sekolah-sekolah di BBB dengan tambahan pengajian di masjid di luar dari masa sekolah.
Bagi menjayakan pengajian di Wadi Ilmu berindukkan Masjid Al-Umm ada keperluan-keperluan yang perlu diambil tindakan seperti melantik AJK pentadbiran yang berwibawa, mempunyai peruntukan kewangan yang stabil  antaranya mempunyai asset waqaf dan harta masjid, mempunyai fasiliti yang mencukupi termasuklah ruang pentadbiran, pengajaran, perpustakaan, asrama, penerbitan, kompleks sukan yang sempurna. Adalah dicadangkan Masjid mempunyai bangunan yang menempatkan bahagian pentadbiran, pengajian, perpustakaan dan keperluan-keperluan yang lain. Dari tahap pengajian Wadi Ilmu berasaskan Masjid Al-Umm ini dapat diperluaskan kepada peringkat Makro ke seluruh Bangi berasaskan masjid, surau-surau dan institusi pebndidikan yang lain dengan kerjasama pusat-pusat pengajian tinggi yang berada di Bangi dan sekelilingnya. Pada puncak perkembangannya membolehkan pengajian di Wadi Ilmu mencapai status pengajian bersifat Jami`ah dan bertaraf universiti.

Sekian.