December 4, 2015

Yang Syukur,Pasrah Dan Berbalah: Islam Menyerlah


BBB,  21 Safar 1437 = 03 Disember 2015 (Khamis):


Pergi lebih mendalam selepas menghayati tentang keindahan dan kelembutan ayat-ayat Al-Qur`an di dalam Surah Maryam yang kebanyakan ayat-ayatnya berhujung dengan `ya` itu, maka pada perlapisan yang lebih dalam  tersentuh jiwa dengan `Gundah-Syukur, Pasrah & Mewariskan Perbalahan pendapat berterusan`. Terumus pendapat itulah watak-watak dan suasana-suasana  mewariskan kepada manusia yang diterima dan dibawa dalam perjalanan.
Keluarga Zakaria menghadapi permasalahan tidak semudah untuk diselesaikan, tetapi ianya bukan di luar dari pengalaman normal. Sebagai ketua keluarga yang menumpahkan jiwa raga dalam berkhidmat ke pada Allah di Masjid al-Aqsa, Baitul Maqdis, Nabi Zakariyya yang sudah lanjut usianya amat mengharap dan terus memohon kepada Allah agar Allah mengurniainya zuriat bersama isterinya yang selama ini dianggap mandul. Dia mau khidmat yang selama ini dicurahkan dapat disambung anaknya – sebaik-baiknya lelaki. Rintih Zakariyya sebagaimana dimaksudkan ayat Al-Qur`an:
``Ia merayu dan berkata, ``Wahai Tuhanku, sesungguhnya telah lemahlah tulang-temalang tubuhku dan telah putih melepaklah uban rambut kepalaku dan aku, wahai Tuhanku tidak pernah merasa hampa dengan do`a permohonanku kepadaMu``. (19.4)
 Bagi Allah tidak ada kerumitan bagiNya untuk mengkabulkan permintaan sedemikian. Dengan doa dan ketulusan hati Zakaria akhirnya doanya dikabulkan  dengan kurniaan anak lelaki terus dengan pemberian nama `Yahya` nama yang belum pernah diguna seumpamanya sebelumnya. Yahya meneruskan khidmat sebagai penerusan yang dilakukan oleh bapanya Zakariyya dan menurut syariat seperti di dalam  Taurat.
Sebagaimana Zakariyya maukan anak lelaki dari keturunan sendiri demikianlah juga keluarga Imran memohon dari Allah mengurnianya bersama isterinya `Hannah` untuk mendapat anak lelaki. Mereka bernazar bila besar untuk menyerah anaknya bagi mengabdikan dirinya berkhidmat di tempat ibadat di Masjid Al-Aqsa, Baitul Maqdis. Allah jua mengkabulkan permintaan mereka, tetapi bukan anak lelaki, tetapi sebaliknya perempuan yang diberi nama Maryam. Mereka pasrah dengan kurniaan dan oleh kerana nazar, maka mereka menyerahkan juga anak perempuan ini beribadat dan mencurahkan baktinya kepada Allah dan beribadat di dalam Masjid Al-Aqsa berkenaan.
Berlainan warna, nasib dan ketentuan yang dialami Maryam sebagai Rahib Wanita, dia menghadapi ujian yang paling getir. Sebagai Rahibah dia semata-mata menumpukan ibadat dan khidmat di pusat ibadat, dan dia tidak memohon untuk mendapat sebarang zuriat, lantaran dia tahu dia seorang yang tidak bersuami, tetapi atas kehendak Allah dia diberitahu oleh Malaikat, bahawa dia dikurnia anak tanpa bapa dan mengandung, dia tidak dapat menolak dan mengandung. Dia menerima cemuhan dan tuduhan liar dan mengasingkan diri beribadat sambil menunggu tarikh kelahiran, bahkan dia berpuasa dari bercakap. Apabila anaknya lahir yang dinamai Isa, kepada yang bertanya, dia mengisyaratkan supaya  menanyakan anak tersebut. Dan  Isa menjawab sebagaimana dimaksudkan di dalam Al-Qur`an:
``Ia menjawab, ``Sesungguhnya aku ini hamba Allah. Ia telah memberikan kepadaku Kitab (Injil) dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi``. (19.30)
Isu Maryam dan anaknya Isa bukan sekadar kelahiran semata-mata, tetapi mencetuskan pertikaian bukan saja dari segi menerima dan menolaknya, tetapi kedudukannya dari segi falsafah dan aqidah yang sifatnya amat serius dan diwarisi perbalahan oleh generasi zaman.
Dari segi lahirnya Isa menyebabkan melahirkan berbagai pendapat. Antaranya melihat Jesus Isa al-Masih mempunyai dua identiti, iaitu Lahir sebagai kemanusiaan dan Batin sebagai Ketuhanan.
Dari segi penerimaan terhadapnya berlaku perselisihan.
Antara Yahudi tidak mengaku kenabiannya dan menganggapnya sebagai anak zina. Mereka menuduh Al-Masih anak Yusuf Tukang Kayu yang bila lahir Al-Masih dikahwinkan dengan Maryam. Dari satu segi terdapat pendapat-pendapat:
1)      Golongan Ya`kubin Isa itu ialah Allah
2)      Golongan Nasturiyyin Isa Anak Allah
3)      Pendeapat Isa itu Yang Ketiga dan Yang Bertiga. Dia Allah, Dia Anak Allah dan Dia Ruhul Qudus
4)      Pendapat yang mempercayai Oknum Ketiga ialah Ibunya Maryam.
Tetapi yang dijadikan keputusan Kaisar Konstantin di perhimpunan di Necea, ialah Triniti Allah Bapa, Allah Putera dan Allah Ruhul Qudus, Yang Satu Di Dalam Tiga dan Tiga Di Dalam Satu.
Hamka mencatat, ``Injil yang ada sekarang bukan lagi yang turun kepada Isa Al-Masih. Apa yang ditulis oleh Matius, Markus, Lukas dan Yohannes itu bukan wahyu. Di dalam kesemuanya tidak terdapat tentang Isa bercakap-cakap membenarkan ibunya daripada tuduhan-tuduhan yang bukan-bukan dan pengakuan bahawa dia akan menjadi Nabi dan menerima kitab Injil dari Tuhan sebagaimana keterangan terdapat di dalam Al-Qur`an sebagaimana ayat di atas. Demikianlah kekacauan pendapat tentang Isa di kalangan Israil dan golongan Kristian yang mengelirukan.
(Hamka, Tafsir Al-Azhar, Jil.6, Pustaka Nasional Pte Ltd., Singapura, 2001: 4,300).
Kedatangan Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Nabi dan Rasul akhir zaman menyibarkan agama Islam dan antaranya membetulkan tentang kedudukan Al-Masih yang dia bukan dibunuh sebagaimana cuba  dilakukan oleh Bani Israil , tetapi diangkat oleh Allah kesampingNya.
Kedatangan Islam dengan bukti Al-Qur`an yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad  s.a.w. tidak saja memperbetulkan tanggapan terhadap Nabi Isa Al-Masih sebagai Rasulullah, tetapi juga terhadap nabi-nabi yang lain sebagaimana sebahagian daripada mereka disebut di dalam Surah Maryam, iaitu tentang:
Nabi Ibrahim yang mendakwah agama Hanif (Islam), termasuk terhadap ayahnya yang merupakan sebagai pemahat patung-patung. Ibrahim adalah Siddiq lagi benar (19.41). Dia diancam oleh pemerintah pada masanya iaitu Namrud dari zaman Babilon. Dia melakukan Hijrah termasuk ke Makkah mendirikan Ka`bah.
Nabi Musa yang cirinya ialah `Berbicara Dengan Tuhan` (Al-Nisa`: 164) dan mendapat tentangan dari Fir`aun semasa di Mesir.
Nabi Ismail yang disifatkan sebagai `Penunai Janji` (19.54) dan
Nabi Idris yang disifatkan sebagai Kenabian Yang Benar (19.56)
Islam dan Al-Qur`an yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. bukan setakat memperbetulkan persepsi dan tanggapan terhadap Maryam dan Nabi Isa, tetapi memperbetulkan pegangan terhadap kerasulan dan kenabian yang telah diutuskan Allah, tetapi juga menunjuk jalan  kehadapan untuk dijalani secara lurus dan betul.

Sekian.

December 3, 2015

Surah Maryam: Keistimewaan Lahiri Dan Maknawi


BBB, 20 Safar 1437 = 02 Disember 2015 (Rabu):
Surah Maryam adalah Surah Makkiyyah, Surah Ke 19 mengandungi 98 ayat.
Meneliti dan menghayati surah Maryam dari segi lahiri dan maknawi tertanggap beberapa keistimewaan.


a)      Keistimewaan Lahiri
1.       Satu-Satunya Surah Membawa Tajuk Dengan Nama Wanita
Di dalam Al-Qur`an banyak menyentuh tentang tokoh dan watak seperti Nabi Ibrahim, Ya`klub, Yusuf, Musa, Isa dan lain-lain. Setengahnya langsung sebagai judul surah seperti Ibrahim dan Yusuf dan setengah kisahnya terkandung di dalam surah dan tidak menjadi judul seperti Ya`kub, Musa dan Isa dan lain-lain, tetapi semua tokoh dan watak-watak berkenaan adalah dari kalangan lelaki. Menariknya Surah Maryam adalah satu-satunya surah yang membawa judul bertajuk mengenai wanita, iaitu Maryam. Ini menunjukkan bahawa dari segi surah – Maryam, diberi tempat istimewa di dalam Al-Qur`an dan sudah tentulah lebih istimewa tentang tokoh dan watak yang diperkatakan, iaitu Maryam. Di dalam Al-Qur`an selain dari menceritakan tokoh wanita secara menyebut secara jelas – Maryam, terdapat banyak tempat yang merujuk kepada tokoh wanita, tetapi tidak disebut  namanya secara jelas. Misalnya mengenai `Isteri Fir`aun – Asiah` , isteri Abu Lahab – Ummu Jamil`, watak utama perempuan di dalam Surah Yusuf – Zulaikha. Tetapi dirujuk kepada mereka secara isyarat dan tidak menyebut secara langsung. Penyebutan tentang nama `Maryam` menunjukkan keistimewaan watak ini. Kalau kita meneliti di dalam Surah Al-Nisa` - Perempuan (ke 4), maka tidak kedapatan penyebutan nama wanita secara langsung, tetapi yang ditekankan di dalam surah ini ialah hukum-hukum mengenai perempuan seperti hukum berkahwin lebih dari satu,, tentang maskawin, perintah bergaul dengan isteri dengan cara yang baik, perintah jangan terburu-buru menceraikan isteri jika timbul perkara-perkara yang tidak menyenangkan dan larangan mengambil balik harta dan pemberian yang telah diberi jika berlaku perceraian dan hendaklah menggauli isteri atau isteri-istreri secara baik., Pendek kata walaupun surah ini mengenai wanita, tetapi tidak menyebut secara langsung tentang tokoh wanita. Surah Maryam memberi kedudukan istimewa berkenaan Maryam !
2.       Keistimewaan Dari Segi Bahasa
Sebagaimana sebahagian dari surah-surah Al-Qur`an bermula dengan huruf-huruf (19), maka demikian dengan surah Maryam ini bermula dengan huruf. Ada yang bermula dengan satu huruf seperti Sad, Qaf dan lebih dari itu. Tetapi bagi Surah Maryam ini ia adalah merupakan antara huruf terbanyak iaitu  Kaf, Ha`, Ya` `Ayn dan Sad. Sebagaimana bagi surah-surah lain yang bermula dengan huruf, tidak diketahui makna, melainkan oleh Allah, dan merupakan mu`jizat Al-Qur`an, tetapi antara pentafsir ada yang membuat tafsiran bagi awalan  Surah Maryam ini. Ada yang berpendapat secara terhad, bahawa `Sad` pada huruf kelima adalah bermaksud kepada `Qissah` lantaran di dalam surah tersebut menceritakan tentang Zakariyya, Yahya, Isa, Maryam dan Ibrahim. Manakala Al-Imam Fakhrul Razi berpendapat bahawa huruf-huruf berkenaan merujuk kepada sifat-sifat Tuhan, iaitu:
Kaf bermaksud Kafi (Tuhan Yang Memadai Pada DiriNya Sendiri)
Ha` bermaksud Hadi (Tuhan Yang Memberi Hidayah)
Ya` bermaksud Yad (Tangan Allah Di atas Tangan-Tangan Mereka)
`Ayn bermaksud `Alim (Tuhan Yang Maha Mengetahui)
Sad bermaksud Sadiq  (Tuhan Yang Maha Benar)
(Al-Qur`an Al-Karim Terjemahan Dan Huraian Maksud, Diusahakan oleh Muhammad `Uthman El-Muhammady (Menterjemah), Jil. 3, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1993: 1450).
3.       Keistimewaan Dari Segi Sastera (Adabiyy)
Kalau kita perhatikan  mulai dari Surah Al-Fatihah (Surah Pertama) hingga kepada Surah Al-Kahfi (Surah ke 18), maka bahasa di dalam surah-surah berkenaan adalah bahasa bersifat prosa atau nathar (bukan berciri puisi), tetapi mulai Surah Maryam maka kita dapati mempunyai elemen seni yang pada akhir tiap-tiap ayat mempunyai bunyi hujungan yang sama – Kecuali 6 ayat pada bahagian 1/3 ayat-ayat dari bahagian awal Surah Maryam, lebih khusus ialah dari ayat 34 – 40:
1)      34—35 berakhir dengan huruf nun
2)      36 -37  berakhir dengan huru mim
3)      38 – 39 berakhir dengan huruf nun
4)      40 berakhir dengan huruf nun.
Selain dari tujuh ayat di atas maka dari ayat kedua hingga ayat 74 kesemuanya berakhir dengan bunyi akhir yang sama ia `ya`. Adapun mulai dari ayat ke 75 hingga akhir surah (98), maka diakhiri bunyi dengan bunyi akhir `da`, kecuali tiga ayat berakhir dengan `za` iaitu ayat 81 , 83 & 98.
Kebanyakan ayat cukup bagi satu-satu ayat dibaca dengan satu nafas, dengan demikian dapat membangkitkan keindahan bunyi oleh kerana kesamaan sebutan bagi setiap ayat berkenaan. Ini merupakan salah satu style atau gaya susunan dan ungkapan ayat Al-Qur`an yang melahirkan bunyi indah dan menarik terutama apabila dilagukan.
B)      Keistimewaan Maknawi
Dimaksudkan keistimewaan yang tidak dapat dilihat dengan mata lahir, tetapi lebih kepada persepsi maknawi dan rohani.
1.       Sifat Sabar
Ini adalah sebagai dialami oleh Nabi Zakaria yang tidak berputus asa dari rahmat Allah yang akhirnya menerima zuriat kurniaan Allah, walaupun dalam usia yang lebih lanjut.
2.       Cekal Mendepani Fitnah
Sebagaimana yang dihadapi Maryam kerana mengandung tanpa diketahui bapa. Beliau dituduh melakukan zina, tetapi dibersih oleh Allah dan anaknya  - Isa.
3.       Menghadapi Berbagai Ujian
Sebagaimana dikisahkan di dalam Surah Maryam. Dakwah rasul-rasul tidak sunyi dari menghadapi rintangan dan ujian sebagaimana dialami oleh Nabi Ibrahim, Zakaria, Yahya dan Isa seperti dikisahkan di dalam Surah Maryam tersebut.

Sekian.

December 2, 2015

Iskandar Dhu Al-Qarnain Legenda Dunia Dalam Legenda Melayu

BBB, 19 Safar 1437 = 01 Disember 2015 (Selasa):
Ketokohan Dhu al-Qarnain (yang dikenali sebagai Iskandar Dhu al-Qarnain) sebagaimana disebut di dalam Al-Qur`an tidak saja terkenal sebagai Tokoh Legenda Islam, tetapi juga sebagai `Legenda Dunia` yang dikenali di Barat dan di Timur. Tokoh ini juga dikenali di dalam peradaban dan tamadun Melayu. Nama Iskandar begitu terkenal sebagai nama dan gelaran bagi raja dan turunan raja-raja Melayu, misalnya Sultan Iskandar Shah sebagai Raja Melayu Terawal di Melaka di akhir abad ke 14M. Demikian juga dengan gelaran Sultan Iskandar Mahkota Alam dan Iskandar Thani di Acheh pada pertengahan abad ke 17M. Demikianlah dengan beberapa lagi gelaran bagi raja-raja Melayu. Iskandar Dhu al-Qarnain dianggap sebagai nasab keturunan bagi raja-raja Melayu, bahkan di Barat keturunan raja-rajanya dikaitkan  dari nasab ketururunan Raja Iskandar Dhu al-Qarnain. (Hikayat Iskandar Zulkarnain, Diusahakan oleh Khalid Hussain, Dewan Bahasa dan Pusaka, Kuala Lumpur, 1967: IX).


Ada berbagai pendapat mengenai bilakah zaman beradanya Iskandar Dhu al-Qarnain. Ada yang berpendapat bahawa Iskandar Dhu al-Qarnain berada pada zaman Nabi Allah Ibrahim a.s. yang dikaitkan wujudnya pada zaman itu bersama Nabi Ibrahim ialah Nabi Khidhir. Dalam Hikayat Iskandar Zulkarnain disebut bahawa Iskandar adalah berada pada zaman kerajaan Rum. Iskandar Dhu al-Qarnain berketurunan dari bapa yang bernama Raja Durab, beribukan Puteri Safiya Arqiya puteri Raja Rum anak kepada Raja Qilas (Hikayat Iskandar Zulkarnain: 41). Iskandar pada zaman kanak-kanak diserah mengaji dengan seorang guru bernama Aristatalis, iaitu seorang pendita terkenal dari negeri Istanbul.(Ibid. 42). Setelah kematian Raja Qilas maka ditaballah Iskandar menjadi Raja di negeri Rum. Dalam masa pemerintahannya Raja Iskandar Dhu al-Qarnain meluaskan jajahan takluk pemerintahannya. Adalah dikatakan bahawa Nabi Khidhir banyak membantu Raja Iskandar di dalam peperangan dan pemerintahan (Ibid. 53-70). Dikatakan perluasan pemerintahan Iskandar Dhu al-Qarnain ke Maghrib dan ke Masyriq adalah di dalam misi menyibarkan agama Islam di atas agama Nabi Allah Ibrahim. (Ibid. 71-134).                                                                                 

Di dalam Surah al-Kahfi disebutkan bahawa Dhu al-Qurnain telah meluaskan kekuasaannya hingga ke Barat ke sempadan jatuhnya matahari dan hingga ke Timur ke sempadan naiknya matahari (18. 86-90). Dikatakan  sempadan kekuasaan Iskandar Dhu al-Qarnain adalah sampai ke negeri Hindi (India). Kemaraan bala tentera Iskandar Dhu al-Qarnain  ke Masyriq membawa kepada penawanan negeri Hindi. Di sini Raja Iskandar Dhu al-Qarnain dikahwinkan oleh Nabi Khidhir dengan puteri raja Kida Hindi bernama Puteri Shahrul Bariyah yang digambarkan sebagai seorang puteri yang amat cantik serta amat elok perangainya. Dengan puteri Shahrul Bariyah ini Raja Iskandar Dhu al-Qarnayn mendapat putera lelaki yang diberi nama Aristun. Kemudian Aristun berkahwin dengan puteri Raja Turkistan (mendapat anak yang diberi nama Aftus). Daripada Raja Aristun lahirnya generasi-generasi turunan yang berhubung dengan Raja Iskandar Dhu al-Karnain di Hindi yang antaranya berkahwin dengan anak Raja Nushirwan dari Parsi yang selanjutnya memperturunkan keturunan kepada Raja yang dikenali dengan Raja Suran yang dikatakan menguasai negeri-negeri maghrib dan Masyriq, kecuali negeri Cina.

Pada masa pemerintahan Raja Suran ini baginda menggerakkan bala tentera melalui jalan laut untuk menyerang negeri Cina. Dalam perjalanan tentera Baginda menyerang negera Gangga Negara, iaitu berdekatan dengan Dinding, Perak dengan Rajanya ialah Raja Shah Johan. Mereka dikalahkamn oleh Raja Suran. Turut dikalahkan pihak Siam, rakyat di Kelang dan Raja Chulan di Kota Ganggayu. Raja Suran berkahwin dengan anak Raja Culan bernama Onang Kiu dan baginda bergerak ke Temasek.
Dari Temasek Raja Suran bersama bala tenteranya bergerak ke Cina. Mendengar berita demikian Perdana Negeri Cina memasang helah dengan menghantar perahu yang dilayari orang tua dengan pokok yang ditanam di dalamnya. Apabila perahu di temui pihak Raja Suran dimaklumkan mereka datang dari Cina semasa muda, kini setua dirinya baru sampai ke Temasek dan pokok yang benihnya ditanam masa bertolak dari negeri Cina sudah begitu besar begitu juga batang besi yang dibawa sebesar lengan, kini sekecil jarum dimakan karat. Maka pihak tentera Raja Suran membatalkan niat menyerang Cina, kerana dijangka memakan masa begitu lama - lantaran helah dari pihak Cina.


Selepas itu Raja Suran turun ke perut laut melalui peti kaca dan sampai ke negeri di bawah laut yang rajanya bernama Aftabul Ardz. Raja Suran berkahwin dengan anak raja tersebut yang bernama Puteri Mahtabul Bahri. Mereka dikurniakan tiga orang anak lelaki.Yang tua dinamai Nila Pahlawan, kedua Krishna Pendita dan yang bungsu Nila Utama. Mereka kembali ke permukaan bumi dan turun di Bukit Seguntang. Nila Pahlawan dikahwinkan dengan Wan Empo dan Nila Krishna dengan Wan Malini dan Nila Utama berkahwin dengan Wan Seri Beni anak Raja Bentan. Nila Utama kemudiannya membuka Singapura yang asalnya nama Temasek itu. Baginda mendapat seorang putera yang dinamakan Raja Kecil Besar. Dari jalur keturunan inilah dikatakan membuka negeri Melaka yang memulakan pemerintahan negeri Melaka dan maju pemerintahannya berikut dari penerimaan Islam bermula dengan Sultan Muhammad yang juga dikenali dengan Sultan Iskandar. Dari keturunan inilah dikatakan menjadi turunan bagi raja-raja Melayu.
(Sejarah Melayu, Versi G. Shellabear, Oxford University Press, Kuala Lumpur, 1967: 4-87).

Tanpa mempersoalkan dari segi kebenaran fakta, tetapi melihatnya dari segi budaya memperlihatkan bahawa turunan Iskandar Dhu al-Qarnain dilihat begitu agung. Fakta yang terdapat di dalam Al-Qur`an secara ringkas ini diolah secarea kreatif dan lahirlah berbagai pendapat mengenai asal usul keturunan Raja Iskandar Dhu al-Qarnain ini. Setiap pihak cuba menggalurkan keturunan raja dan pemerintahan masing-masing dengan turunan Iskandar Dhu al-Qarnain ini termasuklah juga di dalam hikayat-hikayat Melayu seperti Hikayat Iskandar Zulkarnain, Sejarah Melayu dan beberapa hikayat yang lain.

Yang menarik Iskandar Dhu al-Qarnain dilihat tokoh yang menyibarkan Agama Islam, tetapi oleh keberadaannya di dalam sejarah mendahului zaman Rasulullah s.a.w., maka sebagai kewajaran dikatakan bahawa Iskandar Dhu al-Qarnain adalah berada pada zaman Nabi Ibrahim a.s. dan mempunyai hubungan yang rapat dengan Nabi Khidhir, bahkan menjadi pembantu utamanya. Manakala yang lain melihat Iskandar Dhu al-Qarnain berada pada zaman kerajaan Rum, bahkan mengaitkannya dengan tokoh pemikir Greek, iaitu Aristotles sebagai gurunya, manakala bagi budaya Melayu yang mengaitkan raja-raja Melayu dari turunannya, menimbulkan pertanyaan dari segi misi agama yang dibawa oleh Iskandar Dhu al-Qarnain lantaran terputus dengan pertalian turunannya dari Kida Hindi hinggalah kepada zaman Nila Utama di Temasek. Misi sebagai pemeluk dan pendukung Islam hanya timbul kembali setelah raja Melaka menerima Islam dengan Raja Islam pertamanya Sultan Muhammad. Iskandar Dhu al-Qarnain dalam jalur Melayu dilihat ialah dari aspek budaya dan sastera, bukan sepenuhnya dari segi fakta. Iskandar Dhu al-Qarnain diterima sebagai tokoh agung dan sebagai legenda dunia. Banyak pihak yang mau mengaitkan pertalian turunan dengan tokoh berkenaan sebagai turunan agung.
Sekian.

December 1, 2015

Siapakah Dhu Al-Qarnain ?


BBB,  18 Safar 1437 = 30 November 2015 (Isnin):
Kembali kepada pembicaraan tentang Surah Al-Kahfi. Di dalam surah ini terdapat dua buah cerita. Pertama ialah Cerita Al-Kahfi (Gua) yang utama yang menjadi judul bagi Surah al-Kahfi ( Surah 18), manakala cerita kedua ialah mengenai Nabi Khidhir, tanpa menyebut namanya secara langsung. Tetapi di dalam surah tersebut disentuh juga berkenaan Dhu al-Qarnain dan Ya`juj dan Ma`juj.  Siapa itu Dhu al-Qarnain ?
Ayat Al-Qur`an yang menyentuh tentang Dhu al -Qarnain ialah bermula dan sehingga ayat ke (18.83-99) Ayat permulaan bermaksud:



`Dan mereka  bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai Dhu al-Qarnain, katakanlah, ``Aku akan bacakan kepada kamu (wahyu dari Alla) yang menerangkan sedikit tentang perihalnya``. (18.93)
Dhu al-Qarnain bermaksud `Yang Mempunyai Dua Tanduk`. Ianya melambangkan pihak berkuasa – Raja, yang kekuasaan dan pemerintahannya meluas  menyentuh sempadan di sebelah barat jatuhnya matahari dan sebelah lagi menyentuh sempadan ke sebelah timur – naiknya matahari. (18.86 & 90).
Rasulullah dimaklumkan tentang  Dhu al-Qarnain, bagi menjawab pertanyaan pembesar Quraisy yang sengaja diusulkan oleh Yahudi untuk bertanya kepada Rasulullah s.a.w. bagi membuktikan kebenaran perutusan Rasulullah.
Tentang Dhu al-Qarnain, bagi tafsir yang ringkas seperti Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an menyebut secara ringkas, bahawa Dhu Al-Qarnain ialah seorang Raja yang beriman lagi  Salih yang dikurniakan oleh Allah Ta`ala kepadanya kekuasaan , kekayaan dan kemudahan tentera baginya memerintah. Dua tanduk bermaksud pemerintahannya  hingga ke sempadan ke sebelah Barat dan Timur.
(Tafsir Pimpinan Al-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur`an, diusahakan oleh Haji Abdullah bin Muhammad Basmih, Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Islam, Kuala Lumpur, 1985: 604).
Bagi Wahbah al-Zuhaily di dalam tafsir ringkasnya Al-Tafsir al-Wajiz juga mentafsir secara ringkas tentang tokoh Dhu al-Qarnain, Al-Zuhaily menyebut bahawa Dhu al-Qarnain ialah seorang raja. Beliau memetik pendapat Abdul Kalam `Azad Bekas seorang Menteri Kerajaan India yang mendalam mengenai pengetahuan Islam, bahawa raja dimaksudkan ialah seorang Raja Parsi yang salih. Dia mendakwah dan membuka kawasan penguasaan hingga ke Maghrib, kemudian ke Mashriq dan ke selatan dari selatan ke utara. Menurutnya kekuasaan ini sampai ke dua pergunungan iaitu di antara Armenia dan Azerbaijan atau di antara Laut Qazwin dan Laut Hitam. Menurutnya difahami mereka  adalah Monghul dan Tatar di utara dan kawasan Asia di Selatan. Di dalam penjarahan Dhu al-Qarnain mendapati penduduk bersebelahan pada bahagian selatan ialah kaum yang tidak memahami percakapan yang lain. Adapun penduduk pada bahagian utara, iaitu bangsa Tatar dan Moghul di utara Asia adalah bangsa-bangsa perosak di muka bumi dengan menjarah dan melakukan peperangan, pembunuhan, merosakkan tanaman dan merompak harta. Di satu pihak di Timur musuh yang dikenali dengan Ya`juj dan Ma`juj disekat kemaraan dan kejahatan mereka dengan membina tembok dan benteng dari leburan besi yang kukuh. Bila tiba masa berlakunya kerosakan benteng dan limpahan mereka keluar dan ia  adalah pertanda Hari Kiamat.
(Al-Zuhaily, Wahbah, Al-Tafsir al-Wajiz, Dar al-Fikr, Suriah, 1431H: 303-305).
Maklumat tentang Dhu al-Qarnain ini membuka ruang tafsiran yang luas, tentang tokoh ini sebagai legenda yang melibatkan masa lepas dan merentasi masa depan.
Hamka di dalam Tafsir Al-Azhar menyebut Dhu a-Qarnain ialah Raja Islam yang cerdik dan pahlawan yang kekuasaannya merentas maghrib ke mashriq. Hamka juga menyebut perluasan peringkat ketiga selepas maghrib ke masyriq ialah ke perbatasan dua gunung iaitu ke Armenia dan Azerbaijan. Hamka menyebut tentang tembok besar dimaksudkan ialah Tembok Besar Cina yang terkenal dalam sejarah itu. Berbagai pendapat tentang tokoh legenda Dhu al-Qarnain. Dia dikatakan tokoh sezaman dengan Nabi Allah Ibrahim dan turut sama tawaf di Ka`bah. Hamka juga mengemukakan pendapat bahawa Dhu al-Qarnain ialah Iskandar anak Philip Raja Mercedonia yang pernah menjadi murid Aristotles. Dikatakan Iskandar hidup hingga tahun 333 S.M. sebelum zaman Nabi Isa a.s.
Sebagaimana Al-Zuhaily, Hamka juga memetik pendapat Maulana Abdul Kalam Azad tokoh ulama`, ahli politik Islam, pendukung Parti Kongres India dan pernah menjadi Menteri Pelajaran dan Kebudayaan India. Menurut Abdul Kalam `Azad, Dhu al-Qarnain dimaksudkan ialah Cyrus Raja Parsi dari Empayar Dinasti Hakamanisy. Pada zaman Cyrus ada dua negara besar, iaitu Media dan Parsi. Pada zamannya raja besar ini pernah menakluk Juruselam dan kerajaan Babilon dengan mengalahkan kerajaan  Nabukadnesar. Raja ini juga dikatakan megembalikan orang Yahudi ke Juruselam yang pernah ditawan oleh Babilon dan di bawa semua Yahudi ke Babilon menjadi hamba abdi.



Di dalam sejarah sehingga kebangkitan Rasulullah s.a.w. pada masa itu terdapat dua empayar besar yang menguasai dunia, iaitu Rum dan Parsi. Sudah tentulah zaman kegemilangan kedua-dua kerajaan ini melahirkan tokoh-tokoh pahlawan dan pemerintah-pemerintah terkenal. Kaitan tokoh Dhu al-Qarnain adalah ada kewajarannya. Al-Qur`an tidak menyebut secara direct tentang tokoh Dhu al-Qarnain ini ada mempunyai hikmatnya dalam mana dengan demikian menggerak para ilmuan menyelidik dan mengetahui tentang sejarah dua empayar sebelum dan zaman permulaan Islam ini. Berhubung dengan fakta yang mengatakan bahawa Dhu al-Qarnain adalah Raja yang beragama Islam dan menegakkan pemerintahan Islam, bahawa memang ada yang berpendapat, bahawa di dalam kepercayaan Islam jumlah Nabi-Nabi yang dibangkitkan sebelum Nabi Muhammad s.a.w. begitu banyak sekali, maka tidaklah mustahil tokoh-tokoh berkenaan adalah merupakan antara mereka yang diberi hidayat oleh Allah.
Sebagai kesimpulan Surah al-Kahfi membawa watak-watak dan tokoh-tokoh legenda yang bersifat mistri yang maklumat tentang mereka tidak diberi kenyataan yang jelas yang mencabar pembaca-pembaca terutama pengkaji-pengkaji supaya mendalami tentang watak-watak dan tokog-tokoh berkenaan baik dari segi sejarah, maupun tentang keistimewaan mereka seterusnya sebagaii pengajaran yang dapat dipelajari dari cerita-cerita berkenaan. Dari satu segi Al-Qur`an tidak sahaja memberi perhatian terhadap rasul-rasul yang diutuskan dan pengajaran-pengajaran yang mereka bawa, tetapi juga turut membawa tentang tamadun dan peradaban yang dibawa oleh kerajaan-kerajaan, pemerintah-pemerintah dan tokoh-tokoh besar untuk dikaji tentang sejarah dan perjalanan pemerintahan mereka, kekuatan dan kelemahan mereka dan keistimewaan-keistimewaan yang ada pada mereka agar dapat dijadikan contoh tauladan dan juga persempadanan.

Sekian.

November 30, 2015

Ruang Luar Dari Bangunan Masjid Al-Umm


BBB, 17 Safat 1437 = 29 November 2015 (Ahad):
Keluasan tanah bagi Masjid Al-Umm adalah  2 ekar sahaja, terletak di pinggir bukit di Jalan ¼, Bandar Baru Bangi. Tanah seluas 2 ekar bagi pembinaan sebuah bangunan bertaraf masjid adalah sempit (kawasan normal bagi sebuah masjid adalah 5 ekar). Kerana kesempitan ruang mendorong AJK menambahkan  aras Masjid Al-Umm kepada tiga tingkat. Dapatlah dikatakan bahawa 4/5 daripada bahagian tanah adalah memuatkan tapak bagi masjid dan bakinya, iaitu satu perlima adalah tanah bagi keliling masjid.


Tanah yang lebih luas adalah pada bahagian hadapan berdepan dengan `Pintu Gerbang` bagi memasuki masjid. Ruang ini adalah ruang yang lebih rata yang selain daripada jalan  boleh memuatkan 15 ruang parkir di tepi tembok tinggi antara 5 kaki hingga 15 kaki (makin ke dalam makin tinggi kedudukan tanah berbukit) bersempadan dengan jalan perumahan semi-D baru ke jalan mati ke dewan badminton lama MPKj. Bahagian kedua ialah ruang tanah pada bahagian kanan bagi bangunan masjid yang bersifat curam. Pada pangkal sebelah kanan bagi bahagian ini ialah pintu masuk utama bagi jalan dari perumahan  Seksyen 2 ke Jalan Sekolah Rendah Bandar Baru Bangi yang antara keduanya jalan masuk menyusuri padang yang lebih rendah kedudukan tanahnya dan bersebelahan bagi jalan masuk ke perumahan semi-D baru di atas. Masuk sedikit ke dalam ialah pintu utama masuk ke kawasan Masjid Al-Umm yang pada permulaan masuk ke pintu ini ada `Pondok Jaga`. Ada tembok dengan nama Masjid Al-Umm dan ada tiga tiang bendera pada pintu masuk berkenaan. Dari pintu masuk ke bawah yang tanahnya makin merendah ke bawah bersempadankan padang bola ialah pagar yang memisahkan kawasan masjid dengan kawasan padang berkenaan. Pada  ruang di dalam pagar masjid sebelah kanan yang menurun ke bawah ini ialah jalan yang pada bahagian hujung ialah anak-anak tangga bagi pejalan kaki yang boleh turun atau masuk ke atau dari jalan luar dari jalan dan medan parkir jalan ¼ ke Sekolah Rendah dan Menengah Bandar Baru Bangi. Bersebelah bagi jalan beranak tangga pada penghujung ini bangunan kecil bagi  janakuasa TNB. Pada sebelah kiri dari medan parkir terhad di dalam kawasan depan masjid ini ialah jalan menurun pada bahagian kiri tepi masjid bersempadan dengan tembok sederhana bersempadan dengan perumahan semi-D lama, turun ke bawah ke jalan masuk kedua dari jalan ¼ berdepan dengan kawasan parkir Jalan ¼, dengan jalan dari  Jalan 1/3 ke jalan Sekolah Rendah dan Menengah Bandar Baru Bangi. Bagi memasuki jalan ini yang boleh berseleisih dua kenderaan ada Pondok Jaga kedua. Bahagian terakhir bagi ruang kawasan Masjid Al-Umm, ialah pada bahagian hadapan bagi mihrab masjid, iaitu kawasan yang ruangnya paling kecil antara tembok masjid dengan jalan dari 1/3 dan 1/4 kawasan parkir ke Sekolah Rendah dan Menengah Bandar Baru Bangi. Pada jangkaan asal pada bahagian tepi tembok ini ada sedikit ruang yang boleh ditanam dengan hiasan pokok-pokok renik atau pokok-pokok bunga sebagai hiasan dan tarikan pandangan pada bahagian luar dari masjid. Ruang hadapan ini juga dijangka dapat memuatkan bagi belasan ruang parkir bahagian luar.Penulis berpendapat, jika masjid ini mendapat `bonus` dengan tambahan satu aras  bawah tanah bagi masjid ini, tetapi penambahan ruang `Kolam Tadahan Air Hujan` pada bahagian hadapan dan dibuat pula tembok antara tembok masjid dengan tembok baru bagi ``Kolam Tadahan Hujan` ini merugikan ruang tanah, merosakkan pandangan dan dibimbangi mencemar dan boleh menjadi tempat membiaknya nyamuk aedis jika tidak diselia dengan betul. Dengan adanya ruangan tembok tambahan luaran ini menghalang pandangan tembok masjid yang asalnya mau dijadikan ruang iklan yang dapat memberi pulangan kewangan kepada masjid. Sebenarnya `Kolam takungan air` ini adalah antara tambahan ruang yang tidak ada di dalam plan asal masjid dan memang dibincangkan di dalam mesyuarat, tapi tapaknya tidaklah dijangka berada pada ruang penting di hadapan masjid, tetapi dijangka mengambil ruang yang tidak luas dipinggir masjid pada sebelah kanan yang lebihan air dari simpanan air hujan yang berlebihan akan disurai dan mengalir ke parit dan turun ke parit di bawah. Namun ini adalah merupakan tanggungjawab bersama, jika dikatakan ia adalah satu kesilapan, maka ia adalah satu kesilapan.


Daripada perbincangan di atas, sebenarnya amatlah sempit kawasan tanah kosong bagi Masjid Al-Umm. Kedudukan tapak yang curam dari pinggir tanah tinggi bukit telah membentuk ruang topografi  dan landscaping yang asli bagi kawasan Masjid Al-Umm. Tidak banyak ruang untuk kreativiti bagi `seni taman` . Ruang yang ada, mau tidak mau, terpaksa lebih banyak digunakan untuk jalan. Jalan berkenaan tidak sangat untuk kenderaan, kerana ruang untuk parkir  adalah lebih kurang tiga puluh ruang yang mungkin untuk pegawai-pegawai masjid yang sepenuhnya bertugas di masjid. Jalan-jalan berkenaan lebih digunakan sebagai pejalan kaki bagi jamaah dan pengguna ruang aras bawah tanah bagi majlis-majlis terutama pada hujung-hujung minggu. Parkir untuk umum adalah dengan menggunakan pakir-parkir di medan parkir Jalan ¼, di ruang-ruang yang ada di pinggir jalan dan medan parkir yang bakal dibangunkan di bawah rentasan cable voltan tinggi TNB yang akan diberi perhatian tinggi dari segi keselamatan.
Kembali kepada penggunaan ruang yang ada di dalam kawasan Masjid Al-Umm, adalah menjadi hasrat pihak AJK Masjid Al-Umm untuk menjadikan keliling masjid adalah sebagai kawasan hijau, namun sebagaimana dibincangkan, bahawa kekangan ruang amat dirasakan. Jika mau diharmonikan dengan falsafah seni bina Masjid Al-Umm sebagaimana telah dibincangkan seharusnya bersifat bersamaan, bersetentang, sebelah menyebelah dan kiri dan kanan. Jika mau diikut, maka ianya dapat dilaksanakan dengan penanaman pokok bersetentang bersebelahan pada kedua-dua pintu masuk masjid, ruang yang ada di tepi pagar, terutama sebelah kanan masjid, pada bahagian hadapan pintu gerbang masuk ke masjid yang tentu tidak boleh ditanam pokok yang besar dan ruang-ruang tepi masjid, terutama pada sebelah kanan. Mungkin sebahagian pokok-pokok-pokok hiasan dan bunga adalah pokok-pokok yang ditanam di dalam pasu dan ditempatkan pada tempat-tempat yang sesuai dan mudah alih. Ruang bagi menanam rumput bagi kelihatan hijau juga terhad – ruang yang ada adalah pada sebelah kanan bagi ruang masjid. Tanaman pokok juga boleh difikirkan bagi jalan masuk dan di pinggir padang bersempadan dengan masjid. Bagi tujuan ini boleh mendapat kerjasama dari pihak MPKj bagi menghiaskan keliling padang dan ruang yang ada di luar dari kawasan masjid dihias dengan pokok-pokok hiasan yang menarik pandangan. Kita mau seni taman yang sesuai dengan falsafah dan kedudukan masjid di ruangnya yang asli dan kita berharap tidak sesuatu yang bersifat cacamurba, kecamuk dan tidak membantu suasana masjid yang seharusnya harmoni, tenang, khusyuk dan kudus.
Apa yang dibincangkan ialah perkara yang berhubung dengan aspek fizikal yang merupakan persediaan ruang, tapak dan kemudahan bagi para jamaah dan pengunjung menggunakan masjid. Kemudahan berkenaan amat penting bagi memakmur dan mengimarahkan masjid. Adalah diharapkan dengan kemudahan dan keselesaan yang disediakan menambahkan kemesraan dan kerinduan para jamaah dan pengunjung untuk datang ke Masjid Al-Umm yang menyediakan tempat ibadah yang selesa, pengajian-pengajian yang menarik  dan berbagai-bagai kegiatan kemasyarakatan yang sesuai..

Sekian.

November 29, 2015

Falsafah Nombor Dalam Pembinaan Masjid Al-Umm


BBB, 16 Safar 1437 = 28 November 2015 (Sabtu):
Adalah menjadi lumrah kehidupan bahawa kita berdepan dan sering menggunakan angka-angka seperti menghitung hari, minggu dan bulan. Mengira hasil-hasil dapatan dan mengeluarkan sejumlah pendapatan bagi perbelanjaan. Penggunaan angka lebih lumrah di dalam pembinaan, lantaran ianya melibatkan ukuran dan jumlah unit yang digunakan. Pandanglah sebuah masjid, berapa banyak keperluan ukuran dan pengiraan yang digunakan bagi menyiapkan bangunan masjid tersebut.
Berhubung dengan nombor atau angka ada falsafah dan budaya berhubung dengan angka-angka, termasuklah dari `Pandangan Wujud` Islam yang dapat diaplikasikan kepada pembinaan Masjid Al-Umm.


Sebagaimana dimaklum, bahawa prinsip Islam yang paling utama ialah `Falsafah Tauhid`. Segala pengolahan berhubung dengan Islam adalah bertolak dari falsafah `Tauhid`. Bahkan diungkapkan bahawa kerana Allah tunggal, maka Dia sukakan yang bersifat gasal.
Membicarakan tentang pembinaan Masjid Al-Umm, antaranya dapat dilihat dari `Falsafah Nombor`.
Falsafah nombor bagi Masjid Al-Umm, ialah senibina yang berasaskan `Tauhid`, iaitu baik dilihat dari segi objek seperti `Satu Kubah` yang  `Satu` sebagai melambangkan sifat Ketunggalan Allah. Atau dilihat dari segi perlambangan, sebagaimana dibicarakan bahawa bentuk bulat adalah bentuk sempurna yang melambangkan bahawa Allah adalah Yang Maha Sempurna, atau dilihat dari satu perlapisan lambang yang lain bahawa baik kubah atau menara mempunyai `Arah Tunjuk` ke atas kepada ruang tertinggi yang melambangkan perjalanan kualiti diri dalam memi`raj diri kepada Ilahi.
Falsafah angka dapat dirujuk kepada jumlah sesuatu item bagi sesuatu bangunan. Misal dilihat kepada menara, selain daripada ianya bersifat dua besamaan sebelah menyebelah, dilihat juga dari segi jumah `Tiga` dicampur dengan satu kubah menjadikannya jumlah gasal – tiga,  tidak genap. Dilihat kepada lengkung sebelah menyebelah mihrab, maka ianya tiga sebelah kanan dan tiga di sebelah kiri, begitu juga dengan melihat kepada lengkung tingkap berhias geometrik design sama ada sebelah kanan atau sebelah kiri, maka jumlahnya juga adalah lima. Demikian juga dilihat bahagian sisi kanan masjid bersebelahan pintu gerbang kecil konsep lengkung banyak digunakan dari jumlah 4+4+4+3, keadaan yang sama bagi sebelah kiri.
Jika dilihat dari bahagian hadapan bagi pintu masuk kepada gerbang utama, maka didapati bentuk lengkung digunakan satu pada kiri dan satu pada kanan dan pada bahagian belakang bagi pintu gerbang utama ialah lima lengkung yang memanjang ke bawah. Masuk ke dalam bangunan, maka bentuk lengkung digunakan pada dinding pada sebelah mihrab  dua sebelah menyebelah + 1 dengan ruang mihrab, manakala pada bahagian keliling kubah terdapat 6 x 3 tingkap kecil bagi dimasuki cahaya matahari.
Selain dari konsep gasal, pengaruh bilangan melibatkan jumlah 4 unsur diri dan alam (tanah, air, api dan angin), jumlah 360 hari  setiap tahun dan jumlah binaan badan juga terdiri dari 360 bahagian tulang temalang, bahkan jumlah darjah dalam bulatan iaitu 360 darjah juga menjadi kiraan yang dianggap significant dan lengkap. Di dalam hal ini Penulis sering meneliti dan cuba memahami dari segi pelan arkitek dan pembinaan dan  secara realiti di atas tapak. Pada masa peringkat awal pembinaan Masjid Al-Umm dalam mana tiang-tiang sedang didirikan dan  juga aras satu sedang diseminkan dengan tiang-tiang juga dinaikkan dari bawah dan bersambung di atas, Penulis beberapa kali datang membuat perkiraan jumlah tiang-tiang bagi Masjid Al-Umm. Penulis membuat kesimpulan bahawa pembinaan tiang bagi masjid Al-Umm adalah bermula dari 4 tiang seri yang menjadi tiang utama bagi pembinaan masjid dari aras bawah tanah hinggalah kepada puncak kubah. Penulis dapati bahawa dari Tiang Seri empat tiang paling besar berkembang kepada jumlah yang banyak, tetapi makin kecil bentuknya, iaitu:
Dari empat meluas menjadi lapan
Dari lapan meluas menjadi enam belas
Dari enam belas meluas menjadi tiga puluh dua
Dari tiga puluh dua meluas menjadi  enam puluh
Dari enam puluh meluas  menjadi seratus lapan puluh
Dan dari seratus lapan puluh meluas menjadi tiga ratus enam puluh
Semakin besar jumlah angka  bermakna semakin mengecil bentuk tiang.


Maka dari kiraan Penulis, jumlah semua tiang bagi pembinaan Masjid Al-Umm secara kasar adalah mempunyai dalam liungkungan 360 tiang.
Dilihat dari segi anak tangga adalah mempunyai kaitan dengan angka-angka. Misalnya bagi siapa yang datang dari bahagian hadapan untuk masuk ke aras utama ke ruang terbuka berdepan dengan mihrab, maka dari lantai yang ada antara kanan dan kiri tempat wudhu` -  lantai yang rata,  bagi menaiki ke ruang utama, maka ianya perlu melalui `Satu Anak Tangga` sahaja, ini bererti aras bagi ruang utama adalah lebih tinggi dari aras bagi lantai bagi permulaan masuk, tetapi bagi mereka yang memilih untuk masuk melalui pintu gerbang kecil pada sebelah kanan masjid, maka ianya perlu melalui anak tangga yang mata tangganya ialah sebanyak 5 mata anak tangga. Tidak ada pintu gerbang sedemikian pada sebelah kiri, sebaliknya ia perlu melalui anak-anak tangga biasa.
Adapun menaiki tangga dari aras bawah tanah sebelah kanan ke atas ke aras utama mempunyai dua level anak tangga yang mata tangganya ialah  13 + `10.
Bagi menaiki anak tangga ke aras utama kiri luar juga melalui dua level yang anak tangganya ialah 13 + 10 (Terdapat tangga dalaman bersebelahan bermata tangga dua level iaitu 10+10).
Adapun bagi menaiki dari aras utama ke aras satu (tingkat tiga) sebelah kanan adalah melalui dua level anak tangga, iaitu 13 + 13 anak tangga dari aras ini dapat naik ke  bumbung melalui jalan di bawah menara juga mempunyai 2 level anak tangga iaitu 13 +9. Manakala  melalui sebelah kiri dari aras utama ke aras satu (tingkat tiga) mempunyai dua level mata tangga iaitu 13 + 13 dan bagi menaiki ke bumbung sebelah kiri juga mempunyai dua level anak tangga iaitu 13 + 8.
Perlu di tambah bahawa dengan jumlah anak tangga yang gasal apabila kita memulakan naik anak tangga dengan kaki  kanan, maka pengakhiran langkah  ke atas ialah juga sebelah kanan. Demikianlah sebaliknya.
Sesungguhnya nombor atau angka amat penting di dalam pengukuran di dalam pembinaan agar ianya tepat dan tidak merosakkan binaan . Angka juga penting di dalam mengira keluasan, volume, ketumpatan dan sebagainya bagi menghasilkan perkiraan yang tepat. Dengan angka ada falsafah yang significant yang memberi faedah bagi amalan dan kehidupan manusia itu sendiri.

Sekian.

November 28, 2015

Bentuk Bulat Dan Semi Bulat (Lengkung) Pada Masjid Al-Umm


BBB,  15 Safar 1437 = 27 November 2015 (Jumaat):
Selain dari kubah dan tiang menara berbentuk bulat, maka tiang-tiang bagi binaan masjid juga berbentuk bulat.


3. Tiang-Tiang
Dapat dikatakan semua tiang-tiang yang dibina bagi Masjid Al-Umm dari `Tiang Seri` yang paling utama – berjumlah empat tiang seri yang menjunjung kubah, kepada tiang-tiang utama keliling bangunan hinggalah tiang-tiang pada bahagian tengah bangunan dan tiang-tiang kecil adalah bersifat bulat. Tiang Seri adalah tegak dari aras bawah tanah ke aras utama (tengah) memuncak di ruang kosong kepada lakaran bersegi dari tiang empat dan dari lakaran ini ada tetulang-tetulang sendeng mengangkat bulatan yang di atasnya diletakkan Kubah. Manakala tiang-tiang keliling ialah tiang-tiang yang mengukuhkan didnding berkeliling masjid. Adapun tiang-tiang tengah ialah tiang-tiang yang menjunjung lantai-lantai bagi aras utama dan tiang-tiang yang menjunjung lantai bagi aras satu (tingkat tiga). Bersama dengan Tiang Seri berempat dan tiang-tiang yang menjunjung aras satu (tingkat tiga) adalah memuncak ke atas menjunjung bumbung dan atap bagi masjid. Semua tiang ini adalah bersifat selaras, iaitu berbentuk bulat – bentuk yang indah dipandang dan tidak banyak menghalang, terutama dari segi penglihatan
4. Semi Bulat Lengkung – Pintu Dan Tingkap
Satu bentuk yang banyak kedapatan di Masjid Al-Umm sebagai ciri seni bina dan daya `Estetika Takmilah`, ialah bentuk `Semi Bulat`. Maksud semi bulat ialah, ianya adalah berasal dari bentuk bulat berubah secara kreatif yang juga antara bentuk alamiah menjadi bentuk semi bulat yang asas utamanya berbentuk lengkung. Dari ciri lengkung ini berkembang kepada variasi bentuk berasal bulat kepada lengkung sederhana memanjang ke bawah atau memanjang secara terus (lebih dari sederhana).
Bentuk-bentuk lengkung ini yang berkembang dari bentuk bulat yang bulat itu melambangkan kesempurnaan. maka bentuk lengkung melambangkan kelembutan, tunduk, khusyuk dan tawaduk, sebagaimana bentuk bulat sesuai menjadi ciri senibina masjid, maka demikianlah dengan bentuk lengkung melengkapkan kesesuaian yang membawa erti dan nilai akhlak yang tinggi, harmoni, rohani bahkan meningkatkan kepada kejiwaan yang kudus.


Bentuk semi bulat atau lengkung ini adalah berada pada bahagian dinding – di luar atau di dalam (kurang) yang tidak menggunakan daun pintu. Ianya biasanya bersifat terbuka, atau ruangnya dihiasi dengan hiasan bersifat kerawang – secara kreatif. Contoh ketara dapat dilihat pada pintu-pintu tanpa daun pintu penutup pada bahagian depan bagi kanan dan kiri mihrab dan sebelah menyebelah bagi keduanya. Contoh pada kanan dan kiri mihrab pada tingkat atas terdapat tiga lengkung + 1 (kurang kelihatan) pada bahagian kanan dan tiga lengkung + 1 (kurang kelihatan) pada sebelah kiri yang tidak berdaun pintu. Bentuk ini begitu estetik dan menarik. Seterusnya pada dinding sebelah kanan dan kiri terdapat empat lengkung tingkap tanpa daun tingkap, tetapi ruang bagi daun tingkap dihiasai dengan dekorasi berkerawang  yang lebih bersifat geometrik design. Lanjutan bagi lengkungan-lengkungan ini menyusuri ke bahagian hadapan baik sebelah kanan atau kiri terdapat lengkungan-lengkungan berhias dan tidak berhias. Lengkungan yang agak berbeza ialah empat lengkungan di atas bagi empat persegi bujur yang diberi colour dinding berwarna hitam yang sebenarnya ialah dalamannya adalah kawasan bagi toilet dan bilik air dan wuhu`. Tempat yang kurang menyenangkan ini seolah-olah dapat disembunyikan dengan bentuk lengkung dan warna hitam pada empat segi panjang. Bahkan warna hitam di dinding jika dilihat dari jauh adalah sebagai dinding cermin yang menutup ruang tersebut. Keadaan ini adalah sama bagi bahagian sebelah kanan dan juga bahagian sebelah kiri.
Perlu diingat bahawa bentuk lengkung semi bulat sebagai pintu yang tidak berdaun pintu ini didesign adalah untuk aras utama dan aras satu. Adapun bagi aras bawah, di atas tanah, maka tidak digunakan bentuk ini, kerana ianya adalah ruang masuk keluar dan perlu mempunyai pintu berdaun pintu seperti biasa yang boleh dibuka dan ditutup dan dapat mengelak dari pencerobohan yang mungkin berlaku.
Daripada melihat bentuk lengkung pada kanan dan kiri mihrab dan sayap bagi kedua-dua belah pihak, bentuk lengkung dan semi bulat ini juga kelihatan dari permulaan untuk masuk ke ruang masjid. Bentung lengkung yang paling utama dari bahagian depan ialah pintu gerbang sebagai laluan utama bagi kemasukan ke masjid. Pada kanan dan kiri dan belakang pintu gerbang ini terdapat tiga lengkungan kecil dan empat lengkungan yang memanjang ke bawah. Pada sebelah kanan terdapat sebuah pintu gerbang sederhana. Pada sebelah atas juga terdapat empat lengkungan panjang ke bawah dan lengkungan sederhana. Walau bagaimana dibandingkan pandangan berpintu gerbang di depan dengan di sisi – dengan pandangan dilihat dari luar dari Medan Pakir-Usahawan, maka pandangan dari Medan Parkir-Usahawan adalah jauh lebih baik dan indah dari padangan dari bahagian depan masuk masjid. Perbedaan ini ialah kerana:
Memandang dari Medan Parkir-Usahawan, dengan kedudukannya meninggi adalah jelas kerana berada di tanah tinggi. Ketiga-tiga tingkat bangunan, bahkan bahagian tanah dan bawah tanah adalah jelas kelihatan dan menarik. Manakala pandang dari pintu masuk ke gerbang utama yang kelihatan adalah dua tingkat, lantaran tingkat bawah tanah memang tidak kelihatan dari depan. Level utama bagi kemasukan utama adalah sama dengan aras tanah dan kelihatan rendah dan kurang menarik berbanding melihat dari medan parkir dan Usahawan yang kelihatan lebih menarik.
Dilihat dari bahagian pintu masuk ke gerbang utama terasa kesesakan ruang tanah yang amat terhad dan bangunan bahagian depan dikecamuk oleh beberapa bangunan kecil seperti bilik mayat, kolah-kolah dan bahagian wudhu` pada bahagian kanan dan kiri. Kombinasi semuanya tidak dapat menyatukan kepada satu pandangan yang indah berbanding dengan bahagian  yang dilihat dari bahagian Medan Parkir-Usahawan. Wujudnya dua menara pada bahagian hadapan tidak dapat membantu mengindahkan pandangan dari bahagian pintu masuk berbanding dengan pandangan ke arah mihrab dan pintu-pintu dan jendela-jendela dan kubah yang jelas kelihatan.
Walau bagaimana dengan kedudukan Masjid Al-Umm di atas tapak tanah yang terhad (kurang sedikit dari dua ekar), terkepung pada bahagian masuk dengan deretan rumah semi-D, begitu juga pada sebelah kirinya juga bersempadan dengan rumah-rumah semi-D, di kanan padang dan pada bahagian depan mihrab dan benteng bangunan berdekatan dengan jalan ¼ ke Sekolah Rendan dan Menegah Bandar Baru Bangi, masjid yang agak besar, tetapi berada di atas ruang yang kecil dan terhad itu, pada keseluruhannya adalah sebuah masjid yang hebat dari segi design, unik dari segi seni bina dan cantik dipandang. Masjid Al-Umm adalah benar-benar Masjid Rakyat, lantaran sumber kewangannya adalah benar-benar datang dari derma rakyat. Adalah diharapkan masjid ini akan bergiat bagi memenuhi keperluan umat mengisi kegiatan yang mengimarahkan masjid dengan ibadat, menyediakan keperluan pendidikan dan kegiatan kemasyarakatan.

Sekian.