BBB, 15
Safar 1437 = 27 November 2015 (Jumaat):
Selain dari kubah dan tiang menara berbentuk
bulat, maka tiang-tiang bagi binaan masjid juga berbentuk bulat.
3. Tiang-Tiang
Dapat dikatakan semua tiang-tiang yang dibina
bagi Masjid Al-Umm dari `Tiang Seri` yang paling utama – berjumlah empat tiang
seri yang menjunjung kubah, kepada tiang-tiang utama keliling bangunan
hinggalah tiang-tiang pada bahagian tengah bangunan dan tiang-tiang kecil
adalah bersifat bulat. Tiang Seri adalah tegak dari aras bawah tanah ke aras
utama (tengah) memuncak di ruang kosong kepada lakaran bersegi dari tiang empat
dan dari lakaran ini ada tetulang-tetulang sendeng mengangkat bulatan yang di
atasnya diletakkan Kubah. Manakala tiang-tiang keliling ialah tiang-tiang yang
mengukuhkan didnding berkeliling masjid. Adapun tiang-tiang tengah ialah
tiang-tiang yang menjunjung lantai-lantai bagi aras utama dan tiang-tiang yang
menjunjung lantai bagi aras satu (tingkat tiga). Bersama dengan Tiang Seri
berempat dan tiang-tiang yang menjunjung aras satu (tingkat tiga) adalah
memuncak ke atas menjunjung bumbung dan atap bagi masjid. Semua tiang ini
adalah bersifat selaras, iaitu berbentuk bulat – bentuk yang indah dipandang
dan tidak banyak menghalang, terutama dari segi penglihatan
4. Semi Bulat Lengkung – Pintu Dan Tingkap
Satu bentuk yang banyak kedapatan di Masjid
Al-Umm sebagai ciri seni bina dan daya `Estetika Takmilah`, ialah bentuk `Semi
Bulat`. Maksud semi bulat ialah, ianya adalah berasal dari bentuk bulat berubah
secara kreatif yang juga antara bentuk alamiah menjadi bentuk semi bulat yang
asas utamanya berbentuk lengkung. Dari ciri lengkung ini berkembang kepada
variasi bentuk berasal bulat kepada lengkung sederhana memanjang ke bawah atau
memanjang secara terus (lebih dari sederhana).
Bentuk-bentuk lengkung ini yang berkembang
dari bentuk bulat yang bulat itu melambangkan kesempurnaan. maka bentuk
lengkung melambangkan kelembutan, tunduk, khusyuk dan tawaduk, sebagaimana
bentuk bulat sesuai menjadi ciri senibina masjid, maka demikianlah dengan bentuk
lengkung melengkapkan kesesuaian yang membawa erti dan nilai akhlak yang
tinggi, harmoni, rohani bahkan meningkatkan kepada kejiwaan yang kudus.
Bentuk semi bulat atau lengkung ini adalah
berada pada bahagian dinding – di luar atau di dalam (kurang) yang tidak
menggunakan daun pintu. Ianya biasanya bersifat terbuka, atau ruangnya dihiasi
dengan hiasan bersifat kerawang – secara kreatif. Contoh ketara dapat dilihat
pada pintu-pintu tanpa daun pintu penutup pada bahagian depan bagi kanan dan
kiri mihrab dan sebelah menyebelah bagi keduanya. Contoh pada kanan dan kiri
mihrab pada tingkat atas terdapat tiga lengkung + 1 (kurang kelihatan) pada
bahagian kanan dan tiga lengkung + 1 (kurang kelihatan) pada sebelah kiri yang
tidak berdaun pintu. Bentuk ini begitu estetik dan menarik. Seterusnya pada
dinding sebelah kanan dan kiri terdapat empat lengkung tingkap tanpa daun
tingkap, tetapi ruang bagi daun tingkap dihiasai dengan dekorasi berkerawang yang lebih bersifat geometrik design.
Lanjutan bagi lengkungan-lengkungan ini menyusuri ke bahagian hadapan baik
sebelah kanan atau kiri terdapat lengkungan-lengkungan berhias dan tidak
berhias. Lengkungan yang agak berbeza ialah empat lengkungan di atas bagi empat
persegi bujur yang diberi colour dinding berwarna hitam yang sebenarnya ialah
dalamannya adalah kawasan bagi toilet dan bilik air dan wuhu`. Tempat yang
kurang menyenangkan ini seolah-olah dapat disembunyikan dengan bentuk lengkung
dan warna hitam pada empat segi panjang. Bahkan warna hitam di dinding jika
dilihat dari jauh adalah sebagai dinding cermin yang menutup ruang tersebut.
Keadaan ini adalah sama bagi bahagian sebelah kanan dan juga bahagian sebelah
kiri.
Perlu diingat bahawa bentuk lengkung semi
bulat sebagai pintu yang tidak berdaun pintu ini didesign adalah untuk aras
utama dan aras satu. Adapun bagi aras bawah, di atas tanah, maka tidak
digunakan bentuk ini, kerana ianya adalah ruang masuk keluar dan perlu
mempunyai pintu berdaun pintu seperti biasa yang boleh dibuka dan ditutup dan
dapat mengelak dari pencerobohan yang mungkin berlaku.
Daripada melihat bentuk lengkung pada kanan
dan kiri mihrab dan sayap bagi kedua-dua belah pihak, bentuk lengkung dan semi
bulat ini juga kelihatan dari permulaan untuk masuk ke ruang masjid. Bentung
lengkung yang paling utama dari bahagian depan ialah pintu gerbang sebagai
laluan utama bagi kemasukan ke masjid. Pada kanan dan kiri dan belakang pintu
gerbang ini terdapat tiga lengkungan kecil dan empat lengkungan yang memanjang
ke bawah. Pada sebelah kanan terdapat sebuah pintu gerbang sederhana. Pada
sebelah atas juga terdapat empat lengkungan panjang ke bawah dan lengkungan
sederhana. Walau bagaimana dibandingkan pandangan berpintu gerbang di depan
dengan di sisi – dengan pandangan dilihat dari luar dari Medan Pakir-Usahawan,
maka pandangan dari Medan Parkir-Usahawan adalah jauh lebih baik dan indah dari
padangan dari bahagian depan masuk masjid. Perbedaan ini ialah kerana:
Memandang dari Medan Parkir-Usahawan, dengan kedudukannya
meninggi adalah jelas kerana berada di tanah tinggi. Ketiga-tiga tingkat
bangunan, bahkan bahagian tanah dan bawah tanah adalah jelas kelihatan dan
menarik. Manakala pandang dari pintu masuk ke gerbang utama yang kelihatan
adalah dua tingkat, lantaran tingkat bawah tanah memang tidak kelihatan dari
depan. Level utama bagi kemasukan utama adalah sama dengan aras tanah dan
kelihatan rendah dan kurang menarik berbanding melihat dari medan parkir dan
Usahawan yang kelihatan lebih menarik.
Dilihat dari bahagian pintu masuk ke gerbang
utama terasa kesesakan ruang tanah yang amat terhad dan bangunan bahagian depan
dikecamuk oleh beberapa bangunan kecil seperti bilik mayat, kolah-kolah dan
bahagian wudhu` pada bahagian kanan dan kiri. Kombinasi semuanya tidak dapat
menyatukan kepada satu pandangan yang indah berbanding dengan bahagian yang dilihat dari bahagian Medan Parkir-Usahawan.
Wujudnya dua menara pada bahagian hadapan tidak dapat membantu mengindahkan
pandangan dari bahagian pintu masuk berbanding dengan pandangan ke arah mihrab
dan pintu-pintu dan jendela-jendela dan kubah yang jelas kelihatan.
Walau bagaimana dengan kedudukan Masjid Al-Umm
di atas tapak tanah yang terhad (kurang sedikit dari dua ekar), terkepung pada
bahagian masuk dengan deretan rumah semi-D, begitu juga pada sebelah kirinya
juga bersempadan dengan rumah-rumah semi-D, di kanan padang dan pada bahagian
depan mihrab dan benteng bangunan berdekatan dengan jalan ¼ ke Sekolah Rendan
dan Menegah Bandar Baru Bangi, masjid yang agak besar, tetapi berada di atas
ruang yang kecil dan terhad itu, pada keseluruhannya adalah sebuah masjid yang
hebat dari segi design, unik dari segi seni bina dan cantik dipandang. Masjid
Al-Umm adalah benar-benar Masjid Rakyat, lantaran sumber kewangannya adalah
benar-benar datang dari derma rakyat. Adalah diharapkan masjid ini akan bergiat
bagi memenuhi keperluan umat mengisi kegiatan yang mengimarahkan masjid dengan
ibadat, menyediakan keperluan pendidikan dan kegiatan kemasyarakatan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment