November 2, 2015

Ilmu Paling Penting Bagi Kefahaman Islam Dan Mendakwah


BBB, 19 Muharram 1437 = 01 November (Ahad):


Boleh dimaksudkan kerja mendakwah hendaklah dilakukan oleh orang berilmu, tahu mengenai keilmuan yang berhubung dengan dakwah serta ilmu-ilmu lain dan menyampaikannya secara ilmu, pendek kata `Segala Keilmuan itu` adalah wadah yang ampuh bagi Islam dan dakwah.  Topik ini sebenarnya sebagai lanjutan bagi topik terbaru yang lepas bahawa, `Dakwah Bertahap Tinggi  - Menggugah Minda`. Ibarat pada tahap ini bahawa insan yang mempunyai indera, hati, roh dan minda itu masih berada  di luar batas sempadan dan memerhati dari luar apa yang dibentang oleh Al-Qur`an dan maksud `Ilmu` di sini ialah masuk ke ruanglingkup sesuatu bidang ilmu itu mengkaji, meneliti, memahami, menghayati, bahkan menemui  (walaupun mungkin tidak mendapati sepenuhnya), tapi dihasilkan sebagai `Sebuah Ilmu` yang dikeluarkan dari jumlah ilmu yang tidak terpermenai banyaknya. Dalam kata yang lain, satu ilmu itu sebagai `Satu Kebenaran` dari berbagai-bagai ilmu sebagai `Kebenaran-Kebenaran` adalah wadah dakwah menerangkan kebenaran-kebenaran, apa lagi jika diguna oleh pendakwah yang mendalam dalam bidang-bidang yang disampaikan dengan menggunakan kaedah yang betul yang meyakinkan khalayak yang menerimanya.
Dengan Ilmu menjadi mekanisme penting di dalam memahami kandungan Al-Qur`an. Dr. Danial Zainal Abdin yang sering menyampaikan ceramah  yang berhubung dengan ulum al-Qur`an dan menghasilkan buku berjudul `The Power of Al-Qur`an` menekankan bahawa `Al-Dirayah` (kefahaman) itu lebih penting dari  `Al-Riwayah` yang menekankan kepada riwayat dan penghafalan semata-mata. Beliau juga memetik pendapat Setiausaha Agung Rabitah al-Alam al-Islami Dr. Abdullah bin Abdul Aziz al-Muslih berkata:
``It is a knowledge that no one can reject, except the foolish.``
(Dr. Danial Zainal Abidin, The Power of Al-Qur`an, Pts Millennia Sdn. Bhd., Batu Caves, Selangor, 2013: 111- VII).
Tetapi tentang keilmuan begitu luas dan banyak sebagaimana firman Allah bermaksud:
 ``Katakanlah (wahai Muhammad), kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk menulis kalimat-kalimat Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan itu sebelum habis kalimat-kalimat Tuhanku, walaupun Kami tambahkan lagi dengan lautan yang sebanding dengannya, sebagai bantuan.`` (Al-Kahfi:109).
Ketidakmampuan kita bukan untuk mengkaji setiap keilmuan, malah untuk menyebut banyaknya jenis keilmuan tidak termampu. Sebagai contoh kita tidak mampu untuk mengira percambahan ilmu yang berlaku di dalam Surah Al-Hijr. Namun dari ayat-ayat dari Surah Al-Hijr ini dapat kita keluarkan sebahagian dari keilmuan yang sudah diketahui setakat ini secara terhad – iaitu mengikuti susunan ayat di dalam Surah Al-Hijr yang diperkatakan, iaitu:
1)      Keilmuan yang berhubung dengan Al-Qur`an (15.1)
2)      Sejarah jatuh bangunya sesuatu ummah (15.5)
3)      Persoalan tentang mala`ikat (15.7-8).
4)      Bidang berhubung dengan astronomi (15.16)
5)      Keilmuan yang berhubung dengan muka bumi (15.19)
6)      Cuaca dan pertanian (15.22)
7)      Hakikat kejadian manusia (15.26-29)
8)      Konsep iblis (15.31-39)
9)      Soal syurga-neraka (15.43-46)
10)   Sirah nabi-nabi (15.51,59
11)   Gempa dan kerosakan muka bumi (15.73-75)
12)   Arkeologi dan tapak purba (15.82)
13)   Langit bumi dan kiamat (15.85)
14)   Sirah Rasulullah s.a.w. mendepani kaum musyrikin (15.94).
15)   Memupuk kekuatan keyakinan terhadap Allah.
Demikianlah sebahagian persoalan nyata yang terkandung di dalam Surah Al-Hijr. Setiap maklumat yang dipaparkan di dalam Surah Al-Hijr berkenaan ialah sumber keilmuan yang dapat dikaji secara mendalam. Maklumat ini kelak dapat berdiri secara ilmu.
Katakanlah ambil dari no. 1, iaitu berhubung dengan Al-Qur`an ia adalah bidang yang amat luas untuk dikaji dan berbagai-bagai ilmu yang berhubung dengan Al-Qur`an. Antara yang kita ketahui seperti ilmu tafsir, tajwid, berbagai jenis qiraat, aqidah, fiqh, akhlak, tasawuf, sains, astronomi dan berbagai-bagai jenis ilmu lagi yang sebahaginnya kita keluarkan dari Surah Al-Hijr di atas.
Ambil pula bidang astronomi (no.4). Bidang ini begitu luas dikajikan sejak dari zaman permulaan Islam yang melahirkan berbagai-bagai tokoh astronomi Islam dan bidang ini terus dikaji hingga ke zaman moden ini yang maklumat berhubung dengan cakerawala, planet dan bintang-bintang diangkasa lepas masih terhad diketahui dan amat banyak lagi tidak diketahui berhubung dengan ciptaan Allah ini. Manakala no. 5 yang berhubung dengan muka bumi sebagai rumah bagi umat manusia menghuninya. Walaupun muka bumi begitu dekat dengan kita dan banyak manusia mengambil manfaat darinya sebagai tempat mencari sumber kehidupan, menggali hasil-hasil bumi, membuka pertempatan bandar, negeri dan negara, mengadakan komunikasi dan interaksi, tetapi begitu banyak yang belum dikuasai, bahkan tidak dapat menghadapi ancaman seperti gempa bumi, taufan, banjir dan sebagainya. Berbagai-bagai bidang yang dikaji dan keilmuan yang lahir bagi faedah manusia dan mengatasi malapetaka, tetapi manusia di dalam mencari keamanan dan keselesaan hidup tidak dapat mengatasi ancaman, bukan saja dari bumi, alam dan cuaca (no.6) bahkan dari manusia itu sendiri.
Satu bidang yang luas dikaji ialah tentang manusia itu sendiri. Ia adalah bidang falsafah, biologi, rohani dan manusia sosial. Kata seorang ahli falsafah Cassirer sebagai intro bagi part 1 bukunya berjudul ``What is man``:
``That self knowledge is the highest aim of philosophical inquiry appears to the generally acknowledged.``
(Cassirer, Ernst, An Essay On Man, Yale University Press, Yale, 1972: 1).
Luasnya kajian tentang manusia, bayangkan bagi mengkaji fizikal manusia, terdapat di dalam sebuah fakulti perubatan beratus-beratus kursus yang dianjurkan kepada pelajar-pelajar di dalam berbagai peringkat. Bayangkan juga bagi bidang rohani, katakan pembicaraan bidang tasawuf yang berkait dengan aspek rohani, maka berbagai-bagai aspek ketasawufan yang dibicarakan berhubung dengan bidang rohani itu sendiri. Bayangkan juga manusia sosial berbagai-bagai keilmuan yang dikaji. Pendek kata begitu luas ilmu yang mengjkaji tentang manusia itu, itupun belum habis-habis diteroka.
Begitulah bidang-bidang yang lain yang kita keluarkan dari Surah Al-Hijr seperti bidang yang berkait dengan syaitan, iblis hari akhirat, syurga, neraka, sirah nabi-nabi, soal bencana alam, soal kepurbaan, langit, bumi, Sirah Rasulullah s.a.w. dan pengukuhan aqidah dan berbagai-bagai bidang yang lain yang sebenarnya dengan mengetahui berbagai-bagai ilmu makin meluaskan maklumat dan memahami hakikat dan rahsia ciptaan Tuhan yang seharusnya membawa diri makin mendekati Ilahi.
Bagi pendakwah dan juga para ilmuan yang mengetahui sesuatu bidang ilmu dan berbagai bidang ilmu sebenarnya dia lebih  berpeluang memberi penerangan tentang Islam dari berbagai aspek keilmuan yang pada hakikatnya semua keilmuan membicarakan tentang kebenaran dari angle masing-masing yang  melengkapkan pandangan dan kefahaman tentang Islam itu secara syumul dan menyeluruh.

Sekian.

No comments:

Post a Comment