November 3, 2015

Surah Al-Nahl - Rutin Kehidupan: Peringatan Dengan Nada Lembut


BBB, 20 Muharram 1437 = 02 November 2015 (Isnin):


Membaca Surah Al-Nahl (Lebah) Surah ke (16), Makkiyyah mengandungi 128 ayat agak berbeza dari segi mood dan suasana berbanding dengan Surah Al-Hijr (15) sebelumnya. Jika nada dalam Surah Al-Hijr agak keras, yakni tentang ancaman dan balasan terhadap Kaum Hijr, Al-Aykah dan Lut dengan gempa dan kemusnahan alam, tetapi nada dan mood dalam Surah Al-Nahl adalah bersifat lembut, iaitu lebih mengingatkan tentang kurniaan-kurniaan dan nikmat-nikmat Allah yang banyak diterima yang sepatutnya penerima-penerima berkenaan bersyukur dan beriman.
Kelembutan nada di dalam surah ini bersesuaian dengan ayat pada akhir bagi surah ini, iaitu ayat yang bermaksud:
``Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalannya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat pertunjuk.`` (15. 125).
Ayat di atas adalah membicarakan kaedah dakwah dan ayat ini selari dengan beberapa ayat yang bersifat dakwah yang lain yang antaranya bermaksud:
``Hendaklah ada dari kalangan kamu ummah yang menyeru kepada kebaikan dan membuat kemakrufan dan mencegah daripada perkara-perkara yang munkar dan mereka itulah orang-orang yang berjaya``. (Aali `Imran: 104). Atau ayat yang bermaksud:
``Siapa yang lebih elok perkataan daripada orang yang mendakwah kepada Allah dan beramal salih dan dia berkata bahawasanya aku dari kalangan orang muslimin``. (Fussilat: 33).
Dan ayat yang bermaksud:
``Katakanlah, ``inilah jalanku, aku menyeru kepada Allah di atas jalan yang nyata, aku dan siapa yang mengikutiku. Maha suci Allah aku bukan dari kalangan orang musyrikin``. (Yusuf: 108).
Dan ayat bermaksud:
``Perlulah ada dari kalangan  setiap kelompok mereka itu satu jumlah (taifah) yang keluar menuntut ilmu agama agar mereka itu dapat mengingatkan kaumnya apabila mereka itu kembali kepada mereka itu, semoga mereka itu mendapat peringatan``.(Al-Taubah: 122).
Itulah nada-nada lembut ayat-ayat Al-Qur`an yang bersifat dakwah yang ditujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. dan ia adalah kaedah yang digunakan oleh Baginda di dalam menyampaikan dakwah terhadap umatnya. Nada lembut di dalam ayat Al-Qur`an ini juga adalah sifat dan amalan Nabi di dalam menyampaikan dakwah. Sifat Baginda ini sesuai dengan sabda-sabda baginda, khususnya berhubung dengan tema-tema dakwah. Contoh Hadith Baginda bermaksud:
Hadith riwayat Muslim daripada Abi Sa`id al-Khudri r.a. berkata. Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda:
``Siapa dari kalangan kamu melihat kemunkaran, maka hendaklah ia mengubahkannya dengan tangannya, maka jika dia tidak berkuasa maka (ubahlah) dengan lisannya, maka jika dia tidak berkuasa, maka (ubahlah) dengan hatinya, maka dia adalah selemah-lemah iman``.
Dan Hadith riwayat dua Shaykh (Bukhari dan Muslim) Daripada Tamim al-Dari daripada Nabi s.a.w. Baginda bersabda, Agama itu nasihat, Baginda mengulangi tiga kali. Katanya; Kami berkata, bagi  siapa ya Rasulallah ? Baginda bersabda, bagi Allah dan bagi Rasulnya dan bagi sekalian orang muslimin dan keseluruhannya.
(Muhammad Abdul Aziz al-Khauli, Islah al-Wa`zi al-Dini, al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Misr, 1377H./1958M: 9-10).
Apa yang terkandung di dalam Surah Al-Nahl adalah menyebut tentang rutin hidup manusia yang biasa yang hidup di bawah kolon langit, dipermukaan bumi yang dia dari sebahagian ciptaan Allah yang dengan rahmatNya mendapat rezeki dari hasil bumi yang disediakan, dari hasil ternakan yang disegarkan dengan siraman hujan yang bukan saja diminum oleh binatang, tetapi juga manusia. Demikianlah mereka mendapat keperluan-keperluan yang lain seperti pakaian dan alat perhubungan (tunggangan). Apa yang disebutkan oleh Al-Qur`an adalah rutin, tabi`i biasa, tetapi di dalam kebiasaan yang membudayakan hidup masyarakat ini kadang-kadang menjadikan mereka lupa, lalai dan tidak menyedari proses yang dilalui dan dialami mereka.
Pendekatan dakwah di dalam Surah Al-Nahl menyentuh perkara-perkara berkenaan sebagai kejutan yang menyedarkan mereka. Sesungguhnya dalam dakwah tidak semestinya membawa perkara-perkara yang anih dan di luar dari pengalaman mereka yang didakwah, sebaliknya mengupas dan mengingatkan apa yang dialami sebagai kebiasaan biasa dapat menyedar dan mengingatkan mereka. Misalnya apa jadi jika kemarau berterusan, apa jadi jika tanaman tidak dapat mengeluarkan hasil dan apa jadi jika ketiadaan air sebagaimana dialami oleh setengah pihak. Walau semuanya perkara kecil, tetapi besar kesannya kepada kehidupan. Sebab itu nikmat yang diterima seharusnya dihargai, bahkan perlu mensyukuri kepada Pengurnianya. Antara kaedah berdakwah yang disebut di dalam kitab `Islah al-Wa`z al-Dini` tercatat bahawa kesan dakwah yang efektif bahawa:
``Apa yang diucap dan didengar telinga tidak keluar menghilang, apa yang keluar dari hati meresap kelubuk-lubuk hati dan menggerak ke arah islah dan kebaikan dan amalan salih, sesungguhnya hasil yang baik keluar dari jiwa yang baik. Contoh  penyampaian yang baik dan penerimaan yang baik ialah sebagaimana yang yang disampaikan oleh Sayyid al-Mursalin Rasulullah s.a.w. sebagaimana firman Allah bermaksud:
``Sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu ikutan yang baik siapa yang mengharapkan balasan Allah dan Hari Akhirat dan mengingat Allah dengan banyak (Al-Ahzab: 21).
Sesungguhnya seorang pendakwah adalah seorang mursyid yang menjaga dirinya, mengawal akhlaknya, betul fikirannya, beramal dengan apa yang dikatakan, menjaga hukum syarak, tidak berpihak, jujur hingga ia diyakini khalayak dengan apa yang disampaikan dan mendorong pendengar menerima apa yang disampaikan.
Demikian apa yang dapat dipelajari sebahagian dari roh dakwah sebagaimana terkandung dalam Surah Al-Nahl.

Sekian.

No comments:

Post a Comment