November 11, 2015

Ashab Al-Kahfi Dalam Konsep Cerita


BBB, 28 Muharram 1437 = 10 November 2015 (Selasa):


Surah al-Kahfi, Makkiyyah (18.110 ayat).
Telah dibicarakan bahawa dua pertiga kandungan Al-Qur`an adalah bersifat cerita (Namun Al-Qur`an tidak boleh disifatkan sebagai Kitab Cerita dan tidak boleh disifatkan sebagai Kitab Sastera, walaupun elemen-elemen berkenaan terdapat di dalam Al-Qur`an). Berbagai format cerita yang dapat dilihat di dalam Al-Qur`an. Antaranya:
1)      Sepenuh kandungannya adalah berfokus kepada satu cerita berasaskan watak utama. Contoh `Kisah Nabi Yusuf`.
2)      Walaupun mempunyai tajuk cerita yang berhubung dengan satu watak atau tokoh, tetapi mempunyai lebih dari satu cerita, seolah surah berkenaan bersifat antologi cerita seperti Surah Al-Kahfi.
3)      Persoalan mengenai tokoh atau watak yang dicerita dibina maklumatnya dari berbagai-bagai surah. Contoh Kisah mengenai Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Adam dan banyak lagi (Tiada tajuk surah khusus bagi Nabi Musa dan Adam).
Surah Al-Kahfi  (Gua).
Surah ini termasuk di bawah kategori dua di atas, lantaran walaupun judul utama bagi surah ini ialah Al-Kahfi, tetapi mengandungi lebih dari satu cerita, iaitu `Ashab al-Kahfi` {Penghuni Gua) dan kisah `Nabi Musa Dengan Nabi Khaidir`  . Sesungguhnya semua kandungan Al-Qur`an diwahyukan dan ditujukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. bagi disampaikan kepada ummah sebagai panduan..
Surah Al-Kahfi sebagaimana Surah Yusuf dimaklumkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.  tentang kisah-kisah berkenaan. Contoh ayat dari Surah Yusuf bermaksud:
`Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad), seindah-indah cerita dengan apa yang kami wahyukan kepadamu Al-Qur`an ini, pada hal sebenarnya engkau sebelum datangnya wahyu itu adalah dari orang-orang yang tidak pernah menyedari akan halnya` (Yusuf: 3).
Demikian dengan Surah Al-Kahfi juga bersifat makluman kepada Rasulullah s.a.w. sebagaimana maksud ayat:
``Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar. Sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan kami tambahi mereka dengan hidayah pertunjuk``. (18.13).
Jika Surah Yusuf lebih menampilkan konsep cerita yang menarik dan indah sebagai cabaran kepada para sasterawan Jahiliyyah sejauh mana kemampuan mereka dapat menampilkan seindah cerita berbentuk prosa sebagaimana bentuk puisi yang banyak terdapat di dalam Al-Qur`an - Sesungguhnya mereka tidak dapat menghasilkan sebarang hasil yang dapat menandingi bahasa Al-Qur`an baik dalam bentuk prosa dan puisi sebagaimana cabaran Al-Qur`an yang bermaksud:
``Dan jika kamu ragu dengan apa yang telah kami turunkan (Al-Qur`an) ke atas hamba kami (Nabi Muhammad), maka bawa datanglah satu surah seumpamanya dan panggillah orang-orang  yang kamu percaya boleh menolong kamu, selain daripada Allah, jika betul kamu orang-orang yang benar``. (Al-Baqarah: 23).
Rasulullah Sebahagian Dari Episod Cerita:
Jika cerita-cerita di dalam Al-Qur`an bersifat informatif kepada Rasulullah bagi disampaikan kepada umatnya, tetapi bagi Surah Al-Kahfi Rasulullah menjadi `Intro luaran yang mendebarkan, bahkan sebagai ujian yang memberi kesan kepada dakwah Rasulullah s.a.w. di Makkah.
Menurut Muhammad bin Ishaq,  seorang Shaykh (berasal dari Mesir) datang sejak empat puluh tahun lebih memberitahu bahawa dari `Ikramah dari Ibn `Abbas r.a. mengatakan bahawa kaum Quraisy pada zaman Nabi s.a.w. telah mengutus dua orang iaitu Al-Nadr bin al-Harith dan `Utbah bin Abi Mu`ith ke Madinah untuk menemui para pendeta Yahudi menanyakan tentang `Muhammad` lantaran mereka membaca Taurat dan mempunyai tradisi kenabian. Ibn `Abbas menambah, Pendita kaum Yahudi itu mencadang untuk menanyakan tentang tiga perkara kepada Nabi Muhammad s.a.w. Menurut Pendeta Yahudi itu, ``Jika dia dapat menjawabnya menandakan ia seorang Rasul. Persoalan yang disuruh tanya ialah mengenai `Ashab al-Kahfi`, Pengembara yang berkeliling menjangkau arah timur dan barat dan ketiga ialah tentang roh.Kedua utusan itu kembali ke Makkah dan memberitahu kaum Quraisy. Tiga persoalan itu dihadapkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. minta dijawab. Pertanyaan mereka tentang tiga persoalan itu dijanji oleh Nabi Muhammad untuk menjawabnya `Esok` tanpa menyertai kata `Insya Allah`. Dengan harapan menerima wahyu segera mengenainya. Di dalam hal ini Baginda ditegur sebagaimana ayat Al-Qur`an bermaksud:
``Dan janganlah engkau berkata mengenai suatu (yang hendak dikerjakan), bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti``. Melainkan hendaklah disertakan dengan berkata `Insya Allah. Dan ingatlah serta sebutlah akan Tuhanmu, jika engkau lupa,`` dan katakanlah mudah-mudahan Tuhanku memimpinku ke jalan pertunjuk yang lebih dekat dan lebih terang dari ini``. (18.23-24).
Namun wahyu tidak diterima sehingga melewati janji sampai 15 hari, Baginda merasa sedih, sedang isu ini dipermainkan oleh kaum Quraisy. Isu ini membebankan Rasulullah s.a.w. Namun berikutnya Rasulullah s.a.w. didatangi Jibril a.s. membawa wahyu berhubung dengan tiga perkara berkenaan, iaitu:
1)      Tentang Ashab al-Kahfi
2)      Tentang pengembara ke sempadan barat-timur
3)      Tentang roh.
Mengenai persoalan satu dan dua disampaikan secara cerita, tetapi mengenai roh, ayat Al-Qur`an menerangkan bermaksud:
``Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang roh, katakanlah roh itu termasuk urusan Rabb-ku,, dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit``. (Al-Isra`: 85).
(Ibn Kathir, Sahih Tafsir Ibn Kathir, Jil 5, Pustaka Ibn Kathir, Jakarta, 1433H./2012M:  485-486).
Pertanyaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. berkenaan tiga persoalan di atas dari segi ilmu tafsir adalah sebagai`Asbab al-Nuzul`, tetapi dilihat dari segi penceritaan episod soalan yang berhubung dengan Nabis.a,w. adalah bersifat `Intro Luaran` yang mempunyai kaitan rapat dengan dakwah Rasulullah s.a.w. Dengan jawapan terhadap tiga soalan itu membenarkan tentang kerasulan Nabi Muhammad s.a.w. yang sepatutnya diakui oleh kaum Quraisy dan penduduk Makkah pada masa itu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment