November 25, 2015

Kemajuan Dan Cabaran Di Penghujungan


BBB, 12 Safar 1437 = 24 November 2015 (Selasa):
Melihat kepada bangunan yang hampir siap yang dari segi peratusannya sudah mencapai 92% rasa syukur kepada Allah memenuhi jiwa dan terima kasih kepada perderma-penderma, bahawa dalam tempoh dua tahun (Masuk Tapak bagi memulakan Kerja pada 10.12.2013), maka kelihatan bangunan dari luar seakan-akan sudah siap. Tetapi sebenarnya kerja-kerja beberapa pemasangan dan dekorasi yang bersifat seni masih lagi dalam persiapan. Hingga ke peringkat ini banyak cetusan, pengalaman, cabaran, gugatan dan harapan ditempuhi.
Sebagaimana pernah disebutkan bahawa, kerja membina masjid adalah kerja yang bersifat `sukarela` dan tiada paksaan, maka sejak ditubuhkan Jawatankuasa Pembinaan, ada sebahagian AJK telah menarik diri atas alasan-alasan tertentu, tetapi ibarat kata pepatah `Patah tumbuh hilang berganti` , maka tempat-tempat yang dikosongkan kembali diisi.
Jumlah Ahli Jawatankuasa Pembinaan adalah seramai 15 orang. Mereka adalah terdiri dari mereka yang berbagai latar pendidikan dan kepakaran yang terdiri dari bidang kemanusiaan, agama, engineer, arkitek, pendidikan dan teknikal. Antara mereka terlibat dalam bidang pengajaran, pentadbiran, busines, diplomatik, firma arkitek dan engineering. Kepelbagaian kepakaran dan pengalaman menjadi aset penting. Kekurangan bagi satu pihak dapat ditampung dengan pengalaman yang ada pada yang lain.

Setelah beberapa mesyuarat AJK biasa dijalankan dan pembangunan fizikal bermula, seorang yang berpengalaman di dalam bidang pentadbiran dan pembinaan, iaitu saudara Omar Jaafar Bekas Pentadbir Pembangunan UKM, menyarankan bahawa di dalam bidang pembinaan banyak mengendalikan persoalan yang berhubung dengan teknikal, sebab itu wajar ditubuhkan AJK Teknikal. Atas saranannya ditubuhkan AJK Teknikal dibawah jawatakuasa asal yang kemudian dikenali dengan Jawatakuasa Induk. Jawatankuasa ini terdiri dari 10 orang, termasuk arkitek, kontrektor dan perunding-perunding yang bila bermesyuarat sebahagian dari AJK Induk turut hadir, maka pemisahan pentadbiran berlaku sejak akhir 2013. AJK Induk lebih kepada bidang polisi, pentadbiran dan kewangan, makanakala AJK Teknikal lebih kepada bidang teknikal dan pembinaan. AJK ini diketuai oleh Ir.Tuan Haji Ishak Arshad seorang tenaga pensyarah Fakulti Engineering UKM. Hasil dari mesyuarat AJK Induk, AJK teknikal bersama perunding-perunding terutama bila membincangkan tentang `plan arkitek` dan volume tanah yang akan dikeluarkan, maka tercetus idea dan cadangan, plan masjid yang berasal dari dua tingkat itu, maka dicadangkan dari tanah yang akan dikeluarkan itu ditambah lagi pembinaan masjid dengan `Tingkat Bawah Tanah` menjadikan plan binaan Masjid Al-Umm adalah tiga tingkat. Cadangan menjadikan Masjid Al-Umm dari dua tingkat ini diterima menjadi tiga tingkat. Hasil dari perbincangan juga banyak berlaku perubahan dari segi arkitek termasuk bentuk kubah, menara dan ruang-ruang dalam bagi ketiga tingkat masjid. Pendek kata berlaku perubahan besar dari plan asal.
Menerusi kegiatan pembinaan bagi yang tidak mempelajari bidang engineering, maka dari mesyuarat-mesyuarat dan lawatan tapak dapat mempelajari dan memahami istilah-istilah seperti kerja tanah, Piling work, R.C. retaining wall, shear wall, work below lowest floor finish,, ground slab, frame (structure work), minaret (structure work), roof trusses, roof covering, staircase, external brickwork, internal brickwork, external plastering, internal plastering, windows, doors, ceiling works, internal floor, kerja-kerja mekanikal, kerja-kerja elektikal, Dome, TNB sub station dan sebagainya. Istilah-istilah ini diaplikasikan dalam mesyuarat dan lawatan ke lokasi tapak. Makin lama berikutnya istilah-istilah teknikal ini menjadi biasa. Dari keperluan, maka masuk ke tahun kedua pembinaan, mulai awal 2014 ditubuhkan pula AJK Tapak yang menyeliakan bangunan yang diketuai Ir. Haji Ghazali Hussin dan AJK.


Cabaran  yang paling utama bagi pembinaan ialah dari segi kewangan. Tanpa kewangan pembinaan tidak dapat dilakukan. Sejak pelancaran derma bagi pembinaan Masjid Al-Umm dilakukan dari 19 Mei 2012 sehinggalah kepada permulaan kerja-kerja pembinaan bermula dengan `Masuk Tapak dan Kerja Tanah`  pada pertengahgan bulan Disember 2013 kewangan ditangan lebihkurang satu setengah juta, namun semangat AJK meningkat apabila pihak Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din pada 4 Januari 2014 menyampaikan derma kepada AJK Pembinaan Masjid sejumlah RM1.52 juta di rumahnya, ini berikut derma didapati lagi sejumlah RM1.8 juta juga dari usaha Dato` Dr. Haron Din mendapatkan derma dari pihak Lembaga Zakat melalui Pengerusinya Tan Sri Dato` Seri Syed Anuar bin Syed Putra Jamalullail pada 24 April 2014 cek sejumlah RM1.8 juta. Pertambahan ini termasuk juga sumbangan dari Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sebanyak setengah juta pada 16 Disember 2014 beserta dengan derma orang ramai berterusan memberi kelawasan dari segi pembinaan dan kerja-kerja pembangunan berjalan lancar, namun sedikit tertangguh dari tarikh sepatutnya siap.
Dengan sebab beberapa penangguhan, lantaran itu hasrat AJK untuk mula menggunakan Masjid Al-Umm pada awal bulan Ramadhan 1436 yang lepas terpaksa ditangguhkan. Hasrat kali kedua bagi menggunakan pada Raya Idul Adhha 1436 yang lepas juga sekali lagi tertangguh. Pihak AJK agak segan untuk menyebut rancangan untuk menggunakannya pada pertengahan Januari 2016 nanti, melihatkan banyak lagi perkara yang belum siap, termasuk belum dilakukan pemasangan air-condition dan pembesar suara. Kerja-kerja dekorasi bahagian bawah dari kubah masih belum siap, begitu juga dekorasi dinding bahagian hadapan sebelah menyebelah mihrab juga belum disiapkan. Termasuk yang masih belum siap ialah kerja-kerja luar seperti jalan yang belum siap, lanscaping dan taman, begitu juga pagar dan pondok pengawa belum siapl. Api dan air juga belum dimasukkan secara rasmi.
Sebagaimana disebutkan wang paling penting bagi kelicinan pembinaan, satu gangguan ketara, bahawa peruntukan selama ini termasuk dengan jumlah wang RM6 juta yang dijanjikan oleh kerajaan negeri sejak awal tahun 2014 lepas masih belum didapati. Pertemuan dibuat dengan berbagai pihak termasuk Dato` Menteri Besar yang baru YAB Azmin Ali yang menjanjikan RM5 juta (kurang sejuta) dari janji asal, difahamkan akhirnya jumlah ini dikecilkan kepada RM4 juta, tetapi masih juga tak diturunkan. Akibatnya mengganggu kerja-kerja akhir.
Sesungguhnya kerja-kerja yang berlaku selama ini licin, tetapi pada peringkat akhir ini terganggu oleh kerana kekurangan dana, pihak Bendahari dan AJK akan berusaha mendapat dana agar pembinaan dapat diteruskan dan penggunaan masjid tidak terlalu lama tertangguh.

Sekian. 

No comments:

Post a Comment